Nama
Nama sebenar Imam Ibnu ‘Asakir adalah Ali bin Hasan bin
Hibatullah bin Abdullah bin Husain bin 'Asakir As-Syafi’i
Kelahiran
Beliau lahir di kota Damsyik pada tahun 499 H bersamaan
1104 M. Kelahiran beliau bersamaan dengan penguasaan Dinasti Seljuk
terhadap Dinasti Abbasiah, iaitu pada permulaan abad 6 H/12 Masehi.
Ayahnya adalah seorang ulama yang ahli fiqh mazhab as-Syafi’
dan beliau wafat 519 H/1125 M. Imam Ibnu Asakir mempunyai empat orang adik
beradik (termasuk Ibnu Asakir), tiga orang lelaki dan seorang perempuan.
Abangnya yang pertama bernama Hibatullah Al-Hasan al-Sha’in (w. 563 H/1167 M),
seorang ahli fiqh yang thiqah. Abangnya yang kedua bernama Muhammad bin
Al-Hasan, riwayat hidupnya hanya sedikit yang diketahui, namun ada yang
mengatakan bahwa Muhammad menjadi Qadhi di Damsyik , mempunyai anak yang
ramai dan berkebolehan menjadi pengajar serta penyebar ilmu hadith. Sedangkan
saudara perempuannya (tidak disebutkan namanya) pandai dalam bidang agama dan
dunia, yang dinikahi Muhammad bin Ali bin al-Fath Al-Salami.
Menuntut ilmu
Imam Ibnu Asakir dibesarkan dalam keluarga yang berpendidikan
tinggi. Beliau mula belajar ketika berumur 6 tahun kepada abangnya (Al-Sha’in)
dalam bidang fiqh, dan dalam bidang bahasa dan sastera Arab di bawah bimbingan
datuknya sendiri, Abu Al-Mufaddhal Al-Qurashi. Kedua-dua pakciknya iaitu Abu
Al-Ma’ali Muhammad bin Yahya bin Ali Al-Qurashi (w.537 H), Abu Al-Makarim
Sulthan bin Yahya (w. 530 H) sangat berpengaruh terhadap keilmuan Imam
Ibnu Asakir.
Sejak masa mudanya, beliau mendapat pengiktirafan dari ahli hadith
di Damsyik, Baghdad, dan Khurasan. Ketika beliau berumur 20 tahun iaitu setelah
ayahnya wafat, beliau mengembara ke negara-negara Islam untuk memperdalami ilmu
hadith dan turut mengerjakan haji di Mekah. Setelah pulang ke Damaskus, beliau
mengerjakan haji buat kali kedua dan ketiga pada tahun 519H dan 533H.
Imam al-Hafiz Ibnu Asakir mendengarkan (meriwayatkan) hadith
dari 1300 guru lelaki dan 80 guru wanita yang tersebar di Baghdad, Mekah,
Madinah, Naisabur, Tibriz, Baihaq, Heart, Azerbaijan, Ray, Sarkhas, Kufah,
Hamadhan, dan tempat yang lain. Tidak dapat diketahui berapa tahun beliau
mengembara di tempat-tempat itu, namun tercatat bahawa beliau mengembara
sehingga tahun 533 H. Beliau tergolong sebagai orang yang rajin menuntut ilmu
hadith, bahkan setelah dikaruniakan anak yang bernama al-Qasim (sebab inilah
Ibnu Asakir digelar Abi al-Qasim), beliau tetap pergi mencari ilmu.
Setelah tahun 533 H sampai 571 H, Ibnu Asakir menyibukkan
dirinya dengan mengarang kitab, mengumpulkan hadith dan riwayat, serta mengajar
hadith di masjid Umayyah, Damaskus, dan madrasah Dar al-Sunnah yang didirikan
oleh al-Malik al-Adil Nur Al-Din Mahmud bin Zanki.
Karya-karyanya
Terdapat
lebih kurang 51 buah hasil karya Imam Ibnu ‘Asakir, di antaranya:
1. Tarikh Dimasy(80 jilid)
2. Al-Muwafaqaah(2 jilid)
3. Gharaib Malik(10 jilid)
4. Al-Mu’jam(12 jilid)
5. al-Musalsalat
6. Tarikh al-Mazah
7. Mu’jam an-Niswan
8. Mu’jam as-Syuyukh wa an-Nubula
9. Al-Mu’jam al-Musytamil ‘Ala Asma’ al-Kutub as-Sittah
10. Tabyin Kazib Al-Muftari Bi Ma Nusiba Illa Al-Imam Abu
Hasan Al-Asy’ari
Sifat peribadi
Beliau tergolong dalam kalangan ulama yang wara’, tidak
tergila-gilakan jawatan dan pangkat, sering mengingatkan dirinya sendiri akan
pentingnya amar ma’ruf nahi munkar, menerima kunjungan sesiapa sahaja yang
ingin bertemu dengannnya tanpa memilih orang tersebut, meskipun orang tersebut
sultan atau orang biasa. Kehidupan Imam Ibnu Asakir penuh dengan
pengembaraan mencari ilmu, mengarang dan menyusun kitab serta mengajar.
Pujian para ulama kepada Imam Ibnu ‘Asakir
Ibnu Khalkan (w.681 H) memuji Imam Ibnu Asakir dengan
berkata : “Beliau adalah ahli fiqh mazhab Syafi’i, ahli hadith, pejuang hadith
sejati yang pantang menyerah, pencari ilmu, penjaga agama, tutur katanya halus
dan sopan, pengarang Tarikh Dimasyq sebanyak 80 jilid yang penuh dengan
keajaiban.”
Kematian
Imam Ibnu ‘Asakir meninggal dunia sewaktu berusia 72 tahun
iaitu pada tahun 571H bersamaan dengan masa awal pemerintahan Shalahuddin
al-Ayyubi. Shalahuddin pun turut sama mengurus jenazah Imam Ibnu Asakir yang
menjadi gurunya.
Kitab Tarikh Damsyik
Imam al-Hafiz Abi Al-Qasim Ibnu Asakir memberi nama kitab ini
sebagai Tarikh Damsyik kerena di dalam kitab ini menerangkan mengenai keindahan
kota Damsyik dan penduduknya walaupun orang yang hanya singgah sebentar di kota
ini. Kitab ini merupakan kitab besar dan terlengkap setelah Tarikh Baghdad,
bahkan Ibnu Khalkan berpendapat bahwa kitab ini dikarang hasil inspirasi dari
Tarikh Baghdad karya al-Khatib al-Baghdadi.
Jilid awal Kitab Tarikh Damsyik ini menyebutkan Futuh al-Syam
dan keindahannya. Manakala sebagian jilid kedua menceritakan orang-orang
terkemuka dan termasyhur yang pernah memerintah kota Damsyik serta orang-orang
yang pernah tinggal dan singgah sementara di kota tersebut. Mereka terdiri
daripada ulama fiqh, Qadhi, dan ulama.
Metodologi penyusunan kitab Tarikh Dimasq
1. Disusun sama seperti kitab-kitab
biografi yang lain, dimulai dengan orang yang bernama Ahmad sebelum nama
Ibrahim.
2. Mendatangkan sanadnya dulu kemudian
khabarnya.
3. Menyebutkan nama ayah,datuk, gelaran,
kerakyatan setiap orang yang terdapat dalam kitab ini.
4. Dimulai dengan kisah pembebasan kota Syam.
Kitab ini telah diringkaskan oleh ramai ulama, antaranya
diringkas oleh Syeikh Abdul Qadir Badran dengan membuang isnad dan perkara yang
diulang-ulang di dalam kitab ini. Kitab ringkasan ini diberi judul Tahdzib
Tarikh Ibnu Asakir.
Keistimewaan kitab Tarikh Dimasq
1. Periwayatan tidak disusun mengikut turutannya untuk
sebahagian biografi.
2. Persamaan dengan Imam Khatib al-Baghdadi ialah al-Hafiz
Ibnu ‘Asakir menyelesaikan Tarikh Dimasq pada tahun wafatnya iaitu tahun 571 H
seperti selesainya Tarikh Baghdad pada tahun wafatnya Imam Khatib al – Baghdadi
iaitu tahun 463 H.
4. Perbezaan Tarikh Dimasq dengan Tarikh Baghdad ialah
Tarikh Dimasq lebih luas perbahasannya, dimulai dengan kisah zaman jahiliyyah
hingga masa al-Hafiz Ibnu Asakir sendiri, berbeza dengan Tarikh Baghdad.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan