Sabtu, 24 Disember 2016

Hadis al-Wahn (Cinta Dunia dan Benci Kepada Mati)

يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا، فَقَالَ قَائِلٌ: وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ؟ قَالَ: بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ، وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ، وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمُ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ، وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمُ الْوَهْنَ، فَقَالَ قَائِلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَمَا الْوَهْنُ؟ قَالَ: حُبُّ الدُّنْيَا، وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ.

Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Hampir dekat sahaja para umat (golongan kafir) akan mengerumuni kamu semua sebagaimana mereka berkumpul menghadap makanan dalam mangkuk.”

Seseorang bertanya: “Adakah kami pada saat itu sedikit?”

Rasulullah berkata: “Bahkan kamu semua pada saat itu ramai. Akan tetapi kamu bagai buih yang dibawa arus. Allah akan menghilangkan rasa takut pada hati musuh kamu dan akan menimpakan dalam hati kamu kelemahan (al-wahn).”

Seseorang bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah sebab kelemahan itu?”

Rasulullah menjawab: “Cinta dunia dan benci kepada mati.”

Status Hadis

Hadis ini diriwayatkan oleh dua orang sahabat: Abu Hurairah dan Thauban.

Hadis Abu Hurairah diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnad. Sanadnya daif kerana dalam sanadnya ada perawi bernama Abdul Samad bin Habib al-Azdi, dia adalah daif. Bergitu juga ayahnya, Habib bin Abdullah adalah perawi yang majhul (tidak dikenali).

Hadis Thauban pula diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Daud. Kata al-Hafiz al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid: “Sanad Ahmad baik (jayyid).”

Kedua-dua riwayat ini boleh saling menguatkan, oleh itu hadis ini dinilai sebagai hasan oleh Syeikh Syu’aib al-Arnauth.

Pengajaran Hadis:

1 - Di dalam hadis ini terdapat satu tanda daripada tanda-tanda kenabian dan mukjizat yang nyata bagi Nabi sallahu 'alaihi wasallam, di mana Baginda mengkhabarkan tentang kesepakatan umat-umat kafir untuk memerangi umat Islam. 

Perkara ini telah berlaku berulang kali, tetapi hadis ini terserlah dengan jelas semasa Perang Salib pada Abad Pertengahan apabila negara-negara Eropah bersatu dan menyerang negeri-negeri umat Islam sehingga mereka berjaya menawan Baitulmaqdis dan banyak negeri umat Islam yang lain. 

Kemudian, ia terserlah buat kali kedua semasa Perang Dunia Pertama apabila mereka turut bersepakat untuk menakluki seluruh negeri umat Islam. Lalu mereka menyerang umat Islam, membahagi-bahagikan negeri-negeri tersebut sesama mereka dan menjajahnya selama beberapa dekad, dan penjajahan mereka masih kelihatan nyata di negeri-negeri Islam.

2 - Kumpulan-kumpulan orang kafir dan sesat akan bersekongkol antara satu sama lain untuk menyerang dan memerangi orang Islam serta memecahkan kekuatan mereka dan menguasai apa yang orang Islam miliki seperti negeri dan harta, sepertimana sebagaimana sekumpulan pemakan bersepakat antara satu sama lain untuk mencapai hidangan yang mereka makan tanpa rasa takut atau terhalang, lalu mereka memakannya dengan mudah dan senang. 

Maka mereka akan menghabiskan apa yang ada dalam "pinggan" orang Islam tanpa penat lelah yang menimpa mereka atau mudarat yang mengenai mereka atau kesulitan yang menghalang mereka.

3 – Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam mengambarkan keadaan umat Islam pada ketika itu dalam keadaan lemah segi material dan spiritual serta rendah martabatnya kerana kecintaan mereka kepada dunia, dan kebencian mereka terhadap peperangan serta mati di jalan Allah. Mereka hanyalah seperti buih yang tidak berpendirian dibawa arus.

Ini bertepatan dengan keadaan umat Islam pada zaman kita. Walaupun jumlah mereka ramai, namun mereka tidak mempunyai sebarang kekuatan berikutan sikap mereka yang berpaling daripada agama mereka, mengekor jejak langkah tamadun Barat, hanyut dalam menuruti hawa nafsu, memerangi Allah Ta'ala, dan berterang-terangan melakukan pelbagai jenis maksiat serta dosa-dosa besar, sama ada di pihak pemimpin mahupun rakyat mereka. 

Dalam masa yang sama musuh pula memiliki keunggulan ke atas umat Islam dengan senjata-senjata yang canggih dan industri-industri moden. 

4 - Sesiapa yang mencintai dunia dan cenderung hatinya kepada tempat tinggal, pakaian, kekasih dan keinginan nafsunya yang ada di dunia, maka dia akan benci meninggalkan semua itu dan itu menjadi sebab kebenciannya terhadap kematian kerana mati itu akan memutuskan kelazatannya dan memisahkan antara dia dengan orang-orang yang disayanginya.

Maka dengan itu dia menjadi pengecut untuk berperang dan berjihad melawan orang kafir kerana perang itu boleh membawanya kepada kematian. Sesiapa yang mengurangkan kecintaan kepada dunia dengan hidup secara sederhana serta yakin akan kematian, maka dia akan mencintai bertemu dengan Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan