Ahad, 13 Oktober 2024

Cara Ulama Belajar dan Menghafal

1 – Diriwayatkan dalam biografi Ahmad bin al-Furat (Abu Mas’ud al-Razi) bahawa beliau mengulangi setiap hadis sebanyak 500 kali.

Seorang lelaki berkata kepadanya: "Kami sering melupai hadis."

Beliau menjawab: "Siapa di antara kamu yang mengulang hafalan satu hadis sebanyak 500 kali?"

Mereka berkata: "Siapa yang mampu melakukannya?"

Lalu beliau menjawab: "Oleh sebab itulah kamu tidak dapat menghafalnya."

2 - Dalam biografi Abu Bakar al-Abhari al-Maliki, beliau berkata:

"Aku membaca Mukhtasar Ibnu Abd al-Hakam sebanyak 500 kali, al-Asadiyyah sebanyak 75 kali, al-Muwatta' juga sebanyak itu, al-Mabsut sebanyak 30 kali, dan Mukhtasar al-Barqi sebanyak 70 kali."

3 - Dalam biografi Imam Abu Ishaq al-Shirazi, beliau berkata:

"Aku mengulangi setiap qiyas sebanyak 1000 kali (dalam sebahagian riwayat sebut 100 kali). Setelah selesai, aku mengambil qiyas yang lain, dan begitulah seterusnya. Aku juga mengulang setiap pelajaran sebanyak 1000 kali (dalam sebahagian riwayat sebut 100 kali). Jika ada satu bait syair dalam masalah tersebut yang boleh dijadikan sebagai sokongan, maka aku akan menghafal syair itu."

4 - Ibnu Bashkuwal dalam kitab al-Silah ketika menyebutkan biografi Abu Bakar Ghalib bin Abd al-Rahman bin Atiyyah al-Gharnati (ayah kepada Ibnu Atiyyah, pengarang tafsir al-Muharrar al-Wajiz), beliau berkata:

 "Aku membaca catatan salah seorang sahabat kami bahawa dia mendengar Abu Bakar bin Atiyyah berkata, dia mengulangi Sahih Bukhari sebanyak 700 kali."

5 - Al-Hasan bin Zunnun Abu al-Mafakhir al-Naysaburi berkata:

"Sesuatu (pelajaran) jika tidak diulangi sebanyak 70 kali, ia tidak akan mantap (dalam ingatan)."

6 - Al-Zahabi menyebutkan biografi Ibn al-Ajami dalam Siyar A’lam al-Nubala’:

"Dikatakan bahawa beliau mengajar kitab al-Muhazzab sebanyak 25 kali."

7 - Al-Sakhawi dalam al-Diya' al-Lami’ menyebutkan biografi Abdul Latif al-Kirmani al-Hanafi:

"Antara murid beliau ialah al-Zain Qasim dan al-Shams al-Amsyati. Al-Shams pernah berkata kepadaku bahawa dia mendengar al-Kirmani berkata: Aku membaca kitab al-Muhit karya al-Burhani  (dalam fiqh Hanafi) sebanyak 100 kali.”

8 - Diriwayatkan daripada Bakar bin Muhammad bin Abi al-Fadl al-Ansari bahawa beliau, pada permulaan pengajiannya, beliau akan mengulangi sesuatu masalah sebanyak 400 kali. Suatu hari, beliau ditanya tentang satu masalah yang sukar, lalu beliau berkata: "Aku mengulangi masalah ini sebanyak 400 kali pada suatu malam di sebuah menara di benteng yang terdapat di Bukhara."

9 - Diriwayatkan bahawa Ibnu Hisham membaca Alfiyah sebanyak seribu kali.

10 - Al-Hasan bin Abi Bakar al-Naisaburi menceritakan bahawa seorang ahli fiqh mengulangi pelajaran di rumahnya berkali-kali.

Seorang wanita tua di rumahnya berkata: "Demi Allah, aku sudah menghafalnya."

Beliau berkata: "Cuba sebutkannya."

Wanita itu pun mengulang pelajaran tersebut.

Setelah beberapa hari, beliau berkata: "Wahai wanita tua, ulangi semula pelajaran itu."

Wanita itu menjawab: "Aku tidak menghafalnya lagi."

Beliau berkata: "Aku mengulanginya supaya aku tidak terkena apa yang menimpamu."

11 - Al-Muzani berkata: "Aku membaca al-Risalah (karya Imam al-Shafi'i) sebanyak 500 kali. Setiap kali aku membacanya, aku mendapat manfaat baru."

Beliau juga berkata: "Aku telah mengkaji Risalah selama 50 tahun, dan tidak pernah aku melihatnya sekali pun tanpa memperoleh sesuatu yang belum aku ketahui sebelum ini."

12 - Ibnu al-Athir dalam kitab al-Mathal al-Sa'ir berkata:

"Aku telah mengumpulkan hadis-hadis Nabi dalam sebuah kitab yang mengandungi 3000 buah hadis yang semuanya boleh diamalkan. Aku sentiasa membaca buku itu selama lebih sepuluh tahun dan aku dapat menyelesaikan pembacaannya sekali setiap minggu. Sehinggalah hadis-hadis itu berlegar-legar dalam pandangan dan fikiran aku lebih daripada 500 kali dan ia tersimpan kemas dan tidak ada yang terlepas dari aku."

13 - Dalam biografi Abu al-Qasim bin Ali bin Mas'ud al-Shatibi, disebutkan bahawa beliau hampir menghafal Sahih Bukhari kerana terlalu kerap mengulanginya setiap bulan Ramadan.

14 - Begitu juga al-Sakhawi menyebutkan biografi Uthman bin Abdullah Abu Amr al-Maqsi dalam kitab al-Dau' al-Lami’:

"Beliau sangat banyak melazimi membaca empat kitab utama: Al-Tanbih, al-Minhaj, al-Bahjah dan asalnya (iaitu al-Hawi al-Saghir karya Najmuddin Abdul Ghaffar al-Qazwini), baik secara bacaan mahupun pengajaran, sehingga beliau memiliki kemahiran yang kuat (dalam ilmu fiqh)."

 15 – Al-Qadi 'Iyad berkata tentang biografi Ibnu al-Tabban: "Beliau seorang yang sangat banyak belajar dan disebutkan bahawa beliau mengulangi satu kitab sebanyak 1000 kali," iaitu kitab al-Mudawwanah.

16 - Abu al-'Arab al-Tamimi dalam Tabaqat 'Ulama Ifriqiyyah wa Tunis menyebutkan biografi Abbas bin al-Walid al-Farisi bahawa terdapat catatan pada akhir salah satu kitabnya: "Aku telah mempelajarinya sebanyak 1000 kali.”

17 - Umar bin Samurah al-Ja'di dalam Tabaqat Fuqaha' al-Yaman menyebutkan biografi Imam Yahya bin Abi al-Khair al-'Imrani bahawa beliau berkata tentang dirinya:

"Aku tidak menulis al-Zawa'id 'ala al-Muhazzab kecuali setelah menghafalnya dalam ingatan di hadapan Imam Abdullah bin Ahmad al-Hamdani. Kemudian aku mengulanginya lagi di Uhazah (sebuah kampung di Yaman). Setelah itu aku membacanya sebanyak 40 kali atau lebih sebelum mula menulis."

 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan