Hadis Pertama
Diriwayatkan
daripada ‘Uthman bin ‘Affan, daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam,
baginda bersabda:
خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ
القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ.
“Sebaik-baik
orang di kalangan kamu adalah yang mempelajari al-Quran dan yang
mengajarkannya.”
Riwayat
al-Bukhari (no. 5027).
Pengajaran
Hadis
1 - Dorongan
untuk mempelajari al-Quran, mentadabur dan merenung isi kandungannya seperti hukum-hakam, akidah, pengajaran kisah umat terdahulu serta suruhan dan larangan
Allah Ta’ala. Semua itu adalah sebab untuk mencapai kejayaan di dunia dan
akhirat.
2 - Seorang
alim berkewajipan menyebarkan ilmunya setelah mempelajarinya. Setiap usaha
belajar dan mengajar itu ada pahala khusus baginya. Sesempurna ganjaran itu
adalah dengan mempelajari al-Quran lalu mengajarkannya.
3 -
Kemuliaan dan tingginya darjat orang yang mempelajari al-Quran.
4 - Seorang
pembaca al-Quran yang mempelajarinya tanpa guru tidak mampu untuk memperelokkan
bacaannya. Oleh itu seorang pembaca al-Quran memerlukan guru yang berkeahlian
untuk membimbingnya bagi membaca al-Quran dengan baik dan memahami
kandungannya.
5 - Berusaha untuk mengajarkan al-Quran, sekurang-kurangnya kepada anak-anak. Mudah-mudahan apabila mereka membaca al-Quran kita akan turut sama mendapat saham pahala.
Hadis Kedua
Diriwayatkan
daripada Abu Umamah, beliau berkata: Aku mendengar Nabi sallahu ‘alaihi
wasallam bersabda:
اقْرَؤُا القُرْآنَ فإِنَّهُ
يَأْتي يَوْم القيامةِ شَفِيعاً لأصْحابِهِ.
“Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya al-Quran akan datang pada
hari kiamat untuk memberi pertolongan kepada pembacanya.”
Riwayat Muslim (no. 804).
Pengajaran
Hadis
1 - Galakan untuk membaca al-Quran kerana pada hari
kiamat al-Quran akan memohon keampunan bagi orang yang selalu membacanya dan
mengikut petunjuknya.
2 - Sebahagian ulama berpendapat al-Quran akan
dirupakan dengan bentuk yang dapat dilihat oleh manusia sebagaimana amalan
manusia juga akan diberi bentuk dan berat untuk diletakkan di atas timbangan
(mizan). Sebahagian ulama tidak mahu memperincikan bagaimana al-Quran akan
memohon pertolongan bagi manusia dan menyerahkannya kepada Allah.
3 - Kelebihan ini adalah untuk orang yang beramal
dengan al-Quran. Adapun orang yang tidak beramal dengan al-Quran maka al-Quran
akan menjadi musuhnya pada hari kiamat.
Hadis Ketiga
Diriwayatkan
daripada al-Nawwas bin Sam’an, beliau berkata: Aku mendengar Nabi sallahu
‘alaihi wasallam bersabda:
يُؤْتى يوْمَ القِيامةِ
بالْقُرْآنِ وَأَهْلِهِ الذِين كانُوا يعْمَلُونَ بِهِ في الدُّنيَا تَقدُمهُ
سورَةُ البقَرَةِ وَآل عِمرَانَ، تحَاجَّانِ عَنْ صاحِبِهِمَا.
“Al-Quran akan didatangkan pada hari kiamat bersama ahli
al-Quran yang mengamalkannya sewaktu di dunia. Surah al-Baqarah dan Ali Imran
akan maju untuk mempertahankan pembaca kedua surah tersebut.”
Riwayat Muslim (no. 805).
Pengajaran
Hadis
1 - Kelebihan orang yang sentiasa melazimi bacaan
al-Quran. Al-Quran akan mempertahankan pembacanya dan orang yang beramal
dengannya.
2 - Kelebihan surah al-Baqarah dan Ali Imran. Keduanya
akan mendahului untuk mempertahankan pembacanya.
3 - Ahli al-Quran adalah orang yang mengamalkan
al-Quran dan selalu membacanya sama ada melalui hafalan atau mushaf. Ahli
al-Quran juga akan membenarkan segala pengkhabaran yang terkandunga dalam
al-Quran, melaksanakan arahan dan hukum hakamnya, menjauhi larangannya dan
mengagungkan kedudukannya.
Hadis Keempat
Diriwayatkan
daripada Aisyah, beliau berkata: Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
الَّذِي يَقرَأُ القُرْآنَ
وَهُو ماهِرٌ بِهِ معَ السَّفَرةِ الكرَامِ البررَةِ، وَالَّذِي يقرَأُ القُرْآنَ
ويتَتَعْتَعُ فِيهِ وَهُو عليهِ شَاقٌّ لَهُ أجْران.
“Orang yang mahir membaca al-Quran akan bersama dengan para
malaikat utusan yang mulia lagi taat. Manakala orang yang membaca al-Quran
dalam keadaan tergagap-gagap dan kepayahan akan mendapat dua pahala.”
Riwayat al-Bukhari (no. 4937) dan Muslim (no. 798).
Keterangan
Hadis
1 - Orang yang mahir membaca al-Quran adalah orang
yang elok bacaannya dan menetapi hukum hakam tajwid.
2 - Para malaikat utusan adalah malaikat yang
diutuskan kepada para rasul untuk membawa wahyu dari Allah atau mereka adalah
malaikat pencatat amalan manusia kerana mereka adalah utusan di antara Allah
dengan makhlukNya.
3 - Malaikat disifatkan dengan sifat mulia lagi taat
kerana mereka suci daripada dosa maksiat dan sentiasa mentaati perintah Allah.
Pengajaran
Hadis
1 - Kelebihan orang yang gigih membaca dan mempelajari
al-Quran sehingga dia mahir dan dapat memperelokkan bacaan al-Quran. Mereka
akan berada di martabat para malaikat di akhirat kelak.
2 - Galakan bagi orang yang berasa payah membaca
al-Quran untuk dia terus berusaha membaca al-Quran. Dia akan mendapat dua
pahala, iaitu pahala membaca al-Quran dan pahala kesukaran yang dia hadapi
ketika membaca al-Quran.
3 - Hadis ini tidaklah bermaksud orang yang sukar
membaca al-Quran itu mendapat pahala lebih banyak daripada orang yang mahir
membaca al-Quran.
Bahkan kedudukan orang yang mahir membaca al-Quran itu
lebih tinggi dan lebih banyak pahalanya kerana dia akan bersama dengan para
malaikat.
Orang yang mahir itu juga dahulunya sukar untuk
membaca al-Quran namun dia tidak putus asa untuk berusaha sehinggalah dia mahir
dan menguasai bacaan al-Quran lalu dia dapat menghafal dan membanyakkan
bacaannya. Sudah tentu pahalanya lebih banyak dan lebih tinggi martabatnya.
Begitulah yang dijelaskan para ulama seperti Imam al-Qurtubi dan al-Qadhi
‘Iyadh.
Hadis Kelima
Diriwayatkan
daripada Umar bin al-Khattab bahawasanya Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam
bersabda:
إِنَّ اللهَ يَرْفَعُ
بِهَذَا الْكِتَابِ أَقْوَامًا، وَيَضَعُ بِهِ آخَرِينَ.
“Sesungguhnya Allah memuliakan sekumpulan manusia dengan sebab
kitab ini dan merendahkan sekumpulan yang lain dengan sebabnya juga.”
Pengajaran
Hadis
1 - Orang yang beriman, membaca, beramal dan
mengagungkan kedudukan al-Quran akan dikurniakan darjat dan kemuliaan yang
tinggi oleh Allah di dunia dan di akhirat.
2 - Orang yang ingkar, berpaling dan mengabaikan
suruhan dan larangan al-Quran akan dihinakan oleh Allah di dunia dan di
akhirat.
3 - Ilmu itu akan meninggikan martabat pemiliknya di
dunia mahupun di akhirat dan tidak ada suatu yang lain pun daripada harta,
nasab keturunan dan pangkat yang dapat melakukan sedemikian.
4 - Kemulian umat Islam adalah dengan berpegang teguh
dengan agamanya dan menunaikan perintah kitabnya. Jika umat Islam melaksanakan
tugasnya itu nescaya mereka akan lebih mulia daripada umat-umat yang lain.
Hadis Keenam
Diriwayatkan
daripada Abu Musa al-Asy’ari, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi
wasallam bersabda:
مثَلُ المؤمنِ الَّذِي
يقْرَأُ القرآنَ مثلُ الأُتْرُجَّةِ: ريحهَا طَيِّبٌ وطَعمُهَا حلْوٌ، ومثَلُ
المؤمنِ الَّذي لاَ يَقْرَأُ القُرْآنَ كَمثَلِ التَّمرةِ: لاَ رِيح لهَا
وطعْمُهَا حلْوٌ، ومثَلُ المُنَافِق الَّذِي يَقْرَأُ القرْآنَ كَمثَلِ
الرِّيحانَةِ: رِيحها طَيّبٌ وطَعْمُهَا مرُّ، ومَثَلُ المُنَافِقِ الَّذِي لاَ
يَقْرَأُ القرآنَ كَمَثلِ الحَنْظَلَةِ: لَيْسَ لَها رِيحٌ وَطَعمُهَا مُرٌّ.
“Orang beriman yang selalu membaca al-Quran itu ibarat
buah utrujjah (citron). Baunya wangi dan rasanya manis. Orang beriman yang jarang
membaca al-Quran pula ibarat buah kurma. Tidak ada bau baginya dan rasanya
manis. Orang munafik yang selalu membaca al-Quran pula seperti raihanah (basil).
Baunya wangi namun rasanya pahit. Orang munafik yang jarang membaca al-Quran
umpama buah hanzalah (colocynth). Tidak ada bau baginya dan rasanya pahit.”
Riwayat
al-Bukhari (no. 5427) dan Muslim (no. 797).
Pengajaran
Hadis
1 - Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam
mengumpamakan keimanan itu dengan rasa dan perbuatan membaca al-Quran itu
dengan bau kerana iman itu boleh ada pada orang beriman tanpa membaca al-Quran
sebagaimana rasa itu boleh ada pada suatu benda tanpa ada baunya. Kadang-kadang
baunya itu hilang namun rasanya masih ada.
Iman itu ibarat rasa manis yang tersembunyi dan tidak
dapat dicapai oleh semua orang melainkan orang yang merasanya. Al-Quran itu
pula ibarat bau wangi yang zahir dan dapat memberi manfaat kepada setiap orang
yang mendengarnya.
2 - Maksud membaca al-Quran dalam hadis ini bukanlah
semata-mata perbuatan membaca al-Quran melainkan mesti disertakan dengan
beramal dengannya.
3 - Hadis ini menunjukkan boleh membuat perumpamaan
untuk memudahkan kefahaman.
4 - Orang
munafik dan fasik itu sekiranya mereka membaca al-Quran mereka tidak akan
mendapat manfaat daripadanya kerana tidak mahu beramal dengannya. Tujuan mereka
membaca al-Quran itu bukan untuk mengambil manfaat dan mendekatkan diri kepada
Allah.
Hadis Ketujuh
Diriwayatkan
daripada Ibnu Umar daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, baginda
bersabda:
لا حَسَدَ إلاُّ في
اثنَتَيْن: رجُلٌ آتَاهُ اللَّه القُرآنَ، فهوَ يقومُ بِهِ آناءَ اللَّيلِ وآنَاءَ
النَّهَارِ، وَرجُلٌ آتَاهُ اللَّه مَالاً، فهُو يُنْفِقهُ آنَاءَ اللَّيْلِ
وَآنَاءَ النهارِ.
“Tidak boleh berhasad dengki melainkan dalam dua keadaan:
Seseorang yang Allah telah berikan kepadanya al-Quran maka dia membacanya siang
dan malam dan seseorang yang telah Allah berikan kepadanya harta lalu dia
menginfakkannya siang dan malam.”
Riwayat al-Bukhari (no. 7529) dan Muslim (no. 815).
Keterangan
Hadis
1 - Maksud hasad dengki dalam hadis ini ialah
hasad dengki dari sudut positif atau dipanggil al-ghibtoh (الغبطة) dalam bahasa Arab. Ia bermaksud
keinginan untuk mendapatkan nikmat dan kelebihan yang sama seperti orang lain
tanpa disertai rasa ingin melihat nikmat itu ditarik daripada orang tersebut.
2 - Maksud seseorang yang Allah telah berikan
kepadanya al-Quran iaitu Allah telah berikan kepadanya kebolehan untuk membaca,
menghafal dan memahami al-Quran.
Pengajaran
Hadis:
1 - Hasad
dengki adalah penyakit hati yang sangat berbahaya. Oleh itu perlu untuk
menjauhinya dan mempelajari cara merawat hati daripadanya.
2 - Berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan adalah digalakan dalam Islam.
3 - Berusaha untuk mempelajari al-Quran agar
dapat membacanya siang dan malam.
4 - Kelebihan orang kaya yang tidak kedekut
untuk membelanjakan hartanya pada perkara kebaikan.
Hadis Kelapan
Diriwayatkan
daripada al-Bara’, beliau berkata:
كَانَ رَجلٌ يَقْرَأُ سورةَ
الكَهْفِ، وَعِنْدَه فَرسٌ مَربوطٌ بِشَطَنَيْنِ فَتَغَشَّته سَحَابَةٌ فَجَعَلَت
تَدنو، وجعلَ فَرسُه ينْفِر مِنها. فَلَمَّا أَصبح أَتَى النَّبِيَّ صَلّى اللهُ
عَلَيْهِ وسَلَّم. فَذَكَرَ له ذلكَ فَقَالَ: "تِلكَ السَّكِينَةُ تَنَزَّلتْ
للقُرآنِ.
“Seorang
lelaki membaca surat al-Kahfi. Di sisinya terdapat seekor kuda yang terikat
dengan dua tali. Lalu datang awan/kabus yang menaunginya. Awan/kabus
itu mendekat dan semakin mendekat sehingga membuatkan kudanya lari. Apabila
tiba waktu pagi, lelaki itu pun datang bertemu Nabi sallahu ‘alaihi wasallam
dan menceritakan kejadian itu. Maka Nabi SAW pun bersabda: "Itu adalah
al-Sakinah yang turun kerana (bacaan) al-Qur'an"
Riwayat
al-Bukhari (no. 5011) dan Muslim (no. 795)
Keterangan
Hadis
1 –
Maksud al-Sakinah dari segi terjemahan literalnya adalah
ketenangan, kedamaian dan ketenteraman. Namun tafsiran al-Sakinah bagi
hadis ini menjadi perbezaan ulama yang menafsirkannya dengan banyak tafsiran.
Menurut
Imam al-Nawawi, pendapat yang terpilih bagi tafsiran al-Sakinah adalah
ia merupakan sesuatu daripada makhluk Allah yang padanya ada ketenangan dan
bersamanya juga ada para malaikat.
Imam
al-Qurtubi berpendapat bahawa al-Sakinah ini adalah nama bagi
malaikat dan dinamakan sebagai sakinah kerana sifat mereka
yang tenang dan tenteram kerana menghormati pembacaan al-Quran. Syeikh
Muhammad Ali Adam al-Ityubi juga bersetuju bahawa al-Sakinah itu
merujuk kepada malaikat.
Pengajaran
Hadis
1
– Hadis ini menunjukkan kelebihan membaca al-Quran. Malaikat akan turut hadir
untuk mendengar bacaan al-Quran dan kehadiran mereka akan membuat hati merasa
tenang dan dilimpahi rahmat Allah.
2
– Galakan untuk mendengar bacaan al-Quran orang lain sebagimana yang dilakukan
oleh para malaikat.
3
– Hadis ini juga membuktikan bahawa manusia selain nabi dan rasul juga mungkin
dapat melihat malaikat. Begitu juga haiwan dapat melihat malaikat.
4
– Imam al-Bukhari meletakkan hadis ini di bawah bab kelebihan surah al-Kahfi.
Ini menunjukkan bahawa pembaca surah al-Kahfi akan dihadiri oleh malaikat yang
akan membuatkannya rasa tenang dan dilimpahi rahmat Allah.
Namun
menurut pendapat ulama lain, kelebihan tersebut tidaklah khusus kepada
pembacaan surah al-Kahfi semata-mata bahkan pembacaan al-Quran secara umumnya.
Oleh itu pembacaan mana-mana surah sekalipun akan mendapat kelebihan tersebut.
Hadis Kesembilan
Diriwayatkan
daripada Ibnu Mas’ud, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam
bersabda:
منْ قرأَ حرْفاً مِنْ
كِتَابِ اللَّهِ فلَهُ حسنَةٌ، والحسنَةُ بِعشرِ أَمثَالِهَا لاَ أَقول: ألم
حَرفٌ، وَلكِن: أَلِفٌ حرْفٌ، ولامٌ حرْفٌ، ومِيَمٌ حرْفٌ.
“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah maka
baginya satu pahala dan pahala itu digandakan pula menjadi sepuluh pahala. Aku
tidak katakan alif lam min itu satu huruf tapi alif itu satu huruf, lam itu
satu huruf dan mim itu satu huruf.”
Riwayat al-Tirmizi (no. 2910). Al-Tirmizi berkata: “Hadis ini hasan
sahih gharib.” Al-Hafiz al-Suyuti mensahihkan hadis ini dalam kitab Mathla’
al-Badrain Fi Man Yu’ta Ajruhu Marratain (ms. 54). Syeikh Abdullah
al-Talidi turut mensahihkan hadis ini dalam Ithaf al-Muslim Bi Zawaid
al-Tirmizi ‘Ala al-Bukhari Wa Muslim (ms. 40).
Pengajaran
Hadis
1 - Keluasan rahmat
dan kemurahan Allah yang menggandakan pahala bagi amal ibadat yang dilakukan
oleh hamba-hambaNya.
2 - Galakan untuk
memperbanyakan amal kebajikan dan bacaan al-Quran.
3 - Rasulullah ingin menjelaskan
makna huruf dan membezakan antara huruf dan kalimah.
4 - Pahala bacaan
al-Quran itu diberi bedasarkan kiraan huruf.
Hadis Kesepuluh
Diriwayatkan
daripada Ibnu ‘Abbas beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam
bersabda:
إنَّ الَّذي لَيس في
جَوْفِهِ شَيْءٌ مِنَ القُرآنِ كالبيتِ الخَرِبِ.
“Sesuangguhnya orang yang tidak ada sedikit pun daripada
al-Quran di dalam hatinya ibarat rumah yang kosong.”
Riwayat al-Tirmizi (no. 2913). Al-Tirmizi berkata: “Hadis ini hasan
sahih.”
Pengajaran Hadis:
1 - Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam
mengumpamakan hati orang yang langsung tidak menghafal al-Quran dengan rumah
yang kosong daripada kebaikan, keindahan, penghuni dan perhiasan. Ini kerana
al-Quran itulah yang menghidupkan dan menghiasi hati manusia.
2 - Hadis ini terdapat galakan untuk gigi menghafal
al-Quran kerana hati penghafal al-Quran itu akan dipenuhi keimanan dan
kebaikan.
Hadis Kesebelas
Diriwayatkan
daripada Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As daripada Nabi sallahu ‘alihi wasallam,
baginda bersabda:
يُقَالُ لِصاحبِ الْقُرَآنِ:
اقْرأْ وَارْتَقِ وَرَتِّلْ كَما كُنْتَ تُرَتِّلُ في الدُّنْيَا، فَإنَّ
منْزِلَتَكَ عِنْد آخِرِ آيةٍ تَقْرَؤُهَا.
“Akan dikatakan kepada ahli al-Quran (sewaktu hendak masuk ke
syurga): Bacalah dan naiklah (tangga syurga). Bacalah dengan tartil (perlahan-lahan)
sebagaimana kamu membacanya dengan tartil sewaktu di dunia. Sesungguhnya
kedudukanmu (di syurga) adalah
berdasarkan ayat terakhir yang kamu baca.”
Riwayat Abu Daud (no. 1464) dan al-Tirmizi (no. 2914).
Al-Tirmizi berkata: “Hadis ini hasan sahih.”
Pengajaran Hadis:
1 - Ahli al-Quran adalah orang yang menghafal
al-Quran, selalu membacanya dan mengamalkan ajarannya.
2 - Kedudukan ahli al-Quran di syurga adalah
berdasarkan kadar al-Quran yang dia baca dan hafal.
3 - Galakan untuk membaca dan menghafal banyak ayat
al-Quran agar mendapat kedudukan yang tinggi di syurga.
4 - Tujuan membaca al-Quran di syurga adalah untuk
bersedap-sedap dan berseronok-seronok bukan kerana taklif (tanggung
jawab melakukan ibadat) kerana sudah tidak perlu beramal di syurga.