Ahad, 18 Disember 2016

Hadis Kelebihan Fatimah

Biografi Ringkas Sayyidah Fatimah

Fatimah merupakan anak perempuan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam yang paling bongsu. Beliau dilahirkan 5 tahun sebelum Rasulullah sallahu ‘alihi wasallam dilantik menjadi Rasul.

Menjadi kebiasaan ibunya, Khadijah apabila melahirkan anak beliau akan menyerahkan anaknya untuk disusukan oleh ibu susuan. Namun apabila beliau melahirkan Fatimah maka beliau sendiri yang menyusukannya.

Beliau digelar al-Zahra’ kerana wajahnya yang putih bersinar dan bercahaya sebagaimana bapanya. Beliau juga digelar al-Batul. Asal maksud dari segi bahasa al-Batul ialah memutus dan memotong. Sebab beliau digelar al-Batul kerana beliau memotong dan mendahului wanita pada zamanya dan wanita lain di kalangan umat Islam ini dari segi menjaga kehormatan diri, kelebihan, agama dan silsilah keturunan.

Perwatakan beliau saling tidak tumpah dengan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Khadam Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, Anas bin Malik berkata: “Tidak ada seorang pun yang menyerupai Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam melainkan al-Hasan bin Ali dan Fatimah.” Aisyah berkata: “Aku tidak pernah melihat seorang pun di kalangan manusia yang menyerupai Nabi dari segi percakapan dan cara duduknya melainkan Fatimah.”

Abu Bakar dan Umar pernah meminang beliau untuk dijadikan isteri namun telah ditolak oleh Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam dengan alasan beliau masih muda. Apabila Ali pula meminangnya maka baginda menerima dan mengahwinkannya. Ali lebih tua 5 tahun berbanding Fatimah. Sebuah baju besi telah dijadikan mahar perkahwinan yang penuh keberkatan ini. Hasil perkongsian hidup bersama Ali, mereka telah dikurniakan 5 orang anak; al-Hasan (lahir tahun 3 Hijrah), al-Husain (lahir tahun 4 Hijrah), Muhassin (meninggal dunia setelah dilahirkan), Ummu Kulthum (lahir sekitar tahun 6 Hijrah) dan Zainab (lahir ketika Rasulullah masih hidup).

Fatimah merupakan ahli keluarga baginda yang paling awal menyusuri baginda. Para ulama berbeza pendapat berapa lamakah tempoh antara kewafatan Rasulullah dengan kewafatan Fatimah. Ada yang mengatakan dua bulan, tiga bulan, lapan bulan dan beberapa pendapat yang lain. Namun pendapat yang paling tepat yang dipilih oleh Imam al-Nawawi, Ibnu Kathir dan Ibnu Hajar ialah enam bulan. Usia beliau ketika meninggal dunia ialah 29 tahun.

Jenazah beliau telah dimandikan oleh Asma’ binti ‘Umais (isteri Abu Bakar al-Siddiq) dengan dibantu oleh Ali. Solat jenazahnya telah diimamkan oleh Abu Bakar al-Siddiq dan ada pendapat lain yang mengatakan Ali yang mensolatkan jenazahnya. Jenazah beliau lalu dikebumikan di perkuburan Baqi’.

Rujukan: Fatimah al-Zahra’ bint Rasulillah Wa Umm al-Hasanain karangan Abdul Sattar al-Syeikh. 

Hadis Kelebihan Fatimah

Hadis Pertama

 إِنَّمَا فَاطِمَةُ بَضْعَةٌ مِنِّي يُؤْذِينِي مَا آذَاهَا.

“Sesungguhnya Fatimah adalah sebahagian daripadaku. Sesiapa menyakitinya maka dia menyakitiku.”

Riwayat al-Bukhari (no. 3714, 3729 & 3767) dan Muslim (no. 2449) daripada al-Miswar bin al-Makhramah.

Pengajaran Hadis:

1 – Hadis ini menunjukkan keistimewaan Fatimah dan kedudukan beliau dalam hati Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam sehingga sesiapa yang menyakiti beliau dianggap telah menyakiti baginda.

2 – Larangan untuk menyakiti setiap orang yang dicintai oleh Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam kerana secara tidak langsung akan menyakiti baginda.

3  - Galakan untuk mencintai Fatimah dan setiap orang yang dicintai oleh baginda.

Hadis Kedua

يَا فَاطِمَةُ أَمَا تَرْضِيْنَ أَنْ تَكُونِي سَيِّدَةَ نِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ، أَوْ سَيِّدَةَ نِسَاءِ هَذِهِ الْأُمَّةِ.

“Wahai Fatimah, tidakkah kamu reda menjadi penghulu wanita beriman atau (syak daripada perawi hadis) penghulu wanita bagi umat ini.”

Riwayat al-Bukhari (no. 3624 & 6285) dan Muslim (no. 2450) daripada ‘Aisyah.

Pengajaran Hadis:

1 – Hadis ini menjadi dalil keutamaan Fatimah. Baginda memberikan khabar gembira kepadanya bahawa beliau akan menjadi ketua wanita yang beriman di syurga. 

2 - Keluarga Nabi Muhammad sallahu 'alaihi wasallam, termasuk Fatimah, adalah contoh teladan bagi umat Islam dalam mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan harian. 

3 - Motivasi kepada wanita beriman untuk berusaha mencapai kedudukan mulia di sisi Allah melalui ketaatan, kesabaran, dan ibadah yang ikhlas.

Hadis Ketiga

عن عَائِشَةَ قَالَتْ: أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَعَا فَاطِمَةَ ابْنَتَهُ فَسَارَّهَا فَبَكَتْ، ثُمَّ سَارَّهَا فَضَحِكَتْ. فَقَالَتْ عَائِشَةُ: فَقُلْتُ لِفَاطِمَةَ: مَا هَذَا الَّذِي سَارَّكِ بِهِ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَبَكَيْتِ، ثُمَّ سَارَّكِ فَضَحِكْتِ؟ قَالَتْ: سَارَّنِي فَأَخْبَرَنِي بِمَوْتِهِ، فَبَكَيْتُ، ثُمَّ سَارَّنِي، فَأَخْبَرَنِي أَنِّي أَوَّلُ مَنْ يَتْبَعُهُ مِنْ أَهْلِهِ فَضَحِكْتُ.

Daripada ‘Aisyah, beliau berkata:

“Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam memanggil anaknya, Fatimah. Baginda berbisik kepadanya lalu Fatimah menangis. Kemudian baginda berbisik sekali lagi lalu Fatimah gembira.

Aku bertanya kepada Fatimah: Apa yang Rasulullah bisikan kepada kamu lalu kamu menangis, kemudian baginda berbisik sekali lagi lalu kamu gembira?

Fatimah menjawab: Baginda berbisik kepadaku tentang kematiannya, maka aku menangis. Kemudian baginda berbisik sekali lagi bahawa aku adalah orang yang terawal mengikutinya daripada kalangan ahli keluarganya, maka aku gembira.”

Riwayat al-Bukhari (no. 3715) dan Muslim (no. 2450).

Pengajaran Hadis:

1 – Hadis ini menunjukkan mukjizat Nabi sallahu ‘alaihi wasallam. Baginda mengkhabarkan bahawa Fatimah akan hidup selepas baginda wafat dan beliau adalah orang pertama daripada keluarga baginda yang meninggal dunia dan perkara tersebut benar-benar berlaku.

2 – Kegembiraan Fatimah dengan pengkhabaran baginda tersebut menunjukkan bahawa beliau lebih mementingkan akhirat berbanding dunia dan kegembiraan beliau untuk berpindah ke alam akhirat berbanding kekal di dunia.

Hadis Keempat

أَفْضَلُ نِسَاءِ أَهْلِ الْجَنَّةِ : خَدِيجَةُ بِنْتُ خُوَيْلِدٍ ، وَفَاطِمَةُ بِنْتُ مُحَمَّدٍ ، وَآسِيَةُ بِنْتُ مُزَاحِمٍ امْرَأَةُ فِرْعَوْنَ، وَمَرْيَمُ ابْنَةُ عِمْرَانَ.

“Sebaik-baik wanita ahli syurga ialah Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad, Asiah binti Muzahim -isteri firaun- dan Maryam binti Imran.”

Riwayat Ahmad (no. 2668) daripada Ibnu ‘Abbas. Hadis ini disahihkan oleh Ibnu Hibban, al-Hakim dan Ibnu Hajar.

Pengajaran Hadis:

1 – Hadis ini menjadi dalil kedudukan istimewa keempat-empat wanita tersebut berbanding wanita-wanita yang lain.

2 – Para ulama berbeza pendapat siapakah di antara keempat-empat wanita tersebut yang paling afdal.

Sebahagian ulama mendahulukan Maryam binti Imran kerana ada pendapat ulama yang mengatakan beliau adalah nabi.

Sebahagian ulama yang lain mendahulukan Fatimah kerana darah daging Rasulullah mengalir dalam tubuh beliau.

Menurut Imam al-Nawawi, setiap wanita tersebut adalah wanita yang terbaik di zaman mereka. Adapun untuk memilih yang paling terbaik di kalangan mereka maka adalah lebih baik berdiam diri daripada membincangkan perkara tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan