Kelahiran
Beliau dilahirkan di Daraya, Syiria pada tahun 1351 Hijrah bersamaan 1932 Masihi. Beliau membesar sebagai anak yatim kerana bapanya meninggal dunia ketika beliau berusia dua tahun. Ibunya lalu mengalas tanggungjawab mendidik dan membesarkan beliau.
Pelajaran
Beliau memulakan pembelajaran di sekolah peringkat ibtidaiyyah di Daraya. Setelah itu di peringkat i'dadi dan thanawi di Dimasyq. Beliau lalu menyambung pelajaran di Kuliah Bahasa Arab, Universiti Dimasyq.
Guru-Guru
Antara guru-guru beliau di Universiti Dimasyq adalah:
1 - Dr Subhi al-Soleh (m. 1987 M).
2 - Sa'id al-Afghani (m. 1997 M).
3 - 'Umar Farukh (m. 1987 M).
4 - Ahmad Ratib al-Nafakh (m.1992 M).
5 - Dr Mustafa al-Siba'ie (m. 1964 M).
Guru-guru beliau di luar universiti pula adalah:
1 - Dr Muhammad Amin al-Misri (m. 1977 M).
2 - Muhammad Nasiruddin al-Albani (m. 1999 M).
3 - Muhammad Hasan Syurrab (m. 2013 M).
Pekerjaan
Setelah tamat belajar, beliau bekerja sebagai guru bahasa Arab di beberapa buah tempat di Syria. Beliau lalu membuat keputusan untuk kembali ke kampung halaman beliau, Daraya. Pada tahun 1970, beliau mula menumpukan perhatian untuk membaca kitab-kitab berkaitan Islam terutamanya kitab-kitab tafsir. Beliau juga turut mengajar di Masjid Anas bin Malik yang terletak di Daraya.
Mula Mentahqiq Kitab
Beliau mula berkenalan dengan beberapa orang pentahqiq kitab yang terkenal seperti Ahmad al-Daqqaq, Abdul Aziz Rabah, Abdul Qadir al-Arnauth dan Syu'aib al-Arnauth yang membuka peluang kepada beliau untuk terjun dalam dunia pentahqiqan kitab. Beliau berkerjasama dengan Syeikh Syu'aib al-Arnauth untuk mentahqiq kitab Siyar A'lam al-Nubala dan beliau mentahqiq dua jilid daripada kitab tersebut. Hasil tahqiq beliau terhadap kitab tersebut juga menjadi pencetus untuk beliau terus istiqamah mentahqiq banyak kitab terutamanya kitab-kitab hadis.
Keluarga
Beliau mempunyai sembilan orang anak, lima lelaki dan empat perempuan. Dua orang anak perempuan beliau meninggal dunia sebelum beliau. Anak-anak beliau ada yang menjadi doktor perubatan dan jurutera.
Hasil Tahqiq
Hasil tahqiq beliau sangat banyak terutamanya kitab-kitab hadis, antaranya:
1 - Mawarid
al-Zam'an Fi Zawaid Ibnu Hibban karya al-Haithami (9 jilid). Ditahqiq
bersama anak saudara merangkap menantu beliau al-Marhum Syeikh 'Abduh 'Ali Kusyak (pentahqiq kitab al-Syifa).
2 - Musnad Abi Ya'la (16 jilid).
3 - Musnad Al-Humaidi. Mulanya dicetak dalam 2 jilid. Setelah itu beliau membuat semakan semula kitab ini bersama anak beliau, Murhaf Husain Asad lalu dicetak dalam 3 jilid.
4 - Majma' Al-Zawaid Wa Manba' Al-Fawaid karya al-Haithami (23 jilid). Diusahakan selama 20 tahun.
5 - Sunan Al-Darimi
(4 jilid).
6 - Nasikh al-Quran Wa Mansukhuhu karya Ibnu al-Jauzi (1 jilid).
7 - Mu'jam Shuyukh
Abi Ya'la al-Mausuli (3 jilid). Ditahqiq bersama Syeikh 'Abduh 'Ali al-Kusyak.
8 - Al-Adab
al-Mufrad karya Imam al-Bukhari (3 jilid). Ditahqiq bersama anak beliau.
9 - Al-Fath al-Rabbani Li Tartib Musnad al-Imam Ahmad bin Hanbal al-Syaibani (9 jilid) karya Syeikh Ahmad Abdul Rahman al-Banna al-Sa'ati (ayah Hasan al-Banna). Juga ditahqiq bersama anak beliau.
11 - Al-Nasihah Fi Ad'iyyah al-Sahihah karya Abdul Ghani al-Maqdisi.
12 - Al-Mustadrak 'Ala al-Sahihain karya al-Hakim al-Naisaburi. Beliau mentakhrij hampir 2000 buah hadis-hadisnya tetapi tidak sempat menyempurnakannya.
13 - Al-Birr al-Walidain karya Imam al-Bukhari.
14 - Al-Muntakhab Min Al-Arba'in Fi Syu'ab al-Din karya Abu al-Qasim Ali bin al-Hasan al-Saffar. Ditahqiq bersama anak beliau.
15 - Akhlaq al-Nabi Wa Adabuhu karya Abu al-Syeikh al-Asbahani. Ditahqiq bersama anak beliau.
16 - Musnad Abi Umayyah al-Tharsusi. Ditahqiq bersama anak beliau.
Berpindah ke Mesir
Syeikh Husain Salim Asad menetap di Iskandariah, Mesir selama hampir 7 tahun setelah beliau keluar dari bandar Daraya, Syria pada tahun 2014 disebabkan kekacauan dan peperangan yang berlaku di sana.
Meninggal Dunia
Beliau meninggal dunia pada 31 Oktober 2021 disebabkan oleh COVID-19. Beberapa hari sebelum kematian beliau, isteri dan anak beliau, Murhaf juga meninggal dunia disebabkan oleh COVID-19.
Semoga Allah merahmati beliau atas khidmat beliau terhadap ilmu hadis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan