Khamis, 15 September 2022

Status Hadis: Orang Berzina Dibuka 300 Ribu Pintu Neraka

 


“Siapa yang berzina dengan wanita Islam atau bukan Islam sama ada wanita merdeka atau hamba Allah Ta’ala akan buka 300 ribu pintu-pintu neraka. Untuknya di dalam kuburnya akan keluar dari pintu-pintu itu kala-kala jenngking, ular-ular dan bintang-bintang (meteor) dari api neraka. Maka dia akan terus diazab dengan seksaan itu sehingga ke hari kiamat.”

Ulasan:

1 – Hadis ini saya temui dalam video seorang pengguna Tiktok bernama Along Khair. Beliau menukilkan hadis ini daripada kitab al-Jawahir al-Lu’lu’iyyah Fi Syarah al-Arba’in al-Nawawiyyah (syarah hadis ke-14) karangan Syeikh Muhammad bin Abdullah al-Jurdani.

2 – Hadis ini telah diriwayatkan oleh Al-Harith bin Abi ‘Usamah dalam kitab Musnad al-Harith melalui sanad:

Daud bin al-Muhabbar daripada Maisarah bin ‘Abd Rabbih daripada Abi ‘Aisyah al-Sa’di daripada Yazid bin ‘Umar bin Abdul Aziz daripada Abi Salamah bin Abdul Rahman daripada Ibnu ‘Abbas dan Abu Hurairah daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, dengan sebuah hadis yang sangat panjang sehingga mencapai beberapa buah muka surat, antaranya ialah hadis yang sedang dibincangkan ini, iaitu:

وَمن زنى بِامْرَأَة مسلمة أَو غير مَسْلَمَةٍ حُرَّةٍ أَوْ أُمَّةٍ فُتِحَ عَلَيْهِ فِي قَبره ثلاث مِائة أَلْفِ بَابٍ مِنْ نَارٍ وَيَخْرُجُ مِنْهَا حَيَّاتٌ وَعَقَارِبُ وشهب مِنَ النَّارِ فَهُوَ يُعَذَّبُ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ...

3 – Al-Hafiz al-Haithami dalam kitab Bughyah al-Bahith (1/353) berkata:

“Hadis ini palsu walaupun sebahagiannya terdapat dalam hadis-hadis (lain) yang berstatus baik tanpa melalui sanad ini kerana sesungguhnya Daud bin al-Muhabbar adalah seorang pendusta.”

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani dalam kitab al-Mathalib al-‘Aliyah (9/48) berkata:

“Hadis ini palsu dan yang dituduh memalsukannya ialah Maisarah bin ‘Abd Rabbih.”

4 - Hadis ini juga telah diriwayatkan oleh Ibnu al-Jauzi dalam kitab al-Maudhu’at (no. 1676) dengan lafaz yang sedikit berbeza melalui jalur sanad:

Muhammad bin al-Hasan bin Muhammad daripada Al-Hasan bin ‘Uthman bin Ziyad al-Qanthari daripada Muhammad bin Khirasy al-Balkhi daripada Aswad bin ‘Amir daripada Yazid bin Abdullah al-Hina’ie daripada Muhammad bin Amru bin ‘Alqamah daripada Umar bin Abdul Aziz daripada Abu Salamah bin Abdul Rahman daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam:

وَمَنْ زَنَا بِيَهُودِيَّةٍ أَوْ نَصْرَانِيَّةٍ أَوْ مَجُوسِيَّةٍ أَوْ مُسْلِمَةٍ حُرَّةً كَانَتْ أَوْ أَمَةً، فَتَحَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي قَبره ثَلَاثمِائَة أَلْفِ بَابٍ مِنْ جَهَنَّمَ...

“Sesiapa yang berzina dengan wanita Yahudi atau Nasrani atau Majusi atau Islam, merdeka mahupun hamba maka Allah akan membuka baginya di dalam kuburnya 300 ribu pintu neraka...”

5 – Ibnu al-Jauzi berkata:

“Hadis ini palsu. Adapun Muhammad bin Amru bin ‘Alqamah, Yahya berkata: Manusia (yakni ahli hadis) berterusan menolak hadisnya. Al-Sa’di berkata: Dia tidak kuat.

Muhammad bin Khirasy majhul (tidak dikenali).

Orang yang dituduh memalsukannya ialah al-Hasan bin ‘Uthman. Ibnu ‘Adi berkata: Dia memalsukan hadis. ‘Abdan berkata: Dia kaki menipu.

Muhammad bin al-Hasan tersebut ialah al-Naqqash. Thalhah bin Muhammad berkata: Al-Naqqash menipu.”

Penilaian Ibnu al-Jauzi tersebut turut diakui oleh al-Hafiz al-Suyuthi dalam al-Laali al-Masnu’ah (3/181-182) dan Ibnu ‘Arraq dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah (2/338).

6 – Rumusannya, hadis ini adalah hadis yang palsu sebagaimana yang telah dihukumkan oleh ahli hadis yang telah saya sebutkan di atas kerana ia telah diriwayatkan oleh perawi-perawi hadis yang terkenal sebagai seorang pendusta dan pemalsu hadis.

Oleh itu tidak boleh untuk diamalkan hadis ini dan dinisbahkan kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Begitu juga tidak boleh untuk disebarkan hadis ini melainkan untuk tujuan menyatakan kepalsuannya.

Khamis, 1 September 2022

Status Hadis: Perut Tempat Letak Penyakit

Nabi berkata: “Perut adalah tempat letaknya penyakit dan menahan nafsu daripada makan berlebihan adalah asas perubatan.”

Kata-kata yang disandarkan kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam ini saya temui dalam buku 365 Tip Sihat Gaya Rasulullah (hlm. 55) karangan Dr Mohammad Ali Toha.

Begitu juga disebutkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dengan terjemahan berikut:

"Perut manusia itu tempat segala penyakit manakala pencegahan itu pokok dari segala pengubatan."


Lafaznya dalam bahasa Arab ada pelbagai, antaranya:

1 - الْمعدة بَيت الدَّاء وَالْحمية رَأس كل دَوَاء.

2 - البطنة أصل الدَّاء وَالْحمية أصل الدَّوَاء.

3 - الْحِمْيَةُ رَأْسُ الدَّوَاءِ، وَالْمَعِدَةُ بَيْتُ الدَّاءِ.

Ucapan ini memang masyhur dinisbahkan kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam walaupun pada hakikatnya ia tidak benar disandarkan kepada baginda.

Pandangan Ahli Hadis Tentang Ucapan Ini

1 - Ibnu al-Jauzi (m. 597H) dalam Zad al-Masir (3/118, terbitan: al-Maktab al-Islami) mengatakan ia tidak sabit daripada Nabi sallahu 'alaihi wasallam.

2 - Ibnu Qayyim al-Jauziyyah (m. 751H) dalam Zad al-Ma'ad (4/146, terbitan: Dar 'Alim al-Fawaid) berkata:

"Hadis ini sebenarnya adalah kalam al-Harith bin Kaladah, tabib Arab. Tidak sahih menyandarkannya kepada Nabi sallahu 'alaihi wasallam. Telah mengatakan sedemikian beberapa orang daripada ahli hadis."

3 - Al-Hafiz Ibnu Rajab al-Hanbali (m. 795H) dalam Jami' al-'Ulum Wa al-Hikam (2/468, tahqiq: Syu'aib al-Arnauth) berkata: 

"Sebahagian mereka memarfu'kannya (menyandarkannya kepada Nabi sallahu 'alaihi wasallam) dan ia tidak sahih juga."

4 - Imam al-Zarkasyi (m. 794H) dalam al-Tazkirah Fi al-Ahadith al-Musytahirah (hlm. 145) berkata:

“Ini adalah ucapan doktor, sama ada ucapan al-Harith bin Kaladah atau selainnya. Tidak ada asal baginya daripada Nabi sallahu ‘alihi wasallam.”

5 - ِAl-Hafiz al-'Iraqi (m. 806H) dalam Takhrij al-Ihya' (no. 2776) berkata:

"Aku tidak mendapati asal usulnya (daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam)."

Beliau berkata lagi dalam Syarah al-Tabsirah Wa al-Tazkirah (1/315):

"Ini adalah daripada kalam sebahagian doktor dan tidak asal baginya daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam."

6 - Al-Hafiz Ibnu Hajar al-'Asqalani (m. 852H) dalam al-Kafi al-Syaf (hlm. 64) berkata:

"Aku tidak mendapatinya (yakni asal usulnya daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam)."

7 - Al-Hafiz al-Sakhawi (m. 902H) dalam al-Maqasid al-Hasanah (no. 1035) berkata:

“Tidak sahih memarfu’kannya (menyandarkannya) kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam. Bahkan ia adalah daripada kalam al-Harith bin Kaladah, tabib Arab atau selainnya.”

Siapakah al-Harith bin Kaladah?

Al-Harith bin Kaladah merupakan seorang tabib di kalangan bangsa Arab yang masyhur pada zamannya. Beliau berasal dari Taif dan pernah dua kali ke Parsi untuk mempelajari ilmu perubatan.

Beliau lahir sebelum zaman Islam dan hidup sehingga zaman Mu’awiyah. Ulama khilaf sama ada beliau memeluk Islam ataupun tidak. Antara ulama yang mengatakan bahawa beliau tidak memeluk Islam ialah Imam Ibnu Abi Hatim. Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam pernah menyuruh para sahabatnya yang sakit untuk berubat dengannya.

Status Hadis: Selawat 1000 Kali Berlaga Bahu Dengan Rasulullah Di Syurga

من صلى علي صلاة واحدة صلى الله عليه عشراً، ومن صلى علي عشراً صلى الله عليه مائة، ومن صلى علي مائة صلى الله عليه ألفا، ومن صلى علي ألفا زاحمت كتفه كتفي على باب الجنة

“Sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak sekali maka Allah akan berselawat ke atasnya sebanyak 10 kali.

Sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak 10 kali maka Allah akan berselawat keatasnya sebanyak 100 kali. Sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak 100 kali maka Allah akan berselawat keatasnya sebanyak 1000 kali.

Sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak 1000 kali maka akan berlaga bahunya dengan bahuku di depan pintu syurga.”

Ulasan:

1 - Hadis dengan lafaz yang panjang seperti ini menurut al-Hafiz al-Sakhawi dalam al-Qaul al-Badi’ (hlm. 241-242, tahqiq: Muhammad ‘Awwamah) telah disebutkan oleh pengarang kitab al-Dur al-Munazzam. Lalu kata al-Sakhawi:

“Aku tidak menjumpai sumber asalnya sehingga sekarang.”

Menurut Syeikh Muhammad ‘Awwamah, dalam sebahagian cetakan kitab al-Qaul al-Badi’ ada tambahan terhadap ucapan al-Hafiz al-Sakhawi tersebut iaitu:

“...dan aku mengira hadis ini palsu.”

Namun begitu ucapan ini tidak ada dalam 5 buah manuskrip yang digunakan oleh Syeikh Muhammad ‘Awwamah ketika mentahqiq kitab tersebut. Menurut beliau (hlm. 17), tambahan tersebut mungkin berasal daripada pembaca manuskrip tersebut yang menulisnya di bahagian tepi manuskrip tersebut. Lalu datang penyalin manuskrip yang lain lalu memasukkannya ke dalam nas kitab.

2 - Kitab al-Durr al-Munazzam yang dimaksudkan oleh al-Hafiz al-Sakhawi tersebut tajuk lengkapnya ialah al-Durr al-Munazzam Fi al-Maulid al-Mu’azzam karangan Abu al-Qasim al-Busti al-‘Azafi (m. 677 H). Kitab ini sebenarnya ditulis oleh bapa beliau namun bapanya meninggal sebelum sempat menyempurnakannya. Lalu beliau mengambil alih menyelesaikan kitab ini.

Al-Hafiz Al-Sakhawi dalam al-Qaul al-Badi’ banyak menukilkan hadis daripada kitab tersebut misalnya pada halaman 116-117, 263, 268 dan 276 tetapi semua hadis yang disebutkan oleh pengarangnya tidak ditemui sumber asalnya oleh al-Hafiz al-Sakhawi.

3 – Dua bahagian lafaz yang terkandung dalam hadis ini ada diriwayatkan dalam hadis yang lain.

Pertama:

"مَنْ صَلَّى عَلَيَّ وَاحِدَةً صَلَّى الله عَلَيْهِ عَشْرًا."

“Sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak sekali maka Allah akan berselawat ke atasnya sebanyak 10 kali.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahihnya (no. 408).

Kedua:

"من صلى علي عشرا صلى الله عليه مائه ومن صلى علي مائة صلى الله عليه ألف..."

“Sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak 10 kali maka Allah akan berselawat keatasnya sebanyak 100 kali. Sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak 100 kali maka Allah akan berselawat keatasnya sebanyak 1000 kali...”

Hadis ini menurut al-Hafiz al-Sakhawi dalam al-Qaul al-Badi’ (hlm. 232) telah diriwayatkan oleh Abu Musa al-Madini (m. 581 H). Lalu beliau menukilkan daripada al-Hafiz Mughlathai (m. 762 H) yang mengatakan bahawa sanadnya tidak ada masalah dengannya (لا بأس به).

4 - Kesimpulannya, bahagian pertama dan kedua hadis tersebut ada diriwayatkan dalam hadis yang lain berstatus sahih dan tidak ada masalah dengannya. Oleh itu bahagian tersebut boleh diamalkan serta disebarkan.

Manakala bahagian ketiga hadis tersebut tidak ditemui sumber asalnya sebagaimana kata al-Hafiz al-Sakhawi. Oleh yang demikian, bahagian tersebut tidak boleh dinisbahkan ucapan ini kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam serta tidak boleh  disebarkan.

Apabila seorang ahli hadis bertaraf al-Hafiz berkata bahawa dia tidak menemui sanad bagi sesuatu hadis itu maka sudah memadai untuk dinafikan kewujudan hadis tersebut. Ini sebagaimana yang telah disebutkan oleh al-Hafiz al-Sayuthi dalam Tadrib al-Rawi

“Jika seorang al-Hafiz al-Mutthali’ (yang luas telaahnya), al-Naqid (pakar hadis) berkata pada sesuatu hadis ‘aku tidak mengetahuinya’ dipegang pada perkataanya pada menafikannya (yakni dinafikan kewujudan hadis tersebut), sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh al-Islam (al-Hafiz Ibnu Hajar).”