من صلى علي صلاة واحدة صلى
الله عليه عشراً، ومن صلى علي عشراً صلى الله عليه مائة، ومن صلى علي مائة صلى
الله عليه ألفا، ومن صلى علي ألفا زاحمت كتفه كتفي على باب الجنة
“Sesiapa
yang berselawat ke atasku sebanyak sekali maka Allah akan berselawat ke atasnya
sebanyak 10 kali.
Sesiapa
yang berselawat ke atasku sebanyak 10 kali maka Allah akan berselawat keatasnya
sebanyak 100 kali. Sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak 100 kali maka
Allah akan berselawat keatasnya sebanyak 1000 kali.
Sesiapa
yang berselawat ke atasku sebanyak 1000 kali maka akan berlaga bahunya dengan
bahuku di depan pintu syurga.”
Ulasan:
1 - Hadis
dengan lafaz yang panjang seperti ini menurut al-Hafiz al-Sakhawi dalam al-Qaul
al-Badi’ (hlm. 241-242, tahqiq: Muhammad ‘Awwamah) telah disebutkan oleh
pengarang kitab al-Dur al-Munazzam. Lalu kata al-Sakhawi:
“Aku tidak menjumpai sumber asalnya sehingga sekarang.”
Menurut
Syeikh Muhammad ‘Awwamah, dalam sebahagian cetakan kitab al-Qaul al-Badi’ ada
tambahan terhadap ucapan al-Hafiz al-Sakhawi tersebut iaitu:
“...dan aku mengira hadis ini palsu.”
Namun begitu ucapan ini tidak ada dalam 5 buah manuskrip
yang digunakan oleh Syeikh Muhammad ‘Awwamah ketika mentahqiq kitab tersebut.
Menurut beliau (hlm. 17), tambahan tersebut mungkin berasal daripada pembaca
manuskrip tersebut yang menulisnya di bahagian tepi manuskrip tersebut. Lalu
datang penyalin manuskrip yang lain lalu memasukkannya ke dalam nas kitab.
2 - Kitab al-Durr
al-Munazzam yang dimaksudkan oleh al-Hafiz al-Sakhawi tersebut tajuk
lengkapnya ialah al-Durr al-Munazzam Fi al-Maulid al-Mu’azzam karangan
Abu al-Qasim al-Busti al-‘Azafi (m. 677 H). Kitab ini sebenarnya ditulis oleh
bapa beliau namun bapanya meninggal sebelum sempat menyempurnakannya. Lalu
beliau mengambil alih menyelesaikan kitab ini.
Al-Hafiz
Al-Sakhawi dalam al-Qaul al-Badi’ banyak menukilkan hadis daripada kitab
tersebut misalnya pada halaman 116-117, 263, 268 dan 276 tetapi semua hadis
yang disebutkan oleh pengarangnya tidak ditemui sumber asalnya oleh al-Hafiz
al-Sakhawi.
3 –
Dua bahagian lafaz yang terkandung dalam hadis ini ada diriwayatkan dalam
hadis yang lain.
Pertama:
"مَنْ
صَلَّى عَلَيَّ وَاحِدَةً صَلَّى الله عَلَيْهِ عَشْرًا."
“Sesiapa
yang berselawat ke atasku sebanyak sekali maka Allah akan berselawat ke atasnya
sebanyak 10 kali.”
Hadis ini
diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahihnya (no. 408).
Kedua:
"من صلى
علي عشرا صلى الله عليه مائه ومن صلى علي مائة صلى الله عليه ألف..."
“Sesiapa
yang berselawat ke atasku sebanyak 10 kali maka Allah akan berselawat keatasnya
sebanyak 100 kali. Sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak 100 kali maka
Allah akan berselawat keatasnya sebanyak 1000 kali...”
Hadis ini
menurut al-Hafiz al-Sakhawi dalam al-Qaul al-Badi’ (hlm. 232) telah
diriwayatkan oleh Abu Musa al-Madini (m. 581 H). Lalu beliau menukilkan
daripada al-Hafiz Mughlathai (m. 762 H) yang mengatakan bahawa sanadnya tidak
ada masalah dengannya (لا بأس به).
4 - Kesimpulannya,
bahagian pertama dan kedua hadis tersebut ada diriwayatkan dalam hadis yang
lain berstatus sahih dan tidak ada masalah dengannya. Oleh itu bahagian
tersebut boleh diamalkan serta disebarkan.
Manakala bahagian
ketiga hadis tersebut tidak ditemui sumber asalnya sebagaimana kata
al-Hafiz al-Sakhawi. Oleh yang demikian, bahagian tersebut tidak boleh dinisbahkan
ucapan ini kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam serta tidak boleh disebarkan.
Apabila seorang ahli hadis bertaraf al-Hafiz berkata bahawa
dia tidak menemui sanad bagi sesuatu hadis itu maka sudah memadai untuk
dinafikan kewujudan hadis tersebut. Ini sebagaimana yang telah disebutkan oleh
al-Hafiz al-Sayuthi dalam Tadrib al-Rawi:
“Jika seorang al-Hafiz al-Mutthali’ (yang luas telaahnya), al-Naqid (pakar hadis) berkata pada sesuatu hadis ‘aku tidak mengetahuinya’ dipegang pada perkataanya pada menafikannya (yakni dinafikan kewujudan hadis tersebut), sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh al-Islam (al-Hafiz Ibnu Hajar).”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan