-
Ketika membaca hadis pertama dalam kitab al-Laali al-Masnu’ah karangan
al-Hafiz al-Sayuthi, saya bertemu dengan nama seorang perawi iaitu Muhammad bin
Syuja’ al-Thalji (مُحَمَّدُ بنُ
شُجَاعٍ الثَّلْجِيِّ).
-
Muhammad bin Syuja’ ini dituduh memalsukan hadis berikut:
إِنَّ اللَّهَ خَلَقَ
الفرس فأجراها فَعَرِقَتْ، ثُمَّ خَلَقَ نَفْسَهُ مِنْهَا
“Allah menciptakan kuda dan
menjadikannya berlari sehingga berpeluh. Kemudian Allah menciptakan diri-Nya
daripada peluh tersebut.”
- Berkenaan hadis ini Ibnu al-Jauzi
berkomentar:
“Hadis ini tidak syak lagi akan kepalsuannya.
Seorang muslim tidak akan memalsukan hadis seperti ini...dan ulama hadis
menuduh Muhammad bin Syuja’ memalsukan hadis ini.”
- Al-Hafiz al-Sayuthi menambah bahawa seorang
yang berakal juga tidak akan memalsukan hadis sebegini.
- Muhammad bin Syuja’ ini merupakan seorang
faqih mazhab Hanafi pada zamannya. Meskipun begitu dia dituduh oleh
ulama hadis sebagai pemalsu hadis.
- Kata Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil:
“Dia memalsukan hadis berkenaan tasybih dan
menisbahkannya kepada ahli hadis supaya mereka dicerca disebabkan hadis
tersebut.”
- Imam Ahmad mengatakan dia seorang ahli
bid’ah dan pengikut hawa nafsu.
- Mazhabnya berkenaan al-Quran adalah tawaqquf
(berdiam diri). Dia tidak mengatakan al-Quran makhluk dan dia juga tidak mengatakan
al-Quran bukan makhluk.
- Meskipun begitu, dia merupakan seorang ahli
ibadah dan banyak membaca al-Quran. Dia pernah berkata:
“Kebumikanlah aku dalam rumah ini kerana
sesungguhnya tidak ada tingkat rumah ini melainkan aku pernah mengkhatamkan
al-Quran di dalamnya.”
- Dia pernah mencerca al-Imam al-Syafi’e ketika hayatnya
tetapi apabila dia hampir mati dia berkata:
“Semoga Allah merahmati Abu ‘Abd Allah al-Syafie. (Kemudian
dia menyebut-yebut tentang keilmuan al-Imam al-Syafi’e dan dia berkata): Aku
tarik semula apa yang aku katakan padanya.”
- Kata al-Hafiz al-Zahabi dalam Tarikh Islam:
“Dia dilahirkan pada tahun 181 Hijrah dan dia meninggal
dunia ketika bersujud dalam solat Asar pada 4 Zulhijjah tahun 266 Hijrah.
Ditamatkan baginya (akan usianya) dengan kebaikan, insya-Allah dan bertaubat
ketika mati.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan