الْجَنَّةُ مُشْتَاقَةٌ اِلَى أَرْبَعَةِ نَفَرٍ:
تَالِى الْقُرْانِ، وَحَافِظِ اللِّسَانِ، وَمُطْعِمِ الْجِيْعَانِ، وَصَائِمٍ
فِى شَهْرِ رَمَضَانَ.
“Syurga merindukan empat golongan; Orang
yang membaca al-Quran, yang menjaga lisan, pemberi makan orang lapar, dan yang
berpuasa di bulan Ramadan.”
Ulasan:
1 – Riwayat ini disebutkan oleh al-Khubawi
dalam Durrah al-Nasihin (Majlis pertama: Kelebihan bulan Ramadan, hlm.
8, terbitan: Dar Ihya’ al-Kutub al-‘Arabiyyah). Beliau menukilkan daripada
kitab Raunaq al-Majalis.
2 – Kitab Raunaq al-Majalis tersebut telah disebutkan oleh Haji Khalifah dalam Kasyf al-Zunun (jil. 4, hlm. 264, terbitan: Muassasah al-Furqan). Menurut Haji Khalifah, pengarang kitab ini adalah Abu Hafs Umar bin Abdullah/al-Hasan al-Naisaburi al-Samarqandi. Kitab ini mempunyai 22 bab dan pada setiap bab mengandungi 10 buah hikayat atau cerita. Menurut Isma’il Basya al-Baghdadi dalam Hadiyyah al-‘Arifin (jil 1, hlm. 793, terbitan: Muassasah al-Tarikh al-'Arabi), Abu Hafs al-Samarqandi ini meninggal dunia sekitar tahun 840 Hijrah.
3 – Menurut Dr Ahmad Lutfi dalam Nilai
Hadis Dalam Durrat al-Nasihin (hlm. 185, terbitan: Penerbit UKM), hadis ini
belum dapat dikesan perawinya. Selain itu, kitab Raunaq al-Majalis yang
menjadi rujukan al-Khubawi adalah kitab cerita/hikayat. Oleh kerana itu hadis
ini kemungkinan hanya buatan tukang cerita. Keempat-empat golongan yang dikatakan dalam hadis
ini sebagai dirindui oleh syurga adalah benar-benar termasuk ahli syurga,
tetapi apakah syurga itu merinduinya atau tidak, belum dapat dikesan hadis yang
mengisyaratkan ke arah ini. Hadis seperti ini lebih mendekati palsu.
4 – Oleh itu tidak harus disebarkan riwayat
ini dan dinisbahkan kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan