Jumaat, 6 Februari 2026

Imam al-Tirmizi - Pengarang al-Jami' dan al-Syama'il

Tirmiz, Uzbekistan

Nama dan Nasabnya

Beliau ialah al-Imam al-Hafiz al-Naqid (pakar hadis) yang terulung dalam ilmu 'ilal al-hadith dan fiqhnya, Muhammad bin Isa bin Saurah bin Musa bin al-Dahhak, Abu Isa al-Sulami, al-Bughi, al-Tirmizi, al-Dharir (yang buta), pengarang kitab-kitab yang bermanfaat dalam ilmu hadis.

Inilah yang masyhur mengenai namanya, dan beginilah nasabnya disebut dalam kebanyakan riwayat. Begitulah juga beliau dinamakan dan dinasabkan oleh muridnya, Abu al-Abbas Muhammad bin Ahmad al-Mahbubi yang merupakan perawi al-Jami' yang paling masyhur daripada beliau, dan al-Hafiz al-Is'ardi dalam Fadha'il al-Kitab al-Jami', dan al-Hafiz Ghunjar Muhammad bin Ahmad dalam Tarikh Bukhara, dan al-Hafiz Ibn al-Athir dalam Jami' al-Usul.

Dikatakan juga namanya ialah: Muhammad bin Isa bin Yazid bin Saurah bin al-Sakan, sebagaimana yang disebutkan oleh al-Mizzi dalam Tahzib al-Kamal, al-Zahabi dalam Siyar A’lam al-Nubala’ dan Ibnu Hajar dalam Tahzib al-Tahzib.

Dan dikatakan: Muhammad bin Isa bin Saurah bin Syaddad, sebagaimana yang disebutkan oleh al-Sam’ani dalam al-Ansab.

Saurah ialah nama datuk al-Tirmizi.

Al-Sulami ialah nisbah kepada Bani Sulaim, satu kabilah daripada ‘Ailan.

Al-Bughi ialah nisbah kepada Bugh, iaitu sebuah kampung di Tirmiz.

Al-Tirmizi ialah nisbah kepada Tirmiz, iaitu sebuah kota lama di tebing Sungai Balkh yang disebut sebagai Jaihun yang pada masa kini terletak di negara Uzbekistan.

Orang ramai berbeza pendapat tentang cara sebutan nisbah ini. Sebahagian mereka menyebutnya dengan baris atas  pada huruf Ta' (al-Tarmizi), sebahagian lagi menyebutnya dengan baris hadapan (al-Turmizi), dan sebahagian yang lain menyebutnya dengan baris bawah (al-Tirmizi).

Yang lazim di lidah penduduk negeri tersebut ialah dengan baris atas pada huruf Ta' dan baris bawah pada huruf Mim (al-Tarmizi). Yang masyhur pada zaman dahulu ialah dengan baris bawah pada kedua-dua huruf Ta' dan Mim (al-Tirmizi). Manakala sebutan oleh golongan yang berhati-hati dan ahli makrifah ialah dengan baris hadapan pada kedua-dua huruf Ta' dan Mim (al-Turmuzi). Setiap orang mempunyai alasan bagi dakwaannya.

Al-Zahabi berkata: “Abu al-Fath al-Qusyairi (Ibn Daqiq al-‘Id) berkata: Tirmiz, dengan baris bawah, dan ia adalah sebutan yang tersebar luas di bibir orang ramai sehingga seakan-akan mutawatir. Al-Mu’taman al-Saji berkata: Aku mendengar Abdullah bin Muhammad al-Ansari (Abu Ismail al-Harawi) berkata: Ia disebut dengan baris hadapan pada huruf Ta' (al-Turmizi). Al-Hafiz Abu al-Fath al-Ya'muri (Ibn Sayyid al-Nas) menukilkan bahawa ia juga disebut: Tarmiz, dengan baris atas (al-Tarmizi).”

Tirmiz masuk ke dalam wilayah di bawah penguasaan Islam pada tahun 70H apabila dibuka oleh Musa bin Abdullah bin Khazim al-Sulami. Sebelum itu, penduduk kota ini menganut agama Buddha di mana terdapat 12 buah kuil yang didirikan di dalamnya, yang dikhidmati oleh sekitar seribu orang sami. Angka-angka ini menunjukkan ia sebuah kota yang besar, dan ia mengekalkan keagungannya pada zaman al-Tirmizi dan selepasnya.

Al-Maqdisi telah menyifatkan Tirmiz sebagai sebuah kota yang mempunyai dua lapis tembok, tiga buah pintu gerbang, dan ia adalah kota yang kukuh dan sukar ditembusi. Masjid Jameknya diperbuat daripada bata merah dan terletak di pasar-pasar kota itu. Pasar-pasar dan jalan-jalannya pula dilapisi dengan bata yang dibakar. Ia merupakan pelabuhan persinggahan bagi perdagangan yang dibawa dari utara ke Khurasan. Tidak syak lagi bahawa sifat-sifat ini menggambarkan kekayaan kota tersebut dan kesinambungan kemakmurannya sebelum dan sesudah pembukaan Islam.

Tirmiz telah melahirkan sejumlah ulama dan ahli hadis, antaranya:

1 - Ahmad bin al-Hasan bin Junaidib, yang masyhur dengan gelaran al-Tirmizi al-Kabir, meninggal dunia pada tahun dua ratus empat puluhan Hijrah.

2 - Abu Abdullah Muhammad bin Ali bin al-Husain yang dikenali sebagai al-Hakim al-Tirmizi, pengarang beberapa buah kitab, meninggal dunia sekitar tahun 320H.

3 - Muhammad bin Ahmad bin Nasr al-Tirmizi, seorang faqih bermazhab Syafie, meninggal dunia pada tahun (295H).

4 - Muhammad bin Ismail al-Tirmizi al-Sulami, seorang ahli hadis yang masyhur, meninggal dunia pada tahun 280H, dan lain-lain.

Namun, sumbangan besar yang diberikan oleh Tirmiz kepada hadis Nabi dan ilmu-ilmunya terjelma dalam usaha al-Hafiz Abu Isa Muhammad bin Isa al-Tirmizi.

Kelahirannya

Para ahli sejarah tidak menyatakan tahun kelahirannya secara tepat, sebaliknya mereka hanya menganggarkannya dalam dekad pertama kurun ketiga.

Al-Zahabi berkata dalam al-Siyar: “Beliau dilahirkan sekitar tahun 210 H.”

Al-Zahabi berkata dalam Tarikh al-Islam: “Beliau dilahirkan pada tahun dua ratus puluhan.”

Ibn al-Athir secara pasti menyebutkan dalam Jami' al-Usul bahawa beliau dilahirkan pada tahun 209 H.

Apa pun keadaannya, tarikh-tarikh ini adalah saling berdekatan.

Dikatakan bahawa beliau dilahirkan dalam keadaan buta, dan ini adalah satu kesilapan. Sesungguhnya, kesimpulan yang dicapai oleh para imam dan pakar hadis (huffaz) yang mahir ialah bahawa beliau dilahirkan dalam keadaan dapat melihat, kemudian menjadi buta pada akhir usianya.

Al-Zahabi berkata: “Terdapat perselisihan pendapat tentangnya, maka dikatakan: beliau dilahirkan buta, dan yang sahih ialah beliau menjadi buta pada usia tuanya selepas mengembara dan penulisan ilmunya.”

Ibn Kathir berkata: “Apa yang jelas daripada keadaan al-Tirmizi ialah bahawa kebutaan itu hanya menimpa beliau selepas beliau mengembara, mendengar (hadis), menulis, bermuzakarah, berdebat dan mengarang.”

Al-Hakim berkata: “Aku mendengar Umar bin 'Allak berkata: Al-Bukhari meninggal dunia, dan beliau tidak meninggalkan di Khurasan orang yang seumpama Abu Isa dari segi ilmu, hafalan, kewarakan dan kezuhudan. Beliau menangis sehingga menjadi buta, dan kekal buta selama bertahun-tahun.”

Al-Hafiz Ibn Hajar telah menukilkan dalam Tahzib al-Tahzib satu riwayat daripada al-Idrisi dengan sanadnya bahawa Abu Isa (al-Tirmizi) berkata: “Aku sedang dalam perjalanan ke Mekah, dan aku telah menulis dua juzuk hadis daripada seorang syeikh.

Lalu syeikh itu melalui tempat kami, maka aku bertanya tentangnya (kepada orang ramai), lalu mereka berkata: Si fulan.

Maka aku pun pergi kepadanya sedangkan aku menyangka kedua-dua juzuk itu ada bersamaku, padahal yang aku bawa dalam bawaanku hanyalah dua juzuk lain yang serupa dengannya.

Apabila aku berjaya menemuinya, aku meminta untuk mendengar (hadis) daripadanya, maka dia bersetuju dan mula membaca daripada hafalannya. Kemudian dia terpandang lalu melihat helaian-helaian kosong di tanganku, lalu berkata: Tidakkah engkau malu kepadaku?

Lalu aku menceritakan kisah yang sebenar kepadanya, dan aku berkata kepadanya: Sesungguhnya aku menghafal kesemuanya.

Dia berkata: Bacalah.

Lalu aku membacanya kepadanya secara berterusan.

Dia bertanya: Adakah engkau telah menghafalnya sebelum kita bertemu?

Aku menjawab: Tidak.

Kemudian aku berkata kepadanya: Sampaikanlah kepadaku hadis yang lain.

Lalu dia membacakan kepadaku empat puluh hadis daripada hadis-hadisnya yang jarang didengar.

Kemudian dia berkata: Mari (bacakan).

Lalu aku membacanya kepadanya dari awal hingga akhir.

Dia berkata: Aku tidak pernah melihat orang sepertimu.”

Kemudian al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan daripada al-Hafiz Yusuf bin Ahmad al-Baghdadi yang berkata: “Abu Isa al-Tirmizi menjadi buta pada akhir usianya.”

Kemudian al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Kata-kata ini, bersama dengan kisah yang telah disebutkan tadi daripada al-Tirmizi, menolak dakwaan orang yang mendakwa bahawa beliau dilahirkan buta. Dan Allah Ta'ala Maha Mengetahui.”

Zamannya

Zaman di mana Imam al-Tirmizi hidup dianggap sebagai salah satu zaman yang paling subur bagi pembukuan hadis, dan zaman yang paling gemilang dalam berkhidmat kepada Sunnah Nabi yang suci.

Pada zaman itu, muncullah para ahli hadis dan huffaz terkemuka, para pengarang ulung dan para pengkritik (nuqqad) yang mahir. Pada zaman itu juga, ilmu hadis tersebar luas di serata negeri Islam, dan kembara para ulama untuk menerimanya daripada para syeikh dan huffaz menjadi semakin banyak.

Pada zaman itu, Sunnah Nabi yang mulia dibukukan dalam karya-karya agung, yang paling masyhur antaranya ialah: Musnad al-Imam Ahmad, al-Jami‘ al-Sahih oleh al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Sa‘id bin Mansur, al-Musannaf oleh Ibn Abi Syaibah, Musnad al-Humaydi, Sunan al-Darimi, Sunan Abi Daud, dan Jami‘ al-Imam al-Tirmizi.

 Maka, seolah-olah zaman itu merupakan kemuncak segala zaman dalam usaha mendapatkan ilmu yang mulia ini. Alangkah indahnya apa yang dikatakan oleh al-Zahabi ketika beliau berkata: “Sesungguhnya, pada zaman ini dan zaman yang hampir dengannya, terdapat sejumlah besar imam Hadis Nabi, dan kami tidak menyebutkan walau sepersepuluh daripada mereka di sini, dan kebanyakannya disebut dalam kitab Tarikhku. Begitu juga, pada waktu ini terdapat sejumlah besar tokoh daripada kalangan imam Ahl al-Ra'y dan Furu', dan sebilangan tokoh-tokoh besar Mu'tazilah dan Syiah serta ahli Kalam yang mengikuti (aliran) akal.”

Peta Pengembaraan Imam al-Tirmizi

Menuntut Ilmu dan Pengembaraannya

Al-Tirmizi tidak hanya membataskan diri untuk menuntut ilmu daripada para syeikh di Tirmiz, baik dari kalangan penduduknya mahupun mereka yang datang ke sana, malah beliau turut mengembara untuk menuntut ilmu mengikut kebiasaan para penuntut ilmu yang terkemuka pada zamannya.

Al-Hafiz al-Mizzi telah menyebutkan bahawa pengembaraannya adalah selepas tahun 240H. Kembara beliau adalah ke kota-kota Khurasan yang lain iaitu beliau telah memasuki Bukhara dan Marw, serta Rayy, kemudian Iraq di mana beliau memasuki Basrah, Wasit, Kufah dan Baghdad, dan seterusnya Hijaz.

Syeikh Ahmad Syakir dalam mukadimah beliau bagi Jami‘ al-Tirmizi telah menolak kemungkinan beliau memasuki Baghdad. Syeikh Ahmad Syakir memberikan alasan bahawa sekiranya beliau memasukinya, nescaya beliau akan mendengar hadis daripada penghulu dan pemimpin para ahli hadis iaitu Imam Ahmad bin Muhammad bin Hanbal (m. 241H), dan nescaya al-Hafiz Abu Bakar al-Khatib akan menuliskan biografinya dalam Tarikh Baghdad. Pendapat ini turut disokong oleh Dr. Nuruddin ‘Itr, dan Dr. Muhammad Habibullah Mukhtar.

Akan tetapi, pendapat yang benar ialah al-Tirmizi telah memasuki Baghdad seperti yang dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Nuqtah al-Baghdadi dalam kitabnya al-Taqyid. Beliau menyebutkan bahawa al-Tirmizi telah mendengar hadis di Baghdad daripada empat orang syeikh dari Baghdad, iaitu: Al-Hasan bin al-Sabbah (m. 249H), Ahmad bin Hayyan bin Maimun (hidup sekitar tahun 259H), Ahmad bin Mani‘ (m. 244H), dan Muhammad bin Ishaq al-Saghani (m. 270H).

Al-Tirmizi telah meriwayatkan daripada 38 orang syeikh dari Baghdad atau penduduknya, dan yang paling awal meninggal dunia di antara mereka ialah empat orang yang meninggal dunia pada tahun 243H. Setiap orang dari kalangan penduduk Baghdad yang meninggal dunia pada tahun 241H atau sebelumnya, maka al-Tirmizi meriwayatkan daripada mereka melalui perantara, dan bilangan mereka adalah seramai 8 orang.

Beliau tidak meriwayatkan daripada Imam Ahmad yang meninggal dunia pada tahun 241H walaupun orang sepertinya sudah tentu akan bersemangat untuk bersegera menemuinya dan mengambil ilmu daripadanya. Ini menunjukkan bahawa al-Tirmizi memasuki Baghdad selepas Imam Ahmad meninggal dunia, iaitu pada tahun 243H atau sebelumnya, kerana beliau meriwayatkan daripada 4 orang dari kalangan penduduk Baghdad yang meninggal dunia pada tahun ini. Maka, pastilah beliau memasukinya antara tahun 241-243H.

Adapun ketiadaan biografi al-Tirmizi dalam Tarikh Baghdad karya al-Khatib, kemungkinan yang paling kuat - seperti yang disebut oleh Dr. Akram al-Umari - ialah al-Khatib telah menulis biografinya tetapi ia telah gugur daripada cetakan yang ada sekarang, sebagaimana gugurnya banyak biografi lain. Begitu juga, telah dibuat penambahan  ke atas al-Khatib ini sejumlah besar biografi tokoh yang memenuhi syaratnya. Maka, ketiadaan biografi al-Tirmizi dalam Tarikh Baghdad tidak boleh dijadikan dalil bahawa al-Tirmizi tidak memasuki Baghdad, dan ini disokong oleh pertimbangan akal, kerana tidak munasabah al-Tirmizi akan menghampiri Kufah dan Wasit tetapi meninggalkan Baghdad yang begitu masyhur dan gemilang dalam bidang hadis pada kurun ketiga Hijrah.

Di samping itu, Imam al-Zahabi telah menyatakan bahawa al-Tirmizi tidak mengembara ke Mesir dan Syam. Sekiranya beliau tidak memasuki Baghdad, nescaya al-Zahabi akan menyatakannya dalam senarai pengecualiannya.

Al-Tirmizi telah menghabiskan banyak waktu dalam pengembaraannya, menerima ilmu daripada para ulama, dan menulis hadis. Kelihatan bahawa beliau telah kembali ke negerinya Khurasan sebelum tahun 250H, di mana beliau terus menyebarkan ilmu, dan mula berdebat serta berbincang dengan para imam besar, terutamanya Imam al-Bukhari. Kemudian, beliau mengarang kitabnya, al-Jami' dan seluruh karya-karyanya yang agung, dan beliau menjadi seperti yang dikatakan oleh al-Sam'ani: “Imam zamannya tanpa dapat dipertikaikan, pengarang beberapa buah kitab.”

Guru-gurunya

Guru-gurunya dalam Riwayat Hadis

Imam al-Tirmizi meriwayatkan daripada sekumpulan imam, dan beliau mempunyai ramai guru kerana pengembaraannya yang panjang dan kepelbagaian tempat yang beliau lawati. Namun begitu, dalam al-Jami', beliau lebih banyak meriwayatkan daripada sebahagian guru, dan lebih sedikit meriwayatkan daripada yang lain - walaupun mereka adalah para imam yang agung lagi masyhur - atas pertimbangan dan ukuran yang diketahui oleh ahli bidang ini, seperti pendeknya sanad, dan keazaman yang tinggi untuk meriwayatkan hadis yang sudah dikeluarkan dalam kitab-kitab yang telah pun disusun sebelum itu, kerana kebiasaannya ia selamat daripada 'illah (kecacatan) yang mencemarkan kesahihan hadis, dan tujuan-tujuan yang lain.

Bilangan guru-gurunya dalam al-Jami' telah mencecah 208 orang. Melalui penelitian, didapati bahawa guru-guru yang menjadi sandaran utama beliau dan beliau banyak meriwayatkan daripada mereka adalah seramai 9 orang guru. Setiap seorang daripada mereka adalah seorang hafiz, thiqah (dipercayai), thabat (mantap), seorang imam yang diakui keunggulannya dan ketelitiannya. Jumlah riwayat yang dikeluarkan oleh al-Tirmizi untuk mereka menghampiri separuh daripada kitab tersebut. 9 orang ini ialah:

1 - Qutaibah bin Sa'id bin Tarif al-Thaqafi, maulahum al-Balkhi al-Baghlani, Abu Raja'.

Beliau seorang ahli hadis, imam, yang thiqah (dipercayai) dan banyak mengembara. Beliau dilahirkan pada tahun 149H. Beliau mengembara untuk menuntut ilmu, dan menulis ilmu yang tidak terhingga banyaknya. Maka beliau mengambil ilmu yang banyak daripada Malik, al-Layth, Syarik, Hammad bin Zaid, Abu ‘Awanah, Ibn Lahi‘ah, Bakr bin Mudhar, Kathir bin Sulaim murid Anas bin Malik, dan ramai lagi.

Telah diriwayatkan daripadanya oleh al-Humaidi, Nu'aim bin Hammad, Yahya bin 'Abd al-Hamid al-Himmani, Ahmad bin Hanbal, Yahya bin Ma'in, 'Ali bin al-Madini, Muhammad bin 'Abdullah bin Numair, Abu Bakar bin Abi Syaibah, dan sekumpulan ulama yang meninggal dunia sebelumnya.

Al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Nasa'i, dan al-Tirmizi telah meriwayatkan banyak riwayat daripadanya dalam kitab-kitab mereka. Ibn Majah pula meriwayatkan melalui perantaraan Muhammad bin Yahya al-Zuhli daripadanya, dan daripada Ibn Abi Syaibah daripadanya.

Beliau meninggal dunia pada tahun 240H.

Al-Tirmizi meriwayatkan daripadanya dalam Jami'nya sebanyak 600 buah hadis.

2 - Muhammad bin Basyar bin Uthman bin Daud bin Kaisan, al-Imam al-Hafiz, periwayat Islam, Abu Bakar al-‘Abdi al-Basri, yang bergelar Bundar.

Beliau digelar sedemikian kerana beliau adalah ‘bundar al-hadith’ pada zamannya di negerinya, dan al-Bundar bermaksud al-Hafiz (pakar hadis).

Beliau dilahirkan pada tahun 167H. Beliau mengumpulkan hadis Basrah, dan tidak mengembara demi berbakti kepada ibunya, kemudian beliau mengembara selepas itu. Beliau meriwayatkan daripada Yazid bin Zuri‘, Mu‘tamir bin Sulaiman, ‘Abd al-Rahman bin Mahdi, Waki‘, dan ramai lagi selain mereka.

Telah diriwayatkan daripadanya Ahli Hadis yang Enam (al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasa’i dan Ibnu Majah) dalam kitab-kitab mereka, serta Abu Zur‘ah, Abu Hatim, Ibrahim al-Harbi, Baqi bin Makhlad, Ibn Khuzaimah, al-Baghawi, dan ramai lagi selain mereka.

Ibn Hibban berkata: “Beliau menghafal hadisnya dan membacanya daripada hafalannya.”

Beliau meninggal dunia pada tahun 252H.

Al-Tirmizi meriwayatkan daripadanya dalam Jami'nya sebanyak 465 buah hadis.

3 - Mahmud bin Ghailan al-‘Adawi, maulahum al-Marwazi, yang menetap di Baghdad, Abu Ahmad, al-Imam al-Hafiz al-Hujjah (yang menjadi hujah), salah seorang imam dan pahlawan dalam bidang athar.

Beliau meriwayatkan daripada Ibn ‘Uyainah, Abu Mu‘awiyah, Waki‘, ‘Abd al-Razzaq dan ulama generasi mereka. Beliau banyak meriwayatkan hadis dan meriwayatkannya dengan baik.

Telah diriwayatkan daripadanya oleh al-Jama‘ah - kecuali Abu Daud - serta Abu Hatim, al-Baghawi, Ibn Khuzaimah, dan ramai lagi.

Ahmad bin Hanbal berkata: “Aku mengenalinya sebagai seorang ahli hadis, seorang yang berpegang pada sunnah, dan beliau pernah dipenjarakan disebabkan (isu) al-Quran (makhluk).”

Beliau meninggal dunia pada tahun 239H.

Al-Tirmizi meriwayatkan daripadanya dalam Jami'nya sebanyak 301 buah hadis.

4 - Hannad bin al-Sari bin Mus‘ab bin Abi Bakar bin Syabr bin Su‘fuq, al-Imam, al-Hujjah, seorang yang menjadi teladan, perhiasan para ahli ibadah, Abu al-Sari al-Tamimi al-Darimi al-Kufi, pengarang kitab al-Zuhd dan selainnya.

Beliau dilahirkan pada tahun 152H, dan beliau adalah antara para huffaz yang tekun beribadah.

Beliau meriwayatkan daripada Syarik, Abu al-Ahwas, Ibn al-Mubarak, Sufyan bin ‘Uyainah, dan ramai lagi.

Telah diriwayatkan daripadanya oleh al-Jama‘ah, namun al-Bukhari meriwayatkan dalam selain Sahihnya secara kebetulan, bukan kerana sengaja. Turut meriwayatkan daripadanya ialah Baqi bin Makhlad, Abu Zur‘ah, Abu Hatim, Ibn Abi al-Dunya, dan lain-lain.

Ahmad bin Hanbal ditanya: “Daripada siapa kami harus menulis hadis di Kufah?” Beliau menjawab: “Hendaklah kamu belajar dengan Hannad.”

Beliau tidak pernah berkahwin dan tidak pernah mengambil hamba sahaya. Beliau digelar sebagai: Rahib Kufah.

Beliau meninggal dunia pada tahun 243H.

Al-Tirmizi meriwayatkan daripadanya dalam Jami'nya sebanyak 289 buah hadis.

5 - Ahmad bin Mani' bin ‘Abd al-Rahman, Abu Ja'far al-Baghawi kemudian al-Baghdadi, dan asal beliau adalah dari Marw al-Ruz. Al-Imam, al-Hafiz, thiqah (dipercayai).

Beliau dilahirkan pada tahun 160H. Beliau mengembara, mengumpul dan mengarang al-Musnad.

Beliau meriwayatkan daripada Sufyan bin ‘Uyainah, Abdullah bin al-Mubarak, dan ulama generasi ini serta ulama generasi selepas mereka.

Telah meriwayatkan daripadanya Ahli Hadis yang Enam, tetapi al-Bukhari meriwayatkan melalui perantara.

Beliau meninggal dunia pada tahun 244H.

Al-Tirmizi meriwayatkan daripadanya dalam Jami'nya sebanyak 255 buah hadis. 

6 - Muhammad bin Yahya bin Abi Umar al-‘Adani, Abu Abdullah, al-Imam al-Muhaddith al-Hafiz, Syeikh al-Haram.

Beliau mengarang al-Musnad.

Beliau meriwayatkan daripada Fudhayl bin ‘Iyadh, Sufyan bin ‘Uyainah, Waki‘ bin al-Jarrah, dan ramai lagi.

Telah diriwayatkan daripadanya oleh Muslim, al-Tirmizi, dan Ibn Majah, dan al-Nasa’i melalui perantara, serta ramai lagi selain mereka.

Beliau meninggal dunia pada tahun 243H dan beliau berumur sembilan puluhan tahun.

Al-Tirmizi meriwayatkan daripadanya dalam Jami'nya sebanyak 183 buah hadis.

7 - Abu Kuraib Muhammad bin al-‘Ala’ bin Kuraib al-Hamdani al-Kufi, al-Hafiz, thiqah, al-Imam, guru ahli hadis (Syeikh al-Muhaddithin).

Beliau dilahirkan pada tahun 161H.

Beliau meriwayatkan daripada Ibn al-Mubarak, Ibn ‘Ulayyah, Sufyan bin ‘Uyainah, dan ramai lagi.

Beliau mengarang, mengumpulkan hadis dan mengembara.

Telah diriwayatkan daripadanya oleh al-Jama‘ah al-Sittah (Ahli Hadis yang Enam), Abu Zur‘ah, Abu Hatim, Ibn Abi al-Dunya, dan ramai lagi selain mereka.

Muhammad bin Abdullah bin Numair berkata: “Tiada di Iraq orang yang lebih banyak hadisnya daripada Abu Kuraib, dan tiada yang lebih arif tentang hadis negeri kami daripadanya.”

Ibrahim bin Abi Talib berkata: “Muhammad bin Yahya al-Zuhli bertanya kepadaku: Siapakah yang paling kuat hafalannya yang pernah engkau lihat di Iraq?”

Aku menjawab: “Selepas Ahmad bin Hanbal, aku tidak pernah melihat orang yang lebih kuat hafalannya daripada Abu Kuraib.”

Beliau meninggal dunia pada tahun 248H, dan hidup selama 87 tahun.

Al-Tirmizi meriwayatkan daripadanya dalam Jami'nya sebanyak 178 buah hadis.

8 - Ali bin Hujr bin Iyas bin Muqatil bin Mukhadish bin Musyamrij al-Sa'di al-Marwazi, al-Hafiz, al-‘Allamah (yang sangat alim), al-Hujjah, Abu al-Hasan.

Datuknya Musyamrij bin Khalid adalah seorang sahabat Nabi.

Ali bin Hujr dilahirkan pada tahun 154H.

Beliau mengembara ke serata pelusuk untuk menuntut ilmu.

Beliau meriwayatkan daripada Ismail bin Ja'far, Syarik al-Qadhi, Ibn al-Mubarak, Sufyan bin ‘Uyainah, dan ramai lagi selain mereka.

Telah diriwayatkan daripadanya oleh al-Bukhari, Muslim, al-Tirmizi, al-Nasa’i, dan lain-lain.

Al-Nasa’i berkata: “Thiqah, ma’mun (amanah), hafiz.”

Abu Bakar al-Khatib berkata: “Beliau seorang yang benar, teliti, hafiz.”

Al-Zahabi berkata: “Beliau adalah salah satu gedung ilmu, 170 lebih orang telah menulis (hadis) daripadanya di Haramain, Iraq, Syam, al-Jazirah dan Khurasan. Beliau mempunyai karya-karya yang bermanfaat, antaranya Ahkam al-Quran.”

Beliau meninggal dunia pada tahun 244H.

Al-Tirmizi meriwayatkan daripadanya dalam Jami'nya sebanyak 172 buah hadis.

9 - ‘Abd bin Humaid bin Nasr al-Kissi, dan dikatakan juga: al-Kasysyi. Dikatakan: namanya ialah ‘Abd al-Hamid. Abu Muhammad, al-Imam, al-Hafiz, al-Hujjah, yang banyak mengembara.

Beliau dilahirkan selepas tahun 170H.

Beliau meriwayatkan daripada ‘Abd al-Razzaq, Abu Daud al-Tayalisi, Zaid bin al-Hubab, al-Waqidi, dan ramai lagi yang telah beliau sebutkan dalam Tafsir al-Kabirnya dan dalam Musnadnya, yang mana hanya ringkasan Musnadnya itu yang dinamakan al-Muntakhab sahaja yang ditemui pada masa kini.

Telah diriwayatkan daripadanya oleh Muslim, al-Tirmizi, dan al-Bukhari secara mu’allaq dalam bab Dala'il al-Nubuwwah daripada Sahihnya, dan selain mereka.

Ibn Hibban berkata: “Beliau adalah antara mereka yang mengumpulkan (hadis) dan mengarang.”

Beliau meninggal dunia pada tahun 249H.

Al-Tirmizi meriwayatkan daripadanya dalam Jami'nya sebanyak 161 buah hadis.

Guru-gurunya dalam Kritikan (Naqd) Hadis dan Ilmu 'Ilal

Al-Tirmizi rahimahullah mempunyai beberapa orang guru, namun mereka yang menjadi tumpuan beliau secara khusus untuk bidang ini, yang beliau amat menyanjungi ilmu mereka, serta yang beliau sebut dan akui keimaman dan keunggulan mereka dalam kitabnya, al-'Ilal adalah seramai tiga tokoh ulama, dan mereka ialah:

1 - Imam Muhammad bin Ismail al-Bukhari, Abu Abdullah, Amirul Mukminin dalam Hadis, al-Imam, Tokoh Ulama yang tiada tandingan, Mahkota para Fuqaha, sandaran para Muhaddithin, dan Penghulu para Huffaz.

Beliau dilahirkan pada tahun 194H.

Beliau telah dipuji oleh guru-gurunya, rakan-rakan seangkatannya, dan generasi selepasnya.

Ahmad bin Hanbal berkata: “Khurasan tidak pernah melahirkan orang yang seumpama Muhammad bin Ismail.”

Imam bagi para Imam yang lain, Ibn Khuzaimah, telah mengakui kehebatan beliau lalu berkata: “Tiada di bawah kolong langit ini orang yang lebih alim tentang hadis daripada Muhammad bin Ismail.”

 Rakan-rakan seangkatannya memujinya. Abu Hatim al-Razi berkata: “Khurasan tidak pernah sama sekali melahirkan orang yang lebih pakar hadis daripada Muhammad bin Ismail, dan tidak pernah datang dari sana ke Iraq orang yang lebih alim daripadanya.”

Al-Hakim meriwayatkan dengan sanadnya bahawa Muslim, pengarang al-Sahih, datang kepada al-Bukhari lalu mencium dahinya dan berkata: “Biarkan aku mencium kedua kakimu, wahai guru kepada segala guru, penghulu para muhaddithin, dan doktor hadis pada 'ilal-nya.”

Al-Hafiz Ibn Nasir al-Din al-Dimashqi berkata: “Daripadanya lahirlah para ahli dirayah, dan mendapat manfaat daripadanya para ahli riwayah. Beliau adalah seorang yang unik pada zamannya, menjaga lidahnya, warak dalam semua urusannya. Ini berserta ilmunya yang luas, ketelitiannya yang banyak, perhatiannya yang mendalam terhadap khabar-khabar (hadis), kehebatan hafalannya terhadap sunnah dan athar, pengetahuannya tentang sejarah, peristiwa-peristiwa manusia dan kritikan terhadap mereka, di samping menjaga waktu dan saat-saatnya, serta ibadah yang berterusan hingga wafatnya.”

Beliau meninggal dunia pada tahun 256H, dan usianya adalah 62 tahun.

Al-Tirmizi mengambil daripada beliau ilmu kritikan dan 'ilal hadis. Beliau hanya meriwayatkan daripada al-Bukhari dalam Jami'nya sebanyak 41 buah hadis sahaja. Walaupun riwayat beliau daripada al-Bukhari sedikit, namun beliau mendapat manfaat daripada pandangannya yang tajam dan kritikannya yang tepat lagi jitu terhadap matan dan sanad. Al-Tirmizi sendiri telah mengakui hal ini, lalu beliau berkata: “Apa yang ada di dalamnya (kitabku) berupa sebutan tentang 'ilal pada hadis, para perawi dan sejarah, maka ia adalah apa yang aku petik daripada kitab al-Tarikh. Kebanyakannya adalah apa yang aku bincangkan dengan Muhammad bin Ismail (al-Bukhari), dan sebahagiannya adalah apa yang aku bincangkan dengan Abdullah bin Abd al-Rahman (al-Darimi) dan Abu Zur'ah. Kebanyakannya adalah daripada Muhammad, dan yang paling sedikit di dalamnya adalah daripada Abdullah bin Abd al-Rahman dan Abu Zur'ah.

Aku tidak pernah melihat seorang pun di Iraq mahupun di Khurasan, pada (memahami) makna 'ilal, sejarah dan pengetahuan tentang sanad, yang lebih alim daripada Muhammad bin Ismail.”

Maka dalam pengakuan ini, terdapat penjelasan tentang keistimewaan al-Bukhari dengan kelebihan yang besar dalam pembelajaran al-Tirmizi tentang makna-makna 'ilal, sejarah, dan pengetahuan tentang sanad, dan bahawa kunci-kunci bidang ini adalah anugerah Ilahi yang diberikan kepada al-Bukhari.

Al-Tirmizi dianggap sebagai murid al-Bukhari walaupun beliau berkongsi sebahagian guru dengannya, seperti Qutaibah bin Sa'id, Ali bin Hujr, Ibn Basyar, dan lain-lain.

Terpengaruhnya al-Tirmizi daripada gurunya al-Bukhari amat ketara dalam pandangan fiqhnya, yang terserlah dengan jelas pada tajuk-tajuk bab yang beliau gubal berdasarkan istinbat-istinbat atau tarjih-tarjih fiqhnya, sama seperti yang dilakukan al-Bukhari dalam Sahihnya. Meskipun begitu Imam al-Bukhari lebih mendalam istinbatnya, dan oleh sebab itu, tajuk-tajuk babnya pada kebiasaannya lebih menjadi tumpuan perhatian para ulama untuk disingkapkan tujuannnya, dan untuk diketahui maksud Imam al-Bukhari daripada tajuk-tajuk babnya itu. Namun, Imam al-Tirmizi menambah sesuatu yang baharu berbanding al-Bukhari iaitu dengan menyebut pandangan-pandangan ahli ilmu dan menghuraikan perselisihan pendapat mereka.

Beliau juga terpengaruh dengan Imam Muslim bin al-Hajjaj al-Naisaburi, dan ini kelihatan pada beberapa perincian hadis. Antara yang paling ketara ialah penyebutan satu matan dengan dua sanad dalam satu susunan, sebagaimana beliau juga menggunakan kaedah peralihan (tahwil) pada sanad, sama seperti Muslim, walaupun Imam Muslim dalam Sahihnya lebih jelas dan lebih banyak. Al-Tirmizi tidak mengeluarkan riwayat daripada Muslim dalam al-Jami' melainkan sebuah hadis sahaja dalam bab Puasa, iaitu Bab Apa yang Datang Mengenai Menghitung Hilal Sya'ban untuk Ramadan, nombor: (695 (687).

Beliau juga sering berbincang dengan Imam Abu Daud Sulaiman bin al-Asy'ath al-Sijistani, pengarang al-Sunan. Beliau telah menukilkan daripadanya selepas hadis [470] (466), katanya: “Aku mendengar Abu Daud al-Sijzi - iaitu Sulaiman bin al-Asy'ath - berkata: Aku bertanya kepada Ahmad bin Hanbal tentang Abd al-Rahman bin Zaid bin Aslam, lalu beliau menjawab: Saudaranya, Abdullah, tidak mengapa dengannya.”

2 - Imam al-Darimi, Abdullah bin Abd al-Rahman bin al-Fadhl bin Bahram bin Abdullah, Abu Muhammad al-Darimi al-Samarqandi.

Beliau dilahirkan di Samarqand pada tahun 181H. Beliau merupakan salah satu tonggak agama, dan salah seorang penghafalnya yang teragung. Beliau menzahirkan Sunnah di negerinya, dan menyeru kepadanya. Beliau banyak melakukan pengembaraan agung dan perjalanan yang jauh, mengembara ke negeri-negeri Islam, dan mengumpulkan ilmu hadis daripada para imam dalam bidang ini, sehingga beliau cemerlang dan mengatasi rakan-rakan sezaman dan sebayanya.

Maka, para pembesar dan tokoh terkemuka menghormati beliau, dan penduduk zaman itu mengambil manfaat daripadanya, sehinggalah Muslim bin al-Hajjaj, Abu Daud dan al-Tirmizi meriwayatkan daripadanya, dan mereka mengakui kesempurnaan kelebihan dan kebaikannya yang lengkap.

Muhammad bin Basyar berkata: “Para Huffaz dunia ada empat: Abu Zur'ah di Rayy, Muslim di Naisabur, Abdullah bin Abd al-Rahman di Samarqand, dan Muhammad bin Ismail di Bukhara.

Beliau meninggal dunia pada tahun 255H.

3 - Imam Abu Zur'ah al-Razi, ‘Ubaidullah bin ‘Abd al-Karim bin Yazid bin Farrukh, penghulu para Huffaz dan muhaddith Rayy.

Beliau dilahirkan selepas tahun dua ratus lebih Hijrah.

Beliau menuntut bidang hadis ketika beliau masih muda, dan mengembara ke Hijaz, Syam, Mesir, Iraq, al-Jazirah dan Khurasan, dan menulis (hadis) yang tidak terhingga banyaknya.

Beliau adalah seorang imam rabbani, seorang hafiz yang teliti dan banyak meriwayatkan hadis, beliau duduk bersama Ahmad bin Hanbal dan berbincang ilmu dengannya.

Ishaq bin Rahwayh berkata: “Setiap hadis yang tidak diketahui oleh Abu Zur'ah al-Razi, maka ia tidak mempunyai asal (sandaran).”

Beliau meninggal dunia pada tahun 264H.

Peringkat-peringkat Guru al-Tirmizi

Guru-guru al-Tirmizi dalam al-Jami' boleh dibahagikan kepada tiga peringkat, iaitu:

Pertama: Mereka yang lebih awal mendengar hadis daripada para syeikh yang lain, seperti Qutaibah bin Sa'id (m. 240H), dan Ali bin Hujr (m. 244H) dan selain mereka berdua daripada kalangan tokoh-tokoh besar peringkat kesepuluh (murid kepada Tabi’ al-Tabi’in), iaitu peringkat pertengahan daripada guru-guru al-Bukhari yang beliau banyak meriwayatkan daripadanya.

Kedua: Peringkat yang mengikuti mereka ini dari segi usia dan sanad, dan mereka adalah majoriti guru-gurunya yang beliau riwayatkan daripadanya, seperti Ahmad bin Mani‘ al-Baghawi (m. 244H), ‘Amr bin ‘Ali al-Fallas (m. 249H), Muhammad bin Aban al-Mustamli (m. 244H), dan lain-lain.

Ketiga: Iaitu daripada guru-guru peringkat kesebelas, seperti al-Hasan bin Ahmad bin Abi Syu'aib (m. 250H), al-Bukhari (m. 256H), dan Muslim (m. 261H). Sanad beliau telah menjadi panjang (nazil) kerana beliau banyak meriwayatkan daripada guru-guru peringkat ini, seperti murid-murid Hisyam bin 'Ammar al-Dimashqi (m. 245H), dan seumpamanya daripada guru-guru dari negeri-negeri yang tidak beliau masuki.

Dengan ini, kita dapati sanad al-Tirmizi adalah lebih panjang (nazil) berbanding sanad gurunya al-Bukhari dan Muslim, sehinggakan sanad-sanadnya yang pendek ('awali) di dalam al-Jami' menjadi sedikit. Perkara ini dijelaskan oleh tiga sebab:

1 - Kelewatan beliau dalam menuntut dan mengembara untuk mendapatkan hadis.

2 - Beliau tidak memasuki sebahagian negeri, lalu meriwayatkan daripada guru-guru di sana melalui perantara.

3 - Keluasan beliau dalam menuntut hadis dan ketelitiannya.

Ssesungguhnya kitabnya, al-Jami' adalah kaya dengan para ulama dan ahli hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi daripada mereka, dan menjadi bukti kepada pengetahuannya yang luas tentang Sunnah, sehinggakan beliau dalam bidang ini dan ilmu-ilmunya adalah ibarat lautan yang meliputi.

Murid-muridnya dan Para Perawi al-Jami' Daripadanya

Ibn Hibban menyebutkan dalam al-Thiqat bahawa penduduk Khurasan telah meriwayatkan daripadanya dan mendapat manfaat daripadanya.

Al-Khazraji berkata dalam al-Khulasah: “Ramai orang dari kalangan penduduk Samarqand, Nasaf dan negeri-negeri tersebut meriwayatkan daripadanya.”

Al-Hafiz al-Mizzi menyebutkan dalam Tahzib al-Kamal sebahagian daripada mereka yang meriwayatkan daripadanya, bilangan mereka mencecah 26 orang perawi, kemudian beliau berkata selepas itu: “Terdapat para perawi lain daripadanya.”

Disebutkan di sini yang masyhur di antara mereka:

1 - Al-Mahbubi, al-Imam al-Muhaddith, penyebar ilmu di Marw, Abu al-Abbas, Muhammad bin Ahmad bin Mahbub bin Fudhayl, al-Marwazi.

Perawi al-Jami' yang paling masyhur daripada Abu Isa al-Tirmizi. Ramai yang melakukan pengembaraan kepadanya untuk mendengar al-Jami'.

Beliau adalah seorang syeikh (tokoh) di kota itu (Marw) dari segi kekayaan dan kemurahan hati.

Sama’ (periwayatan) beliau daripada al-Tirmizi disahkan berdasarkan tulisan tangan bapa saudara sebelah ibunya, Abu Bakar al-Ahwal. Pengembaraannya ke Tirmiz untuk bertemu Abu Isa adalah pada tahun 265H, dan beliau ketika itu berumur 16 tahun.

Beliau meninggal dunia pada tahun 346H.

2 - Al-Syasyi, al-Haitham bin Kulaib bin Suraij bin Ma'qil al-Syasyi al-Turki, Abu Sa'id, al-Imam, al-Hafiz, thiqah, yang banyak mengembara, seorang sasterawan, pengarang al-Musnad al-Kabir.

Asalnya dari Marw. Beliau adalah perawi al-Syama'il karya al-Tirmizi, maka melalui beliaulah kitab itu menjadi masyhur. Beliau juga meriwayatkan kitab al-Jami' daripadanya.

Beliau meninggal dunia pada tahun 335H.

3 - Hammad bin Syakir bin Sawiyyah, al-Imam, al-Muhaddith, al-Saduq (jujur), Abu Muhammad al-Nasafi.

Beliau adalah salah seorang perawi Sahih al-Bukhari.

Beliau meninggal dunia pada tahun 311H.

4 - Syakkar, al-Imam, al-‘Alim, al-Hafiz, al-Mutqin (teliti), Abu Abd al-Rahman, dan Abu Ja'far, Muhammad bin al-Munzir bin Sa'id bin Uthman bin Raja' bin Abdullah bin al-‘Abbas (sahabat Nabi) bin Mirdas al-Sulami al-Harawi, Syakkar al-Hafiz.

Riwayatnya luas, karangannya baik.

Al-Hakim berkata: “Syakkar meriwayatkan hadis di Marw, Tus, Sarakhs, Marw al-Ruz, Bukhara, dan Naisabur.”

Beliau meninggal dunia  pada tahun 303H, dan dikatakan: bahkan beliau meninggal pada tahun 302H.

5 - Makhul bin al-Fadhl, al-Hafiz, yang banyak mengembara, al-Faqih, Abu Muti' al-Nasafi, pengarang kitab al-Lu'lu'iyyat mengenai zuhud dan adab.

Al-Mustaghfiri menyebutnya dalam Tarikh Nasaf dan menyebut bahawa namanya ialah Muhammad bin al-Fadhl, dan Makhul adalah gelarannya, dan beliau meninggal dunia pada tahun 308H.

6 - Ibn Hasnuyah, seorang Syeikh yang lanjut usianya lagi masyhur, Abu Hamid, Ahmad bin ‘Ali bin al-Husain bin Syazan, al-Naisaburi, seorang peniaga yang banyak mengembara.

Al-Hakim berkata: “Beliau mendengar daripada Abu Isa al-Tirmizi sejumlah karangannya... dan beliau adalah antara mereka yang bersungguh-sungguh dalam beribadah pada waktu malam dan siang.”

Hamzah al-Sahmi berkata: “Ibn Mandah ditanya - di hadapanku - tentang Ibn Hasnuyah al-Muqri', lalu beliau berkata: Beliau adalah seorang syeikh yang usianya mencecah 110 tahun.”

Al-Zahabi berkata: “Ibn Mandah silap, beliau tidak mencecah 100 tahun sama sekali.”

Kemudian beliau menyebutkan daripada Ibn Mandah juga bahawa kewafatannya adalah pada tahun 350H. Kemudian al-Zahabi berkata: “Aku berkata: Berdasarkan apa yang didakwa tentang usianya, maka beliau hidup selama 98 tahun, sekiranya (dakwaan itu) benar.”

7 - Abu ‘Ali al-Husain bin Yusuf bin ‘Abd al-Majid al-Bandar al-Firabri, dari kalangan guru-guru Abu Ahmad Ibn ‘Adi al-Jurjani, pengarang al-Kamil fi al-Du‘afa’.

8 - Al-Bazdawi, Daud bin Nasr bin Suhail bin ‘Abduyah bin Yazdaz, Abu Sulaiman, salah seorang ulama kota Nasaf.

Meninggal dunia pada tahun 323H.

Saudaranya, Abu Muhammad Abdullah bin Nasr bin Suhail al-Bazdawi, turut meriwayatkan daripada al-Tirmizi juga.

9 - Al-Nasafi al-Amin, Muhammad bin Sufyan bin al-Nadhr, Abu Ja'far.

Meninggal dunia pada tahun 308H.

10 - Nasr bin Muhammad bin Sabrah, Abu Muhammad al-Syiraka'thi, seorang syeikh yang thiqah.

Beliau meriwayatkan al-Jami' daripada Abu Isa al-Tirmizi.

Abu Ya'la 'Abd al-Mu'min bin Khalaf serta penduduk negeri itu (Syiraka'th, Nasaf) telah mendengar al-Jami’ daripada beliau. Al-Mustaghfiri menyebutkannya dalam Tarikh Nasaf.

Pujian Para Imam Terhadapnya

Telah terkumpul pada Imam al-Tirmizi sifat-sifat dan keistimewaan yang menjadikannya tumpuan perhatian para imam. Mereka telah melihat padanya tanda-tanda muraqabah (kewaspadaan terhadap Allah) dan rasa takut kepada-Nya, kepatuhan kepada Sunnah, kesempurnaan dalam mengikuti Nabi, keluasan hafalan, kelancaran fikiran, kezuhudan di dunia dan selainnya, yang mendorong mereka untuk memujinya, dan menyebutnya dengan sebutan yang baik yang layak dengan keutamaannya. Para ulama besar dan ulama yang paling utama di kalangan mereka pada zaman al-Tirmizi dan generasi yang datang selepasnya telah memberikan kesaksian akan perkara tersebut.

1 - Gurunya, al-Imam al-Hafiz Muhammad bin Ismail al-Bukhari telah berkata kepadanya: “Manfaat yang aku peroleh daripadamu adalah lebih banyak daripada manfaat yang engkau peroleh daripadaku.”

2 - Al-Hafiz Abu Sa'd al-Idrisi berkata: “Muhammad bin Isa bin Saurah al-Tirmizi, al-Hafiz al-Dharir (yang buta), salah seorang imam yang dijadikan teladan dalam ilmu hadis. Beliau mengarang al-Jami', al-Tawarikh, dan al-'Ilal yang merupakan karangan seorang yang alim lagi teliti. Beliau dijadikan perumpamaan dari segi hafalan.”

3 - Al-Hafiz Umar bin 'Allak berkata: “Muhammad bin Ismail al-Bukhari meninggal dunia, dan beliau tidak meninggalkan di Khurasan orang yang seumpama Abu Isa dalam ilmu dan kewarakan. Beliau menangis sehingga menjadi buta, dan kekal buta selama bertahun-tahun.”

4 - Ibn Hibban berkata: “Beliau adalah daripada kalangan orang yang mengumpul (hadis), mengarang dan bermuzakarah (berbincang ilmu).”

5 - Abu Ya'la al-Khalili berkata: “Muhammad bin Isa bin Saurah bin Syaddad, al-Hafiz, seorang yang thiqah (dipercayai) dan disepakati (kepercayaannya). Beliau mempunyai sebuah kitab tentang Sunan, dan pandangan-pandangan dalam Jarh wa Ta'dil. Abu Mahbub dan para tokoh ulama di Marw meriwayatkan daripadanya... dan beliau masyhur dengan sifat amanah dan ilmunya.”

6 - Abu Sa'd al-Sam'ani berkata: “Abu Isa Muhammad bin Isa bin Saurah bin Syaddad al-Bughi al-Tirmizi al-Dharir, imam zamannya tanpa dapat dipertikaikan, pengarang beberapa buah kitab.”

7 - Ibn al-Athir al-Jazari berkata: “Salah seorang imam, huffaz, dan tokoh ulama terkemuka. Beliau mempunyai kemahiran yang baik dalam bidang fiqh.”

8 - Al-Zahabi berkata: “Muhammad bin Isa bin Saurah, al-Hafiz, tokoh ulama, Imam yang cemerlang.”

Al-Zahabi juga berkata: “Al-Hafiz, tokoh ulama Abu Isa al-Tirmizi, pengarang al-Jami', seorang yang thiqah (dipercayai) dan disepakati (kepercayaannya).”

9 - Al-Is'ardi berkata: “Bagi Abu Isa terdapat kelebihan-kelebihan yang patut dikumpul, diriwayatkan dan didengar.”

10 - Ibn Kathir berkata: “Beliau adalah salah seorang imam dalam bidang ini (hadis) pada zamannya.”

11 - Muhammad bin al-Athir al-Jazari berkata: “Beliau adalah seorang imam, hafiz, dan mempunyai karangan-karangan yang baik.”

12 - Al-Hafiz al-Mizzi berkata: “Salah seorang imam, huffaz yang terulung, dan salah seorang yang Allah telah memberikan manfaat kepada kaum Muslimin melaluinya.”

13 - Ibn Hajar berkata: “Salah seorang tokoh.”

14 - Ibn al-'Imad al-Hanbali berkata: “Beliau adalah seorang yang terunggul di antara rakan-rakan sebayanya, satu keajaiban dalam hafalan dan ketelitian.”

Isu Ibnu Hazm Tidak Mengenali al-Tirmizi

Sungguh menghairankan apabila Ibn Hazm al-Andalusi (m. 456H) mengatakan bahawa beliau tidak mengenali al-Tirmizi, dan berkata: “Sesungguhnya beliau adalah majhul (tidak dikenali).”

Ini tidaklah memudaratkan Imam al-Tirmizi yang kemasyhurannya telah meliputi segenap ufuk, dan kitabnya tersebar di negeri-negeri Islam, serta dipuji oleh para ulama zamannya dan generasi selepas mereka dari kalangan ahli ilmu. Bahkan, perkataan Ibn Hazm itu mencatatkan (melemahkan) dirinya sendiri kerana kurangnya pengetahuannya, dan ceteknya ilmunya dalam bab ini.

Ada yang memberi alasan bagi pihak Ibn Hazm bahawa beliau tidak mengenalinya, dan tidak mengetahui kewujudan al-Jami' dan al-'Ilal karangan al-Tirmizi kerana kedua-duanya belum lagi memasuki Andalusia pada waktu itu. Tetapi alasan ini adalah lemah dalam mempertahankan Ibn Hazm, dan hal itu adalah kerana dua perkara:

Perkara Pertama: Ketidaktahuannya Ibnu Hazm tentang al-Jami' tidak bermakna beliau tidak mengenali al-Tirmizi, pengarangnya.

Ibn al-Faradhi al-Andalusi telah menyebutkan al-Tirmizi dalam kitabnya, al-Mu’talif wa al-Mukhtalif dan menjelaskan tentang kedudukannya. Ibn Hazm telah menelaah kitab ini. Maka, bagaimana boleh diberikan alasan sedemikian untuknya.

Perkara Kedua: Ibn Hazm telah melontarkan ungkapan ini (majhul) terhadap ramai tokoh masyhur daripada kalangan Huffaz, yang mana kebiasaannya tidak dapat dibayangkan mereka ini tidak dikenali oleh orang yang mempunyai kaitan dengan ilmu dan hadis. Ini seperti Abu al-Qasim al-Baghawi (m. 317H), dan Abu al-'Abbas al-Asam (m. 346H) dan selain mereka. Maka, Ibn Hazm tidak mempunyai alasan yang kukuh bagi apa yang dikatakannya, dan perkataannya tentang Abu Isa tidak mempunyai sebarang nilai atau boleh dipertimbangkan.

Walau apa pun, para muhaqqiq (ulama yang mendalam ilmunya) daripada kalangan ahli ilmu hadis telah menyanggah Ibn Hazm, dan tiada seorang pun ulama yang mantap ilmunya yang bersetuju dengannya pada tindakannya memajhulkan al-Tirmizi, bahkan mereka menyalahkan Ibn Hazm. Antara para tokoh ulama yang menyanggahnya ialah: Imam Ibn al-Qattan al-Fasi, Imam al-Zahabi, Imam Ibn Kathir, al-Hafiz Ibn Hajar, Imam al-Qasim bin Yusuf al-Tujibi, dan lain-lain.

Ibn al-Qattan berkata: “Muhammad bin Isa bin Saurah bin Musa bin al-Dahhak al-Sulami al-Tirmizi, telah dianggap majhul (tidak dikenali) oleh sebahagian orang yang tidak menyelidik tentangnya, iaitu Abu Muhammad bin Hazm. Beliau telah berkata dalam kitab fara'id daripada al-Isal - selepas satu hadis yang beliau kemukakan -: beliau (al-Tirmizi) adalah majhul. Maka perkara ini mewajibkan ketika menyebutkan tentang al-Tirmizi untuk menyatakan siapa yang telah memberikan kesaksian akan keimamannya, sedangkan beliau tidak memerlukannya kerana memadai dengan ilmunya sendiri sebagai bukti, dan kemasyhurannya yang meluas. Maka, antara mereka yang menyebutnya dalam kalangan para muhaddithin ialah: Abu al-Hasan al-Daraqutni, dan Abu Abdullah bin al-Bayyi' (yang dikenali sebagai al-Hakim). Abu Ya'la al-Khalili berkata dalam kitabnya: Abu Isa Muhammad bin Isa bin Saurah al-Hafiz, seorang yang thiqah (dipercayai) dan disepakati (kepercayaannya). Antara mereka yang menyebutnya juga ialah, al-Amir Ibn Makula, Ibn al-Faradhi, dan Abu Sulaiman al-Khattabi.”

Al-Zahabi berkata: “Tidak perlu dipedulikan perkataan Abu Muhammad bin Hazm tentang al-Tirmizi dalam bab fara'id dari kitab al-Isal bahawa beliau adalah majhul. Ini kerana Ibnu Hazm tidak mengenalinya, dan tidak mengetahui kewujudan al-Jami' dan al-'Ilal miliknya.”

Ibn Kathir berkata : “Kejahilan Ibn Hazm terhadap Abu Isa al-Tirmizi tidak memudaratkannya, di mana beliau berkata dalam Muhallanya: Siapakah Muhammad bin Isa bin Saurah? Ini kerana kejahilannya (tentang al-Tirmizi) tidaklah merendahkan kedudukan al-Tirmizi di sisi ahli ilmu, bahkan ia telah merendahkan martabat Ibn Hazm di sisi para Huffaz. Bagaimanakah sesuatu itu boleh menjadi benar dalam fikiran, jika siang hari pun memerlukan dalil.”

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Adapun Abu Muhammad bin Hazm, maka sesungguhnya beliau telah mengisytiharkan ke atas dirinya sendiri tentang kurangnya pengetahuannya, lalu berkata dalam kitab fara'id daripada al-Isal: Muhammad bin Isa bin Saurah adalah majhul. Janganlah seseorang berkata: Mungkin beliau tidak mengenali al-Tirmizi dan tidak mengetahui penguasaan hadisnya mahupun karangan-karangannya, kerana sesungguhnya orang ini telah melontarkan ungkapan ini terhadap ramai tokoh masyhur dari kalangan yang thiqah lagi huffaz, seperti Abu al-Qasim al-Baghawi, dan Ismail bin Muhammad al-Saffar, dan Abu al-Abbas al-Asam dan selain mereka. Yang menghairankan ialah bahawa al-Hafiz al-Faradhi telah menyebut al-Tirmizi dalam kitabnya al-Mu’talif wa al-Mukhtalif dan menjelaskan tentang kedudukan beliau, maka bagaimana Ibn Hazm terlepas daripada menemui al-Tirmizi di dalamnya?”

Al-Qasim bin Yusuf al-Tujibi al-Sabti - selepas beliau menjelaskan kelebihan al-Tirmizi, ilmu-ilmunya dan kemasyhurannya -: “Tidak memudaratkan al-Tirmizi akan kejahilan orang yang jahil tentangnya, iaitu Abu Muhammad Ali bin Ahmad bin Sa'id bin Hazm al-Farisi al-Zahiri, kerana sesungguhnya beliau telah melakukan kesilapan yang nyata tentangnya, dan melakukan kelalaian yang jelas. Maka beliau telah berkata dalam kitab fara'id daripada Isalnya, selepas satu hadis yang dikemukakannya di dalamnya: ‘Sesungguhnya Abu Isa al-Tirmizi adalah majhul, tidak dikenali.’ Ini adalah satu keterlanjuran yang tidak dapat digambarkan.”

Karangan-karangannya

Imam al-Tirmizi telah menghasilkan karya-karya karangannya dalam pelbagai bidang, dan ia secara keseluruhannya tidak terkeluar daripada ilmu-ilmu hadis dan Sunnah. Sebahagiannya berkaitan dengan hadis dari segi riwayat, sebahagiannya berkaitan dengan para perawi, dan 'ilal hadis. Karya-karyanya telah menzahirkan kehebatannya, keluasan ilmunya, dan kekukuhan kedudukannya dalam ilmu yang mulia ini. Antara karangan-karangan ini ialah:

1 - Al-Jami‘ al-Mukhtasar min al-Sunan ‘an Rasulillah sallahu ‘alaihi wasallam wa Ma’rifat al-Sahih wa al-Ma’lul wa Ma ‘alayhi al-‘Amal yang masyhur dengan nama Jami‘ al-Tirmizi.

Ia adalah karya beliau yang paling agung dan paling kekal sepanjang zaman. 

Jami' al-Tirmizi mengandungi sekitar 4000 buah hadis, yang terhimpun dalam hampir 42 topik (bab). Kemudian, penulis membahagikannya kepada bab-bab yang berasingan, iaitu bab-bab: Taharah, Solat, Zakat, Puasa, Haji, Jenazah, Nikah, Susuan, Talak dan Li'an, Jual Beli, Hukum-hakam daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, Diyat, Hudud, Perburuan, Korban, Nazar dan Sumpah, Siyar, Jihad, Pakaian, Makanan, Minuman, Kebaikan dan Hubungan Silaturahim, Perubatan, Faraid, Wasiat, Wala' dan Hibah, Takdir, Fitnah, Mimpi, Penyaksian, Zuhud, Sifat Syurga, Sifat Neraka Jahannam, Iman, Ilmu, Meminta Izin dan Adab, Adab, Perumpamaan, Pahala al-Quran, Qiraat, Tafsir al-Quran, Doa-doa, Manaqib.

Selepasnya ialah Kitab al-'Ilal iaitu al-'Ilal al-Saghir.

Jika kita meneliti bab-bab ini, nescaya kita akan dapati kitab al-Tirmizi, di samping mengandungi topik-topik yang biasanya terkandung dalam kitab-kitab Sunan, iaitu bab-bab fiqh, ia juga mengandungi bab-bab yang berkaitan dengan Siyar, Qiraat, Tafsir al-Quran, dan Manaqib. Oleh sebab itu, kitabnya diklasifikasikan dalam kategori Jami', bukan kategori Sunan, memandangkan keluasan perbahasan yang dimuatkan oleh al-Tirmizi dalam kitabnya.

Oleh sebab itu pengarangnya, semoga Allah merahmatinya, berkata: “Aku telah mengarang kitab ini, iaitu al-Musnad al-Sahih, lalu aku mempersembahkannya kepada para ulama Iraq, maka mereka meredainya. Aku mempersembahkannya kepada para ulama Khurasan, maka mereka meredainya. Sesiapa yang di dalam rumahnya ada kitab ini, maka seolah-olah di dalam rumahnya ada seorang nabi yang sedang berbicara.”

Al-Hafiz Abu al-Fadl Muhammad bin Tahir al-Maqdisi rahimahullah berkata: “Aku mendengar Syaikh al-Islam Abdullah bin Muhammad al-Ansari rahimahullah berkata: Kitab Abu Isa al-Tirmizi pada pandanganku lebih bermanfaat daripada kitab al-Bukhari dan Muslim. Aku bertanya: Mengapa? Beliau menjawab: Kerana kitab al-Bukhari dan Muslim, tidak akan dapat mencapai manfaat daripada kedua-duanya melainkan orang yang mempunyai pengetahuan yang sempurna, sedangkan (kitab) ini telah mensyarahkan hadis-hadisnya dan menjelaskannya, maka setiap orang daripada kalangan manusia, dari kalangan fuqaha, muhaddithin dan selain mereka, dapat mencapai manfaatnya.”

2 - Al-'Ilal al-Saghir dan ia juga dinamakan: ‘Ilal Jami‘ al-Tirmizi.

Al-Tirmizi telah melampirkan kitab ini pada akhir kitab al-Jami', di mana beliau menjelaskan sanad-sanadnya kepada sebahagian Huffaz seperti Sufyan al-Thauri, Malik bin Anas, Abdullah bin al-Mubarak, al-Syafi'i, dan Ishaq bin Ibrahim.

Beliau juga menjelaskan di dalamnya akan sumbernya mengenai 'ilal dalam hadis, para perawi dan sejarah perawi seperti perbincangannya dengan al-Bukhari, dan Abu Zur'ah.

Kemudian beliau menyentuh tentang kritikan terhadap perawi bukanlah daripada ghibah (mengumpat), sebagaimana beliau juga berbicara tentang beberapa topik yang berkaitan dengan ilmu hadis, seperti periwayatan hadis secara makna, dan pembacaan di hadapan ulama adalah dianggap sah seperti mendengar terus daripadanya, dan ijazah tanpa periwayatan adalah dianggap sah, dan penyerahan (munawalah) kitab oleh seseorang kepada yang lain maka dia boleh meriwayatkannya, dan perbezaan antara 'haddathana' dan 'haddathani', serta 'akhbarana' dan 'akhbarani', dan hadis mursal, serta penjelasan tentang perbezaan pendapat mengenainya.

Kemudian beliau menjelaskan makna ucapannya: “ini adalah hadis hasan”, dan makna ucapannya: “ini adalah hadis gharib”, kemudian beliau menjelaskan bahawa antara bentuk keghariban hadis ialah berlaku penambahan di dalamnya.

Kitab ini telah disyarahkan oleh Imam al-Hafiz 'Abd al-Rahman bin Ahmad bin Rajab al-Hanbali (m. 795H) rahimahullah Ta'ala. Di dalam syarahan ini terdapat faedah-faedah yang berharga lagi jarang ditemui dan cukuplah untuk kita nyatakan bahawa kitab al-'Ilal al-Saghir ialah kitab pertama yang dikarang dalam bidang ilmu hadis, walaupun Imam al-Syafi'i rahimahullah telah membahaskan beberapa topik ilmu hadis dalam kitabnya al-Risalah, dan Imam Muslim dalam mukadimah Sahihnya.

ٍSyarah al-'Ilal oleh Ibnu Rajab

3 - Al-'Ilal al-Kabir dan ia juga dinamakan: Al-'Ilal al-Mufrad.

Beliau mengumpulkan di dalamnya hadis-hadis yang mu'allah (mempunyai kecacatan tersembunyi), dan menjelaskan 'illah setiap hadis, berdasarkan daripada apa yang beliau tanyakan kepada gurunya al-Bukhari, Abu Zur'ah al-Razi, dan al-Darimi. Kebanyakannya adalah berdasarkan pertanyaan beliau kepada al-Bukhari, sebahagiannya kepada Abu Zur'ah dan al-Darimi dan sedikit daripada pandangannya sendiri.

Kitab ini sebagaimana yang dikarang oleh al-Tirmizi telah hilang, dan yang masih ada daripada kitab ini adalah yang telah disusun semula oleh seorang faqih zamannya dalam ilmu khilaf, al-Qadhi Abu Talib Mahmud bin Ali al-Asfahani al-Syafi'i yang meninggal dunia pada tahun 585H. Beliau menyusunnya mengikut bab-bab fiqh.

Beliau berkata dalam mukadimahnya: “Ini adalah sebuah kitab yang aku khususkan di dalamnya untuk menyusun kitab al-'Ilal karya Abu Isa al-Tirmizi rahimahullah, mengikut susunan kitab al-Jami' miliknya, supaya mudah untuk mencari hadis di dalamnya, kerana hadis-hadis di dalamnya berselerak dan bertebaran, maka tiada bab-bab yang disebut di dalamnya yang dapat mengaturnya. Lalu aku kembalikan (susun semula) hadis-hadis kitab al-'Ilal kepada apa yang sesuai dengannya daripada kitab-kitab al-Jami'.”

Kitab al-'Ilal al-Kabir dicetak dengan tahkik oleh al-Sayyid Subhi al-Samarra'i, al-Sayyid Abu al-Ma'ati al-Nuri, dan Mahmud Muhammad Khalil al-Sa'idi, dan diterbitkan di Dar ‘Alam al-Kutub di Beirut pada tahun (1409H - 1989M).

4 - Tasmiyah Ashab Rasulillah sallahu ‘alaihi wasallam.

Beliau telah memulakan kitab ini, yang telah dicetak dalam 120 halaman, dengan menyebut sepuluh orang yang diberi khabar gembira dengan Syurga, kemudian beliau menyusun para Sahabat mengikut huruf-huruf abjad dalam bab-bab, seperti bab Alif diikuti oleh bab Ba' dan seterusnya; namun begitu, beliau tidak sentiasa mengikut susunan mereka di dalam bab-bab, seperti yang dikehendaki oleh susunan yang lazim, maka beliau mendahulukan dalam bab Syin: ‘Syaibah bin Uthman’ daripada ‘Syarid bin Suwaid’.

Beliau mengakhiri kitabnya dengan Kunyah-kunyah (gelaran) orang yang tidak diketahui nama mereka.

Bilangan nama di dalam kitab ini mencapai 728 buah nama.

Cara al-Tirmizi dalam menyebut nama ialah dengan menyebut nama tokoh, nasabnya, dan kunyahnya kadang-kadang, dan beliau menyebut penyertaan sahabat tersebut dalam Perang Badar atau Perjanjian Hudaibiyah.

Namun begitu, beliau tidak menyertakan nama-nama para Sahabiyat (sahabat wanita) di dalam kitabnya.

Dicetak dengan tahkik oleh al-Ustaz Imaduddin Ahmad Haidar, di Dar al-Jinan di Beirut pada tahun (1406H).

5 - Al-Syama'il al-Nabawiyyah.

Ia adalah sebuah kitab yang ringkas yang mengandungi sifat-sifat fizikal Nabi sallahu ‘alaihiwasallam, dan penjelasan tentang keadaan-keadaan, kebiasaan, dan ciri-ciri khusus baginda.

Ia menghimpunkan di dalamnya sekitar 400 buah hadis, dalam sekitar 55 bab; iaitu: bentuk fizikal Rasulullah sallahu ‘alaihiwasallam, cap kenabian, rambut Rasulullah sallahu ‘alaihiwasallam, sikatan rambutnya, ubannya, inainya, celaknya, pakaiannya, khufnya, seliparnya, cincinnya, memakai cincin di tangan kanan, pedangnya, baju besinya, topi besinya, serbannya, kain izarnya, cara berjalannya, cara beliau menutup kepala, cara duduknya, cara baginda bersandar, kehidupannya, cara makannya, sifat rotinya, lauknya, wuduk sebelum makan, apa yang diucapkan sebelum dan selepas makan, bekas minumnya, buah-buahannya, minumannya, cara minumnya, cara baginda memakai wangian, cara bicaranya, cara ketawanya, gurauannya, perkataannya tentang syair, perbualannya di waktu malam, hadis Ummu Zar', cara tidurnya, ibadahnya, solat Dhuha, solat sunat di rumah, puasanya, bacaannya, tangisannya, tempat tidurnya, sifat tawaduknya, akhlaknya, sifat malunya, bekamnya, nama-namanya, usianya, kewafatannya, harta pusakanya, melihat baginda dalam mimpi.

6 - Al-Zuhd.

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “(Sebuah kitab) tersendiri yang tidak sampai kepada kami.”

7 - Al-Tarikh.

Ia disebut oleh Ibn al-Nadim dalam al-Fihrist, dan al-Sam'ani dalam al-Ansab, dan Ibn Hajar dalam Tahzib al-Tahzib.

8 - Al-Tafsir.

Ia disebut oleh al-Khazraji dalam Khulasah Tadhhib Tahdhib al-Kamal.

8 - Kitab al-Mawquf.

Al-Tirmizi menyebutnya dalam al-'Ilal al-Saghir, dan beliau mengumpulkan di dalamnya hadis-hadis mawquf.

9 - Al-Asma' wa al-Kuna.

Ia disebut oleh Ibn Hajar dalam al-Tahzib.

Adapun penisbahan kitab al-Jarh wa al-Ta'dil, dan kitab al-Ruba'iyyat fi al-Hadith kepada al-Tirmizi, maka ia adalah satu kesilapan.

Adapun kitab al-Jarh wa al-Ta'dil, al-Khalili telah berkata tentang al-Tirmizi: “Beliau mempunyai sebuah kitab tentang Sunan dan pandangan-pandangan dalam Jarh wa Ta'dil.” Maka tiada dalam ungkapan itu apa yang menunjukkan bahawa beliau telah mengarang sebuah kitab dalam Jarh wa Ta'dil, dan berkemungkinan bahawa pandangan-pandangan dalam Jarh wa Ta'dil itu adalah apa yang terkandung dalam al-Tarikh, al-Jami' dan al-'Ilal al-Kabir.

Akan tetapi ungkapan itu telah tersalah tulis (tashhif) dalam al-Bidayah wa al-Nihayah: lalu menjadi: “kitab dalam Jarh wa Ta'dil” sebagai ganti kepada: “pandangan-pandangan dalam Jarh wa Ta'dil.” Sebahagian penyelidik masa kini tidak menyedari tashhif ini, lalu terjatuh ke dalam kesilapan menisbahkan sebuah kitab dalam Jarh wa Ta'dil kepada al-Tirmizi.

Adapun al-Ruba'iyyat fi al-Hadith, maka ia bukanlah sebuah karangan al-Tirmizi, bahkan ia telah diekstrak daripada Jami' al-Tirmizi oleh al-Hafiz Yusuf bin Syahin, cucu Ibn Hajar.

Kematiannya

Al-Tirmizi menghabiskan seluruh usianya dalam berkhidmat kepada Sunnah dan ilmu-ilmunya. Beliau merupakan contoh dalam kewarakan dan rasa takut kepada Allah Ta'ala, sangat khusyuk dan banyak air matanya, sehingga tangisannya menyebabkan beliau kehilangan penglihatan. Beliau menjadi buta pada akhir usianya, dan kekal buta selama bertahun-tahun sehinggalah beliau berpindah ke sisi Tuhannya.

Apa yang disebutkan oleh majoriti para pengkaji dan ahli sejarah, serta yang mereka pegang ialah bahawa Imam al-Tirmizi meninggal dunia pada malam Isnin, 13 malam yang telah berlalu dari bulan Rejab tahun 279H.

Fakta ini telah dinyatakan oleh lebih daripada seorang ulama, antaranya ahli sejarah besar Abu al-Abbas al-Mustaghfiri, al-Hafiz Muhammad bin Ahmad Ghunjar dalam Tarikh Bukhara, al-Hafiz Yusuf bin Ahmad al-Baghdadi, al-Hafiz Ibn Makula, al-Mubarak bin al-Athir al-Jazari pengarang Jami‘ al-Usul, dan saudaranya Muhammad bin al-Athir pengarang al-Kamil fi al-Tarikh. Inilah yang dinukilkan oleh al-Hafiz al-Zahabi dalam al-Siyar, al-Hafiz al-Mizzi dalam Tahzib al-Kamal, al-Hafiz Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah, al-Hafiz Ibn Hajar dalam Tahzib al-Tahzib, dan selain mereka.

Al-Sam'ani menyebutkan dalam al-Ansab, pada tajuk nisbah al-Bughi, bahawa beliau meninggal dunia pada tahun 275H, dan pada nisbah al-Tirmizi bahawa beliau meninggal dunia pada tahun 270-an.

Al-Khalili berkata: “Beliau meninggal dunia selepas (tahun) 280H.”

Al-‘Iraqi berkata dalam Tarh al-Tathrib: “Ucapan al-Khalili dalam al-Irshad: ‘beliau meninggal dunia selepas (tahun) lapan puluh’, adalah tidak sahih. Yang sahih ialah yang pertama, iaitu tahun 279H.”

Pendapat pertama adalah yang menjadi pegangan para Huffaz sebagaimana yang telah dinyatakan, dan ia disahihkan oleh al-Hafiz Ibn Nuqtah dalam al-Taqyid, dan al-Is'ardi dalam Fadha’il al-Kitab al-Jami‘.

Kematian al-Tirmizi adalah di kampung Bugh yang merupakan sebuah kampung yang terdapat di Tirmiz, iaitu pada jarak enam farsakh daripadanya. Sesiapa yang berkata beliau meninggal dunia di Tirmiz, dia memaksudkan kota yang menjadi tempat kampungnya dikenali. Sesiapa yang berkata di Bugh, dia bertujuan untuk menyebutkan kedudukan yang lebih tepat, dan tiada percanggahan antara kedua-dua kenyataan itu.

Kubur Imam al-Tirmizi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan