Selasa, 30 Ogos 2022

Status Hadis: Surah Yasin Padanya Dua Puluh Berkat

 


Daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda ia bagi Saidina Ali radhiallahu ‘anhu:

“Lazimkan olehmu dengan membaca surah Yasin maka bahawasanya padanya itu dua puluh berkat. Tiada membaca akan dia oleh orang yang lapar melainkan dikenyangkan dia dan tiada yang dahaga melainkan dipuaskan dia dan tiada yang bertelanjang melainkan dipakaikan dia dan tiada yang bujang melainkan berkahwin ia dan tiada yang takut melainkan diamankan dia dan tiada yang sakit melainkan disembuhkan dia dan tiada yang kena penjara melainkan dikeluarkan dia dan tiada yang musafir ditolongkan atasnya safarnya dan tiada yang dukacita melainkan diringankan dia daripadanya dan tiada yang membaca akan dia oleh orang yang hilang baginya sesuatu melainkan mendapat akan dia…."

 Hadis ini saya temui ketika membaca kitab Lum’ah al-Aurad (hlm. 136) karangan Wan Ali bin Abdul Rahman al-Kelantani.

Takhrij Hadis:

Hadis ini telah diriwayatkan oleh al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus dengan lafaz yang berbeza dengan yang disebutkan dalam kitab Lum’ah al-Aurad. Riwayat tersebut diriwayatkan melalui sanad yang mengandungi perawi bernama Mas’adah bin al-Yasa’:

اقرؤوا يس فإن فيها عشر بركات: ما قرأها جائع إلا شبع، وما قرأها عارٍ إلا اكتسى، وما قرأها أعزب إلا تزوج، وما قرأها خائف إلا أمن، وما قرأها مسجون إلا فُرج، وما قرأها مسافر إلا أُعين على سفره، وما قرأها رجل ضلّت له ضالّة إلا وجدها، وما قُرئت عند ميّت إلا خُفِّف عنه، وما قرأها عطشان إلا روي، وما قرأها مريض إلا برَأ.

"Bacalah Yasin kerana di dalamnya terdapat sepuluh keberkatan. Tidaklah orang yang lapar membacanya melainkan akan kenyang. Tidaklah orang yang bertelanjang membacanya melainkan dia akan mendapat pakaian. Tidaklah orang yang bujang membacanya melainkan akan berkahwin. Tidaklah orang yang takut membacanya melainkan akan merasa aman. Tidaklah orang yang dipenjara membacanya melainkan akan dibebaskan. Tidaklah orang yang bermusafir membacanya melainkan akan dibantu permusafirannya. Tidaklah orang yang hilang sesuatu barangya membacanya melainkan dia akan menjumpainya semula. Tidaklah dibacakannya di sisi mayat melainkan akan diringankan (azab) baginya. Tidaklah orang yang dahaga membacanya melainkan akan diberi minum. Tidaklah orang yang sakit membacanya melainkan akan disembuhkan."

Hadis ini telah dimuatkan oleh al-Hafiz al-Suyuti dalam kitab himpunan hadis palsu, al-Ziyadat ‘Ala al-Maudhu’at (no. 117) dan beliau berkata:

“Berkata (al-Zahabi) dalam al-Mizan: Mas’adah bin al-Yasa’ adalah perawi yang binasa (هالك). Dia telah dianggap sebagai pendusta oleh Abu Daud. Ahmad bin Hanbal berkata: Kami telah koyakkan hadisnya sejak dahulu lagi.”

Hadis ini juga telah diriwayatkan oleh al-Harith dalam Musnadnya (sebagaimana dalam kitab Bughyah al-Bahith, no. 469) dalam sebuah hadis panjang yang mengandungi wasiat Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam kepada Saidina Ali dengan lafaz:

يَا عَلِيُّ، وَاقْرَأْ يس، فَإِنَّ فِي يس عَشْرَ بَرَكَاتٍ، مَا قَرَأَهَا جَائِعٌ إِلَّا شَبِعَ، وَلَا ظَمْآنُ إِلَّا رُوِيَ، وَلَا عارٍ إِلَّا اكْتَسَى، وَلَا عَزْبٌ إِلَّا تَزَوَّجَ، وَلَا خَائِفٌ إِلَّا أَمِنَ، وَلَا مَسْجُونٌ إِلَّا خَرَجَ، وَلَا مُسَافِرٌ إِلَّا أُعِينَ عَلَى سَفَرِهِ، وَلَا مِنْ ضَلَّتْ ضَالَّتُهُ إِلَّا وَجَدَهَا، وَلَا مَرِيضٌ إِلَّا بَرِأَ، وَلَا قُرِئَتْ عِنْدَ مَيِّتٍ إِلَّا خُفِّفَ عَنْهُ.

"Wahai Ali, bacalah Yasin kerana di dalam Yasin itu ada sepuluh keberkatan. Tidaklah orang yang lapar membacanya melainkan akan kenyang. Tidaklah orang yang dahaga membacanya melainkan akan diberi minum. Tidaklah orang yang bertelanjang membacanya melainkan dia akan mendapat pakaian. Tidaklah orang yang bujang membacanya melainkan akan berkahwin. Tidaklah orang yang takut membacanya melainkan akan merasa aman. Tidaklah orang yang dipenjara membacanya melainkan akan dibebaskan. Tidaklah orang yang bermusafir membacanya melainkan akan dibantu permusafirannya. Tidaklah orang yang hilang sesuatu barangya membacanya melainkan dia akan menjumpainya semula. Tidaklah orang yang sakit membacanya melainkan akan disembuhkan. Tidaklah dibacakannya di sisi mayat melainkan akan diringankan (azab) baginya."

Dalam sanad hadis ini mengandungi tiga orang perawi yang bermasalah iaitu Abdul Rahim bin al-Waqid, Hammad bin ‘Amru dan al-Sarri bin ‘Amru bin Syaddad.

Al-Hafiz al-Busiri dalam kitab Ithaf al-Khiyarah al-Maharah (no. 3004) berkata:

“Sanad ini bersambung-sambung dengan perawi yang daif. Al-Sarri, Hammad dan Abdul Rahman adalah perawi yang daif.”

Di antara ketiga-tiga perawi tersebut yang paling teruk dikritik ialah Hammad bin ‘Amru. Dia telah dituduh memalsukan hadis oleh Yahya bin Ma’in dan Ibnu Hibban.

Kesimpulannya, hadis ini adalah hadis yang palsu. Oleh itu ia tidak boleh disebarkan dan dinisbahkan kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan