1 - Disunatkan bagi sesiapa yang masuk ke masjid untuk melaksanakannya, walaupun dia tidak berniat untuk duduk di dalamnya, dan makruh meninggalkannya tanpa ada uzur. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari (no. 433) dan Muslim (no. 714):
إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ فَلْيَرْكَعْ
رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يَجْلِسَ.
"Apabila
salah seorang daripada kamu memasuki masjid, hendaklah dia solat dua rakaat
sebelum duduk."
2 - Solat ini diulang setiap kali masuk ke masjid, sama ada masjid yang sama atau masjid yang
lain, walaupun dalam waktu yang berdekatan, kerana wujudnya sebab yang menuntut
untuk melakukan solat tersebut (iaitu perbuatan memasuki masjid).
3 – Solat tahiyyatul masjid boleh dilakukan pada bila-bila masa
walaupun pada waktu yang dilarang melakukan solat sunat kerana ia adalah solat
sunat yang mempunyai sebab.
4 - Solat ini adalah dua rakaat yang dilakukan sebelum dia
duduk, dengan membaca (setelah al-Fatihah) surah al-Kafirun pada rakaat pertama
dan al-Ikhlas pada rakaat kedua.
5 - Harus untuk seseorang melakukannya lebih dari 2 rakaat
dengan satu salam. Jika dia melakukannya lebih dari 2 rakaat dengan lebih dari
satu salam, maka hanya 2 rakaat yang pertama dianggap solat tahiyyatul masjid,
manakala yang selebihnya dianggap solat sunat mutlak.
6 - Solat tahiyyatul masjid juga boleh dicapai dengan
melakukan solat fardu atau solat sunat yang lain, kerana tujuan utamanya adalah
agar tidak memasuki masjid tanpa melakukan solat. Namun, ia tidak tercapai
dengan hanya satu rakaat menurut pendapat yang sahih, berdasarkan hadis yang
telah disebutkan sebelum ini.
7 - Tidak disyaratkan untuk berniat secara khusus bagi ketika
melakukan dua rakaat solat tahiyyatul masjid tersebut. Jika seseorang solat dua
rakaat dengan niat solat secara mutlak atau solat sunat seperti solat rawatib,
solat dhuha. witir, hajat dan sebagainya, atau solat fardu secara tunai atau
qada', atau solat nazar, maka semua itu mencukupi dan mendapat pahala apa yang
diniatkan, dan secara tidak langsung tercapai juga tahiyyatul masjid.
8 - Jika seseorang berniat solat fardu dan tahiyyatul masjid
sekaligus, atau solat rawatib dan tahiyyatul masjid sekaligus, maka
kedua-duanya tercapai.
9 - Namun begitu tahiyyatul masjid tidak tercapai dengan
solat jenazah, sujud tilawah, atau sujud syukur.
10 - Solat ini terluput sekiranya dia terus duduk, kecuali
jika duduk itu disebabkan terlupa atau tidak tahu hukum, maka bolehlah
dilakukan jika tempoh masa duduknya tidak terlalu lama mengikut adat.
11 - Menurut Imam al-Ramli, solat ini juga terluput jika
berdiri terlalu lama (iaitu lebih daripada kadar masa solat dua rakaat). Namun
menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami, ia tidak terluput walaupun berdiri lama dan
berniat untuk tidak melakukannya.
12 - Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami, solat ini tidak terluput
jika duduk seketika untuk minum sekiranya ada keperluan, berbeza dengan
pandangan Imam al-Ramli.
13 - Solat tahiyyatul masjid dimakruhkan sekiranya imam
sudah melaksanakan solat fardu atau solat fardu sudah hampir dimulakan (supaya
tidak terlepas takbir bersama imam). Oleh itu, hendaklah menunggu dalam keadaan
berdiri dan berniat tahiyyatul masjid bersama solat fardu. Ini berdasarkan
hadis yang diriwayatkan oleh Muslim (no. 710):
إِذَا أُقِيمَتِ الصَّلَاةُ فَلَا صَلَاةَ إِلَّا
الْمَكْتُوبَةُ.
"Apabila solat fardu telah didirikan, maka tidak ada
solat lain kecuali solat fardu."
14 - Dimakruhkan solat tahiyyatul masjid ketika memasuki
Masjidil Haram kerana tahiyyatul masjid di situ adalah dengan melakukan tawaf.
15 - Tidak disunatkan juga bagi khatib melakukan solat
tahiyyatul masjid jika telah tiba masa untuk berkhutbah.
16 - Apabila seseorang memasuki masjid ketika imam sedang
duduk di atas mimbar atau sedang berkhutbah, maka disunatkan baginya untuk
menunaikan solat tahiyyatul masjid dua rakaat dengan ringkas.
Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari
(no.888) dan Muslim (no. 875): "Apabila seseorang daripada kamu datang
ketika imam sedang berkhutbah, maka hendaklah dia solat dua rakaat."
Muslim (no. 875) meriwayatkan juga bahawa Sulaik al-Ghatafani
masuk pada hari Jumaat ketika Rasulullah sedang berkhutbah, lalu dia duduk.
Maka baginda bersabda kepadanya: "Bangunlah dan solatlah dua rakaat
dengan ringkas."
Namun, jika seseorang masuk ketika imam berada di penghujung
khutbah, maka makruh baginya untuk melakukan solat sunat dan tahiyyatul masjid,
kerana dia akan terlepas permulaan solat berjemaah bersama imam, yang mana ia
adalah fardu. Maka tidak harus dia sibuk dengan solat sunat sehingga
meninggalkan yang fardu.
17 - Bagi sesiapa yang memasuki masjid tanpa wuduk, atau
tidak mampu untuk menunaikan solat tahiyyatul masjid kerana berhadas atau ada
kesibukan atau sebagainya, maka disunatkan untuknya mengucapkan empat kali:
سُبْحَانَ اللَّهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلَا
إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ، وَلَا حول وَلَا قُوَّة إلا بِاللَّه
الْعَلِي الْعَظِيم.
Al-Khatib al-Syirbini dalam Mughni al-Muhtaj berkata:
"Disunatkan mengucapkan empat kalimah ini kerana ia merupakan 'solat' (ibadah/tasbih)
bagi seluruh makhluk selain manusia, daripada haiwan dan benda-benda tidak
bernyawa. Kalimah-kalimah ini adalah kalimah-kalimah yang baik (kalimaat
tayyibaat), amalan-amalan yang kekal lagi soleh (baaqiyaat saalihaat), pinjaman
yang baik (qard hasan), dan zikir yang banyak (zikr kathir)."
18 - Makruh
memasuki masjid tanpa wuduk.
Rujukan:
Al-Mu’tamad Fi al-Fiqh al-Syafi’i oleh Dr Muhamamd
Mustafa al-Zuhaili, jilid 1, halaman 377-379.
Zubdah al-Fiqh al-Syafi’i oleh Syeikh Majid
al-Hamawi, jilid 1, halaman 123.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan