Isnin, 28 Oktober 2024

Hukum-Hakam Solat Tahiyyatul Masjid

 


1 - Disunatkan bagi sesiapa yang masuk ke masjid untuk melaksanakannya, walaupun dia tidak berniat untuk duduk di dalamnya, dan makruh meninggalkannya tanpa ada uzur. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari (no. 433) dan Muslim (no. 714):

إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يَجْلِسَ.

"Apabila salah seorang daripada kamu memasuki masjid, hendaklah dia solat dua rakaat sebelum duduk."

2 - Solat ini diulang setiap kali masuk ke masjid,  sama ada masjid yang sama atau masjid yang lain, walaupun dalam waktu yang berdekatan, kerana wujudnya sebab yang menuntut untuk melakukan solat tersebut (iaitu perbuatan memasuki masjid).

3 – Solat tahiyyatul masjid boleh dilakukan pada bila-bila masa walaupun pada waktu yang dilarang melakukan solat sunat kerana ia adalah solat sunat yang mempunyai sebab.

4 - Solat ini adalah dua rakaat yang dilakukan sebelum dia duduk, dengan membaca (setelah al-Fatihah) surah al-Kafirun pada rakaat pertama dan al-Ikhlas pada rakaat kedua.  

5 - Harus untuk seseorang melakukannya lebih dari 2 rakaat dengan satu salam. Jika dia melakukannya lebih dari 2 rakaat dengan lebih dari satu salam, maka hanya 2 rakaat yang pertama dianggap solat tahiyyatul masjid, manakala yang selebihnya dianggap solat sunat mutlak.

6 - Solat tahiyyatul masjid juga boleh dicapai dengan melakukan solat fardu atau solat sunat yang lain, kerana tujuan utamanya adalah agar tidak memasuki masjid tanpa melakukan solat. Namun, ia tidak tercapai dengan hanya satu rakaat menurut pendapat yang sahih, berdasarkan hadis yang telah disebutkan sebelum ini.

7 - Tidak disyaratkan untuk berniat secara khusus bagi ketika melakukan dua rakaat solat tahiyyatul masjid tersebut. Jika seseorang solat dua rakaat dengan niat solat secara mutlak atau solat sunat seperti solat rawatib, solat dhuha. witir, hajat dan sebagainya, atau solat fardu secara tunai atau qada', atau solat nazar, maka semua itu mencukupi dan mendapat pahala apa yang diniatkan, dan secara tidak langsung tercapai juga tahiyyatul masjid.

8 - Jika seseorang berniat solat fardu dan tahiyyatul masjid sekaligus, atau solat rawatib dan tahiyyatul masjid sekaligus, maka kedua-duanya tercapai.

9 - Namun begitu tahiyyatul masjid tidak tercapai dengan solat jenazah, sujud tilawah, atau sujud syukur.

10 - Solat ini terluput sekiranya dia terus duduk, kecuali jika duduk itu disebabkan terlupa atau tidak tahu hukum, maka bolehlah dilakukan jika tempoh masa duduknya tidak terlalu lama mengikut adat.

11 - Menurut Imam al-Ramli, solat ini juga terluput jika berdiri terlalu lama (iaitu lebih daripada kadar masa solat dua rakaat). Namun menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami, ia tidak terluput walaupun berdiri lama dan berniat untuk tidak melakukannya.

12 - Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami, solat ini tidak terluput jika duduk seketika untuk minum sekiranya ada keperluan, berbeza dengan pandangan Imam al-Ramli.

13 - Solat tahiyyatul masjid dimakruhkan sekiranya imam sudah melaksanakan solat fardu atau solat fardu sudah hampir dimulakan (supaya tidak terlepas takbir bersama imam). Oleh itu, hendaklah menunggu dalam keadaan berdiri dan berniat tahiyyatul masjid bersama solat fardu. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Muslim (no. 710):

إِذَا أُقِيمَتِ الصَّلَاةُ فَلَا صَلَاةَ إِلَّا الْمَكْتُوبَةُ.

"Apabila solat fardu telah didirikan, maka tidak ada solat lain kecuali solat fardu."

14 - Dimakruhkan solat tahiyyatul masjid ketika memasuki Masjidil Haram kerana tahiyyatul masjid di situ adalah dengan melakukan tawaf.

15 - Tidak disunatkan juga bagi khatib melakukan solat tahiyyatul masjid jika telah tiba masa untuk berkhutbah.

16 - Apabila seseorang memasuki masjid ketika imam sedang duduk di atas mimbar atau sedang berkhutbah, maka disunatkan baginya untuk menunaikan solat tahiyyatul masjid dua rakaat dengan ringkas.

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari (no.888) dan Muslim (no. 875): "Apabila seseorang daripada kamu datang ketika imam sedang berkhutbah, maka hendaklah dia solat dua rakaat."

Muslim (no. 875) meriwayatkan juga bahawa Sulaik al-Ghatafani masuk pada hari Jumaat ketika Rasulullah sedang berkhutbah, lalu dia duduk. Maka baginda bersabda kepadanya: "Bangunlah dan solatlah dua rakaat dengan ringkas."

Namun, jika seseorang masuk ketika imam berada di penghujung khutbah, maka makruh baginya untuk melakukan solat sunat dan tahiyyatul masjid, kerana dia akan terlepas permulaan solat berjemaah bersama imam, yang mana ia adalah fardu. Maka tidak harus dia sibuk dengan solat sunat sehingga meninggalkan yang fardu.

17 - Bagi sesiapa yang memasuki masjid tanpa wuduk, atau tidak mampu untuk menunaikan solat tahiyyatul masjid kerana berhadas atau ada kesibukan atau sebagainya, maka disunatkan untuknya mengucapkan empat kali:

سُبْحَانَ اللَّهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ، وَلَا حول وَلَا قُوَّة إلا بِاللَّه الْعَلِي الْعَظِيم.

Al-Khatib al-Syirbini dalam Mughni al-Muhtaj berkata: "Disunatkan mengucapkan empat kalimah ini kerana ia merupakan 'solat' (ibadah/tasbih) bagi seluruh makhluk selain manusia, daripada haiwan dan benda-benda tidak bernyawa. Kalimah-kalimah ini adalah kalimah-kalimah yang baik (kalimaat tayyibaat), amalan-amalan yang kekal lagi soleh (baaqiyaat saalihaat), pinjaman yang baik (qard hasan), dan zikir yang banyak (zikr kathir)."

18 - Makruh memasuki masjid tanpa wuduk.

Rujukan:

Al-Mu’tamad Fi al-Fiqh al-Syafi’i oleh Dr Muhamamd Mustafa al-Zuhaili, jilid 1, halaman 377-379.

Zubdah al-Fiqh al-Syafi’i oleh Syeikh Majid al-Hamawi, jilid 1, halaman 123.

Khamis, 24 Oktober 2024

Dalil Mengambil Berkat Dengan Rambut Orang Soleh

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: لَمَّا رَمَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الجَمْرَةَ نَحَرَ نُسُكَهُ، ثُمَّ نَاوَلَ الحَالِقَ شِقَّهُ الأَيْمَنَ فَحَلَقَهُ، فَأَعْطَاهُ أَبَا طَلْحَةَ، ثُمَّ نَاوَلَهُ شِقَّهُ الأَيْسَرَ فَحَلَقَهُ، فَقَالَ: اقْسِمْهُ بَيْنَ النَّاسِ.

Daripada Anas bin Malik, beliau berkata:

"Setelah Nabi sallahu ‘alaihi wasallam melontar Jamrah dan menyembelih korban, baginda kemudiannya memberikan bahagian kanan kepala baginda kepada tukang cukur, lalu dia mencukurnya. Baginda memberikan rambut tersebut kepada Abu Talhah. Kemudian baginda memberikan bahagian kiri kepala baginda untuk dicukur, dan baginda berkata: “Bahagikannya (rambut) di kalangan orang ramai.'"

Riwayat al-Bukhari (no. 171), Muslim (1305) & al-Tirmizi (no. 912). 

Syeikh Muhammad Abdul Rahman al-Mubarakfuri (m. 1353H) ketika mensyarahkan hadis ini dalam kitab Tuhfah al-Ahwazi Bi Syarah Jami’ al-Tirmizi (jilid 3, halaman 783, terbitan Dar al-Faiha’) berkata:

(فَقَالَ اقْسِمْهُ بَيْنَ النَّاسِ) فِيهِ مَشْرُوعِيَّةُ التَّبَرُّكِ بِشَعْرِ أَهْلِ الْفَضْلِ وَنَحْوِهِ وَفِيهِ دَلِيلٌ عَلَى طَهَارَةِ شَعْرِ الْآدَمِيِّ وَبِهِ قَالَ الْجُمْهُورُ.

“(Baginda bersabda: Bahagikannya di kalangan orang ramai). Dalam hadis ini menunjukkan pensyariatan mengambil berkat dari rambut orang-orang yang mulia dan seumpamanya. Ia juga menjadi dalil tentang kesucian rambut manusia, dan ini adalah pendapat majoriti ulama.”


Ahad, 13 Oktober 2024

Cara Ulama Belajar dan Menghafal

1 – Diriwayatkan dalam biografi Ahmad bin al-Furat (Abu Mas’ud al-Razi) bahawa beliau mengulangi setiap hadis sebanyak 500 kali.

Seorang lelaki berkata kepadanya: "Kami sering melupai hadis."

Beliau menjawab: "Siapa di antara kamu yang mengulang hafalan satu hadis sebanyak 500 kali?"

Mereka berkata: "Siapa yang mampu melakukannya?"

Lalu beliau menjawab: "Oleh sebab itulah kamu tidak dapat menghafalnya."

2 - Dalam biografi Abu Bakar al-Abhari al-Maliki, beliau berkata:

"Aku membaca Mukhtasar Ibnu Abd al-Hakam sebanyak 500 kali, al-Asadiyyah sebanyak 75 kali, al-Muwatta' juga sebanyak itu, al-Mabsut sebanyak 30 kali, dan Mukhtasar al-Barqi sebanyak 70 kali."

3 - Dalam biografi Imam Abu Ishaq al-Shirazi, beliau berkata:

"Aku mengulangi setiap qiyas sebanyak 1000 kali (dalam sebahagian riwayat sebut 100 kali). Setelah selesai, aku mengambil qiyas yang lain, dan begitulah seterusnya. Aku juga mengulang setiap pelajaran sebanyak 1000 kali (dalam sebahagian riwayat sebut 100 kali). Jika ada satu bait syair dalam masalah tersebut yang boleh dijadikan sebagai sokongan, maka aku akan menghafal syair itu."

4 - Ibnu Bashkuwal dalam kitab al-Silah ketika menyebutkan biografi Abu Bakar Ghalib bin Abd al-Rahman bin Atiyyah al-Gharnati (ayah kepada Ibnu Atiyyah, pengarang tafsir al-Muharrar al-Wajiz), beliau berkata:

 "Aku membaca catatan salah seorang sahabat kami bahawa dia mendengar Abu Bakar bin Atiyyah berkata, dia mengulangi Sahih Bukhari sebanyak 700 kali."

5 - Al-Hasan bin Zunnun Abu al-Mafakhir al-Naysaburi berkata:

"Sesuatu (pelajaran) jika tidak diulangi sebanyak 70 kali, ia tidak akan mantap (dalam ingatan)."

6 - Al-Zahabi menyebutkan biografi Ibn al-Ajami dalam Siyar A’lam al-Nubala’:

"Dikatakan bahawa beliau mengajar kitab al-Muhazzab sebanyak 25 kali."

7 - Al-Sakhawi dalam al-Diya' al-Lami’ menyebutkan biografi Abdul Latif al-Kirmani al-Hanafi:

"Antara murid beliau ialah al-Zain Qasim dan al-Shams al-Amsyati. Al-Shams pernah berkata kepadaku bahawa dia mendengar al-Kirmani berkata: Aku membaca kitab al-Muhit karya al-Burhani  (dalam fiqh Hanafi) sebanyak 100 kali.”

8 - Diriwayatkan daripada Bakar bin Muhammad bin Abi al-Fadl al-Ansari bahawa beliau, pada permulaan pengajiannya, beliau akan mengulangi sesuatu masalah sebanyak 400 kali. Suatu hari, beliau ditanya tentang satu masalah yang sukar, lalu beliau berkata: "Aku mengulangi masalah ini sebanyak 400 kali pada suatu malam di sebuah menara di benteng yang terdapat di Bukhara."

9 - Diriwayatkan bahawa Ibnu Hisham membaca Alfiyah sebanyak seribu kali.

10 - Al-Hasan bin Abi Bakar al-Naisaburi menceritakan bahawa seorang ahli fiqh mengulangi pelajaran di rumahnya berkali-kali.

Seorang wanita tua di rumahnya berkata: "Demi Allah, aku sudah menghafalnya."

Beliau berkata: "Cuba sebutkannya."

Wanita itu pun mengulang pelajaran tersebut.

Setelah beberapa hari, beliau berkata: "Wahai wanita tua, ulangi semula pelajaran itu."

Wanita itu menjawab: "Aku tidak menghafalnya lagi."

Beliau berkata: "Aku mengulanginya supaya aku tidak terkena apa yang menimpamu."

11 - Al-Muzani berkata: "Aku membaca al-Risalah (karya Imam al-Shafi'i) sebanyak 500 kali. Setiap kali aku membacanya, aku mendapat manfaat baru."

Beliau juga berkata: "Aku telah mengkaji Risalah selama 50 tahun, dan tidak pernah aku melihatnya sekali pun tanpa memperoleh sesuatu yang belum aku ketahui sebelum ini."

12 - Ibnu al-Athir dalam kitab al-Mathal al-Sa'ir berkata:

"Aku telah mengumpulkan hadis-hadis Nabi dalam sebuah kitab yang mengandungi 3000 buah hadis yang semuanya boleh diamalkan. Aku sentiasa membaca buku itu selama lebih sepuluh tahun dan aku dapat menyelesaikan pembacaannya sekali setiap minggu. Sehinggalah hadis-hadis itu berlegar-legar dalam pandangan dan fikiran aku lebih daripada 500 kali dan ia tersimpan kemas dan tidak ada yang terlepas dari aku."

13 - Dalam biografi Abu al-Qasim bin Ali bin Mas'ud al-Shatibi, disebutkan bahawa beliau hampir menghafal Sahih Bukhari kerana terlalu kerap mengulanginya setiap bulan Ramadan.

14 - Begitu juga al-Sakhawi menyebutkan biografi Uthman bin Abdullah Abu Amr al-Maqsi dalam kitab al-Dau' al-Lami’:

"Beliau sangat banyak melazimi membaca empat kitab utama: Al-Tanbih, al-Minhaj, al-Bahjah dan asalnya (iaitu al-Hawi al-Saghir karya Najmuddin Abdul Ghaffar al-Qazwini), baik secara bacaan mahupun pengajaran, sehingga beliau memiliki kemahiran yang kuat (dalam ilmu fiqh)."

 15 – Al-Qadi 'Iyad berkata tentang biografi Ibnu al-Tabban: "Beliau seorang yang sangat banyak belajar dan disebutkan bahawa beliau mengulangi satu kitab sebanyak 1000 kali," iaitu kitab al-Mudawwanah.

16 - Abu al-'Arab al-Tamimi dalam Tabaqat 'Ulama Ifriqiyyah wa Tunis menyebutkan biografi Abbas bin al-Walid al-Farisi bahawa terdapat catatan pada akhir salah satu kitabnya: "Aku telah mempelajarinya sebanyak 1000 kali.”

17 - Umar bin Samurah al-Ja'di dalam Tabaqat Fuqaha' al-Yaman menyebutkan biografi Imam Yahya bin Abi al-Khair al-'Imrani bahawa beliau berkata tentang dirinya:

"Aku tidak menulis al-Zawa'id 'ala al-Muhazzab kecuali setelah menghafalnya dalam ingatan di hadapan Imam Abdullah bin Ahmad al-Hamdani. Kemudian aku mengulanginya lagi di Uhazah (sebuah kampung di Yaman). Setelah itu aku membacanya sebanyak 40 kali atau lebih sebelum mula menulis."