Hadis Pertama
اقْرَأُوا يَس عَلَى مَوْتَاكُمْ.
“Bacalah Yasin
untuk orang yang nazak di kalangan kamu.”
Takhrij Hadis
Riwayat Ahmad (no. 20301), Abu Daud (no. 3121),
al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (no. 10846) dan Ibnu Majah
(no. 1448) daripada hadis Ma’qil bin Yasar. Hadis ini didaifkan oleh
al-Daraqutni dan Ibnu al-Qathan dalam Bayan al-Wahm Wa al-Iham.
Pengajaran Hadis
1 - Sunat membaca surah Yasin di sisi orang yang sedang
nazak.
Imam Ibnu Raslan (m. 844H) dalam Syarah
Sunan Abu Daud menyebutkan:
“Telah berdalilkan
dengan hadis ini akan sunatnya membaca al-Quran (di sisi orang yang sedang
nazak) oleh sekumpulan ulama. Ia adalah pendapat mazhab al-Syafi’e dan jumhur
ulama.”
Disebutkan di dalam kitab al-Mausu’ah
al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah:
“Mazhab Hanafi,
al-Syafi’e dan al-Hanbali berpendapat bahawa disunatkan membaca Yasin sisi
orang yang nazak berdasarkan sabda Nabi sallahu ‘alaihi wasallam: Bacalah Yasin
untuk orang yang hampir mati di kalangan kamu.”
Imam Ibnu Kathir berkata dalam tafsirnya:
"Berdasarkan hadis ini, sebahagian
ulama berkata: Antara keistimewaan surah ini adalah tidaklah surah ini dibaca
ketika suatu urusan yang sukar melainkan ia akan dimudahkan oleh Allah seperti
membacanya di sisi orang yang hampir meninggal dunia supaya turun rahmat dan
keberkatan dan untuk memudahkan ruh
orang yang nazak tersebut keluar."
2 - Hadis ini juga menjadi dalil disunatkan membaca al-Quran untuk si mati di kuburannya.
Imam al-Suyuti dalam kitab Syarah al-Sudur menukilkan daripada Imam al-Qurtubi, beliau berkata: "Al-Qurtubi berkata tentang hadis ini: Kemungkinan bacaan al-Quran ini adalah di sisi si mati ketika hal kematiannya (hampir mati) dan kemungkinan juga di sisi kuburnya (setelah mati)."
Imam al-Suyuti lalu berkata: "Pendapat pertama (membaca Yasin kepada orang nazak) adalah pandangan kebanyakan ulama sebagaimana yang telah lalu disebutkan di awal kitab. Pendapat kedua (membaca al-Quran di kuburnya) adalah pandangan Ibnu Abdul Wahid al-Maqdisi dalam juzuk kitab yang telah lalu diisyaratkan tentangnya. Secara umum untuk dua-dua keadaan pula adalah pendapat al-Muhib al-Tabari yang merupakan ulama terkemudian daripada ulama mazhab kita (mazhab al-Syafi'e)."
Ini kerana dalam hadis menyebut perkataan مَوْتَاكُمْ yang secara zahirnya membawa maksud "orang yang telah mati di kalangan kamu". Ulama yang menafsirkannya sebagai "orang yang hampir mati" pula telah mentakwilkan maksud perkataan مَوْتَاكُمْ tersebut.
3 - Hikmah dibacakan surah Yasin kepada orang yang nazak adalah untuk membantunya mengingati Allah, hari kiamat dan hari kebangkitan ketika saat kematiannya kerana dalam surah Yasin terkandungi perkara-perkara tersebut. Pembacaan surah Yasin juga dapat menggembirakan roh untuk segera bertemu dengan Allah kerana surah Yasin mengandungi janji syurga dan kenikmatannya bagi orang yang mati dengan kalimah tauhid.
Hadis Kedua
مَنْ قَرَأَ يس فِي لَيْلَةٍ ابْتِغَاءَ وَجْهِ اللَّهِ، غُفِرَ
لَهُ فِي تِلْكَ اللَّيْلَةِ.
“Sesiapa yang membaca
Yasin pada malam hari semata-mata kerana Allah, diampunkan dosanya pada malam
tersebut.”
Takhrij Hadis
Riwayat al-Darimi (no. 3460) daripada hadis Hasan al-Basri daripada Abu Hurairah.
Dikatakan sanad
ini daif kerana sanadnya terputus antara Hasan al-Basri dengan Abu Hurairah. Namun Ibnu ‘Asakir dalam Mu’jam al-Shuyukh mengatakan ia hasan
gharib. Ibnu Hajar dalam Nataij al-Afkar mengatakan
ia hasan. Mungkin mereka menghasankannya (hasan li ghairih)
kerana sokongan hadis yang lain. Syeikh Abdullah al-Talidi dalam al-Jawahir
wa al-Laali al-Masnu’ah mengatakan bahawa hadis ini dikuatkan oleh
hadis Jundub yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dalam Sahihnya (no. 2574).
Pengajaran Hadis
1 - Keistimewaan surah Yasin yang menjanjikan
pengampunan dosa bagi pembacanya yang ikhlas membacanya semata-mata untuk
mendapat keredaan Allah dan bukan untuk tujuan lainnya.
2 - Pengampunan dosa tersebut merujuk kepada dosa-dosa kecil yang berkait dengan Allah kerana dosa-dosa besar tidak terhapus melainkan dengan taubat nasuha. Manakala dosa yang berkait dengan manusia pula perlu memohon maaf daripada orang yang dizaliminya itu. Tetapi menurut Imam Mulla Ali al-Qari dalam kitab Mirqah al-Mafatih, tidak mustahil pengampunan dosa tersebut juga meliputi dosa-dosa besar, kerana semuanya tertakluk pada kehendak Allah.
Hadis Ketiga
يس قَلْبُ الْقُرْآنِ، لَا يَقْرَؤُهَا رَجُلٌ يُرِيدُ اللهَ
والدَّارَ الْآخِرَةَ إِلَّا غُفِرَ لَهُ، وَاقْرَءُوهَا عَلَى مَوْتَاكُمْ.
“Yasin adalah jantung
al-Quran. Tidaklah seseorang itu membacanya semata-mata kerana Allah dan hati
akhirat melainkan akan diampunkan dosanya. Bacalah surah Yasin untuk orang yang
hampir mati di kalangan kamu.”
Takhrij Hadis
Riwayat Ahmad (no. 20300), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (no.
10847) dan Amal al-Yaum Wa al-Lailah (no. 1075) dan lain-lain
daripada hadis Ma’qil bin Yasar. Sanadnya didaifkan oleh al-Hafiz al-Busiri
dalam Ithaf al-Khiyarah al-Maharah kerana perawinya yang majhul (tidak dikenali).
Pengajaran Hadis
1 - Surah Yasin dianggap jantung bagi
al-Quran kerana kandungan surah ini ibarat
inti ataupun sari bagi kandungan al-Quran meskipun kandungannya yang ringkas
dan ayatnya yang pendek. Ini kerana surah ini membawa mesej utama Islam iaitu
berkenaan al-Wahdaniyyah (keesaan Allah), al-Risalah (kerasulan
Nabi Muhammad), hari kiamat, al-Hasyr (hari kebangkitan), syurga dan
neraka. Begitu juga pentingnya surah Yasin ini umpama pentingnya jantung bagi
badan manusia.
Hadis Keempat
مَنْ قَرَأَ يس فَكَأَنَّمَا قَرَأَ الْقُرْآنَ عَشْرَ مَرَّاتٍ.
“Sesiapa
yang membaca surah Yasin maka seolah-olah dia membaca al-Quran sebanyak sepuluh
kali.”
Takhrij Hadis
Riwayat Sa’id bin Mansur
(2/283) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (no. 2232) daripada Hassan bin
‘Athiyyah daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam dengan
sanad yang daif. Kata al-Baihaqi: “Ini mursal.” Ini kerana
Hassan bin ‘Athiyyah ialah tabi’i yang tidak sempat bertemu
Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam.
Pengajaran Hadis
1 - Ganjaran pahala yang besar yang diperolehi bagi pembaca surah Yasin,
seolah-olah dia membaca keseluruhan al-Quran sebanyak sepuluh kali.
2 - Allah mengkhususkan ganjaran pahala yang lebih bagi pembacaan surah
tertentu sebagaimana pahala yang besar juga disediakan bagi ibadah di masa yang
khusus seperti Lailatul Qadar dan di tempat istimewa seperti Mekah.
Hadis Kelima
مَنْ قَرَأَ يس فِي صَدْرِ النَّهَارِ قُضِيَتْ حَوَائِجه.
“Sesiapa
yang membaca Yasin pada permulaan siang maka akan ditunaikan hajatnya.”
Takhrij Hadis
Riwayat al-Darimi (no. 3461)
daripada Atha’ bin Abi Rabah daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi
wasallam dengan sanad yang daif. Hadis ini mursal kerana Atha’
bin Abi Rabah ialah tabi’i yang tidak sempat bertemu
Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam.
Pengajaran Hadis
1 - Menurut Imam Mulla Ali al-Qari,
zahirnya ditunaikan hajat tersebut meliputi hajatnya di dunia mahupun di
akhirat.
2 - Imam Ibnu Hajar al-Haitami menyebutkan dalam Fath al-Ilah Fi Syarah
al-Misykah bahawa hikmah pembacaan surah ini dapat membantu menunaikan
hajat pembacanya adalah kerana sekiranya
pembacanya membaca surah ini di awal harinya, disertai pula dengan pengamatan
isi kandungannya yang berkaitan hal ehwal dunia, barzakh, kehidupan akhirat
serta kenikmatan yang diperoleh oleh ahli syurga dan azab yang ditimpakan ke atas
ahli neraka, maka semua ini akan mendorong pembacanya untuk menghidupkan hari
tersebut dengan amal soleh, menjaga dirinya daripada kegelinciran dosa dan
maksiat serta berusaha keras untuk memenuhi keperluan hidupnya.
Hadis Keenam
Ibnu ‘Abbas berkata:
مَنْ قَرَأَ يس حِينَ يُصْبِحُ، أُعْطِيَ يُسْرَ يَوْمِهِ حَتَّى
يُمْسِيَ، وَمَنْ قَرَأَهَا فِي صَدْرِ لَيْلِهِ، أُعْطِيَ يُسْرَ لَيْلَتِهِ
حَتَّى يُصْبِحَ.
“Sesiapa yang membaca
Yasin pada waktu pagi, akan diberi kemudahan bagi harinya sehingga petang.
Sesiapa yang membacanya pada permulaan malam, akan diberi kemudahan pada malam
harinya sehinggalah waktu subuh.”
Takhrij Hadis
Riwayat al-Darimi (3462)
dengan sanad yang hasan.
Pengajaran Hadis
1 - Pembacaan surah Yasin antara
amalan yang amat mujarat bagi mendapat kemudahan urusan kehidupan dan
ditunaikan hajat. Syeikh Abdullah al-Talidi menyebutkan dalam kitab Bidayah
al-Wusul: “Saya mendapati bahawa pembacaan surah Yasin mujarab untuk
dipermudahkan segala kesulitan, dikabulkan hajar dan diringankan bagi orang
yang nazak.”
*Saya masukkan hadis-hadis
yang daif ringan kerana berdasarkan pendapat jumhur (kebanyakan) ulama
sepanjang zaman yang membenarkan pengamalan hadis daif dalam fadhail
al-a'mal (kelebihan amalan).
*Saya telah kemas kini semula penulisan ini dengan beberapa penambahan maklumat pada 5/9/2021. Semoga bermanfaat buat para pembaca.
Baca juga:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan