عَنْ أَنَسٍ، قَالَ: كَانَ
أَكْثَرُ دُعَاءِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: رَبَّنَا آتِنَا
فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
Diriwayatkan daripada Anas, beliau berkata:
“Doa yang paling banyak dibaca oleh Nabi sallahu ‘alaihi
wasallam ialah:
رَبَّنَا آتِنَا فِي
الدُّنْيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
“Wahai
Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan
peliharalah kami dari azab neraka.”
Takhrij Hadis:
Hadis sahih riwayat Ahmad (11981), al-Bukhari (6389),
Muslim (2690), Abu Daud (1519), al-Tirmizi (3489) dan al-Nasa’i dalam al-Sunan
al-Kubra (10826).
Huraian dan Pengajaran Hadis
1 - Doa ini merupakan ayat ke 201 daripada surah
al-Baqarah.
2 - Ulama berbeza pendapat dalam menafsirkan maksud ‘kebaikan
di dunia’. Ada yang menafsirkannya sebagai kesihatan, harta yang mencukupi,
ilmu, ibadah, isteri yang solehah dan sebagainya. Secara umumnya kebaikan di
dunia adalah segala bentuk kenikmatan dan keinginan duniawi yang disukai oleh
manusia.
3 - Maksud ‘kebaikan di akhirat’ pula adalah dapat
masuk ke syurga. Kemuncak kepada kebaikan dan kenikmatan di akhirat adalah
dapat melihat Allah di syurga. Begitu juga keamanan dan keselamatan daripada
azab dan penderitaan ketika berada di kubur, hari kebangkitan (al-hasyr) dan
sirat.
4 - Maksud ‘peliharalah
kami dari azab neraka’ adalah perliharalah dan lindungilah kami daripada
api neraka dengan memudahkan kepada kami sebab-sebab yang dapat menyelamatkan kami
daripada neraka iaitu dengan menjauhi perkara-perkara haram dan dosa.
5 - Disunatkan untuk memperbanyakkan doa ini kerana
mengikut sebagaimana perbuatan Nabi sallahu ‘alaihi wasallam iaitu
dengan membacanya selepas solat, ketika bertawaf dan wuquf sewaktu menunaikan
haji dan setiap kali berdoa. Para sahabat Nabi juga sentiasa membaca doa ini
sebaimana mana Anas bin Malik yang pasti menyertakan doa ini dalam setiap doa
beliau. Umar bin al-Khattab pula membaca doa ini ketika bertawaf. Keistimewaan
doa ini adalah kerana ia mengandungi intisari doa secara keseluruhannya
daripada kebaikan urusan duniawi dan ukhrawi serta keselamatan dan perlindungan
daripada puncak segala keseksaan dan penderitaan iaitu api neraka.
Rujukan:
- I'lam al-Anam Syarah Bulugh al-Maram Min Ahadith
al-Ahkam karangan Syeikh Dr Nuruddin 'Itr.
- Minhah al-'Allam Syarah Bulugh al-Marram karangan
Syeikh Abdullah Soleh al-Fauzan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan