Sabtu, 5 Februari 2022

Hadis Kelebihan Melawan Pemimpin Zalim Di Akhir Zaman


سَيُصِيبُ أُمَّتِي فِي آخِرِ الزَّمَانِ بَلَاءٌ شَدِيدٌ مِنْ سُلْطَانِهِمْ، لَا يَنْجُو فِيهِ إِلَّا رَجُلٌ عَرَفَ دِينَ اللَّهِ بِلِسَانِهِ وَقَلْبِهِ وَيَدِهِ، فَذَلِكَ الَّذِي سَبَقَتْ لَهُ السَّوَابِقُ.

“Umatku pada akhir zaman akan ditimpa dengan satu bala yang sangat dahsyat daripada para pemerintah mereka. Tiada seorang pun yang akan terlepas melainkan orang yang mendalami agama Allah, lalu dia berusaha melawan bala tersebut dengan lisan dan tangannya. Itulah yang telah dilalui oleh mereka yang terdahulu.”

Ulasan:

Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Nu’aim dalam Tarikh Asbahan (1/112), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (no. 7181) dan al-Dailami dalam al-Firdaus (sebagaimana dalam al-Gharaib al-Multaqathah, no. 1721) daripada jalur perawi:

Salim al-Muradi daripada ‘Amru bin Harim al-Azdi daripada Jabir bin Zaid daripada ‘Umar bin al-Khattab.

Sanad hadis ini daif kerana dua sebab:

Pertama, Salim al-Muradi adalah perawi yang daif.

Kedua, sanadnya terputus antara Jabir bin Zaid dan ‘Umar bin al-Khattab. ‘Umar bin al-Khattab meninggal dunia pada tahun 23 Hijrah manakala Jabir bin Zaid dikatakan meninggal dunia antara tahun 93 Hijrah atau 103 Hijrah atau 104 Hijrah. 

Wujud jarak yang jauh antara keduanya serta tidak ada kitab berkenaan perawi hadis yang menyatakan bahawa Jabir bin Zaid pernah meriwayatkan hadis daripada ‘Umar, sebaliknya hanya disebutkan bahawa dia pernah meriwayatkan hadis daripada anak ‘Umar iaitu Abdullah.

Hadis ini didaifkan oleh al-Hafiz Ibnu Rajab al-Hanbali dalam Jami’ al-‘Ulum Wa al-Hikam. Kata beliau: “Hadis ini gharib dan sanadnya terputus.”

Namun tidak ada masalah untuk menggunakan hadis ini sebagaimana al-Hafiz Ibnu Rajab al-Hanbali juga menggunakan hadis ini ketika mensyarahkan hadis ke-34 daripada Hadis 40 Imam al-Nawawi berkaitan amar makruf dan nahi mungkar.

Hadis ini memberi amaran kepada umat Islam supaya berjaga-jaga dengan musibah yang akan berlaku di akhir zaman disebabkan kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah yang bersikap kejam dan zalim.

Tidak ada yang selamat pada masa tersebut melainkan orang yang berilmu serta tidak gentar untuk mencegah kemungkaran sama ada dengan tanganya iaitu melalui kuasa dan kudratnya serta lidahnya yakni dengan menasihati dan memberi penerangan. Jika kedua-duanya tidak mampu dilakukan, maka dia membenci dan mengingkari perbuatan mungkar itu dengan hatinya.

Hadis ini menunjukkan kelebihan orang yang menghimpunkan antara ilmu, amal serta amar makruf dan nahi mungkar.

Khamis, 3 Februari 2022

Status Hadis: Kelebihan Menghidupkan Malam Pertama Bulan Rejab

 


من أحيا أول ليلة من رجب لم يمت قلبه إذا ماتت القلوب, وصب الله الخير من فوق رأسه صبا, وخرج من ذنوبه كيوم ولدته أمه, ويشفع لسبعين ألفا من أهل الخطايا قد استوجبوا النار.

"Barangsiapa yang menghidupkan malam pertama bulan Rajab maka hatinya tidak akan mati (lalai) di saat hati manusia mati dan Allah akan curahkan kebaikan kepadanya dengan curahan yang banyak dan akan dikeluarkan dosa-dosanya sebagaimana dia baru dilahirkan dari perut ibunya dan dia akan dapat memberi pertolongan kepada 70.000 orang ahli maksiat yang harusnya mereka masuk neraka.”

Ulasan:

Riwayat ini disebutkan oleh al-Khubawi dalam kitab Durrah al-Nasihin (hlm. 31, Dar al-Fikr).

Menurut Dr Ahmad Lutfi Fadlullah dalam tesis kedoktoran beliau yang mentakhrij hadis-hadis kitab Durrah al-Nasihin, Nilai Hadis Dalam Durrat al-Nasihin (hlm. 281), hadis ini tidak dapat dikesan perawinya, termasuk dalam dua kitab khas mengenai hadis-hadis tentang bulan Rejab yang dikarang oleh Ibnu Hajar dan Ali al-Qari.

Al-Hafiz Ibnu Hajar mengarang kitab Tabyin al-'Ajab Bi Ma Warada Fi Fadhail Rajab manakala al-Mulla Ali al-Qari mengarang kitab al-Adab Fi Rajab. Namun riwayat ini tidak ditemukan dalam kedua-dua kitab tersebut. Begitu juga tidak ditemui riwayat ini dalam mana-mana kitab hadis.

Oleh itu, riwayat ini boleh dianggap sebagai palsu dan tidak ada asal baginya. Jadi, ia tidak harus diamalkan dan disebarkan.