Ibn al-Qayyim menyebutkan dalam kitab al-Da' wa al-Dawa':
"Kalaulah seorang manusia itu memperelokkan cara pengubatannya dengan surah al-Fatihah, nescaya dia akan melihat kesan penyembuhan yang menakjubkan.
Aku pernah tinggal di Mekah dan ditimpa pelbagai penyakit,
namun aku tidak menemui tabib mahupun ubat. Maka aku merawat diriku sendiri dengan
al-Fatihah, lalu aku melihat kesannya yang menakjubkan.
Aku biasa menyarankan kaedah itu kepada sesiapa yang mengadu
kesakitan, maka ramai di antara mereka yang sembuh dengan cepat."
Ibn al-Qayyim juga menyebutkan tentang gurunya, Ibn Taimiyyah, bahawa beliau pernah berasa lapar lalu menjadi kenyang dengan hanya
membaca al-Quran, yang mana ia menggantikan kedudukan makanan dan minuman
baginya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang yakin.
Ibnu al-Qayyim menyebutkan dalam kitab Zadd al-Ma’ad:
“Dikatakan bahawa tempat penyembuhan daripada surah
al-Fatihah ialah:
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
"Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada
Engkaulah kami memohon pertolongan." [Al-Fatihah: 5].
Tidak syak lagi bahawa dua kalimah ini (sembah dan memohon pertolongan)
adalah antara bahagian yang paling kuat dalam penawat ini. Ini kerana pada
kedua-duanya merangkumi penyerahan dan tawakal yang menyeluruh, pergantungan
dan memohon pertolongan, rasa berhajat dan permohonan, serta gabungan antara
matlamat tertinggi - iaitu beribadah kepada Tuhan semata-mata - dengan
perantara yang paling mulia iaitu memohon pertolongan daripada-Nya untuk
beribadah kepada-Nya, yang mana perkara ini tidak terdapat pada selainnya.
Suatu ketika semasa aku di Makkah aku telah jatuh sakit, namun aku tidak mempunyai doktor mahupun ubat. Lalu aku merawat diriku dengan surah al-Fatihah. Aku mengambil seteguk air Zamzam, dan aku membaca surah al-Fatihah ke atasnya berulang kali, kemudian aku meminumnya. Maka aku mendapati kesembuhan yang sepenuhnya dengan cara tersebut. Selepas itu aku terus menjadikan amalan itu sebagai kaedah utama tatkala mengalami pelbagai kesakitan, dan aku mendapat manfaat yang amat besar daripadanya.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan