1. Antara al-Imam Muhammad bin Ismail al-Bukhari [194H-256H]
dan al-Imam Muhammad bin Yahya al-Zuhli [172H-258H].
Perseteruan yang berlaku diantara guru dan murid yang mana
asalnya al-Zuhli adalah guru kepada al-Bukhari. Sebagaimana yang tercatat dalam
kitab Siyar A’lam al-Nubala’, ketika mana al-Bukhari datang ke Naisabur
[Iran], al-Zuhli antara yang menggalakkan orang ramai mendengar hadis
daripadanya. Sehinggalah semakin berkurangan orang yang hadir dalam majlis
al-Zuhli, maka timbullah hasad di hati al-Zuhli lalu beliau mula mempertikaikan
al-Bukhari. Ditimbulkan permasalah berkenaan lafaz al-Quran, sama ada makhluk
atau tidak dan diuji al-Bukhari tentang permasalahan tersebut sehinggalah
al-Bukhari mengambil tindakan keluar dari Nisabur.
Masa berlalu dan pada hari ini nama al-Bukharilah yang
disebut-sebut dan kitabnya diajarkan di seluruh
pelosok dunia. Kitabnya diiktiraf sebagai kitab paling sahih selepas al-Quran. Manakala
al-Zuhli pula, namanya hanya tercatat dalam kitab-kitab sejarah dan tarajim,
bahkan ramai yang tidak mengenalinya pun!
2. Antara al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani [773H-852H] dan
al-Hafiz Badruddin al-‘Aini [762H-855H].
Kedua-duanya adalah pensyarah kepada Sahih al-Bukhari
dan kedua-duanya ada perseteruan sehingga saling kritik-mengkritik dalam
penulisan mereka. Sehingga Syeikh Abdul Rahman al-Busiri [w. 1935M], seorang ilmuan
dari Libya menulis kitab Mubtakirat al-Laali’ Wa al-Durar Fi Muhakamah Baina
al-‘Aini Wa Ibn al-Hajar yang menghakimi antara dua ulama ini.
Al-Hafiz Ibnu Hajar terkenal dengan kitab Fath al-Barinya
manakala al-Hafiz Badruddin al-‘Aini dengan ‘Umdah al-Qarinya. Takdir
Allah, al-Hafiz Ibnu Hajar lebih menonjol sehingga diangkat sebagai Amir
al-Mukminin fi al-Hadis dan apabila disebut syarah Sahih al-Bukhari
pasti kitab Fath al-Bari yang pertama terlintas di fikiran.
3. Antara al-Hafiz Sakhawi [831H-902H] dan al-Hafiz
al-Sayuthi [849H-911H]
Begitu halnya yang terjadi antara murid kanan al-Hafiz Ibnu
Hajar iaitu al-Sakhawi dengan al-Sayuthi. Dikatakan punca pertelingkahan antara
keduanya adalah kerana al-Sayuthi mendakwa dirinya mencapai tahap ijtihad
mutlak manakala al-Sakhawi pula berpandangan bahawa ijtihad sudah
terputus. Boleh dilihat kritikan-kritikan al-Sakhawi terhadap al-Sayuthi di
dalam kitab al-Dhau’ al-Lami’ dan dibalas dengan tajam oleh al-Sayuthi
dalam beberapa kitabnya antaranya kitab Nazm al-‘Iqyan. Kedua-duanya
pernah menulis syarah kepada kitab al-Taqrib wa al-Taisir karya
al-Nawawi, tetapi syarah al-Sayuthi yang bertajuk Tadrib al-Rawi lebih
terkenal, manakala al-Sakhawi terkenal dengan kitabnya Fath al-Mughith
yang mensyarahkan Alfiyah al-Hafiz al-‘Iraqi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan