Jumaat, 10 Jun 2016

Kelebihan Hari Jumaat

Imam al-Nawawi menyebutkan di dalam al-Azkar:

“Disunatkan membanyakkan pada siang dan malamnya daripada membaca al-Quran, zikir, doa, selawat ke atas nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan membaca surah al-Kahfi pada siang harinya. Imam al-Syafi’e berkata dalam al-Umm: “Dan aku suka juga membacanya pada malam Jumaat.”

Dalam hadis menyebutkan amalan yang digalakkan untuk dilakukan pada hari Jumaat:

1. Berdoa kerana ada waktu yang dimustajabkan doa pada hari Jumaat.

2. Mandi sunat sebelum solat Jumaat.

3. Bersegera ke masjid.

4. Berjalan kaki menuju masjid.

5. Membaca surah al-Kahfi pada malam dan siang hari Jumaat. Dalam hadis-hadis yang lain yang daif menyebutkan juga galakan membaca surah Ali Imran, surah Yasin dan surah al-Dhukhan.

6. Membaca surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah al-Nas sebanyak tujuh kali setelah selesai solat Jumaat.

Hadis-hadis tentang kelebihan hari Jumaat

Kelebihan hari Jumaat berbanding hari lain

خيرُ يومٍ طلعت عليه الشَّمسُ ، يومُ الجمعةِ . فيه خُلِق آدمُ . وفيه أُدخل الجنَّةَ . وفيه أُخرج منها . ولا تقومُ السَّاعةُ إلَّا في يومِ الجمعةِ

Terjemahan

“Sebaik-baik hari yang terbit padanya matahari adalah hari Jumaat. Pada hari tersebut diciptakan Adam. Pada hari tersebut dia dimasukkan ke dalam syurga dan pada hari tersebut juga dia dikeluarkan dari syurga. Tidak akan berlaku hari kiamat kecuali pada hari Jumaat.”

(Hadis sahih riwayat Muslim)

Dimustajabkan doa pada hari Jumaat

إِنَّ فِي الْجُمُعَةِ سَاعَةً لَا يُوَافِقُهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ يَسْأَلُ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ فِيهَا خَيْرًا  إِلَّا أَعْطَاهُ إِيَّاهُ، وَهِيَ بَعْدَ الْعَصْرِ

Terjemahan

“Sesungguhnya pada hari Jumaat ada suatu waktu yang tidaklah seorang hamba Muslim itu berdoa meminta kebaikan kepada Allah ‘Azza Wa Jalla pada waktu tersebut kecuali akan diberikan kepadanya, iaitu selepas Asar.”

(Hadis riwayat Ahmad, sahih berdasarkan sokongan daripada hadis-hadis yang lain)

Dalam hadis yang lain menyebutkan waktu dimustajabkan doa pada hari Jumaat itu pada:

1. Ketika mana imam duduk di atas mimbar sehingga waktu dilaksanakan solat.

2. Waktu dilaksanakan solat Jumaat sehinggalah selesai solat.

3. Selepas solat asar sehingga tenggelam matahari.

Imam al-Nawawi menyebutkan dalam al-Azkar menyebutkan bahawa kebanyakan para sahabat berpendapat waktu dimustajabkan doa pada hari Jumaat itu adalah selepas solat Asar.

Kelebihan mati pada hari atau malam Jumaat

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَمُوتُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَوْ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ إِلَّا وَقَاهُ اللهُ فِتْنَةَ الْقَبْرِ

Terjemahan

“Tidaklah seorang Muslim itu mati pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat kecuali Allah akan memeliharanya daripada fitnah kubur.”

(Hadis riwayat al-Termizi dengan sanad yang daif)

Hari Jumaat adalah hari raya orang Islam

إِنَّ هَذَا يَوْمُ عِيدٍ، جَعَلَهُ اللَّهُ لِلْمُسْلِمِينَ، فَمَنْ جَاءَ إِلَى الْجُمُعَةِ فَلْيَغْتَسِلْ، وَإِنْ كَانَ طِيبٌ فَلْيَمَسَّ مِنْهُ، وَعَلَيْكُمْ بِالسِّوَاكِ

Terjemahan

“Sesungguhnya hari ini adalah hari raya yang dijadikannya oleh Allah bagi kaum Muslimin. Sesiapa yang ingin pergi solat Jumaat maka mandilah. Jika ada padanya wangian maka pakailah dan hendaklah kamu bersiwak.”

(Hadis hasan riwayat Ibnu Majah)

Kelebihan berjalan kaki menuju masjid pada hari Jumaat

مَنْ غَسَّلَ وَاغْتَسَلَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، وَبَكَّرَ وَابْتَكَرَ، وَمَشَى وَلَمْ يَرْكَبْ، فَدَنَا مِنَ الْإِمَامِ وَاسْتَمَعَ وَلَمْ يَلْغُ، كَانَ لَهُ بِكُلِّ خُطْوَةٍ أَجْرُ سَنَةٍ، صِيَامِهَا وَقِيَامِهَا

Terjemahan

“Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat dan bersegera (ke masjid), berjalan kaki dan tidak menunggang (kenderaan), duduk dekat dengan imam dan mendengar (khutbah) serta tidak lalai, baginya bagi setiap langkah (menuju ke masjid) pahala puasa dan solat  malam selama setahun.”

(Hadis sahih riwayat Ahmad)

Kelebihan baca surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah al-Nas selepas solat Jumaat

مَنْ قَرَأَ بَعْدَ صَلَاةِ الْجُمُعَةِ قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ، وَقُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ، وَقُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ سَبْعَ مَرَّاتٍ؛ أَجَارَهُ اللَّهُ بِهَا مِنَ السُّوءِ إِلَى الْجُمُعَةِ الْأُخْرَى.

Terjemahan

“Sesiapa yang membaca selepas solat Jumaat Qul Huwallahu Ahad, Qul A’uzu Bi Rabbil Falaq dan Qul A’uzu Bi Rabbin Nas sebanyak tujuh kali, Allah akan melindunginya daripada segala keburukan sehingga Jumaat yang seterusnya.”

(Hadis hasan riwayat Ibnu Sunni)

Berdasarkan hadis ini al-Imam al-Ghazali berpendapat sunat dibacakan surah-surah tersebut selepas solat Jumaat sebagaimana kata beliau dalam Bidayah al-Hidayah:

“Jika kamu telah selesai dan telah memberi salam (daripada solat Jumaat), maka bacalah surah al-Fatihah sebelum kamu bercakap-cakap (perkara yang lain) sebanyak tujuh kali, surah al-Ikhlas sebanyak tujuh kali dan al-Mu’awwizatain tujuh kali. Perkara tersebut akan menghapuskan dosa kamu daripada Jumaat itu sehingga Jumaat seterusnya dan akan menjadi pelindung bagi kamu daripada syaitan.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan