Serorang ulama dan ahli bahasa yang
tersohor dari negara Mauritania
iaitu Syeikh Muhammad Salim al-‘Udud telah menghadiri satu perjumpaan di antara
para ulama di peringkat antarabangsa di Kaherah, Mesir. Setelah perjumpaan selesai,
Syeikh Muhammad Salim telah keluar bersama dengan seorang ulama Mesir untuk
makan malam dan saling berbual-bual.
Dalam perbualan tersebut, mereka saling berbual mengenai perbezaan antara
negara Mauritania , sebuah
negara yang miskin yang terletak di Gurun Sahara
dengan negara Mesir, sebuah negara yang moden. Kedua-dua ulama tersebut
berbincang mengenai cara menuntut ilmu di kedua-dua buah negara tersebut dan
ini menyebabkan ulama Mesir tersebut berseloroh dengan bertanya kepada ulama Mauritania tersebut: “Antara ulama Mauritania
dengan ulama Mesir, yang mana satukah yang lebih alim?”
Sebagai menjawab soalan tersebut,
Syeikh Muhammad Salim menjawab: “Ulama kamu lebih alim sewaktu siang hari dan
ulama kami lebih alim di malam hari.”
Oleh kerana mencabarnya kehidupan di
Gurun Sahara dan sukarnya untuk mendapatkan buku kerana sering dilanda ribut
pasir, para ulama Mauritania
telah mengamalkan satu tradisi iaitu menghafal segala pelajaran yang
dipelajari. Apabila anda melawat madrasah-madrasah yang terdapat di Mauritania , anda akan mendapati di sana tidak terdapat
perpustakaan yang besar di mana para pelajar melakukan kajian dan menekuni
ilmu. Apabila anda membaca buku-buku bahasa Arab yang membincangkan mengenai
cara-cara menuntut ilmu, anda akan mendapati bahawa terdapat dua cara menuntut
ilmu yang biasa diamalkan di dalam dunia Islam iaitu :
1. Cara
tanqih dan mutala’ah iaitu dengan cara membaca dengan teliti kitab-kitab turath
yang muktabar selepas menguasai ilmu-ilmu asas Islam di bawah bimbingan para
ulama. Cara ini banyak dipakai di dunia Islam seperti di negara Mesir, Syiria , Jordan ,
Lubnan, Hijaz , India
dan Indonesia .
Kebanyakkan para pelajar di negara tersebut menggunakan cara ini.
2. Cara
hafiz dan itqan iaitu dengan cara menghafal dan menguasai setiap matapelajaran
yang dipelajari. Cara yang kurang terkenal ini, kebanyakkannya digunakan di
negara Mauritania , Senegal , Mali dan negara-negara utara
Afrika.
Kelebihan dan kekurangan
Kedua-dua cara ini mempunyai
kelebihan dan kekurangan masing-masing.
Cara tanqih dan mutala’ah
Kelebihan
1. Para pelajar dapat mengetahui banyak perkara secara
teliti kerana dapat membaca banyak karya para ulama.
2. Cara
ini membolehkan para pelajar dan ulama mengkaji perkara-perkara tertentu dan
dapat mengetahui hujah dan pandangan ulama silam.
3. Cara
ini dapat menghubungkan para pelajar dengan ulama silam.
Kekurangan
1. Tanpa cara yang betul, para
pelajar tidak dapat mengambil manfaat daripada buku yang dibaca.
2. Ramai orang yang membaca buku
tanpa menguasai ilmu-ilmu asas yang akhirnya membuatkan mereka mempunyai
kefahaman yang salah.
3. Kewujudan buku menyebabkan daya
hafalan seseorang menjadi lemah. Para ulama
yang alim pada waktu siang adalah ulama yang perlu merujuk pada bukunya dan
jika tanpa buku, contohnya pada malam hari, mereka tidak dapat merujuk pada
bukunya,
4. Dengan cara ini, para pelajar
kurang menghafal pelajaran yang dipelajarinya. Jadi para pelajar memerlukan
masa yang banyak untutk melakukan ulangkaji setiap pelajaran yang dipelajarinya
kerana pelajaran tersebut tidak disimpan di ingatan jangka panjangnya.
Kaedah hafiz dan itqan
Kelebihan
1. Para
pelajar dapat menumpukan perhatian dengan menguasai ilmu-ilmu asas dengan cara
menghafal matan-matan ilmu berbanding dengan cara mengkaji berpuluh-puluh buah
buku. Ini membolehkan pelajar tersebut dapat mengajar orang lain pada bila-bila
masa sahaja kerana pelajaran yang dipelajarinya tersimpan di ingatan jangka
panjangnya,
2. Cara ini membuatkan para pelajar
mempunyai masa untuk menumpukan perhatian dan fokus pada pelajarannya.
3. Para
pelajar dapat menjimatkan masa kerana tidak perlu mengulang kaji kerana
segalanya telah tersimpan di ingatannya.
Kekurangan
1. Cara ini memerlukan masa yang banyak dan
membosankan.
2. Para
pelajar terpaksa juga bergantung kepada kitab-kitab yang mensyarah matan-matan
tersebut untuk mendapat kefahaman yang lebih mendalam.
3. Kebanyakan orang terlalu lemah
untuk menggunakan cara ini dalam tempoh yang lama.
Kesimpulannya, para pelajar perlu
mengabungkan kedua-dua cara ini untuk mendapat manfaat yang lebih banyak.
Bagaimana cara menghafal?
Secara ringkas, kita akan menerangkan
cara menghafal yang biasa digunakan di negara Mauritania supaya kita dapat
mengambil manfaat.
Cara menghafal yang terdapat di Mauritania
terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu:
1. Cara menghafal al-Quran
2. Cara menghafal matan-matan ilmu
3. Mengulangkaji secara berkumpulan
sebagai bantuan untuk mengingat
Oleh kerana cara menghafal al-Quran
dan matan-matan ilmu mempunyai persamaan, maka kita jelaskan dalam satu
bahagian.
Bagaimana untuk mula menghafal?
Sebelum kita menerangkan cara untuk
menghafal, terdapat beberapa perkara yang ingin digariskan :
1. Menghafal sebenarnya mudah.
Cabaran yang sebenar ialah untuk mengingat kembali setiap perkara yang kita
hafal.
2. Matlamat kita adalah untuk
membolehkan kita memasukkan setiap perkara yang kita hafal, samaada ayat
al-Quran mahupun matan-matan ilmu kedalam ingatan jangka panjang. Dalam bahasa
yang mudah, kita mahu menghafal segalanya dan dapat mengingat segalanya dengan
mudah sebagaimana kita mengingat surah al-Fatihah.
3. Kebiasaanya di Mauritania dan
Afrika Utara, mereka menghafal dengan menggunakan sekeping papan kayu yang
dipanggil lahwah. Jika kamu menghafal dengan cara ini, kamu akan lebih mudah
untuk menghafal. Malah warna coklat papan kayu tersebut lebih membuatkan mata
kita lebih rilek.
4. Cuba dapatkan kertas yang berwarna
coklat dan tulis apa yang anda ingin hafal di atas kertas tersebut.
5. Anda juga memerlukan tasbih untuk
memudahkan anda mengira bilangan ulangan.
Selepas anda menyediakan semuanya,
maka anda sudah bersedia untuk memulakan hafalan.
Bagaimana cara untutk melakukannya
1. Tulis tiga atau empat ayat
al-Quran yang anda ingin hafal di atas kertas dengan tulisan yang anda dapat
baca dengan baik. Jika anda ingin menghafal matan seperti Arbain
Nawawiyah(iaitu dalam bentuk hadith), maka anda hanya perlu menghafal satu
hadith dalam masa sehari dan jika anda ingin menghafal matan-matan lain
berkenaan fiqh atau nahu yang dalam bentuk syair, maka anda hanya perlu
menghafal empat bait syair sahaja dalam
masa sehari. Untuk menghafal al-Quran dengan menggunakan kaedah ini,
maka sebelum anda mula menghafal, anda perlu membaca ayat yang anda ingin hafal
tersebut di hadapan seorang guru bagi mengelakkan berlakunya kesilapan.
2. Baca ayat-ayat al-Quran atau syair
tersebut dengan suara yang kuat sambil anda melihat kepada tulisan tersebut.
Baca dan baca sehingga anda mampu membaca tanpa melihat kepada tulisan
tersebut.
3. Selepas menghafal syair tersebut,
teruskan mengulang-gulang apa yang telah anda hafal tersebut sebanyak 300 kali
dengan mengunakan bantuan alat pengira. Jika anda menghafal ayat-ayat al-Quran,
maka anda perlu mengulangnya sebanyak 500 kali. Di Mauritania, mereka akan
mengulang-gulang setiap muka surat
al-Quran sebanyak 500 kali. Anda boleh mengulang-gulang ayat-ayat tersebut
kurang dari 500 kali tetapi anda akan memerlukan masa yang lebih untuk
mengulang kembali ayat tersebut pada masa yang lain untuk mengelakkan anda
melupakan ayat tersebut.
4. Baca bait syair tersebut sambil
melihat kertas tersebut beberapa kali untuk memastikan tidak ada perkataan yang
anda tertinggal dan untuk mengelak berlakunya kesilapan.
5. Anda tidak perlu membaca syair
tersebut sebanyak 300 kali dalam satu-satu masa. Mungkin anda boleh
mengulang-gulang membaca syair tersebut sebanyak 100 kali dan anda berhenti
untuk berehat kemudian sambung mengulang-gulang semula syair tersebut sehingga
mencukupi bilangan 300 kali. Kebiasaanya anda memerlukan 3 jam untuk mengulang
bait-bait syair tersebut sebanyak 300 kali dan anda memerlukan 4 jam setengah
untuk mengulang satu muka al-Quran sebanyak 500 kali.
6. Setelah berjaya mengulang sebanyak
300 kali, anda bolehlah berehat. Anda sudah berjaya untuk hari pertama.
7. Untuk hari yang kedua, anda akan
menghafal bait syair yang baru yang anda perlu ulang sebanyak 300 kali.
Walaubagaimanapun, setelah anda selesai mengulang bait syair yang baru sebanyak
300 kali, anda masih perlu mengulang bait syair yang dihafal semalam sebanyak
150 kali.
8. Pada hari ketiga, anda akan
menghafal bait syair yang baru sebanyak 300 kali dan anda perlu mengulang bait
syair semalam(hari kedua) sebanyak 150 kali dan baik syair pada hari pertama
sebanyak 50 atau 75 kali.
9. Pada hari keempat, anda akan
menghafal bait syair yang baru sebanyak 300 kali dan anda juga perlu mengulang
bait syair semalam(hari ketiga) sebanyak 150 kali, bait syari hari kedua
sebanyak 50 atau 75 kali dan bait syair hari pertama sebanyak 10 kali.
Dengan cara ini, anda hanya
memerlukan masa yang singkat untuk mengingati segala yang anda telah hafal
kerana segalanya telah masuk ke dalam memori jangka panjang. Anda juga
dikehendaki membaca dari awal syair sehingga ke akhir sebanyak 5 atau 10 kali
untuk membolehkan anda mengaitkan antara bait syair yang anda hafal secara
terpisah.
Seterusnya?
Setelah selesai menghafal, para
pelajar akan duduk di hadapan syeikh untuk mendengar penerangan bagi bait syair
yang telah dihafal. Kemudian, pelajar tersebut akan menulis penerangan yang
telah diberikan oleh syeikh dan penerangan tersebut akan turut dihafal.
Bagaimana?
Para pelajar akan cuba memahami penerangan yang telah
diberikan oleh syeikh berkenaan dengan bait-bait syair yang telah dihafal.
Kemudian pelajar tersebut akan menerangkan kembali maksud bait-bait syair
tersebut berdasarkan pemahamannya sendiri. Pada hari kedua, para pelajar akan
mengulang bait syair yang telah dihafal pada hari yang pertama sebanyak 150
kali. Setiap kali selesai mengulang bait syair tersebut sebanyak 10 kali,
pelajar tersebut akan menerangkan maksud bait syair tersebut berdasarkan
pemahamannya sendiri. Cara ini akan berterusan untuk setiap syair yang telah
dihafal pada hari pertama, kedua, ketiga dan keempat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan