Imam al-Nawawi menyebutkan di dalam al-Azkar:
“Disunatkan membanyakkan pada siang dan malamnya daripada
membaca al-Quran, zikir, doa, selawat ke atas nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan
membaca surah al-Kahfi pada siang harinya. Imam al-Syafi’e berkata dalam
al-Umm: “Dan aku suka juga membacanya pada malam Jumaat.”
Dalam hadis menyebutkan amalan yang digalakkan untuk
dilakukan pada hari Jumaat:
1. Berdoa kerana ada waktu yang dimustajabkan doa pada
hari Jumaat.
2. Mandi sunat sebelum solat Jumaat.
3. Bersegera ke masjid.
4. Berjalan kaki menuju masjid.
5. Membaca surah al-Kahfi pada malam dan siang hari
Jumaat. Dalam hadis-hadis yang lain yang daif menyebutkan juga galakan membaca surah
Ali Imran, surah Yasin dan surah al-Dhukhan.
6. Membaca surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah
al-Nas sebanyak tujuh kali setelah selesai solat Jumaat.
Hadis-hadis tentang kelebihan hari Jumaat
Kelebihan hari Jumaat berbanding hari lain
خيرُ يومٍ طلعت عليه الشَّمسُ ، يومُ الجمعةِ
. فيه خُلِق آدمُ . وفيه أُدخل الجنَّةَ . وفيه أُخرج منها . ولا تقومُ السَّاعةُ
إلَّا في يومِ الجمعةِ
Terjemahan
“Sebaik-baik
hari yang terbit padanya matahari adalah hari Jumaat. Pada hari tersebut
diciptakan Adam. Pada hari tersebut dia dimasukkan ke dalam syurga dan pada
hari tersebut juga dia dikeluarkan dari syurga. Tidak akan berlaku hari kiamat
kecuali pada hari Jumaat.”
(Hadis
sahih riwayat Muslim)
Dimustajabkan
doa pada hari Jumaat
إِنَّ فِي الْجُمُعَةِ سَاعَةً
لَا يُوَافِقُهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ يَسْأَلُ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ فِيهَا خَيْرًا إِلَّا أَعْطَاهُ إِيَّاهُ، وَهِيَ بَعْدَ
الْعَصْرِ
Terjemahan
“Sesungguhnya pada hari Jumaat ada suatu waktu yang
tidaklah seorang hamba Muslim itu berdoa meminta kebaikan kepada Allah ‘Azza Wa
Jalla pada waktu tersebut kecuali akan diberikan kepadanya, iaitu selepas Asar.”
(Hadis riwayat Ahmad, sahih berdasarkan sokongan
daripada hadis-hadis yang lain)
Dalam hadis yang lain menyebutkan waktu dimustajabkan
doa pada hari Jumaat itu pada:
1. Ketika mana imam duduk di atas mimbar sehingga waktu
dilaksanakan solat.
2. Waktu dilaksanakan solat Jumaat sehinggalah selesai
solat.
3. Selepas solat asar sehingga tenggelam matahari.
Imam al-Nawawi menyebutkan dalam al-Azkar
menyebutkan bahawa kebanyakan para sahabat berpendapat waktu dimustajabkan doa pada hari
Jumaat itu adalah selepas solat Asar.
Kelebihan mati pada hari atau malam Jumaat
مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَمُوتُ
يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَوْ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ إِلَّا وَقَاهُ اللهُ فِتْنَةَ
الْقَبْرِ
Terjemahan
“Tidaklah seorang Muslim itu mati pada hari Jumaat
atau pada malam Jumaat kecuali Allah akan memeliharanya daripada fitnah kubur.”
(Hadis riwayat al-Termizi dengan sanad yang daif)
Hari Jumaat adalah hari raya orang Islam
إِنَّ هَذَا يَوْمُ عِيدٍ،
جَعَلَهُ اللَّهُ لِلْمُسْلِمِينَ، فَمَنْ جَاءَ إِلَى الْجُمُعَةِ
فَلْيَغْتَسِلْ، وَإِنْ كَانَ طِيبٌ فَلْيَمَسَّ مِنْهُ، وَعَلَيْكُمْ
بِالسِّوَاكِ
Terjemahan
“Sesungguhnya hari ini adalah hari raya yang
dijadikannya oleh Allah bagi kaum Muslimin. Sesiapa yang ingin pergi solat
Jumaat maka mandilah. Jika ada padanya wangian maka pakailah dan hendaklah kamu
bersiwak.”
(Hadis hasan riwayat Ibnu Majah)
Kelebihan berjalan kaki menuju masjid pada hari Jumaat
مَنْ غَسَّلَ وَاغْتَسَلَ
يَوْمَ الْجُمُعَةِ، وَبَكَّرَ وَابْتَكَرَ، وَمَشَى وَلَمْ يَرْكَبْ، فَدَنَا
مِنَ الْإِمَامِ وَاسْتَمَعَ وَلَمْ يَلْغُ، كَانَ لَهُ بِكُلِّ خُطْوَةٍ أَجْرُ
سَنَةٍ، صِيَامِهَا وَقِيَامِهَا
Terjemahan
“Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat dan bersegera (ke
masjid), berjalan kaki dan tidak menunggang (kenderaan), duduk dekat dengan
imam dan mendengar (khutbah) serta tidak lalai, baginya bagi setiap langkah
(menuju ke masjid) pahala puasa dan solat malam selama setahun.”
(Hadis sahih riwayat Ahmad)
Kelebihan baca surah
al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah al-Nas selepas solat Jumaat
مَنْ قَرَأَ بَعْدَ صَلَاةِ
الْجُمُعَةِ قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ، وَقُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ، وَقُلْ
أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ سَبْعَ مَرَّاتٍ؛ أَجَارَهُ اللَّهُ بِهَا مِنَ السُّوءِ إِلَى الْجُمُعَةِ الْأُخْرَى.
Terjemahan
“Sesiapa
yang membaca selepas solat Jumaat Qul Huwallahu Ahad, Qul A’uzu Bi Rabbil Falaq
dan Qul A’uzu Bi Rabbin Nas sebanyak tujuh kali, Allah akan melindunginya
daripada segala keburukan sehingga Jumaat yang seterusnya.”
(Hadis hasan riwayat Ibnu Sunni)
Berdasarkan hadis ini al-Imam
al-Ghazali berpendapat sunat dibacakan surah-surah tersebut selepas solat
Jumaat sebagaimana kata beliau dalam Bidayah al-Hidayah:
“Jika kamu telah selesai dan
telah memberi salam (daripada solat Jumaat), maka bacalah surah al-Fatihah
sebelum kamu bercakap-cakap (perkara yang lain) sebanyak tujuh kali, surah
al-Ikhlas sebanyak tujuh kali dan al-Mu’awwizatain tujuh kali. Perkara tersebut
akan menghapuskan dosa kamu daripada Jumaat itu sehingga Jumaat seterusnya dan
akan menjadi pelindung bagi kamu daripada syaitan.”