Hadis ini dirwayatkan oleh Basyir bin Salman daripada
Sayyar daripada Thariq bin Syihab daripada Ibnu Mas'ud.
Berlaku khilaf pada menentukan nama perawi Sayyar tersebut.
Menurut sekumpulan perawi yang meriwayatkan daripada Basyir bin Salman, Sayyar
tersebut adalah Sayyar Abu al-Hakam.
Syufyan al-Thauri pula meriwayatkan daripada Basyir bin
Salman daripada Sayyar Abu Hamzah. Inilah nama yang tepat
bagi perawi tersebut sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud dan
al-Daraqutni. Menjadikan nama perawi Sayyar tersebut sebagai Sayyar Abu
al-Hakam adalah satu kekeliruan. Sayyar Abu Hamzah adalah perawi majhul.
Al-Hakim dalam al-Mustadrak meriwayatkan daripada Basyir
bin Zadan daripada Sayyar Abu al-Hakam, sama sebagaimana sanad di
atas.
Menurut al-Hakim, sanadnya sahih. Tetapi dikritik oleh
al-Zahabi yang mengatakan bahawa hadis ini mungkar dan Basyir tersebut
didaifkan oleh al-Daraqutni dan ditohmah oleh Ibnu al-Jauzi.
Berlaku kesilapan dalam al-Mustadrak pada menyebutkan
nama perawi Basyir tersebut. Dalam kitab-kitab hadis yang lain disebutkan
namanya sebagai Basyir bin Salman, bukan Basyir bin Zadan. Basyir
bin Salman adalah perawi Kutub al-Sittah dan menurut Ibnu Hajar dalam al-Taqrib,
dia adalah perawi thiqah dan ada meriwayatkan hadis gharib (ثقة يغرب).
Syeikh al-Albani menyebutkan hadis ini dalam Silsilah
al-Sahihah jilid 4 (ditulis tahun 1404 H) dan menurut beliau sanad hadis
ini sahih sebagaimana kata al-Hakim atau hampir kepada sahih. Ini kerana
beliau hanya melihat zahir sanad dan tidak melihat khilaf pada
menentukan identiti perawi Sayyar tersebut. Dalam Sahih al-Jami' al-Saghir
(ditulis tahun 1405 H) , beliau mengatakan bahawa hadis ini hasan.
Anehnya, dalam Daif al-Targhib Wa al-Tarhib (ditulis tahun 1418 H),
beliau mengatakan hadis ini daif pula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan