Jumaat, 10 Mei 2024

Status Hadis: Rezeki Mengikut Kadar Keperluan

 

إِنَّ مَفَاتِيْحَ الرٍّزْقِ مُتَوَجِّهَةٌ نَحْوَ العَرْشِ، فَيُنْزِلُ اللهُ تَعَالَى عَلَى النَّاسِ أَرزَاقَهُمْ عَلًى قَدْرِ نفَقَاتِهِم، فَمَنْ كَثَّرَ كُثِّرَ لَهُ، وَمَنْ قَلَّلَ قُلِّلَ لَهُ

"Sesungguhnya kunci-kunci rejeki itu menghadap ke arah Arasy, lalu Allah turunkan rejeki-rejeki itu kepada umat manusia sesuai kadar (kebutuhan) nafkah mereka. Barangsiapa banyak kebutuhannya, maka akan diperbanyak rejekinya. Dan barangsiapa sedikit kebutuhannya, maka sedikit pula rejekinya."

Hadis ini telah disebutkan di Facebook Gus Dewa Menjawab.

Ulasan:

Hadis ini telah diriwayatkan daripada hadis Anas bin Malik dan al-Zubair dengan lafaz yang berbeza-beza.

Hadis Anas telah diriwayatkan oleh al-Daraqutni dalam al-Mustajad (no. 77), al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad (4/30), Qiwam al-Sunnah dalam al-Targhib Wa al-Tarhib (no. 1555) dan al-Dailami dalam al-Firdaus (no. 8554) daripada jalur perawi:

Al-Waqidi daripada Muhammad bin Ishaq daripada Anas daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.

Al-Hafiz al-‘Iraqi dalam Takhrij al-Ihya’ berkata:

“Dikeluarkan oleh al-Daraqutni dalamnya (yakni kitab al-Mustajad) dan dalam sanadnya ada al-Waqidi daripada Muhammad bin Ishaq daripada al-Zuhri secara ‘an’an dan tidak sahih.”

Dr Khaldun al-Ahdab dalam Zawaid Tarikh Baghdad (2/257) menghukumkan sanad hadis ini sebagai palsu kerana al-Waqidi adalah perawi yang matruk dan dituduh berdusta oleh Imam Ahmad, Ishaq bin Rahawaih dan Ali bin al-Madini. Manakala Dr Basyar ‘Awadh Ma’ruf dalam tahqiq Tarikh Baghdad menghukumkannya sebagai sangat daif.

Lafaz riwayat al-Daraqutni:

يا زبيرُ، إن مفاتيح الرزق بإزاء العرش، وقال المصري: إنَّ باب الرزق مفتوح بإزاء العرش - وقالا جميعاً: يُنزلُ الله للعباد - وقال المصري: إلى العباد، أرزاقهم على قدر نفقاتهم، فمن قُلَّلَ قُللَ له، ومن كَثَّر كُثُّر له.

Lafaz riwayat al-Khatib al-Baghdadi:

يا زبير، إنَّ باب الرَّزق مفتوح بباب العرش، يُنْزِلُ الله على العباد أرزافَهم على قدر نفقاتهم، فمن قلّلَ قلّلَ له، ومن كثَّرَ كثَّرَ له.

Lafaz riwayat Qiwam al-Sunnah:

إن مفاتيح أرزاق العباد بإزاء العرش، ببعث الله إلى عباده على قدر نفقتهم، من قلَّل قُلِّل له، ومن كثَر كُثّر له.

Lafaz riwayat al-Dailami:

إن مفاتيح الرزق بإزاء العرش، ينزل الله عزّ وجلّ للعباد أرزقهم على نفقاتهم لمن كثر كثر له ومن قلل قلل له.

Hadis Zubair telah diriwayatkan oleh Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil (6/571), Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ (10/73) dan Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu’at (2/531) daripada jalur perawi:

Abdullah bin Muhammad bin Yahya bin Urwah bin al-Zubair daripada Hisyam bin Urwah daripada Fathimah binti al-Munzir daripada Asma’ binti Abu Bakar daripada al-Zubair daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam:

يا زبيرُ، إنّ باب الرّزق مفتُوح من لَدُن العَرْش إلى قرار بَطْن الأرْض، فيرزُقُ الله كلّ عبْدٍ على قذْر هِمّته، يا زبير إن الله يحِبُّ السّخاء، ولَوْ بفلق تَّرَةٍ ويحبّ الشجاعة ولو بقّتْل الحية والعَقْرب.

Ibnu al-Jauzi berkata: “Hadis ini tidak sahih. Ibnu ‘Adi berkata: bagi Abdullah bin Muhammad hadis-hadis yang tidak ada sokongan baginya daripada perawi-perawi thiqah. Ibnu Hibban berkata: Dia meriwayatkan hadis-hadis palsu daripada perawi-perawi yang mantap (al-athbat). Tidak boleh menulis hadisnya.”

Penilaian Ibnu al-Jauzi dipersetujui oleh al-Suyuti dalam al-Laali al-Masnu’ah (2/91) dan Ibnu ‘Arraq dalam Tanzih al-Syariah al-Marfu’ah (2/129).

Kesimpulan

Hadis ini adalah hadis yang palsu atau sekurang-kurangnya adalah hadis yang sangat daif. Tidak harus menyebarkannya dan menyandarkannya kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.

Jumaat, 3 Mei 2024

Status Hadis: Bergaul Dengan Kubara, Bertanya Dengan Ulama dan Bercampur Dengan Hukama

 


جَالِسُوا الْكُبَرَاءَ، وَخَالِطُوا الْحُكَمَاءَ، وَسَائِلُوا الْعُلَمَاءَ.

“Hendaklah kalian bergaul dengan Kubara, dan bertanya dengan Ulama dan bercampur dengan Hukama (orang yg mempunyai hikmah).”

Hadis ini telah disebutkan oleh Muhammad Faris di Facebooknya.

Takhrij Hadis

Hadis ini telah diriwayatkan secara marfu’ daripada ucapan Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan secara mauquf daripada ucapan Abu Juhaifah.

Riwayat yang marfu’ telah diriwayatkan oleh al-Thabrani dalam al-Mu’jam al-Kabir, Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil dan al-Baihaqi dalam al-Madkhal Ila ‘al-Sunan melalui jalur sanad:

Abdul Malik bin al-Hussein daripada Salamah bin Kuhail daripada Abu Juhaifah daripada Rasulullah salallahu ‘alaihi wasallam.

Sanad hadis ini sangat daif. Al-Haithami berkata dalam Majma’ al-Zawaid: “Dalam sanadnya ada Abdul Malik bin al-Hussein Abu Malik al-Nakha’i. Dia adalah perawi yang mungkar hadisnya (munkar al-hadith).”

Menurut Ibnu ‘Adi, Abdul Malik bin al-Hussein telah meriwayatkan hadis ini secara marfu’ sedangkan perawi  yang lain meriwayatkannya secara mauquf.

Riwayat yang marfu juga telah diriwayatkan melalui jalur yang lain.

Al-Kharaiti meriwayatkan dalam Makarim al-Akhlak melalui perawi Muhammad bin Malik dan al-Khattabi dalam al-‘Uzlah daripada Uthman bin ‘Atha al-Khurasani, kedua mereka (Muhammad bin Malik dan Uthman bin ‘Atha) meriwayatkan daripada Salamah bin Kuhail daripada Abu Juhaifah daripada Rasulullah salallahu ‘alaihi wasallam.

Sanad ini juga daif. Muhammad bin Malik tidak ditemui biografinya dan Uthman bin ‘Atha al-Khurasani adalah perawi yang daif.

Riwayat yang mauquf telah diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf, al-Thabrani dalam al-Mu’jam al-Kabir, Ibnu Hibban dalam Raudhah al-‘Uqala’ dan al-Baihaqi dalam al-Madkhal Ila ‘al-Sunan daripada jalur sanad:

Zakariyya bin Abi Zaidah daripada Ali bin al-Aqmar daripada ucapan Abu Juhaifah.

Sanadnya sahih.

Status Hadis

Kesimpulannya, hadis ini lebih tepat merupakan ucapan Abu Juhaifah dan tidak sahih daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.

Al-Baihaqi berkata: “Hadis ini diriwayatkan daripada jalur yang lain daripada Abu Juhaifah secara marfu’ dan riwayat yang marfu’ daif.”

Al-Haithami berkata: “Riwayat yang mauquf sahih sanadnya.”