Rasulullah sallahu
‘alaihi wasallam bersabda:
إِنَّ أُنَاسًا مِنْ أُمَّتِي يَشْرَبُونَ الْخَمْرَ،
يُسَمُّونَهَا بِغَيْرِ اسْمِهَا.
“Sesungguhnya ada beberapa orang daripada umatku yang meminum
arak dan mereka menamakannya dengan selain nama sebenarnya.”
Takhrij Hadis:
Hadis ini sahih. Riwayat Ahmad (no. 18073) dan al-Nasa’ie
(5658) daripada hadis seorang lelaki daripada sahabat Rasulullah. Hadis ini
mempunyai banyak syawahid (penguat) daripada hadis Aisyah, Ibnu Abbas,
Abu Umamah al-Bahili, Abu Malik al-Asy’ari, Ubadah bin al-Samit dan lain-lain.
Pengajaran Hadis:
1 - Hadis ini menunjukkan bukti mukjizat dan kenabian
Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam yang dapat mengkhabarkan peristiwa
yang akan berlaku setelah kewafatan baginda dan apa yang baginda khabarkan
tersebut memang benar-benar berlaku.
2 - Wujudnya kelompok manusia tertentu yang cuba untuk
menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dengan menukar nama aslinya
kepada nama yang lain agar mengelabui keharamannya.
3 - Arak adalah setiap perkara yang memabukkan dan ‘illah (sebab) pengharamannya adalah kerana sifat memabukkannya. Apabila wujudnya sifat memabukkan itu maka haramlah hukumnya walaupun diubah namanya sekalipun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan