Jumaat, 31 Julai 2020

Hadis Palsu: Tidak Ada Agama Bagi Orang Yang Tidak Berakal


لَا دِينَ لِمَنْ لَا عَقْلَ لَهُ

“Tidak ada agama bagi orang yang tidak berakal.”

Riwayat al-Nasa’ie dalam al-Kuna dan al-Daulabi dalam al-Kuna Wa al-Asma’ (no. 1719, cetakan: Dar Ibn Hazm) daripada hadis Mujammi’ bin Jariyah daripada bapa saudaranya.

Kitab al-Kuna karangan Imam al-Nasa’ie adalah kitab yang mafqud (hilang) dan tidak sampai ke zaman kita pada hari ini.

Al-Daulabi menukilkan daripada Imam al-Nasa’ie bahawa beliau mengatakan: “Hadis ini batil mungkar.”

Dalam sanadnya ada perawi yang bernama Bisyir bin Ghalib. Menurut al-Azdi, dia adalah perawi yang majhul (tidak dikenali). Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Lisan al-Mizan (jil. 2, hlm. 305, cetakan: Dar al-Basya’ir al-Islamiyyah) menyenaraikan hadis ini dalam senarai hadis yang mungkar yang diriwayatkan oleh Bisyir bin Ghalib. Mungkin dialah pemalsu hadis ini.

Antara ulama yang menilai hadis ini sebagai palsu selain Imam al-Nasa’ie ialah:

1 – Al-Hafiz al-Sayuthi dalam Zail al-Laali al-Masnu’ah (jil. 1, hlm. 66, hadis no. 49, cetakan: Maktabah al-Ma’arif). 

2 – Ibnu ‘Arraq dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah (jil. 1, hlm. 224, hadis no. 147, tahqiq: Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari dan Abdul Wahab bin Abdul Latif).

3 – Mulla ‘Ali al-Qari dalam al-Masnu’ Fi Ma’rifah al-Hadith al-Maudhu’ (hlm. 207, tahqiq: Abdul Fattah Abu Ghuddah).

Wallahu a’lam.

Isnin, 20 Julai 2020

Tidak Menghukum Hadis Sebagai Palsu Dengan Alasan Disebutkan oleh al-Hafiz al-Sayuthi dalam al-Jami' al-Saghir - Sudut Pandangan Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari


- Kitab al-Jami' al-Saghir Min Hadith al-Basyir al-Nazir adalah sebuah kitab yang menghimpunkan sekitar 10 ribu hadis-hadis pendek. Hadis-hadis ini dipetik daripada kitab beliau yang lebih besar iaitu Jam'u al-Jawami' atau dikenali juga sebagai al-Jami' al-Kabir. Hadis-hadisnya disusun berdasarkan huruf abjad. Takhrij hadisnya diletakkan dalam bentuk rumus seperti huruf خ untuk hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, م untuk hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dan lain-lain. Begitu juga statusnya diletakkan dalam bentuk rumus iaitu صح untuk hadis sahih, ح untuk hadis hasan dan ض untuk hadis daif. Beliau juga berjanji untuk tidak memasukkan hadis yang diriwayatkan oleh perawi pendusta dan pemalsu hadis.

 - Kata Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari رحمه الله dalam tahqiq kitab Tanzih al-Syari'ah al-Marfu'ah (hlm. 202):

"Mungkin ini kerana beliau (Ibnu 'Arraq) berpegang kepada apa yang disebutkan oleh al-Sayuthi dalam mukadimah al-Jami' al-Saghir bahawa beliau menjaga kitab ini daripada (dimasukkan) hadis yang diriwayatkan secara bersendirian oleh pemalsu hadis dan pendusta. Ini adalah tidak benar kerana beliau memasukkan di dalamnya hadis-hadis palsu yang beliau sendiri menyebutkannya dalam Zail al-Laali (al-Masnu'ah) dan menghukumnya sebagai palsu."

- Syeikh Ahmad al-Siddiq al-Ghumari dalam kitab al-Hanin Bi Wadha' Hadith al-Anin (hlm. 45) menyenaraikan 13 buah hadis yang dihukum palsu oleh al-Hafiz al-Sayuthi sendiri dalam Zail al-Laali al-Masnu'ah lalu beliau masukkannya dalam kitab al-Jami' al-Saghir. Begitu juga beliau mempunyai sebuah  kitab yang khusus tentang hadis من قال أنا عالم فهو جاهل (Sesiapa yang mengatakan 'saya orang alim' maka dia sebenarnya jahil) dan menghukumnya sebagai palsu tetapi dimasukkan juga dalam al-Jami' al-Saghir. Bahkan ada hadis yang beliau nukilkan kesepakatan ahli hadis akan kepalsuannya akan tetapi dimasukkan juga dalam al-Jami' al-Saghir, iaitu hadis: من كثرت صلاته بالليل حسن وجهه بالنهار (Sesiapa yang banyak solatnya di waktu malam maka eloklah wajahnya di waktu siang) dan hadis حب الدنيا رأس كل خطيئة (Cintakan dunia adalah ibu segala kejahatan).

Hadis Sangat Daif Sama Seperti Palsu - Sudut Pandangan Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari



Kata Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari رحمه الله dalam tahqiq kitab Tanzih al-Syari'ah al-Marfu'ah (hlm. 194):

"Hadis yang sangat daif (الواهي) sama seperti hadis palsu (الموضوع). Tidak boleh beramal dengannya dan tidak boleh meriwayatkannya kecuali jika disertakan penjelasan tentang statusnya."

Tidak Menghukum Hadis Sebagai Palsu Dengan Alasan Diriwayatkan Oleh al-Baihaqi - Sudut Pandangan Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari


Kata Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari رحمه الله dalam tahqiq kitab Tanzih al-Syari'ah al-Marfu'ah (hlm. 193):

"Adapun tidak menghukum hadis sebagai palsu kerana berpegang kepada (alasan) bahawa al-Baihaqi meriwayatkan hadis tersebut dan beliau beriltizam untuk tidak meriwayatkan hadis yang beliau ketahui bahawa ianya palsu, maka ini adalah metode al-Hafiz al-Sayuthi.

Beliau banyak menggunakan metode ini dalam kitab al-Laali (al-Masnu'ah) dan dalam penulisan beliau yang lain dan ia adalah metode yang tidak memadai di sisi pandangan yang tepat (untuk menafikan kepalsuan hadis).

Pertamanya kerana al-Baihaqi meriwayatkan dalam kitab-kitab beliau banyak hadis palsu yang sebahagiannya beliau ingatkan akan kepalsuannya dan sebahagian yang lain beliau diamkan.

Keduanya kerana tidak layak bagi seorang ahli hadis yang mahir tentang hal ehwal sanad dan perawi bahawa ketika dia mendapati sebuah hadis yang mempunyai makna yang mungkar (rosak) atau dalam sanadnya terdapat perawi yang dituduh (berdusta atau memalsukan hadis) atau perawi yang memang pendusta, lalu dia hanya menghukum sebagai daif sahaja kerana bertaklid kepada perbuatan dan sikap iltizam al-Baihaqi yang tidak akan meriwayatkan hadis yang palsu."