Rabu, 3 Oktober 2018

‘Ilal Hadis: Hari Kiamat Semakin Hampir, Sedangkan Tidak Bertambah Manusia Terhadap Dunia...



Hadis ini dirwayatkan oleh Basyir bin Salman daripada Sayyar daripada Thariq bin Syihab daripada Ibnu Mas'ud.

Berlaku khilaf pada menentukan nama perawi Sayyar tersebut. Menurut sekumpulan perawi yang meriwayatkan daripada Basyir bin Salman, Sayyar tersebut adalah Sayyar Abu al-Hakam.

Syufyan al-Thauri pula meriwayatkan daripada Basyir bin Salman daripada Sayyar Abu Hamzah. Inilah nama yang tepat bagi perawi tersebut sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud dan al-Daraqutni. Menjadikan nama perawi Sayyar tersebut sebagai Sayyar Abu al-Hakam adalah satu kekeliruan. Sayyar Abu Hamzah adalah perawi majhul.

Al-Hakim dalam al-Mustadrak meriwayatkan daripada Basyir bin Zadan daripada Sayyar Abu al-Hakam, sama sebagaimana sanad di atas.

Menurut al-Hakim, sanadnya sahih. Tetapi dikritik oleh al-Zahabi yang mengatakan bahawa hadis ini mungkar dan Basyir tersebut didaifkan oleh al-Daraqutni dan ditohmah oleh Ibnu al-Jauzi.

Berlaku kesilapan dalam al-Mustadrak pada menyebutkan nama perawi Basyir tersebut. Dalam kitab-kitab hadis yang lain disebutkan namanya sebagai Basyir bin Salman, bukan Basyir bin Zadan. Basyir bin Salman adalah perawi Kutub al-Sittah dan menurut Ibnu Hajar dalam al-Taqrib, dia adalah perawi thiqah dan ada meriwayatkan hadis gharib (ثقة يغرب).

Syeikh al-Albani menyebutkan hadis ini dalam Silsilah al-Sahihah jilid 4 (ditulis tahun 1404 H) dan menurut beliau sanad hadis ini sahih sebagaimana kata al-Hakim atau hampir kepada sahih. Ini kerana beliau hanya melihat zahir sanad dan tidak melihat khilaf pada menentukan identiti perawi Sayyar tersebut. Dalam Sahih al-Jami' al-Saghir (ditulis tahun 1405 H) , beliau mengatakan bahawa hadis ini hasan. Anehnya, dalam Daif al-Targhib Wa al-Tarhib (ditulis tahun 1418 H), beliau mengatakan hadis ini daif pula.


Isnin, 1 Oktober 2018

Pemalsu Hadis Yang Mati Bersujud


- Ketika membaca hadis pertama dalam kitab al-Laali al-Masnu’ah karangan al-Hafiz al-Sayuthi, saya bertemu dengan nama seorang perawi iaitu Muhammad bin Syuja’ al-Thalji (مُحَمَّدُ بنُ شُجَاعٍ الثَّلْجِيِّ).

- Muhammad bin Syuja’ ini dituduh memalsukan hadis berikut:

إِنَّ اللَّهَ خَلَقَ الفرس فأجراها فَعَرِقَتْ، ثُمَّ خَلَقَ نَفْسَهُ مِنْهَا

“Allah menciptakan kuda dan menjadikannya berlari sehingga berpeluh. Kemudian Allah menciptakan diri-Nya daripada peluh tersebut.”

- Berkenaan hadis ini Ibnu al-Jauzi berkomentar:

“Hadis ini tidak syak lagi akan kepalsuannya. Seorang muslim tidak akan memalsukan hadis seperti ini...dan ulama hadis menuduh Muhammad bin Syuja’ memalsukan hadis ini.”

- Al-Hafiz al-Sayuthi menambah bahawa seorang yang berakal juga tidak akan memalsukan hadis sebegini.

- Muhammad bin Syuja’ ini merupakan seorang faqih mazhab Hanafi pada zamannya. Meskipun begitu dia dituduh oleh ulama hadis sebagai pemalsu hadis.

- Kata Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil:

“Dia memalsukan hadis berkenaan tasybih dan menisbahkannya kepada ahli hadis supaya mereka dicerca disebabkan hadis tersebut.”

- Imam Ahmad mengatakan dia seorang ahli bid’ah dan pengikut hawa nafsu.

- Mazhabnya berkenaan al-Quran adalah tawaqquf (berdiam diri). Dia tidak mengatakan al-Quran makhluk dan dia juga tidak mengatakan al-Quran bukan makhluk.

- Meskipun begitu, dia merupakan seorang ahli ibadah dan banyak membaca al-Quran. Dia pernah berkata:

“Kebumikanlah aku dalam rumah ini kerana sesungguhnya tidak ada tingkat rumah ini melainkan aku pernah mengkhatamkan al-Quran di dalamnya.”

- Dia pernah mencerca al-Imam al-Syafi’e ketika hayatnya tetapi apabila dia hampir mati dia berkata:

“Semoga Allah merahmati Abu ‘Abd Allah al-Syafie. (Kemudian dia menyebut-yebut tentang keilmuan al-Imam al-Syafi’e dan dia berkata): Aku tarik semula apa yang aku katakan padanya.”

- Kata al-Hafiz al-Zahabi dalam Tarikh Islam:

“Dia dilahirkan pada tahun 181 Hijrah dan dia meninggal dunia ketika bersujud dalam solat Asar pada 4 Zulhijjah tahun 266 Hijrah. Ditamatkan baginya (akan usianya) dengan kebaikan, insya-Allah dan bertaubat ketika mati.”

Ajaibnya Hafalan al-Sya'bi


Beliau pernah berkata:

"Aku tidak pernah menulis hitam (dakwat) pada putih (kertas) sehinggalah hari ini. Tidaklah seseorang menyampaikan hadis kepadaku kecuali aku telah menghafalnya dan aku tidak suka dia mengulanginya lagi kepadaku. Ada ilmu yang telah aku lupakan yang mana kalau seseorang itu menghafalnya nescaya dia menjadi alim."

[Tazkirah al-Huffaz karangan al-Hafiz al-Zahabi]
_____________

Al-Sya'bi atau nama sebenarnya, 'Amir bin Syarahil dilahirkan pada pertengahan zaman pemerintahan Saidina 'Umar. 

Beliau belajar daripada para sahabat seperti Ali bin Abi Thalib, Hasan, Hussein, Abdullah bin 'Abbas, Abdullah bin Zubair, Abdullah bin' Umar dan lain-lain. Beliau pernah berkata: "Aku telah bertemu dengan 500 orang sahabat Nabi sallahu 'alaihi wasallam."

Antara murid beliau ialah Makhul al-Syami, Abu Hanifah, al-A'masy dan lain-lain.

Ibnu Sirin berkata: "Lazimilah al-Sya'bi. Aku melihat beliau diminta untuk berfatwa ketika para sahabat masih ada."

Beliau meninggal dunia pada tahun 104 Hijrah. Menurut pandangan yang lain 105 atau 106 Hijrah.