Membaca
Kitab al-Risalah Selama 50 Tahun
1- Kata al-Muzani (w. 264 H) (anak murid al-Imam
al-Syafi’e):
“Aku telah melihat kitab al-Risalah sejak 50 tahun dulu. Tidaklah aku
melihatnya melainkan aku mendapat faedah yang tidak aku ketahui sebelumnya.”
Membaca
Sahih al-Bukhari lebih 700 Kali
2 - Ghalib bin Abdul Rahman bin Ghalib bin Tamam bin ‘Athiyyah
al-Muharibi (m. 518 H) berkata:
“Aku
membaca tulisan sebahagian sahabat kami bahawa dia mendengar Abu Bakar bin
‘Athiyyah menyebutkan bahawa dia mengulang-ulang Sahih al-Bukhari sebanyak 700
kali.”
Membaca
Sahih al-Bukhari 150 Kali
3 -
Al-Hafiz Ibnu Hajar menyebutkan dalam Inba’ al-Ghumar, pada biodata
Sulaiman bin Ibrahim bin ‘Umar al-‘Alawi (m. 825 H):
“Beliau
menyebutkan kepadaku bahawa beliau membaca Sahih al-Bukhari sebanyak 150 kali,
sama ada secara bacaan (qiraah), memperdengarkan hadis (isma’), mendengar
bacaan hadis orang lain (sama’) dan membandingkan kitab hadis dengan orang lain
(muqabalah).”
Membaca
Sahih al-Bukhari lebih 40 Kali
4 -
Al-Hafiz Ibnu Hajar menyebutkan dalam al-Mu’jam al-Muassis, pada biodata
Ahmad bin ‘Uthman bin Muhammad al-Kulutati (m. 835 H):
“Kemudian
diberikan kepadanya kecintaan untuk belajar hadis. Beliau mula belajar pada
tahun 779 H dan tahun-tahun berikutnya,
tanpa lelah dan lesu. Mungkin beliau telah membaca Sahih al-Bukhari lebih
daripada 40 kali.”
Membaca
Sahih al-Bukhari lebih 100 Kali
5 –
Dalam biografi Abu Bakar bin Muhammad bin Abdullah bin Muqbil al-Qahiri
al-Hanafi (m. 805 H) yang dikenali sebagai al-Tajir daripada kitab al-Dhau’
al-Lami’:
“Al-Burhan
al-Halabi (murid al-Tajir) berkata: Beliau mengkhabarkan kepadaku bahawa beliau
telah membaca Sahih al-Bukhari sehingga tahun 780 H (iaitu selama tujuh tahun)
sebanyak 95 dan beliau membaca Sahih al-Bukhari selepas tahun itu dalam
bilangan yang banyak.”
Membaca
Sahih al-Bukhari Kepada Lebih 30 Syeikh
6 –
Dalam Durrah al-Hijal karangan Ibnu al-Qadhi al-Maknasi, pada biodata
‘Uthman bin Muhammad bin ‘Uthman al-Tauzari (m. 713 H) , bahawa beliau membaca Sahih
al-Bukhari kepada lebih daripada 30 orang daripada murid-murid al-Busiri.
Membaca
Sahih al-Bukhari Kepada Seorang Syeikh lebih 20 Kali
7 –
Dalam Inba’ al-Ghumar, pada biodata As’ad bin Muhammad bin Mahmud
al-Syirazi (m. 803 H), bahawa beliau membaca Sahih al-Bukhari kepada
Syamsuddin al-Karmani lebih daripada 20 kali.
Membaca
Sahih al-Bukhari lebih 60 Kali dan Sahih Muslim lebih 20 Kali
8 –
Dalam biodata al-Burhan al-Halabi (m. 840 H) daripada kitab al-Dhau’
al-Lami’:
“Beliau
membaca Sahih al-Bukhari lebih daripada 60 kali dan Sahih Muslim lebih kurang
20 kali, sama ada bacaan ketika beliau masih belajar atau orang lain membacakan
kedua-duanya kepada beliau.”
Membaca
Sahih al-Bukhari Lebih 50 Kali
9 –
Kata al-Kattani dalam Fihris al-Faharis:
“Aku
dapati dalam Thabat al-Syihab Ahmad bin Qasim al-Buni: Aku melihat tulisan
al-Fairuzzabadi pada akhir juzuk daripada Sahih al-Imam al-Bukhari menyebutkan
bahawa beliau (al-Fairuzzabadi) telah membaca Sahih al-Bukhari lebih daripada
50 kali.”
Membaca
Kitab al-Muhazzab Lebih 40 Kali
10 –
‘Umar bin Samurah al-Ju’di menyebutkan dalam Thabaqat Fuqaha’ al-Yaman,
pada biodata al-Imam al-Faqih Yahya bin Abi al-Khair al-‘Imrani (m. 558 H)
bahawa beliau berkata tentang dirinya:
“Beliau
tidak akan menulis komentar al-Zawaid ‘ala al-Muhazzab kecuali selepas
menghafalnya (kitab al-Muhazzab) kepada al-Imam Abdullah bin Ahmad al-Hamdani.
Kemudian beliau akan mengulangnya di Uhazah (nama sebuah kampung di Yaman).
Kemudian beliau akan menelaah keseluruhan kitab al-Muhazzab sebanyak 40 kali
atau lebih sebelum memulakan penulisan (al-Zawaid ‘ala al-Muhazzab).”
Membaca
Kitab Mu’jam al-Adibba’ Sebanyak Lapan Kali
11
– Syeikh Abdul ‘Aziz al-Maimani al-Rajkuti (m. 1398 H) berkata tentang dirinya:
“Aku
telah membaca Mu’jam al-Adibba’ karangan Yaqut al-Hamawi sekurang-kurangnya
sebanyak 7 atau 8 kali dan aku mengutamakannya daripada kitab Wafayat
al-A’yan.”
Membaca
kitab al-Taudhih Sebanyak 70 Kali Dan Syarah Ibnu al-Musonnif Lebih Daripada 30
kali
12
- Dalam kitab al-Dhau’ al-Lami’, pada biodata Ibrahim bin Hajjaj bin
Mihraz bin Malik, Abu Ishaq al-Abnasi (m. 836 H), kata al-Sakhawi:
“Dihikayatkan
bahawa beliau membaca kitab al-Taudhih lebih daripada 70 kali dan (syarah) Ibnu
al-Musonnif lebih daripada 30 kali.”
Kitab
al-Taudhih ialah kitab Audhah al-Masalik Ila Alfiyah Ibnu Malik
karangan Ibnu Hisyam al-Ansari yang mensyarahkan kitab Alfiyah Ibnu Malik.
Syarah
Ibnu al-Musonnif ialah syarahan anak kepada Ibnu Malik kepada Alfiyah karangan
bapanya.
Membaca
Kitab al-Mudawwanah 1000 Kali
13
- Al-Qadhi ‘Iyadh menyebutkan dalam Tartib al-Madarik pada biodata
al-Imam al-Faqih Abi Muhammad Abdullah bin Ishaq yang dikenali sebagai Ibnu
al-Tabban (m. 371 H):
“Beliau
sangat banyak belajar. Disebutkan bahawa beliau belajar kitab (al-Mudawwanah)
sebanyak 1000 kali.”
Mempelajari
Kitab Sebanyak 1000 Kali
14
- Abu al-‘Arab al-Tamimi menyebutkan dalam kitab Thabaqat ‘Ulama Ifriqiyyah
Wa Tunis, pada biodata ‘Abbas bin al-Walid al-Farisi (m. 218 H) bahawa
beliau mendapati pada akhir sebahagian kitab-kitab al-Farisi: “Aku telah
mempelajarinya sebanyak 1000 kali.”
Membaca
Beberapa Buah Kitab Sebanyak Beberapa Kali
15
- Al-Qadhi ‘Iyadh menyebutkan dalam Tartib al-Madarik, pada biodata
al-Imam Abi Bakar al-Abhari (m. 375 H),
bahawa beliau berkata tentang dirinya:
“Aku
telah membaca Mukhtasar Ibnu ‘Abd al-Hakam sebanyak 500 kali, kitab al-Asdiyyah
sebanyak 75 kali, al-Muwatta’ sebanyak 45 kali, Mukhtasar al-Barqi sebanyak 70
kali dan al-Mabsuth sebanyak 30 kali.”
Hampir
Menghafal Kitab Kerana Banyaknya Mengulang Bacaan
16 –
Abdullah bin Muhammad bin Farhun al-Ya’mari (m. 769 H) menyebutkan tentang
dirinya:
“Aku
melazimi Tafsir Ibnu ‘Athiyyah sehingga hampir-hampir aku menghafalnya.”
17 –
Abu al-Qasim bin ‘Ali bin Mas’ud al-Syathibi hampir-hampir menghafal Sahih
al-Bukhari disebabkan banyaknya mengulang Sahih al-Bukhari pada
setiap bulan Ramadhan.
18
- Al-Sakhawi menyebutkan dalam al-Dhau’
al-Lami’, pada biodata ‘Uthman bin Abdullah , Abi ‘Amr al-Maqsi (m. 788 H)
bahawa beliau sangat melazimi membaca empat buah kitab: Al-Tanbih, al-Minhaj,
al-Bahjah dan asalnya (asal kitab al-Bahjah iaitu al-Hawi al-Saghir),
secara bacaan sendiri dan membacakan kepada orang lain sehingga beliau mendapat
kemahiran yang kuat (dalam ilmu fiqh).
19 –
Ahmad bin ‘Umar al-Nasyiri al-Yamani terkenal dengan pengetahuan beliau tentang
kitab al-Wasith karangan al-Imam al-Ghazali sehingga mengetahui di mana
tempat sesuatu masalah itu berada dalam kitab al-Wasith dan pada muka
surat berapakah ia, setelah mana beliau ditimpa kebutaan.
Rujukan:
Al-Musyawwiq
Ila al-Qiraah Wa Thalab al-‘Ilm karangan Ali bin Muhammad al-‘Imrani, terbitan Dar ‘Alim
al-Fawaid.