Sabtu, 21 Disember 2019

TAUBAT BISYR AL-HAFI


Dihikayatkan bahawa Bisyr al-Hafi (m. 277 H) ketika zaman lalainya beliau berada di rumahnya. Bersama beliau ada rakan-rakanya yang sedang minum-minum dan berhibur.

Tiba-tiba seorang lelaki soleh melintasi mereka dan mengetuk pintu. Seorang hamba perempuan keluar bertemu dengan lelaki soleh tersebut.

Lelaki tersebut berkata: "Pemilik rumah ini adakah dia seorang yang merdeka ataupun hamba?

Hamba perempuan tersebut menjawab: “Bahkan dia seorang yang merdeka.”

Lelaki tersebut kemudian berkata: “Kamu benar. Kalaulah dia seorang hamba nescaya dia akan beradab sebagaimana seorang hamba dan meninggalkan kelalaian dan hiburan.”

Bisyr mendengar perbualan antara hamba dan lelaki tersebut dan beliau segera ke pintu dalam keadaan tidak berkasut dan bersedih. Dia mendapati lelaki tersebut telah pergi.

Bisyr bertanya kepada hamba perempuan: “Siapa yang bercakap dengan kamu di pintu itu?”

Hamba tersebut menceritakan apa yang terjadi.

Bisyr bertanya lagi: “Arah manakah yang dilalui oleh lelaki tersebut?”

Hamba tersebut menjawab: “Sini.”

Bisyr berjalan melalui arah tersebut sehingga bertemu semula dengan lelaki tersebut.

Bisyr bertanya kepadanya: “Wahai tuanku, adakah engkau yang berdiri di pintu dan bercakap dengan hamba perempuan tersebut?”

Lelaki itu menjawab: “Ya.”

Bisy berkata: “Ulang semula ucapan kamu.”

 Lelaki tersebut mengulang semula apa yang dikatakannya. Mendengar ucapan lelaki tersebut menyebabkan Bisyr jatuh ke bumi dan berkata: “Bahkan aku hamba. Aku adalah hamba.”

Kemudian Bisyr berlalu pergi tanpa arah tuju dalam keadaan tidak berkasut dan berduka sehinggalah dia dikenali sebagai al-Hafi (tidak berkasut).

Beliau pernah ditanya: “Mengapa engkau tidak memakai kasut?”

Beliau menjawab: “Tuhanku tidak menjadikan aku baik melainkan ketika aku tidak berkasut. Aku mahu kekal dalam keadaan ini sehingga aku mati.”

[Al-Tawwabin, Ibnu Qudamah al-Maqdisi]

HAKIKAT PUJIAN DAN CELAAN MANUSIA


Malik bin Dinar berkata: "Semenjak aku mengenali manusia aku tidak pernah gembira dengan pujian mereka dan aku tidak pernah benci dengan celaan mereka."

Beliau ditanya: "Mengapa begitu?"

Beliau menjawab: "Kerana pujian dan celaan mereka itu sentiasalah berlebih-lebihan."

[Sifah al-Sofwah, Ibnu al-Jauzi]

________________

Malik bin Dinar antara tokoh tabi'in yang masyhur dengan kewarakan dan kezuhudan. Beliau belajar dengan Anas bin Malik, al-Hasan al-Basri, Muhammad bin Sirin dan lain-lain.

Beliau tidak makan kecuali dengan usaha tangannya sebagai penulis mushaf. Beliau pernah berkata: "Aku pernah membaca di dalam Taurat bahawa orang yang berkerja dengan tangannya sendiri akan berjaya dalam kehidupannya dan ketika matinya."

Beliau meninggal dunia pada tahun 131 Hijrah dan ada beberapa pendapat tentang tahun kewafatannya.

Jumaat, 13 Disember 2019

3 JENIS KITAB HADIS DAIF

Secara ringkasnya terdapat tiga jenis kitab yang menghimpunkan hadis-hadis daif.

1 – Kitab yang keseluruhan atau kebanyakan hadisnya adalah daif. Contohnya:

a. Nawadir al-Usul Fi Ahadith al-Usul karangan al-Hakim al-Termizi (m. 295 H). Menghimpunkan sekitar 1631 buah hadis.

b. Musnad al-Syihab Fi al-Mawa’iz Wa al-Adab karangan Syihabuddin Muhammad bin Salamah al-Qudha’ie (m. 454 H). Menghimpunkan 1499 buah hadis. Kitab ini telah ditakhrij hadis-hadisnya oleh Syeikh Ahmad bin al-Siddiq al-Ghumari dalam kitabnya yang berjudul Fath al-Wahhab Bi Takhrij Ahadtih al-Syihab.

c.  Musnad al-Firdaus karangan Abu Mansur Syahr bin Syirawaih al-Dailami (m. 558 H). Dalam kitab ini pengarang menghimpunkan sanad bagi hadis-hadis yang disebutkan oleh bapanya, Abu Syuja’ Syirawaih bin Syahradar (m. 509 H) dalam kitab Firdaus al-Akhbar Bi Ma’thur al-Khitab. Menghimpunkan sekitar 9 ribu buah hadis.

Al-Hafiz al-Sayuthi dalam mukadimah kitab al-Jami’ al-Kabir menyebutkan bahawa jika sesuatu hadis itu jika beliau sandarkan kepada salah satu daripada 3 buah kitab ini maka itu adalah isyarat akan kedaifannya.

2 – Kitab yang menghimpunkan salah satu daripada jenis hadis daif. Misalnya:

a. Al-Marasil karangan Abu Daud (m. 275 H).

b. Al-Marasil karangan Ibnu Abi Hatim (m. 327 H).

Kedua-dua kitab ini menghimpunkan hadis daif daripada jenis hadis mursal.

c. Al-‘Ilal karangan Ibnu Abi Hatim.

d. Al-‘Ilal al-Kubra karangan al-Daraqutni (m. 385 H).

Kedua-dua kitab ini menghimpunkan hadis-hadis yang mempunyai ‘illah.

3 – Kitab yang menghimpunkan biografi perawi-perawi daif dan disebutkan juga hadis-hadis yang diriwayatkan oleh perawi-perawi tersebut. Contohnya:

a. Al-Dhu’afa’ al-Kabir karangan al-‘Uqaili (m. 322 H).

b. Al-Majruhin Min al-Muhaddithin karangan Ibnu Hibban (m. 354 H).

c. Al-Kamil Fi Dhu’afa’ al-Rijal karangan Ibnu ‘Adi (m. 365 H).

d. Mizan al-I’tidal karangan al-Zahabi (m. 748 H).

e. Lisan al-Mizan karangan Ibnu Hajar al-Asqalani (m. 852 H).