Jumaat, 2 November 2012

Imam Al-Hafiz Ibnu ‘Asakir

Nama

Nama sebenar Imam Ibnu ‘Asakir adalah Ali bin Hasan bin Hibatullah bin Abdullah bin Husain bin 'Asakir As-Syafi’i

Kelahiran

Beliau  lahir di kota Damsyik pada tahun 499 H bersamaan 1104 M. Kelahiran beliau bersamaan  dengan penguasaan Dinasti Seljuk terhadap Dinasti Abbasiah, iaitu pada permulaan abad 6 H/12 Masehi.

Ayahnya adalah seorang ulama yang ahli fiqh mazhab as-Syafi’ dan beliau wafat 519 H/1125 M. Imam Ibnu Asakir mempunyai empat orang adik beradik (termasuk Ibnu Asakir), tiga orang lelaki dan seorang perempuan. Abangnya yang pertama bernama Hibatullah Al-Hasan al-Sha’in (w. 563 H/1167 M), seorang ahli fiqh yang thiqah. Abangnya yang kedua bernama Muhammad bin Al-Hasan, riwayat hidupnya hanya sedikit yang diketahui, namun ada yang mengatakan bahwa Muhammad menjadi Qadhi di Damsyik , mempunyai  anak yang ramai dan berkebolehan menjadi pengajar serta penyebar ilmu hadith. Sedangkan saudara perempuannya (tidak disebutkan namanya) pandai dalam bidang agama dan dunia, yang dinikahi Muhammad bin Ali bin al-Fath Al-Salami.

Menuntut ilmu

Imam Ibnu Asakir dibesarkan dalam keluarga yang berpendidikan tinggi. Beliau mula belajar ketika berumur 6 tahun kepada abangnya (Al-Sha’in) dalam bidang fiqh, dan dalam bidang bahasa dan sastera Arab di bawah bimbingan datuknya sendiri, Abu Al-Mufaddhal Al-Qurashi. Kedua-dua pakciknya iaitu Abu Al-Ma’ali Muhammad bin Yahya bin Ali Al-Qurashi (w.537 H), Abu Al-Makarim Sulthan bin Yahya (w. 530 H)  sangat berpengaruh terhadap keilmuan Imam Ibnu Asakir.

Sejak masa mudanya, beliau mendapat pengiktirafan dari ahli hadith di Damsyik, Baghdad, dan Khurasan. Ketika beliau berumur 20 tahun iaitu setelah ayahnya wafat, beliau mengembara ke negara-negara Islam untuk memperdalami ilmu hadith dan turut mengerjakan haji di Mekah. Setelah pulang ke Damaskus, beliau mengerjakan haji buat kali kedua dan ketiga pada tahun 519H dan 533H.
Imam al-Hafiz Ibnu Asakir mendengarkan (meriwayatkan) hadith dari 1300 guru lelaki dan 80 guru wanita yang tersebar di Baghdad, Mekah, Madinah, Naisabur, Tibriz, Baihaq, Heart, Azerbaijan, Ray, Sarkhas, Kufah, Hamadhan, dan tempat yang lain. Tidak dapat diketahui berapa tahun beliau mengembara di tempat-tempat itu, namun tercatat  bahawa beliau mengembara sehingga tahun 533 H. Beliau tergolong sebagai orang yang rajin menuntut ilmu hadith, bahkan setelah dikaruniakan anak yang bernama al-Qasim (sebab inilah Ibnu Asakir digelar Abi al-Qasim), beliau tetap pergi mencari ilmu.

Setelah tahun 533 H sampai 571 H, Ibnu Asakir menyibukkan dirinya dengan mengarang kitab, mengumpulkan hadith dan riwayat, serta mengajar hadith di masjid Umayyah, Damaskus, dan madrasah Dar al-Sunnah yang didirikan oleh al-Malik al-Adil Nur Al-Din Mahmud bin Zanki.

Karya-karyanya

Terdapat lebih kurang 51 buah hasil karya Imam Ibnu ‘Asakir, di antaranya:

1. Tarikh Dimasy(80 jilid)



2. Al-Muwafaqaah(2 jilid)

3. Gharaib Malik(10 jilid)

4. Al-Mu’jam(12 jilid)

5. al-Musalsalat

6. Tarikh al-Mazah

7. Mu’jam an-Niswan

8. Mu’jam as-Syuyukh wa an-Nubula 

9. Al-Mu’jam al-Musytamil ‘Ala Asma’ al-Kutub as-Sittah

10. Tabyin Kazib Al-Muftari Bi Ma Nusiba Illa Al-Imam Abu Hasan Al-Asy’ari



Sifat peribadi

Beliau tergolong dalam kalangan ulama yang wara’, tidak tergila-gilakan jawatan dan pangkat, sering mengingatkan dirinya sendiri akan pentingnya amar ma’ruf nahi munkar, menerima kunjungan sesiapa sahaja yang ingin bertemu dengannnya tanpa memilih orang tersebut, meskipun orang tersebut sultan atau orang biasa. Kehidupan Imam Ibnu Asakir  penuh dengan pengembaraan mencari ilmu, mengarang dan menyusun kitab serta mengajar.

Pujian para ulama kepada Imam Ibnu ‘Asakir

Ibnu Khalkan (w.681 H) memuji Imam Ibnu Asakir  dengan berkata : “Beliau adalah ahli fiqh mazhab Syafi’i, ahli hadith, pejuang hadith sejati yang pantang menyerah, pencari ilmu, penjaga agama, tutur katanya halus dan sopan, pengarang Tarikh Dimasyq sebanyak 80 jilid yang penuh dengan keajaiban.”

Kematian

Imam Ibnu ‘Asakir meninggal dunia sewaktu berusia 72 tahun iaitu pada tahun 571H bersamaan dengan masa awal pemerintahan Shalahuddin al-Ayyubi. Shalahuddin pun turut sama mengurus jenazah Imam Ibnu Asakir yang menjadi gurunya.

Kitab Tarikh Damsyik



Imam al-Hafiz Abi Al-Qasim Ibnu Asakir memberi nama kitab ini sebagai Tarikh Damsyik kerena di dalam kitab ini menerangkan mengenai keindahan kota Damsyik dan penduduknya walaupun orang yang hanya singgah sebentar di kota ini. Kitab ini merupakan kitab besar dan terlengkap setelah Tarikh Baghdad, bahkan Ibnu Khalkan berpendapat bahwa kitab ini dikarang hasil inspirasi dari Tarikh Baghdad karya al-Khatib al-Baghdadi.

Jilid awal Kitab Tarikh Damsyik ini menyebutkan Futuh al-Syam dan keindahannya. Manakala sebagian jilid kedua menceritakan orang-orang terkemuka dan termasyhur yang pernah memerintah kota Damsyik serta orang-orang yang pernah tinggal dan singgah sementara di kota tersebut. Mereka terdiri daripada ulama fiqh, Qadhi, dan ulama.

Metodologi penyusunan kitab Tarikh Dimasq

1. Disusun sama seperti kitab-kitab biografi yang lain, dimulai dengan orang yang bernama Ahmad sebelum nama Ibrahim.

2. Mendatangkan sanadnya dulu kemudian khabarnya.

3. Menyebutkan nama ayah,datuk, gelaran, kerakyatan setiap orang yang terdapat dalam kitab ini.

4. Dimulai dengan kisah pembebasan kota Syam.

Kitab ini telah diringkaskan oleh ramai ulama, antaranya diringkas oleh Syeikh Abdul Qadir Badran dengan membuang isnad dan perkara yang diulang-ulang di dalam kitab ini. Kitab ringkasan ini diberi judul Tahdzib Tarikh Ibnu Asakir.

Keistimewaan kitab Tarikh Dimasq

1. Periwayatan tidak disusun mengikut turutannya untuk sebahagian biografi.

2. Persamaan dengan Imam Khatib al-Baghdadi ialah al-Hafiz Ibnu ‘Asakir menyelesaikan Tarikh Dimasq pada tahun wafatnya iaitu tahun 571 H seperti selesainya Tarikh Baghdad pada tahun wafatnya Imam Khatib al – Baghdadi iaitu tahun 463 H.

4. Perbezaan Tarikh Dimasq dengan Tarikh Baghdad ialah  Tarikh Dimasq lebih luas perbahasannya, dimulai dengan kisah zaman jahiliyyah hingga masa al-Hafiz Ibnu Asakir  sendiri, berbeza dengan Tarikh Baghdad.


Ilmu Mustholah Hadith siri 1

Istilah-istilah asas ilmu hadith

1. Ilmu Mustholah Hadith : Ilmu tentang asas-asas dan kaedah-kaedah yang digunakan untuk mengetahui keadaan sanad dan matan hadith sama ada diterima atau ditolak.

2. Perkara yang menjadi perbahasan ilmu mustolah hadith : Perkara yang dijadikan perbahasan dalam ilmu mustolah hadith adalah sanad dan matan hadith, sama ada diterima atau ditolak.

3. Manfaat ilmu mustolah hadith : Dapat mengetahui hadith sahih dan hadith-hadith yang lemah.

4. Hadith

a. Menurut bahasa : Al-jadid(baru)

b. Menurut istilah : Sesuatu yang disandarkan kepada Nabi S.A.W, samada perkataan, perbuatan, taqrir(diamnya) mahupun sifatnya.

5. Khabar

a. Menurut bahasa : An-Naba’(berita)

b. Menurut istilah : Terdapat tiga pendapat :

1. Maksud yang sama dengan hadith : Sesuatu yang disandarkan kepada Nabi S.A.W, samada perkataan, perbuatan, taqrir(diamnya) mahupun sifatnya.

2. Maksud yang berbeza dengan hadith : Hadith berasal dari Nabi S.A.W, manakala khabar adalah selain daripada Nabi S.A.W.

3. Maksud yang lebih umum daripada hadith : Hadith berasal daripada Nabi S.A.W sedangkan khabar adalah sesuatu yang berasal daripada Nabi S.A.W mahupun selain daripada Nabi S.A.W.

6. Athar

a. Menurut bahasa : Sisa daripada sesuatu

b. Menurut istilah : Terdapat dua pendapat :

1. Maksud yang sama dengan hadith : Sesuatu yang disandarkan kepada Nabi S.A.W, samada perkataan, perbuatan, taqrir(diamnya) mahupun sifatnya.

2. Maksud yang berbeza dengan hadith : Sesuatu yang disandarkan kepada sahabat dan tabi’in, samada perkataan mahupun perbuatan.

7.  Perawi Hadis : Perawi hadith ialah orang yang menerima dan menyampaikan hadis daripada Rasulullah S.A.W.

8. Sanad

a. Menurut bahasa : al-Mu’tamad(tempat bersandar). Disebut seperti itu kerana hadith disandarkan kepada sanad.

b. Menurut istilah : Rangkaian para perawi hadith yang bersambung dengan matan.

8.. Isnad 

Terdapat dua maksud :

a. Mengembalikan hadith kepada yang mengatakannya(perawi), sebagai sandaran.

b. Urutan para perawi hadith yang bersambung dengan matan(teks hadith). Dengan makna ini, maka mas\ksud isnad adalah sama dengan sanad.

9. Matan

a. Menurut bahasa : Tanah yang keras

b. Menurut istilah : Perkataan terakhir dari sanad(teks hadith)

10. Musnad

a. Menurut bahasa : Menyandarkan kepada sesuatu

b. Menurut istilah : Setiap kitab yang di dalamnya mengandungi kumpulan hadith yang diriwayatkan oleh para sahabat menurut syarat tertentu.

11. Musnid : Orang yang meriwayatkan hadith dengan sanadnya, samada orang itu mengetahui ataupun tidak mengetahui hadith yang diriwayatkannya.

12. Muhaddith : Orang yang menceburi bidang hadith, samaada dari segi riwayah dan mahupun dirayah, mengetahui banyak riwayat hadith dan keadaan para perawi hadith.

13. Al-Hafiz 

Terdapat dua pendapat ;

a. Menurut ulama hadith, maksu hafiz sama dengan muhaddith.

b. Ada yang berpendapat martabat hafiz lebih tinggi daripada muhaddith kerana sorang hafiz lebih banyak mengetahui setiap perkara berkenaan hadith samada dari segi sanad dan matan hadith.

14. Hakim : Orang yang mengetahui seluruh hadith-hadith sehingga tidak ada perkara yang tidak diketahuinya melaikan amat sedikit.

Rujukan 

Taisir Mustholah al-Hadith karya Dr Mahmud Thohan






Khamis, 1 November 2012

Hujjatul Islam Imam Abu Hamid al-Ghazzali



*Ini bukan tulisan asal saya. Saya cuma sebarkan sahaja.

Imam al-Ghazzali, sebuah nama yang tidak asing di telinga kaum muslimin. Beliau merupakan tokoh yang terkemuka dalam bidang falsafah, fiqh dan tasawuf.  Beliau memiliki pengaruh dan pemikiran yang telah menyebar ke seantero dunia Islam. Ironisnya, sejarah dan perjalanan hidupnya masih terasa asing. Kebanyakan kaum muslimin belum mengengetahui secara mendalam mengenai hidup beliau. Berikut adalah sebagian daripada biografi beliau. Setiap kaum muslimin yang mengikutinya, hendaknya mengambil hikmah daripada sejarah hidup beliau.
Nama, Nasab dan Kelahiran beliau
Beliau bernama Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad at-Thusi. Beliau digelar Abu Hamid al-Ghazzali. Para ulama nasab berselisih dalam penyandaran nama Imam al-Ghazzali. Sebagian mengatakan bahawa penyandaran nama beliau kepada daerah Ghazalah di Thusi, tempat kelahiran beliau. Ini dikuatkan oleh al-Fayumi dalam al-Mishbah al-Munir.
Sebagian lagi mengatakan penyandaran nama beliau kepada al-Ghazzali kerana pekerjaan bapanya sebagai seorang penenun bulu biri-biri. Sehingga nisbatnya ditasydid (al-Ghazzali). Demikian pendapat Ibnul Atsir.
Dan dinyatakan bahawa Imam Nawawi berkata: “Tasydid dalam al-Ghazzali adalah yang benar.” Bahkan Ibnu Assam’ani mengingkari penyandaran nama yang pertama dan berkata: “Saya telah bertanya kepada penduduk Thusi tentang daerah al-Ghazalah, dan mereka mengingkari kewujudannya.”
Pendapat yang dijadikan pegangan oleh para ahli nasab mutaakhirin adalah pendapat Ibnul Atsir dengan tasydid(al-Ghazzali), iaitu penyandaran nama kepada pekerjaan dan keahlian(menenun bulu biri-biri) bapak dan datuknyanya.

Tarikh Kelahiran
Imam Ghazali dilahirkan di kota Tusi tahun 450H/1029M dan memiliki seorang saudara yang bernama Ahmad.

Kehidupan dan perjalanannya menuntut ilmu
Ayah Imam al-Ghazzali adalah seorang penenun kain shuf (kain yang dibuat dari bulu biri-biri) dan menjualnya di kota Tusi. Menjelang wafatnya, beliau mewasiatkan agar kedua-dua anaknya dijaga oleh seorang temannya daripada kalangan orang yang baik. Beliau berpesan: “Sungguh saya menyesal tidak belajar khat (ilmu menulis tulisan Arab) dan saya ingin memperbaiki apa yang telah saya alami kepada kedua anak saya ini. Maka saya mohon engkau mengajarinya, dan harta yang saya tinggalkan boleh digunakan untuk keduanya.”
Setelah meninggal, maka temannya tersebut mengajari kedua-duanya ilmu-ilmu Islam, hingga habislah harta peninggalan yang sedikit tersebut. Kemudian beliau meminta maaf kerana tidak dapat melanjutkan wasiat ayah Imam Ghazzali dengan harta benda yang dimilikinya. Beliau berkata, “Ketahuilah oleh kalian berdua, saya telah membelanjakan untuk kalian daripada harta kalian. Saya seorang fakir dan miskin yang tidak memiliki harta. Saya menganjurkan agar kalian berdua untuk masuk ke madrasah seolah-olah sebagai penuntut ilmua agar kamu dapat memperoleh makanan yang dapat membantu kalian berdua.”
Lalu, kedua-duanya melaksanakan anjuran tersebut. Inilah yang menjadi sebab kebahagiaan dan ketinggian mereka. Demikianlah diceritakan oleh al-Ghazzali, hingga beliau berkata, “Kami menuntut ilmu bukan karena Allah S.W.T , akan tetapi ilmu enggan(sukar diperolehi) kecuali hanya kerana Allah S.W.T.”
Imam al-Ghazzali menceritakan bahawa ayahnya seorang fakir yang soleh. Beliau tidak makan kecuali hasil pekerjaannya membuat pakaian daripada bulu biri-biri. Beliau sering mengujungi ahli fiqh dan berbincang dengan mereka. Apabila beliau mendengar perkataan mereka(ahli fiqh), beliau menangis dan berdoa memohon diberi anak yang faqih. Apabila hadir di majlis ceramah nasihat, beliau menangis dan memohon kepada Allah S.W.T agar diberikan anak yang alim dalam ilmu agama.
Allah S.W.T telah mengabulkan kedua-dua doa beliau tersebut. Imam al-Ghazzali menjadi seorang yang faqih dan saudaranya (Ahmad) menjadi seorang yang ahli dalam memberi nasihat.

Imam al-Ghazzali mula belajar ilmu-ilmu agama semenjak masih kecil lagi. Beliau mempelajari ilmu fiqh daripada Syaikh Ahmad bin Muhammad ar-Radzakani di kota Tusi. Kemudian, beliau berangkat ke Jurjan untuk mengambil ilmu daripada Imam Abu Nashr al-Isma’ili dan beliau mula menulis sebuah buku yang bertajuk at-Ta’liqat. Kemudian, beliau pulang semula ke Thusi.
Seterusnya, beliau pergi ke kota Naisabur dan berguru kepada Imam Haramain al-Juwaini dengan penuh kesungguhan sehingga beliau dapat menguasai dengan sangat baik fiqh mazhab Syafi’e, ilmu perdebatan, ilmu usul, ilmu mantiq, ilmu hikmah dan falsafah. Beliau dapat memahami perkataan para ahli ilmu tersebut dan membantah orang yang menyelisihinya.
Setelah Imam Haramain meninggal, Imam al-Ghazzali bertemu dengan Wazir Nidzamul Malik. Kemudian Nidzamul Malik mengangkat beliau menjadi tenaga pengajar di madrasahnya di Baghdad dan memerintahkannya untuk berpindah ke sana. Maka, pada tahun 484H beliau berangkat ke Baghdad dan mengajar di Madrasah an-Nidzamiyah dan beliau berusia 34 tahun ketika itu. Disinilah beliau menjadi terkenal dan mencapai kedudukan yang sangat tinggi.
Kitab-kitab karangan Imam al-Ghazzali
Antara kitab-kitab karangan Imam al-Ghazzali adalah:
Kitab Ihya' ulumuddin
1.    Ihya’ ulumuddin
Kitab Minhajul 'Abidin

2.    Minhajul ‘abidin
3.    Al-wajiz fi usul fiqh
Kitab Mukashafal al-Qulub

4.    Mukashafal al-qulub

5.    Tahafut al-falasifah
Kitab Bidayatul hidayah

6.    Bidayatul hidayah
Pengaruh falsafah dalam dirinya
Pengaruh falsafah dalam diri beliau begitu mendalam sehingga beliau dapat menyusun buku-buku yang mengkritik ahli falsafah yang menyeleweng, seperti kitab Tahafut Falasifah yang membongkar kesesatan ahli falsafah yang menyeleweng. Walaubagaimanapun, beliau tetap menyetujui mereka dalam beberapa hal.
Polemik Kejiwaan Imam Ghazali
Kedudukan dan ketinggian Imam al-Ghazzali ini tidak membuatkannya menjadi sombong dan cinta kepada dunia. Bahkan dalam jiwanya berkecamuk polemik (perang batin) yang membuat beliau jatuh cinta untuk menekuni ilmu-ilmu kezuhudan. Beliau menolak jabatan tinggi dan kembali kepada ibadah, melatih sifat ikhlas dan perbaikan jiwa. Pada bulan Zulkaedah tahun 488H, beliau menunaikan haji dan mengangkat saudaranya yang bernama Ahmad sebagai penggantinya.
Pada tahun 489H, beliau memasuki kota Damsyik dan tinggal di sana selama beberapa hari. Kemudian, beliau menziarahi Baitul Maqdis beberapa lama, dan kembali ke Damaskus beri’tikaf di menara barat masjid Jami’ Umawi. Beliau selalu duduk di tempat Syaikh Nashr bin Ibrahim al-Maqdisi di masjid Jami’ Umawi(yang sekarang dinamai al-Ghazaliyah). Beliau tinggal di sana dan menulis kitab Ihya Ulumuddin, al-Arba’in, al-Qisthas dan kitab Mahakkun Nadzar. Beliau melatih jiwanya dan memakai pakaian ahli sufi. Beliau tinggal di Syam sekitar 10 tahun.
Ibnu Asakir berkata: “Abu Hamid rahimahullah berhaji dan tinggal di Syam sekitar 10 tahun. Beliau menulis, bermujahadah dan tinggal di menara barat masjid Jami’ Umawi. Beliau turut mendengar kitab Sahih Bukhari dari Abu Sahl Muhammad bin Ubaidilah al-Hafshi.” (Dinukil oleh Imam Zahabi dalam Siyar A’lam Nubala 6/34).
Ibnu Khallakan berkata: “An-Nidzam (Nidzam Mulk) mengutusnya(Imam al-Ghazzali) untuk menjadi tenaga pengajar di madrasahnya di Baghdad tahun 484H. Beliau meninggalkan jawatannya pada tahun 488H lalu menjadi orang yang zuhud, berhaji dan tinggal menetap di Damsyik selama beberapa lama. Kemudian, beliau berpindah ke Baitul Maqdis, lalu ke Mesir dan tinggal selama beberapa lama di Iskandariyah. Kemudian, beliau kembali semula ke Thusi.” (Dinukil oleh Imam Zahabi dalam Siyar A’lam Nubala 6/34).
Ketika Wazir Fakhrul Mulk menjadi penguasa Khurasan, Imam al-Ghazzali telah dipanggil dan diminta untuk tinggal di Naisabur. Beliau datang ke Naisabur dan mengajar di madrasah an-Nidzamiyah. Setelah beberapa tahun mengajar di sana, beliau pulang semula ke negerinya untuk menekuni ilmu dan menjaga waktunya dengan beribadah. Beliau mendirikan sebuah madrasah berhampiran dengan rumahnya dan sebuah tempat untuk ahli-ahli sufi. Beliau menghabiskan sisa waktunya dengan mengkhatam al-Quran, berkumpul dengan ahli ibadah, mengajar para penuntut ilmu dan melakukan salat dan berpuasa serta ibadah-ibadah yang lain sehingga beliau meninggal dunia.
Masa Akhir Kehidupannya
Di akhir kehidupannya, beliau menghabiskan waktunya dengan mempelajari hadith dan berkumpul dengan para ahli hadith. Berkata Imam Zahabi: “Pada akhir kehidupannya, beliau tekun menuntut ilmu hadith dan berkumpul dengan ahlinya serta menelaah sahihain(Sahih Bukhari dan Muslim). Seandainya beliau berumur panjang, nescaya beliau dapat menguasai semuanya dalam waktu yang singkat. Beliau belum sempat meriwayatkan hadits dan tidak memiliki keturunan kecuali beberapa orang anak perempuan.”
Kajian Imam al-Ghazzali terhadap Sahih Bukhari dan Muslim di akhir hayat beliau sama sekali tidak menunjukkan bahawa beliau sebelumnya jauh dari Sunnah, kerana beliau sudah akrab dengan Sunnah sejak beliau mencari ilmu.
Imam Ibnu Jauzi menyampaikan kisah meninggalnya Imam al-Ghazzali dalam kitab ats-Tsabat Indal Mamat. Beliau menukil sebuah kisah yang diceritakan oleh Ahmad (saudara Imam al-Ghazzali). Beliau(Ahmad)berkata: “Pada subuh hari Isnin, saudaraku Abu Hamid berwudhu dan solat, lalu berkata, “Bawa kemari kain kafan saya.” Lalu beliau mengambil dan menciumnya serta meletakkannya di kedua matanya, dan berkata, “Saya patuh dan taat untuk menemui Malaikat Maut.” Kemudian beliau meluruskan kakinya dan menghadap kiblat. Beliau meninggal sebelum langit menguning(menjelang pagi hari). (Dinukil oleh Imam Zahabi dalam Siyar A’lam Nubala 6/34).
Imam Ghazzali meninggal dunia di kota Thus, pada hari Isnin t 14 Jamadilakhir tahun 505H/1084M dan dikuburkan di pekuburan at-Thabaran. (Thabaqat asy-Syafi’iyah 6/201).