Rabu, 27 Ogos 2025

Ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil (11) – Hukum Amalan Dan Fatwa Seorang Alim Yang Bersesuaian Atau Bercanggah Dengan Hadis Yang Diriwayatkannya

 

Amalan seorang alim dan fatwanya yang selari dengan hadis yang diriwayatkannya bukanlah satu hukum daripadanya akan kesahihannya dan bukan juga satu ta'dil (pengiktirafan) ke atas para perawinya. Hal ini kerana:

1 - Ada kemungkinan ia berdasarkan dalil lain yang menepati matan hadis tersebut, seperti daripada matan hadis yang lain, atau ijmak, atau qiyas, atau amalannya itu sebagai langkah berhati-hati (ihtiyat).

2 - Atau kerana beliau tergolong dalam kalangan orang yang berpandangan boleh beramal dengan hadis daif dan mendahulukannya ke atas qiyas.

Pemilihan untuk berpegang pada matan ini sahaja, sama ada kerana ia lebih jelas maksudnya, atau kerana ia lebih rajih berbanding yang lain, atau disebabkan selain itu.

Al-Amidi dan selain beliau dari kalangan ulama Usul, menganggap pandangan yang sahih ialah: bahawa (perbuatan itu) adalah satu hukum sedemikian dan dalam persoalan ini terdapat perbahasan yang panjang.

Begitu juga, perbuatan seorang perawi yang menyalahi hadis bukanlah satu kritikan daripadanya terhadap kesahihannya dan tidak juga terhadap para perawinya.

Mengenai hal itu, al-Hafiz al-Khatib al-Baghdadi berkata:

“Jika seseorang meriwayatkan suatu hadis daripada seorang syeikh yang menetapkan suatu hukum daripada hukum-hakam, lalu dia tidak beramal dengannya, maka perbuatan itu bukanlah satu jarh (celaan) daripadanya terhadap syeikh tersebut kerana ada kemungkinan bahawa tindakannya meninggalkan amalan dengan khabar itu adalah disebabkan oleh:

1 - Khabar (hadis) lain yang bercanggah dengannya.

2 - Atau ada dalil umum.

3 - Atau qiyas.

4 - Atau kerana ia telah dimansukhkan di sisinya.

5 - Atau kerana beliau berpandangan bahawa ilmu (yang diperolehi) melalui qiyas adalah lebih utama daripadanya.

Apabila wujud kemungkinan itu, maka kita tidak menjadikannya sebagai satu kritikan terhadap para perawinya.”

Kemudian al-Khatib al-Baghdadi memberikan contoh mengenai hal itu dengan apa yang diriwayatkan oleh Malik, daripada Nafi', daripada Abdullah bin Umar: bahawa Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Penjual dan pembeli, setiap seorang daripada mereka berdua mempunyai hak khiyar (pilihan untuk membatalkan jual beli) ke atas rakannya selagi mereka belum berpisah, kecuali jual beli khiyar.”

Beliau berkata: “Hadis ini diriwayatkan oleh Malik dan beliau tidak beramal dengannya. Beliau menyatakan bahawa beliau melihat penduduk Madinah beramal menyalahinya, maka perbuatannya meninggalkan amalan dengannya bukanlah satu kritikan terhadap Nafi.”

Sumber:

Al-Muyassar Fi 'Ilm al-Jarh Wa al-Ta'dil oleh Sayyid Abdul Majid al-Ghauri 

Baca juga: 

Ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil (12) – Hukum Riwayat Orang Yang Dikenali Dengan Sikap Bermudah-Mudah, Atau Menerima Talqin, Atau Banyak Kekeliruannya.

Isnin, 25 Ogos 2025

Zina Dah Menjadi Budaya

Salah satu hakikat yang menyedihkan yang perlu kita akui ialah zina kini seolah-olah telah menjadi budaya dalam masyarakat kita. Hampir setiap minggu muncul sahaja berita tentang kecurangan dan perbuatan zina, merangkumi semua lapisan masyarakat — daripada orang muda hingga orang tua, daripada yang bujang hingga yang sudah berkahwin, daripada yang bekerjaya hingga suri rumah.

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan kes kecurangan yang sehingga membawa kepada pembunuhan. Sebelum itu, terdapat juga kes yang melibatkan guru sekolah. Saya turut membaca komen di Tiktok daripada seorang suami yang tidak dapat memaafkan bekas isterinya kerana terlalu sakit hati mengenangkan bagaimana bekas isterinya sanggup curang sehingga berzina dengan kawannya sendiri (kawan si suami). Tak dapat dibayangkan betapa peritnya hati seorang suami apabila ditikam belakang oleh isteri sendiri dan orang yang dipercayainya.

Yang menghairankan, semua kes ini melibatkan orang yang sudah berkahwin, seolah-olah perkahwinan bukan lagi jalan selamat untuk mengelakkan diri dari zina!

Entah berapa banyak lagi kes curang dan zina yang belum terbongkar yang hanya menunggu masa untuk terdedah.

Saya rasa perlu diadakan peringatan besar-besaran tentang bahaya zina sebelum keadaan menjadi semakin tidak terkawal. Ustaz-ustaz yang berceramah di masjid perlu sentiasa menyelitkan peringatan tentang kesan dan bahaya zina. Begitu juga dengan khutbah Jumaat yang sepatutnya menekankan isu ini dengan lebih kerap supaya masyarakat lebih peka dan berwaspada.

Benarlah sabda Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam:

“Sesungguhnya di antara tanda-tanda Kiamat... (lalu baginda menyebutkan antaranya:) Berleluasanya zina.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam juga bersabda:

“Demi Zat yang jiwaku berada di dalam kekuasaan-Nya, umat ini tidak akan binasa sehinggalah seorang lelaki menghampiri seorang wanita, lalu menyetubuhinya di jalan, maka orang yang terbaik di kalangan mereka pada hari itu ialah orang yang berkata: Kalaulah engkau sembunyikannya di sebalik dinding ini!” (Riwayat Abu Ya’la dengan sanad yang hasan)

Sabtu, 23 Ogos 2025

Makna Istighfar dan Gambaran Istighfar Salafus Soleh

1 - Zunnun al-Misri berkata:

“Istighfar itu menghimpunkan beberapa makna:

i) Penyesalan atas dosa yang telah lalu.

ii) Keazaman untuk berhenti (daripada dosa).

iii) Menunaikan kewajipan Allah yang telah engkau sia-siakan.

iv) Memulangkan hak-hak yang dizalimi pada harta dan maruah dan berdamai (memohon kemaafan) mengenainya.

v) Meluluhkan setiap daging dan darah yang tumbuh daripada sumber yang haram.

vi) Merasakan peritnya ketaatan sebagaimana engkau pernah merasai kemanisan maksiat."

2 - Al-Ahnaf bin Qais berkata: "Ya Allah, jika Engkau mengampuniku, maka Engkaulah yang selayaknya berbuat demikian dan jika Engkau mengazabku, maka akulah yang selayaknya (menerima azab) itu."

3 - Riyah al-Qaisi berkata: "Aku mempunyai empat puluh lebih dosa dan aku telah memohon ampun bagi setiap dosa itu sebanyak seratus ribu kali."

4 - Rabi'ah al-Syamiyyah berkata: "Aku memohon ampun kepada Allah atas kurangnya kejujuranku pada ucapanku: Aku memohon ampun kepada Allah.”

Sumber:

Siyar A’lam al-Nubala’ oleh al-Hafiz al-Zahabi.

Ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil (10) – Hukum Perawi Majhul

Jenis-jenis perawi majhul ada tiga, iaitu:

1 - Majhul al-'Ain

Takrifnya: Dia ialah perawi yang disebutkan namanya, akan tetapi hanya seorang perawi sahaja yang meriwayatkan daripadanya.

Hukum riwayatnya: Tidak diterima, melainkan jika dia dithiqahkan dengan salah satu daripada dua perkara:

(i) Sama ada dia dithiqahkan oleh orang selain daripada yang meriwayatkan daripadanya.

(ii) Atau dia dithiqahkan oleh orang yang meriwayatkan daripadanya dengan syarat orang itu tergolong dalam kalangan ahli al-Jarh wa al-Ta'dil.

2 - Majhul al-Hal dan dinamakan juga al-Mastur.

Takrifnya: Dia ialah perawi yang meriwayatkan daripadanya dua orang atau lebih, akan tetapi dia tidak dithiqahkan.

Hukum riwayatnya: Ditolak menurut pendapat yang sahih yang dinyatakan oleh jumhur.

3 - Al-Mubham

Kita boleh menganggap al-Mubham sebagai salah satu jenis Majhul, walaupun para ulama hadis telah memberikannya nama yang khusus, akan tetapi hakikatnya menyerupai hakikat Majhul.

Takrifnya: Dia ialah perawi yang tidak dinyatakan namanya, atau namanya dinyatakan dengan menggunakan nasab, nisbah, gelaran (laqab), atau kunyah (gelaran menggunakan Abu atau Ummu) yang tidak dikenali.

Hukum riwayatnya: Tidak diterima, sehinggalah perawi yang meriwayatkan daripadanya menyatakan namanya, atau namanya diketahui melalui riwayatnya dari jalan yang lain yang mana namanya dinyatakan di dalamnya.

Sebab ditolaknya riwayatnya adalah kerana tidak dikenali identitinya, kerana sesiapa yang disamarkan namanya, maka tidak dikenali identitinya dan lebih-lebih lagi tidak diketahui keadilannya, maka riwayatnya tidak diterima.

Jika seorang perawi disamarkan dengan lafaz ta'dil, iaitu misalnya perawi yang meriwayatkan daripadanya berkata: “Telah memberitahuku seorang yang thiqah”, riwayatnya juga tidak diterima menurut pendapat yang lebih sahih kerana boleh jadi dia seorang yang thiqah di sisinya dan tidak thiqah di sisi orang lain.

Sumber:

Al-Muyassar Fi 'Ilm al-Jarh Wa al-Ta'dil oleh Sayyid Abdul Majid al-Ghauri 

Baca juga: 

Ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil (11) – Hukum Amalan Dan Fatwa Seorang Alim Yang Bersesuaian Atau Bercanggah Dengan Hadis Yang Diriwayatkannya

Khamis, 21 Ogos 2025

Berubat Dengan Surah al-Fatihah

Ibn al-Qayyim menyebutkan dalam kitab al-Da' wa al-Dawa':

"Kalaulah seorang hamba memperelokkan cara pengubatannya dengan al-Fatihah, nescaya dia akan melihat kesannya yang menakjubkan dalam penyembuhan.

Aku pernah tinggal di Mekah dan ditimpa pelbagai penyakit, namun tidak menemui tabib mahupun ubat. Maka aku merawat diriku sendiri dengan al-Fatihah, lalu aku melihat kesannya yang menakjubkan.

Aku biasa menyarankan kaedah itu kepada sesiapa yang mengadu kesakitan, maka ramai di antara mereka yang sembuh dengan cepat."

Ibn al-Qayyim juga menyebutkan tentang gurunya, Ibn Taimiyyah, bahawa beliau pernah berasa lapar lalu menjadi kenyang dengan hanya membaca al-Quran, yang mana ia menggantikan kedudukan makanan dan minuman baginya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang yakin.

Ahad, 17 Ogos 2025

Sembunyikan Amalanmu

1 - Abu Hazim berkata: "Sembunyikanlah kebaikan-kebaikanmu sebagaimana engkau menyembunyikan kejahatan-kejahatanmu."

2 - Bishr bin al-Harith al-Hafi berkata: "Janganlah engkau beramal untuk dikenali, sembunyikanlah kebaikan sebagaimana engkau menyembunyikan kejahatan."

3 - Mughirah berkata: “Syuraih al-Qadi mempunyai sebuah bilik di mana beliau akan menyendiri di dalamnya pada hari Jumaat dan orang ramai tidak tahu apa yang dilakukannya di situ.”

3 – Sallam berkata: “Ayyub as-Sakhtiyani biasa bangun beribadah sepanjang malam dan beliau menyembunyikan perkara itu. Apabila menjelang waktu Subuh, beliau akan meninggikan suaranya seolah-olah beliau baru sahaja bangun pada ketika itu.

Ayyub juga merupakan seorang yang menyembunyikan kezuhudannya. Kami pernah menziarahinya dan mendapati beliau berada di atas sebuah tilam merah yang tebal. Lalu aku mengangkatnya atau salah seorang sahabat kami mengangkatnya dan ternyata ia hanyalah sehelai tikar kasar yang diisi dengan sabut.”

4 - Ibnu Abi 'Adi berkata: “Daud bin Abi Hind berpuasa selama empat puluh tahun tanpa diketahui oleh ahli keluarganya. Beliau seorang penjual sutera. Beliau membawa bekalan makan tengah harinya bersamanya lalu menyedekahkannya di jalanan.”

5 - Abdurrahman bin Mahdi berkata: “Aku bertanya kepada Ibnul Mubarak: Ibrahim bin Adham mendengar (hadis) daripada siapa?

Beliau menjawab: "Beliau telah mendengar daripada orang ramai dan beliau mempunyai keutamaan pada dirinya. Seorang yang mempunyai amalan-amalan rahsia. Aku tidak pernah melihatnya menzahirkan bacaan tasbih atau apa-apa kebaikan pun.”

6 - Ibnul Mubarak berkata: "Aku tidak pernah melihat sesiapa pun yang diangkat darjatnya seperti Malik, sedangkan beliau tidak banyak solat mahupun puasa, melainkan (pasti) beliau mempunyai suatu amalan rahsia."

7 - Al-Khuraibi berkata: "Mereka (para salaf) menyukai agar seseorang itu mempunyai amalan soleh yang tersembunyi, yang tidak diketahui oleh isterinya mahupun orang lain."

Sumber:

Siyar A’lam al-Nubala’ oleh al-Hafiz al-Zahabi.

Rabu, 13 Ogos 2025

Ringkasan Sirah Nabi Salih

Nama baginda disebut di dalam al-Quran sebanyak sembilan kali.

Nasabnya: Baginda ialah Salih bin 'Ubaid bin Masyih bin 'Ubaid bin Harid bin Tsamud bin 'Atsir bin Iram bin Sam bin Nuh.

Kaumnya: Allah mengutuskan baginda kepada kaum Tsamud. Pada waktu itu, penyembahan berhala berleluasa dalam kalangan mereka.

Mereka adalah bangsa Arab yang mendiami al-Hijr, yang terletak di antara Hijaz dan Tabuk. Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam pernah melalui kawasan ini semasa dalam perjalanan ke Tabuk.

Mereka datang selepas zaman kaum 'Aad.

Allah Ta’ala berfirman: “Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutus kepada kaum Tsamud, saudara mereka Nabi Salih, (menyeru mereka dengan berkata): Sembahlah kamu akan Allah!" Maka tiba-tiba mereka menjadi dua puak (mukmin dan kafir) yang berbalah. (Surah an-Naml: 45)

Mereka juga adalah Ashab al-Hijr (penduduk al-Hijr) kerana tempat-tempat tinggal mereka diperbuat daripada batu (al-hijr).

Dakwahnya: Nabi Salih ‘alaihis salam berjuang untuk membimbing kaumnya ke jalan Allah dan meninggalkan penyembahan berhala.

Lalu kaumnya meminta baginda untuk mendatangkan satu mukjizat, iaitu seekor unta betina yang keluar dari perut gunung.

Baginda pun membuat janji daripada mereka bahawa sekiranya permintaan itu ditunaikan, mereka akan beriman kepada Allah. Mereka bersetuju, lalu keluarlah unta betina itu, namun mereka tetap ingkar.

Nabi Salih menetapkan syarat bahawa unta betina itu akan minum air pada satu hari dan mereka akan minum pada hari yang lain.

Sebahagian daripada orang kafir kemudiannya merancang untuk membunuh unta betina itu bagi menghapuskan bukti terhadap kekufuran mereka dan kebenaran nabi mereka. Mereka menyembelihnya dan memakan dagingnya, namun mendapati rasanya sangat pahit.

Nabi Salih lalu memberi amaran kepada mereka tentang kedatangan azab selepas tiga hari.

Setiap hari mereka akan keluar menanti-nanti azab tersebut.

Pada hari pertama, wajah mereka menjadi kuning. Pada hari kedua, wajah mereka menjadi merah. Pada hari ketiga, wajah mereka menjadi hitam. Selepas itu, ketika matahari terbit, datanglah kepada mereka pekikan yang dahsyat dari langit dan gegaran yang kuat dari bawah mereka, lalu mereka semua mati.

Terselamatlah Nabi Salih dan orang-orang yang beriman bersamanya, yang berjumlah seratus dua puluh orang.

Allah Ta’ala berfirman: “(Ingatlah), kaum Thamud telah mendustakan (Rasulnya) dengan sebab perbuatan derhaka mereka yang melampaui batas.

Ketika orang yang paling jahat di antara mereka menerima perintah dari mereka (supaya membunuh unta yang menjadi mukjizat).

Maka berkatalah Rasul Allah (Nabi Soleh) kepada mereka:  (Janganlah kamu ganggu) unta betina dari Allah itu, dan (janganlah kamu menyekatnya daripada mendapat) air minumnya (supaya kamu tidak ditimpa azab)!

(Setelah Nabi Soleh memberi amaran) lalu mereka mendustakannya serta menyembelih unta itu. Dengan sebab dosa mereka, maka Tuhan menimpakan mereka dengan azab yang membinasakan serta Ia meratakan azab itu meliputi mereka (sehingga punah-ranah semuanya).

Dan Allah tidak hiraukan kesudahan (mereka) yang demikian, (kerana itu adalah balasan yang adil).” (Al-Syams: 11-15)

Kewafatannya: Selepas kebinasaan kaumnya Nabi Salih ‘alaihis salam hidup di bumi Palestin sehinggalah Allah Taala mewafatkannya. Dikatakan juga bahawa baginda berpindah ke Tanah Haram lalu menetap di sana sehingga wafat.

Faedah: Sebahagian ulama berkata: “Apabila Allah Taala membinasakan sesuatu kaum, nabi mereka akan tetap beribadat kepada Allah Taala di sisi Kaabah sehinggalah kewafatannya.

Oleh sebab itu, ada yang berpendapat bahawa Nabi Nuh, Salih, dan Hud 'alaihimus salam dimakamkan di antara Rukun dan Maqam berdekatan dengan Baitullah al-Haram.”

Sumber:

Khulasah al-Anba’ Fi Qasas al-Anbiya’ karangan Syeikh Dr Hisyam al-Kamil Hamid al-Syafi’e al-Azhari.

Sabtu, 9 Ogos 2025

Ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil (9) - Definisi Dhabt

Dari sudut istilah:

Maksud para ahli hadis dengan al-Dhabt ialah perawi itu disifati dengan kewaspadaan, tidak lalai, dan mempunyai hafalan yang baik jika dia meriwayatkan daripada hafalannya dan mempunyai ketelitian jika dia meriwayatkan daripada kitabnya, serta mengetahui maknanya jika dia meriwayatkan hadis dengan makna (bukan lafaz asal).

Ibn Hibban berkata: “Iaitu memahami ilmu hadis sehingga tidak menjadikan hadis Mauquf sebagai Marfu', tidak menjadikan hadis Mursal sebagai Mausul atau melakukan tashhif (kesilapan) pada apa yang didengarinya.”

Jenis-jenis Al-Dhabt:

Para pakar hadis berpendapat untuk membahagikan al-Dhabt kepada dua bahagian, iaitu: Dhabt al-Sadr dan Dhabt al-Kitab. Takrifkan setiap satu daripadanya seperti berikut:

1 - Dhabt al-Sadr: Iaitu hafalan, di mana perawi mengukuhkan apa yang didengarnya serta mampu untuk mengingatnya kembali apabila diperlukan, sehinggakan ia sukar untuk hilang daripada daya ingatannya.

Syarat bagi jenis dhabt ini ialah perawi itu mestilah seorang yang teguh hatinya, sentiasa tajam fikirannya, cepat tanggap, bukan seorang yang lalai yang tidak dapat membezakan antara yang benar dengan yang salah, seperti orang yang tidur atau yang pelupa kerana orang yang disifati dengan sifat-sifat tersebut tidak boleh dipercayai dan lebih-lebih lagi untuk dijadikan sandaran.

2 - Dhabt al-Kitab: Yang dimaksudkan dengannya ialah pemeliharaan kitab di mana perawi menulis riwayat-riwayatnya, daripada sebarang kecacatan yang mungkin berlaku, bermula dari waktu mendengar dan menulis sehinggalah dia menyampaikan dan meriwayatkannya.

Ia juga merangkumi usaha menghalang sebarang perubahan pada isinya, terutamanya jika dia hanya bergantung padanya ketika meriwayatkan hadis, sama ada dari sudut penambahan, atau pengurangan, atau penukaran.

Selain itu, dia juga perlu merujuk kembali kepada apa yang mungkin tersilap padanya sama ada pada matan hadis atau sanadnya dari segi lafaz, atau nama dan tanpa menerima sebarang bentuk talqin[1].

Sesungguhnya, orang seperti ini dan yang seumpamanya, riwayat mereka akan diterima daripada kitab-kitab mereka yang sahih (terpelihara), walaupun mereka tidak dikurniakan hafalan dan pengetahuan hadis seperti mana yang dikurniakan kepada orang lain.

Cara Mengetahui Dhabt Perawi:

Diketahui sama ada seorang perawi itu dhabit dengan membandingkan riwayatnya dengan riwayat para perawi thiqah yang terkenal dengan dhabt dan ketelitian.

Sekiranya kita dapati riwayatnya bersesuaian – walaupun dari sudut makna – dengan riwayat mereka, atau bersesuaian pada kebanyakannya dan percanggahan itu jarang berlaku, maka kita akan mengetahui pada ketika itu bahawa dia seorang yang dhabit.

Kecacatan Dhabt:

Sesungguhnya bentuk-bentuk kecacatan dhabt adalah banyak dan antara yang terpenting ialah:

1 - Al-Ikhtilat dan al-Taghyir (Kekeliruan dan Perubahan):

Al-Ikhtilat ialah kerosakan akal atau perubahannya. Kebanyakan perkara itu berlaku (iaitu al-Ikhtilat dan al-Taghyir) selepas lanjut usia dan ia juga boleh berpunca daripada sebab yang lain.

Para ahli hadis berpendapat untuk menerima apa yang diriwayatkan oleh perawi sebelum ikhtilatnya dan menolak apa yang diriwayatkannya selepas ikhtilat atau apa yang diragui keadaannya, di mana tidak diketahui adakah ia sebelum ikhtilat atau selepasnya.

Ini perlu mengambil kira peranan sebahagian murid kepada perawi yang mukhtalit (mengalami ikhtilat) yang terdiri daripada kalangan perawi thiqah yang sentiasa mendampinginya dan yang mampu membezakan hadisnya yang sahih daripada yang lain, di samping qarinah-qarinah (petunjuk-petunjuk) lain yang mengesahkan keselamatan riwayat tersebut.

2 - Periwayatan Hadis Gharib dan Afrad:

Ini berlaku selepas penelitian riwayat-riwayat perawi dan perbandingannya dengan riwayat-riwayat lain, seperti terlalu banyak meriwayatkan hadis Syaz dan Munkar.

Periwayatan seorang perawi thiqah secara bersendirian (tafarrud) kadangkala tidak menjejaskannya sehinggalah ia menjadi terlalu kerap.

3 - Al-Ghalat dan al-Wahm (Kesalahan dan Kekeliruan):

Al-Wahm (kekeliruan) boleh berlaku pada hafalan sepertimana ia boleh berlaku pada penulisan.

Sesiapa yang banyak kekeliruan dan kesalahannya, maka keadaannya akan diteliti, riwayatnya diberi perhatian dan riwayatnya ditulis untuk tujuan i'tibar (perbandingan) dan mutaba'ah (sokongan).

Riwayatnya boleh jadi diterima jika ia turut datang melalui sanad-sanad yang lain, sekiranya baki syarat-syarat periwayatan yang lain dipenuhi.

Akan tetapi, kesilapan itu boleh jadi mendominasi hadis perawi sehingga lebih banyak daripada betulnya dan kadangkala lebih teruk daripada itu, maka orang seperti ini hadisnya ditolak.

Kebanyakan al-ghalat (kesalahan) dan al-wahm (kekeliruan) berlaku pada: Al-Idraj (sisipan dalam hadis), al-Qalb (pemutarbalikan hadis), atau memafu’kan hadis Mursal dan sebaliknya.

4 - Al-Sahwu dan al-Ghaflah (Kelupaan dan Kelalaian):

Terutamanya apabila perawi meriwayatkan daripada hafalannya dan dia tidak mempunyai kitab yang terjaga.

Termasuk dalam kategori ini ialah sesiapa yang dikenali bermudah-mudah (tasahul) dalam proses mendengar, atau menyalin apa yang diriwayatkannya, kemudian meriwayatkan daripadanya.

Contohnya, dia bergantung pada sebuah kitab yang tidak disemak banding dengan naskhah-naskhah asal yang didengar daripada periwayat asal (pemilik kitab tersebut) dan begitu juga sesiapa yang dikenali bermudah-mudah dalam meriwayatkan hadis.

Sumber:

Al-Muyassar Fi 'Ilm al-Jarh Wa al-Ta'dil oleh Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.



[1] Seorang perawi membaca kepada guru apa yang bukan daripada hadis guru tersebut, lalu mendakwa bahawa ia adalah daripada hadis guru itu, sambil cuba untuk mengelirukannya. 

Guru itu selepas itu sama ada akan menyetujuinya, iaitu meriwayatkannya, atau menafikannya dan berkata: "Ini bukan daripada hadisku." 

Adapun jika dia menyetujuinya, sama ada dia seorang yang fasik yang meriwayatkan hadis yang tidak didengarinya sendiri atau dia seorang yang sangat lalai sehingga akalnya cuai dan pemikirannya bercelaru sehingga tidak dapat membezakan hadis miliknya atau bukan.

Baca juga: 

Ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil (10) – Hukum Perawi Majhul

Isnin, 4 Ogos 2025

Hadis Palsu: Kelebihan Mengangkat Kertas Bertulis Bismillah

Al-Mawahib al-Ladunniyyah

مَنْ رَفَعَ قِرْطَاسًا مِنَ الأَرْضِ فِيهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ إِجْلالا لِلَّهِ أَنْ يُدَاسَ كَتَبَهُ اللَّهُ مِنَ الصِّدِّيقِينَ وَخَفَّفَ عَنْ وَالِدَيْهِ، وَإِنْ كَانَا مُشْرِكَيْنِ

“Sesiapa yang mengangkat sekeping kertas dari tanah yang padanya tertulis Bismillahir-Rahmanir-Rahim kerana memuliakan Allah agar (nama-Nya) tidak dipijak, nescaya Allah akan mencatatnya di kalangan orang-orang yang benar (as-siddiqin) dan diringankan (azab) untuk kedua ibu bapanya, sekalipun kedua-duanya adalah orang musyrik.”

Sumber Hadis:

Hadis ini saya temui telah disebutkan oleh Imam al-Bajuri dalam al-Mawahib al-Ladunniyyah Syarah al-Syamail al-Muhammadiyyah.

Hadis ini telah diriwayatkan oleh Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil Fi Dhu’afa’ al-Rijal dan lain-lain melalui sanad:

Abu Salim al-‘Ala’ bin Maslamah ar-Rawwas daripada Abu Hafs al-'Abdi daripada Aban daripada Anas daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.

Penilaian Hadis:

Ibnu al-Jauzi berkata dalam al-‘Ilal al-Mutanahiyyah: “Adapun mengenai sanad riwayat Anas, padanya terdapat al-‘Ala’ bin Maslamah.

Ibn Hibban berkata: Dia meriwayatkan riwayat-riwayat palsu dan maqlub daripada para perawi yang dipercayai. Tidak halal untuk berhujah dengannya.

Abu al-Fath al-Azdi berkata: Al-‘Ala’ adalah seorang lelaki yang jahat, tidak peduli apa yang diriwayatkannya. Tidak halal bagi sesiapa yang mengenalnya untuk meriwayatkan daripadanya.

Padanya juga terdapat Abu Hafs al-‘Abdi.

Ahmad berkata: Kami telah membakar hadisnya.

Yahya berkata: Dia tiada nilai."

Dalam sanadnya juga terdapat Aban bin Abi ‘Ayyash, seorang perawi matruk (sangat lemah).

Pandangan Ulama Tentang Hadis Ini:

1 - Ibnu al-Jauzi berkata dalam al-‘Ilal al-Mutanahiyyah: “Tiada satu pun di dalam hadis-hadis ini yang sahih daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.”

2 - Al-Syaukani berkata dalam al-Fawa'id al-Majmu'ah: “Ia telah diriwayatkan melalui beberapa jalan dan dengan lafaz-lafaz yang berbeza, namun tanda-tanda kepalsuan jelas kelihatan padanya.”

Bantahan al-Suyuti Terhadap Ibnu al-Jauzi:

As-Suyuti menyebutkannya dalam al-La'ali' al-Masnu’ah dan tidak bersetuju dengan penghukumannya sebagai palsu (mawdhu') kerana wujudnya beberapa riwayat sokongan (syawahid) untuknya, iaitu daripada hadis Ali dan Abu Hurairah.

Namun, pandangan ini disanggah oleh Ibn ‘Arraq dalam Tanzih al-Syari'ah al-Marfu’ah yang menyatakan bahawa riwayat-riwayat sokongan ini tidak boleh diterima kerana terdapat perawi yang dituduh berdusta di dalam sanad-sanadnya.

Kesimpulan:

Hadis ini adalah palsu sebagaimana yang dihukumkan oleh para ulama seperti Ibn al-Jauzi dan al-Syaukani. Walaupun al-Suyuti mempertahankan hadis ini atas dasar adanya riwayat sokongan, pandangan tersebut ditolak kerana semua riwayat sokongan juga bermasalah.

Oleh itu riwayat ini tidak boleh disebarkan dan dinisbahkan kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.