Nabi berkata: “Perut adalah tempat letaknya penyakit dan menahan nafsu daripada makan berlebihan adalah asas perubatan.”
Kata-kata
yang disandarkan kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam ini saya temui dalam buku
365 Tip Sihat Gaya Rasulullah (hlm. 55) karangan Dr Mohammad Ali Toha.
Begitu juga disebutkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dengan terjemahan berikut:
"Perut manusia itu tempat segala penyakit manakala pencegahan itu pokok dari segala pengubatan."
Lafaznya
dalam bahasa Arab ada pelbagai, antaranya:
1 - الْمعدة بَيت الدَّاء
وَالْحمية رَأس كل دَوَاء.
2 - البطنة أصل الدَّاء وَالْحمية أصل الدَّوَاء.
3 - الْحِمْيَةُ رَأْسُ الدَّوَاءِ، وَالْمَعِدَةُ بَيْتُ الدَّاءِ.
Ucapan ini
memang masyhur dinisbahkan kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam
walaupun pada hakikatnya ia tidak benar disandarkan kepada baginda.
Pandangan Ahli Hadis Tentang Ucapan Ini
1 - Ibnu al-Jauzi (m. 597H) dalam Zad al-Masir (3/118, terbitan: al-Maktab al-Islami) mengatakan ia tidak sabit daripada Nabi sallahu 'alaihi wasallam.
2 - Ibnu Qayyim al-Jauziyyah (m. 751H) dalam Zad al-Ma'ad (4/146, terbitan: Dar 'Alim al-Fawaid) berkata:
"Hadis ini sebenarnya adalah kalam al-Harith bin Kaladah, tabib Arab. Tidak sahih menyandarkannya kepada Nabi sallahu 'alaihi wasallam. Telah mengatakan sedemikian beberapa orang daripada ahli hadis."
3 - Al-Hafiz Ibnu Rajab al-Hanbali (m. 795H) dalam Jami' al-'Ulum Wa al-Hikam (2/468, tahqiq: Syu'aib al-Arnauth) berkata:
"Sebahagian mereka memarfu'kannya (menyandarkannya kepada Nabi sallahu 'alaihi wasallam) dan ia tidak sahih juga."
4 - Imam
al-Zarkasyi (m. 794H) dalam al-Tazkirah Fi al-Ahadith al-Musytahirah (hlm. 145) berkata:
“Ini
adalah ucapan doktor, sama ada ucapan al-Harith bin Kaladah atau selainnya. Tidak
ada asal baginya daripada Nabi sallahu ‘alihi wasallam.”
5 - ِAl-Hafiz al-'Iraqi (m. 806H) dalam Takhrij al-Ihya' (no. 2776) berkata:
"Aku tidak mendapati asal usulnya (daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam)."
Beliau berkata lagi dalam Syarah al-Tabsirah Wa al-Tazkirah (1/315):
"Ini adalah daripada kalam sebahagian doktor dan tidak asal baginya daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam."
6 - Al-Hafiz Ibnu Hajar al-'Asqalani (m. 852H) dalam al-Kafi al-Syaf (hlm. 64) berkata:
"Aku tidak mendapatinya (yakni asal usulnya daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam)."
7 - Al-Hafiz
al-Sakhawi (m. 902H) dalam al-Maqasid al-Hasanah (no. 1035) berkata:
“Tidak
sahih memarfu’kannya (menyandarkannya) kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.
Bahkan ia adalah daripada kalam al-Harith bin Kaladah, tabib Arab atau
selainnya.”
Siapakah al-Harith bin Kaladah?
Al-Harith
bin Kaladah merupakan seorang tabib di kalangan bangsa Arab yang masyhur pada zamannya.
Beliau berasal dari Taif dan pernah dua kali ke Parsi untuk mempelajari ilmu
perubatan.
Beliau
lahir sebelum zaman Islam dan hidup sehingga zaman Mu’awiyah. Ulama khilaf sama
ada beliau memeluk Islam ataupun tidak. Antara ulama yang mengatakan bahawa
beliau tidak memeluk Islam ialah Imam Ibnu Abi Hatim. Rasulullah sallahu ‘alaihi
wasallam pernah menyuruh para sahabatnya yang sakit untuk berubat
dengannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan