Ahad, 31 Januari 2016
Status Hadis: Aku Adalah Khazanah Yang Tersembunyi
Khamis, 28 Januari 2016
Pengertian Hadis, Sunnah, Khabar dan Athar
Ada dua pendapat tentangnya:
(i) Hadis ialah sesuatu yang disandarkan pada
nabi sallahu ‘alaihi wasallam sama ada perkataan, perbuatan, pengakuan (taqrir),
sifat khalqiyyah (rupa bentuk nabi) atau sifat khuluqiyyah
(akhlak nabi).
Maksud pengakuan di sini adalah persetujuan
atau pengiktirafan nabi sallahu 'alaihi wasallam terhadap sesuatu
perbuatan sahabat.
Berdasarkan takrif ini, hadis hanya khusus
kepada nabi sallahu ‘alaihi wasallam sahaja.
(ii) Sesuatu yang disandarkan kepada nabi sallahu
‘alaihi wasallam, sahabat atau tabi’in.
Sesuatu yang disandarkan kepada Nabi sallahu
‘alaihi wasallam dipanggil hadis marfu’, untuk sahabat dipanggil
hadis mauquf dan untuk tabi’in pula dipanggil hadis maqthu’.
2 - Sunnah:
Ada dua pandangan tentangnya:
(i) Sunnah ialah sesuatu yang disandarkan pada
Nabi sallahu ‘alaihi wasallam sahaja.
Sebahagian ulama berpendapat bahawa hadis
membawa maksud kata-kata dan perbuatan nabi sallahu ‘alaihi wasallam
sahaja, manakala sunnah pula lebih umum daripada hadis di mana sunnah mencakupi
seluruh aspek berkaitan nabi sallahu ‘alaihi wasallam seperti kata-kata,
perbuatan, pengakuan, sifat luaran (fizikal) mahupun dalaman (akhlak) serta
diam dan bergerak baginda.
(ii) Sunnah merangkumi sesuatu yang
disandarkan kepada nabi sallahu ‘alaihi wasallam, sahabat dan tabi’in.
3 - Khabar:
Ada tiga pendapat mengenainya:
(i) Sama seperti hadis.
(ii) Berbeza daripada hadis: Hadis adalah
sesuatu yang disandarkan kepada nabi, manakala khabar adalah sesuatu yang
disandarkan kepada selain nabi iaitu sahabat dan tabi’in.
(iii) Lebih umum daripada hadis: Hadis adalah
sesuatu yang datang daripada nabi manakala khabar adalah sesuatu yang datang
daripada nabi atau selain daripada nabi. Jadi, semua hadis adalah khabar tetapi
bukan semua khabar adalah hadis.
4 - Athar:
Ada empat pendapat mengenainya:
(i) Sama seperti hadis. Oleh itu, hadis,
khabar dan athar membawa maksud yang sama.
(ii) Berbeza daripada hadis: Hadis adalah apa
yang disandarkan kepada nabi sallahu ‘alaihi wasallam manakala athar pula
adalah sesuatu yang disandarkan kepada sahabat atau tabi’in sama ada
perkataan atau perbuatan. Takrif ini sama seperti takrif kedua bagi khabar.
(iii) Lebih umum daripada hadis: Meliputi apa
yang disandarkan kepada nabi sallahu ‘alaihi wasallam, sahabat dan tabi’in.
(iv) Pendapat fuqaha Khurasan: Athar adalah
apa yang disandarkan kepada sahabat manakala khabar adalah apa yang disandarkan
kepada nabi sallahu ‘alaihi wasallam.
Rujukan:
1 - Al-Madkhal Ila Dirasah ‘Ulum al-Hadis
oleh Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.
2 - Al-Mu'jam al-Mustholahat al-Hadithiyyah
oleh Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri
3 - Bulugh al-Amal Min Mustholah al-Hadith
Wa al-Rijal oleh Dr Muhammad Mahmud Ahmad Bakkar.
4 - Mustholah al-Hadith al-Muyassar
oleh Dr Muhammad Khafidz Soroni, Suryani Sudi dan Rosni Wazir.
5 - Taisir Mustholah al-Hadith Wa 'Ulumuh
oleh Dr Ali Abdul Basit Mazid.
6 - Ulum al-Hadith Asiluha Wa Mu'asiruha
oleh Dr Muhammad Abu Laith al-Khairabadi.
*Tulisan ini saya telah kemas kini semula pada 25/7/2021. Alhamdulillah. Semoga bermanfaat.
Selasa, 12 Januari 2016
Hadis rahsiakan pertunangan
Sabtu, 9 Januari 2016
Hati-hati mengkritik orang
Jumaat, 8 Januari 2016
Hadis Tentang Bersin
Hadis Pertama
Daripada
Abu Hurairah, daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, baginda
bersabda:
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْعُطَاسَ
وَيَكْرَهُ التَّثَاؤُبَ فَإِذَا عَطَسَ أَحَدُكُمْ وَحَمِدَ اللَّهَ كَانَ حَقًّا
عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ سَمِعَهُ أَنْ يَقُولَ لَهُ يَرْحَمُكَ اللَّهُ وَأَمَّا
التَّثَاؤُبُ فَإِنَّمَا هُوَ مِنْ الشَّيْطَانِ فَإِذَا تَثَاءَبَ أَحَدُكُمْ
فَلْيَرُدَّهُ مَا اسْتَطَاعَ فَإِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا تَثَاءَبَ ضَحِكَ مِنْهُ
الشَّيْطَانُ.
“Sesungguhnya Allah menyukai bersin dan membenci menguap.
Apabila seorang itu bersin maka pujilah Allah. Menjadi tanggungjawab seorang
yang mendengar saudaranya (saudara seIslam) bersin untuk mendoakannya dengan berkata:
يَرْحَمُكَ اللَّهُ
Semoga
Allah merahmati kamu.
Adapun
menguap, ia daripada syaitan. Apabila seorang itu menguap hendaklah dia
menahan semampu yang ia boleh. Apabila dia menguap maka syaitan akan
mentertawakannya.”
Riwayat
al-Bukhari (no. 6223 & 6226).
Pengajaran
Hadis:
1 – Hadis
ini menunjukkan bahawa bersin adalah perbuatan yang terpuji kerana ia dapat
menghilangkan penyakit daripada badan manusia. Ia adalah nikmat yang besar yang
dikurniakan oleh Allah kepada manusia. Oleh itu hendaklah ia bersegera memuji
Allah atas nikmat tersebut.
2 – Selain
itu, hadis ini juga menzahirkan bahawa menguap itu adalah perbuatan yang
dicela. Menguap itu berpunca daripada perut yang dipenuhi oleh makanan.
Syaitanlah yang menghasut dan memujuk manusia untuk mengikut hawa nafsunya
sehingga makan berlebihan lalu memenuhi dan memberatkan perutnya sampai
membuatkan dia mengantuk dan menguap. Oleh itu dikatakan perbuatan menguap itu
berpunca daripada syaitan dan bukan kerana syaitan itu berkuasa menjadikan
seorang itu menguap.
3 – Syaitan
suka melihat manusia menguap kerana pada waktu itu wajahnya berubah lalu
syaitan akan mengetawakannya.
4 – Digalakkan
mendoakan orang yang bersin bagi orang yang mendengarnya bersin. Hukumnya
adalah sunat muakkad. Lebih elok lagi sekirannya semua orang yang mendengar
bersin itu mendoakannya, tidak hanya seorang sahaja yang mendoakannya. Sebahagian
ulama mazhab Maliki mewajibkan untuk mendoakan orang yang memuji Allah setelah
dia bersin.
5 – Anjuran
untuk berusaha menutup mulut ketika menguap atau meletakkan tangan ke atasnya.
6 – Dorongan
untuk menjauhi setiap perkara yang disukai oleh syaitan.
7 – Galakan
untuk mendapatkan sebab-sebab yang mendorong kepada bersin iaitu badan yang
ringan dan cergas yang berpunca daripada tidak makan secara kenyang yang berlebihan.
8 –
Menjauhi perkara-perkara yang menyebabkan menguap seperti bermalas-malasan dan
makan berlebihan sehingga memberatkan badan.
9 – Memupuk
sikap berkasih sayang dan saling mendoakan sesama Muslim.
Hadis
Kedua
Anas bin
Malik meriwayatkan:
Dua orang
lelaki telah bersin di sisi Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Rasulullah
mendoakan salah seorang lelaki tersebut dan tidak mendoakan lelaki yang lain.
Maka
seseorang bertanya: “Wahai Rasulullah, dua orang lelaki telah bersin di
sisimu. Kamu telah mendoakan salah seorang lelaki tersebut dan tidak mendoakan lelaki
yang lain.”
Rasulullah
bersabda:
إِنَّ هَذَا حَمِدَ اللَّهَ عَزَّ
وَجَلَّ فَشَمَّتُّهُ، وَإِنَّ هَذَا لَمْ يَحْمَدِ اللَّهَ فَلَمْ أُشَمِّتْهُ.
“Sesungguhnya
lelaki ini telah memuji Allah (setelah bersin), maka aku mendoakannya. Dan
lelaki ini tidak memuji Allah, maka aku tidak mendoakannya.”
Riwayat al-Bukhari (no. 6221
& 6225) dan
Muslim (no. 2991).
Pengajaran
Hadis:
1 – Doa
bagi orang yang bersin itu hanya sekiranya dia memuji Allah setelah bersin.
Namun sekiranya dia tidak memuji Allah maka dia tidak layak untuk didoakan.
2 –
Hendaklah orang yang bersin itu menguatkan ucapan pujian kepada Allah agar dia
didoakan oleh orang lain.
3 –
Harus untuk menanyakan sebab bagi sesuatu hukum dan keperluan menjelaskan
sebabnya bagi orang yang ditanya sekiranya ada manfaat bagi menjawabnya.
4 –
Memuliakan orang yang melakukan ketaatan dan mengabaikan orang yang meninggalkan
sunnah supaya dia sedar akan kesalahannya.
Hadis Ketiga
Abu
Hurairah berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا عَطَسَ وَضَعَ يَدَهُ، أَوْ ثَوْبَهُ عَلَى
فِيهِ، وَخَفَضَ، أَوْ غَضَّ بِهَا صَوْتَهُ.
“Apabila Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersin, baginda meletakkan tangannya atau kain bajunya ke mulutnya (untuk menutupnya) sambil
memperlahankan suaranya (bunyi bersin).”
Riwayat Abu Daud (no. 5029) dan al-Tirmizi (no. 2746). Al-Tirmizi berkata: “Hadis ini hasan sahih.” Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fath al-Bari mengatakan sanadnya baik (jayyid)."
Pengajaran Hadis:
1 – Hadis
ini menjelaskan adab bagi orang yang bersin. Hendaklah dia meletakkan tangannya
atau sesuatu yang lain seperti sapu tangan atau tisu pada mulut dan hidungnya
supaya air liur atau hingusnya tidak merecik kepada orang yang berada di
sampingnya.
2 –
Menahan diri daripada menyakiti dan memudaratkan Muslim yang lain adalah suatu
kewajipan.
3 –
Antara adab orang yang bersin juga hendaklah dia berusaha sehabis mungkin untuk
merendahkan suaranya ketika bersin. Namun jika dia tidak mampu menahan suaranya
maka tidak menjadi suatu kesalahan baginya.
Hadis Keempat
Abu Musa
berkata:
"Orang
Yahudi berusaha untuk bersin ketika berada bersama Rasulullah sallahu
‘alaihi wasallam. Mereka berharap agar baginda akan mendoakan mereka:
يَرْحَمُكُم
الله
Semoga Allah merahmati kamu.
Namun sebaliknya baginda mendoakan mereka dengan berkata:
يَهْدِيكُمُ
اللهُ ويُصْلِحُ بَالَكُمْ.
Semoga
Allah memberi petunjuk kepadamu dan memperbaiki keadaanmu.”
Riwayat Abu Daud (no. 5038) dan al-Tirmizi (no. 2739). Al-Tirmizi berkata: “Hadis ini hasan sahih.” Imam al-Nawawi dalam al-Azkar mengatakan sanadnya sahih.
Pengajaran Hadis:
1 –
Tidak boleh mendoakan rahmat melainkan untuk orang Muslim. Begitu juga tidak boleh
mendoakan orang kafir yang bersin dengan doa yang khusus bagi Muslim.
2 – Harus
untuk mendoakan orang kafir agar dia mendapat hidayah dan diperbaiki keadaannya
supaya dia akan terhindar dari kekufuran.
3 –
Orang Yahudi secara diam-diam mengakui kenabian Rasulullah sallahu ‘alaihi
wasallam. Oleh itu mereka berusaha untuk mendapatkan doa baginda. Namun
mereka tidak mahu mengakuinya kerana sifat sombong mereka.
4 –
Orang Yahudi di hadapan orang Islam sengaja menzahirkan seolah-olah mereka
mengikuti syariat orang Islam sedangkan pada hakikatnya mereka melakukan
sedemikian demi kepentingan peribadi mereka.
Hadis Kelima
Diriwayatkan
daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, baginda
bersabda:
إِذَا عَطَسَ أَحَدُكُمْ
فَلْيَقُلْ: الحَمْدُ لِلَّهِ، وَلْيَقُلْ لَهُ أَخُوهُ أَوْ صَاحِبُهُ:
يَرْحَمُكَ اللَّهُ، فَإِذَا قَالَ لَهُ: يَرْحَمُكَ اللَّهُ، فَلْيَقُلْ:
يَهْدِيكُمُ اللَّهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ.
“Apabila salah seorang daripada kamu bersin, maka hendaklah dia memuji Allah.
Hendaklah
saudaranya (saudara seIslam) atau sahabatnya mendoakannya:
يَرْحَمُكَ اللَّهُ
Semoga
Allah merahmati kamu.
Jika ada orang yang mendoakan orang
yang bersin itu dengan berkata
يَرْحَمُكَ اللَّهُ, maka hendaklah orang yang bersin itu
mendoakan semula dengan berkata:
يَهْدِيكُمُ اللَّهُ وَيُصْلِحُ
بَالَكُمْ.
Semoga Allah memberi petunjuk kepadamu dan memperbaiki keadaanmu.
Hadis
riwayat al-Bukhari (no. 6224).
Pengajaran Hadis:
1 –
Hadis ini sama seperti hadis-hadis sebelum ini yang menggalakkan memuji Allah
setelah bersin dan mendoakan orang yang bersin sekirannya dia memuji Allah setelah
bersin.
2 –
Dalam hadis ini juga terdapat anjuran bagi orang yang bersin agar mendoakan
semula orang yang telah mendoakannya.
3 – Para
ulama berbeza pendapat tentang lafaz memuji Allah setelah bersin kerana
terdapat beberapa riwayat tentangnya. Saya sebutkan sebahagiannya:
a – Dalam
riwayat al-Bukhari (no. 6224):
الْحَمْدُ لِلَّهِ.
“Segala puji bagi Allah.”
b – Dalam
riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (no. 934):
الْحَمْدُ
لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ.
“Segala puji bagi Allah Tuhan sekelian alam.”
c –
Dalam riwayat al-Tirmizi (no. 2738):
الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ.
“Segala puji bagi Allah, dalam setiap
keadaan.”
d – Dalam
riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (no. 926):
الْحَمْدُ
لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ عَلَى كُلِّ حَالٍ مَا كَانَ.
“Segala puji bagi Allah Tuhan sekelian alam,
dalam setiap keadaan.”
Bolehlah
dipilih mana-mana lafaz yang ingin diamalkan.
4 –
Begitu juga terdapat beberapa lafaz doa bagi orang yang bersin:
a - يَرْحَمُكَ
اللَّهُ
“Semoga Allah merahmati kamu.”
b - الْحَمْدُ
لِلَّهِ، يَرْحَمُكَ اللَّهُ
“Segala puji bagi Allah.
Semoga Allah merahmati kamu.”
c - يَرْحَمُنَا
اللَّهُ وَإِيَّاكُمْ
“Semoga
Allah merahmati kami dan kamu.”
5 – Doa orang yang bersin untuk
orang yang mendoakannya juga terdapat pelbagai lafaz:
a - يَهْدِيكُمُ اللَّهُ وَيُصْلِحُ
بَالَكُمْ
“Semoga Allah memberi petunjuk kepadamu dan memperbaiki
keadaanmu.”
b - يَغْفِرُ
اللَّهُ لَنَا وَلَكُمْ
“Semoga Allah mengampuni kami dan kamu.”