Jumaat, 13 Mac 2026

Umur Khadijah Ketika Berkahwin Dengan Nabi

Oleh: Syeikh Dr Salahuddin al-Idlibi

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang aku bermula dan kepada-Nya aku memohon pertolongan.

Ini adalah sedikit catatan ringkas mengenai umur Saidatina Khadijah RA pada hari perkahwinannya dengan junjungan kita, Rasulullah SAW:

Beberapa riwayat sebagai mukadimah kepada persoalan ini:

1 - Imam at-Tabarani (meninggal dunia pada tahun 360 Hijrah) telah meriwayatkan di dalam al-Mu'jam al-Kabir daripada Ibnu Syihab al-Zuhri (meninggal dunia pada tahun 124 Hijrah) bahawa beliau berkata:

"Khadijah RA meninggal dunia di Makkah tiga tahun sebelum Rasulullah SAW keluar (berhijrah) ke Madinah."

2 - Diriwayatkan juga daripada 'Urwah bin al-Zubair (meninggal dunia pada tahun 94 Hijrah) dan daripada Qatadah bin Di'amah (meninggal dunia pada tahun 117 Hijrah) mengenai fakta yang serupa. Ketiga-tiga mereka ini adalah daripada kalangan Tabi'in.

3 - Imam al-Baihaqi (meninggal dunia pada tahun 458 Hijrah) telah meriwayatkan di dalam kitab Dala'il an-Nubuwwah daripada Aisyah RA, bahawa beliau berkata:

"Rasulullah SAW mengahwiniku tiga tahun selepas kematian Khadijah."

Al-Baihaqi berkata: "Kedua-duanya (al-Bukhari dan Muslim) telah mengeluarkannya di dalam kitab al-Sahih.”

4 - Diriwayatkan daripada al-Zuhri bahawa beliau berkata:

"Khadijah meninggal dunia di Makkah sebelum Rasulullah SAW keluar (berhijrah) ke Madinah dan sebelum solat difardukan."

5 - Diriwayatkan daripada Muhammad bin Ishaq (meninggal dunia pada tahun 151 Hijrah), bahawa beliau berkata:

"Khadijah binti Khuwailid dan Abu Talib meninggal dunia pada tahun yang sama."

6 - Al-Waqidi mendakwa bahawa mereka (para sahabat) telah keluar dari al-Syi'b tiga tahun sebelum Hijrah, dan pada tahun inilah Khadijah serta Abu Talib meninggal dunia.

Berapakah umur Saidatina Khadijah RA pada hari perkahwinan Nabi SAW dengannya?

Dalam isu ini terdapat beberapa pendapat, dan yang masyhur adalah umurnya empat puluh tahun.

Berikut adalah beberapa pendapat ulama yang menyokong bahawa umurnya pada waktu itu adalah 40 tahun atau sekitarnya:

1 - Ibnu Sa'ad (meninggal dunia pada tahun 230 Hijrah) telah meriwayatkan di dalam al-Tabaqat al-Kubra daripada Muhammad bin Umar al-Waqidi (meninggal dunia pada tahun 207 Hijrah), dengan sanadnya daripada al-Zuhri dan daripada al-Muttalib bin Abdullah bin Hantab, bahawa kedua-duanya berkata:

"Rasulullah SAW mengahwininya ketika Baginda berusia 25 tahun dan Khadijah berusia 40 tahun. Khadijah meningal dunia setelah 10 berlalu dari bulan Ramadan (yakni pada 10 Ramadan) pada tahun 10 kenabian, iaitu 3 tahun sebelum Hijrah, ketika beliau berusia 65 tahun."

Ibnu Sa'ad turut meriwayatkannya daripada al-Waqidi dengan sanadnya daripada Hakim bin Hizam RA.

2 - Al-Hakim (meninggal dunia pada tahun 405 Hijrah) telah meriwayatkan di dalam kitabnya al-Mustadrak melalui sanad: Abdullah bin Muhammad bin Yahya bin 'Urwah bin al-Zubair daripada bapa saudaranya iaitu Hisyam bin 'Urwah, bahawa beliau berkata:

"Khadijah binti Khuwailid RA meninggal dunia ketika beliau berusia 65 tahun."

Abdullah bin Muhammad bin Yahya bin 'Urwah adalah seorang yang matruk (ditinggalkan hadisnya). Maka sanad ini adalah rosak (talif).

Jika beliau meninggal dunia ketika berusia 65 tahun, ini bermakna usianya pada hari perkahwinannya dengan Nabi SAW adalah 40 tahun.

Al-Hakim telah memberikan komentar terhadap riwayat ini dengan berkata:

"Ini adalah pendapat yang syaz (ganjil), kerana pandangan yang kuat di sisiku ialah beliau tidak mencapai usia 60 tahun."

3 - Ibnu Abdul Barr (meninggal dunia pada tahun 463 Hijrah) berkata di dalam al-Isti'ab:

"Ketika Rasulullah SAW mengahwininya, beliau berusia 60 tahun, lalu beliau hidup bersama Baginda SAW selama 24 tahun, dan meninggal dunia ketika berusia 64 tahun 6 bulan."

Al-Waqidi dianggap thiqah oleh sekelompok ulama, namun didaifkan oleh sekelompok ulama yang lain serta dituduh melakukan pendustaan. Boleh jadi beliau adalah seorang yang thiqah dalam riwayat-riwayat berkaitan sejarah, namun mencampuradukkan fakta atau berdusta dalam sebahagian sanad riwayat-riwayat hadis.

4 - Ibnu al-Athir (meninggal dunia pada tahun 630 Hijrah) berkata di dalam kitabnya, Usd al-Ghabah:

"Umurnya ketika itu adalah 40 tahun."

5 - Al-Nawawi (meninggal dunia pada tahun 676 Hijrah) berkata di dalam kitabnya Tahzib al-Asma' wa al-Lughat:

"Rasulullah SAW mengahwininya ketika beliau berusia 45 tahun pada hari tersebut. Ada pandangan mengatakan 28 tahun, dan ada pandangan mengatakan 40 tahun. Di dalam Tarikh Damsyik (dinyatakan) bahawa beliau meninggal dunia pada bulan Ramadan tahun kesepuluh Kenabian ketika berusia 65 tahun."

6 - Ibnu Hajar (meninggal dunia pada tahun 852 Hijrah) berkata di dalam kitab al-Isabah:

"Diriwayatkan daripada Hakim bin Hizam bahawa Khadijah lebih tua daripada Nabi SAW sebanyak 15 tahun. Al-Waqidi telah meriwayatkan dengan sanadnya daripada beberapa jalur sanad bahawa ketika perkahwinannya dengan Baginda, beliau berusia 40 tahun. Al-Waqidi berkata: “Beliau meninggal dunia setelah 10 berlalu dari bulan Ramadan (yakni pada 10 Ramadan) ketika berusia 65 tahun.” Kemudian beliau meriwayatkan dengan sanadnya daripada hadis Hakim bin Hizam bahawa beliau wafat pada tahun kesepuluh pengutusan baginda sebagai Rasul."

6 - As-Salihi (meninggal dunia pada tahun 942 Hijrah) di dalam kitabnya, Subul al-Huda wa al-Rasyad telah menukilkan daripada Muhammad bin Umar al-Waqidi al-Aslami bahawa Khadijah meninggal dunia setelah 10 hari berlalu dari bulan Ramadan ketika berusia 65 tahun. Kemudian beliau meriwayatkan daripada Hakim bin Hizam bahawa Khadijah meninggal dunia pada tahun kesepuluh pengutusan Kenabian. Ini bermakna usianya pada hari perkahwinannya dengan Nabi SAW adalah 40 tahun.

7 - Mulla Ali al-Qari (meninggal dunia pada tahun 1014 Hijrah) berkata di dalam kitabnya, Jam' al-Wasa'il:

"Rasulullah SAW mengahwininya ketika Baginda berusia 25 tahun dan beliau ketika itu berusia 40 tahun. Beliau meninggal dunia pada bulan Ramadan tahun kesepuluh Kenabian di Makkah ketika berusia 65 tahun."

8 - Ibnu 'Asakir (meninggal dunia pada tahun 571 Hijrah) telah meriwayatkan di dalam Tarikh Damsyik melalui sanad: al-Mufaddal al-Ghallabi daripada al-Waqidi bahawa beliau berkata:

"Ulama-ulama kita telah bersepakat bahawa wanita pertama yang dikahwini oleh Nabi SAW ialah Khadijah binti Khuwailid, dan beliau ketika itu berusia 44 tahun."

Pendapat ini adalah bercanggah dengan apa yang pernah dikatakan oleh al-Waqidi, dipertahankannya, dan diriwayatkannya melalui sanad-sanadnya bahawa Khadijah berusia 40 tahun.

Ini adalah beberapa pendapat ulama yang menyatakan bahawa beliau  berusia di bawah 40 tahun:

1 - Ibnu 'Asakir telah meriwayatkan daripada Abu Bakar bin Uthman bin Sahl bin Hunaif bahawa Rasulullah SAW mengahwini Khadijah ketika beliau pada hari tersebut berusia 30 tahun.

2 - Ibnu Sa'ad telah meriwayatkan daripada Hisyam bin Muhammad bin al-Sa'ib al-Kalbi, daripada bapanya, daripada Abu Salih, daripada Ibnu Abbas bahawa beliau berkata:

"Khadijah pada hari Rasulullah SAW mengahwininya berusia dua puluh lapan tahun."

Hisyam bin Muhammad bin al-Sa'ib dan bapanya adalah dituduh berdusta dalam periwayatan hadis.

3 - Al-Hakim (meninggal dunia pada tahun 405 Hijrah) telah meriwayatkan di dalam kitabnya, al-Mustadrak melalui sanad: Ibrahim bin Sa'ad al-Zuhri daripada Muhammad bin Ishaq bahawa Abu Talib dan Khadijah binti Khuwailid meninggal dunia pada tahun yang sama, iaitu 3 tahun sebelum penghijrahan Nabi SAW ke Madinah, dan usia beliau pada hari Baginda mengahwininya adalah 28 tahun.

4 - Al-Baihaqi berkata di dalam kitab Dala'il an-Nubuwwah: Abu Abdullah al-Hakim berkata: Aku telah membaca daripada tulisan tangan Abu Bakar bin Abu Khaithamah, beliau berkata: Mus'ab bin Abdullah az-Zubairi telah menceritakan kepada kami, beliau berkata:

"Usia Khadijah mencapai 65 tahun, dan ada pendapat mengatakan 50 tahun, dan inilah pendapat yang lebih sahih."

Abu Bakar bin Abu Khaithamah meninggal dunia pada tahun 279 Hijrah, manakala Mus'ab bin Abdullah al-Zubairi meninggal dunia pada tahun 236 Hijrah.

Aku berkata: Jika Saidatina Khadijah RA telah mencapai usia 65 tahun pada hari kematiannya, ini bermakna beliau berusia 40 tahun pada hari perkahwinan Nabi SAW dengannya. Namun, jika beliau telah mencapai usia 50 tahun pada hari kematiannya, ini bermakna beliau berusia 25 tahun pada hari perkahwinan Nabi SAW dengannya.

Ringkasan:

Pendapat pertama yang juga merupakan pendapat yang masyhur: Umur beliau pada hari perkahwinannya dengan Nabi SAW adalah 40 tahun, dan umurnya pada hari kematiannya adalah 65 tahun. Inilah yang diriwayatkan oleh Ibnu Sa'ad di dalam al-Tabaqat al-Kubra daripada al-Waqidi berserta sanad-sanadnya.

Pendapat kedua: Umur beliau pada hari perkahwinannya dengan Nabi SAW adalah 30 tahun. Inilah yang diriwayatkan oleh Ibnu 'Asakir daripada Abu Bakar bin Uthman bin Sahl bin Hunaif.

Pendapat ketiga: Umur beliau pada hari perkahwinannya dengan Nabi SAW adalah 28 tahun. Inilah yang diriwayatkan oleh Imam Abu Abdullah al-Hakim di dalam al-Mustadrak daripada Ibnu Ishaq, dan ia turut diriwayatkan oleh Ibnu Sa'ad dengan sanad yang rosak daripada Ibnu Abbas.

Pendapat keempat: Umur beliau pada hari perkahwinannya dengan Nabi SAW adalah 25 tahun, dan umurnya pada hari kematiannya adalah 50 tahun. Inilah yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi di dalam Dala'il an-Nubuwwah daripada Mus'ab bin Abdullah al-Zubairi, dan beliau berpandangan bahawa pendapat ini adalah lebih sahih.

Tarjih (Pandangan yang Lebih Kuat):

1 - Mengikut adat kebiasaan, adalah jauh kemungkinan bagi seseorang yang berusia 25 tahun mengahwini wanita pertama dalam hidupnya yang berusia 40 tahun, sebagaimana jauh kemungkinannya juga bagi seorang wanita yang berkahwin pada usia 40 tahun dapat melahirkan 6 orang anak selepas umur tersebut. Maka, ini merupakan antara qarinah (petunjuk) yang menguatkan pendapat-pendapat selain daripada pendapat pertama, iaitu usianya adalah 30, 28, atau 25 tahun.

2 - Kelemahan pendapat pertama ini turut diperkuatkan lagi oleh kenyataan Imam al-Hakim di dalam al-Mustadrak mengenainya bahawa ia adalah syaz (ganjil), kemudian kenyataan beliau: "Pandangan yang kuat di sisiku ialah beliau tidak mencapai usia 60 tahun." Jika usianya tidak mencapai 60 tahun (ketika meninggal dunia), ini bermakna pada hari perkahwinan Nabi SAW dengannya, usianya adalah di bawah 35 tahun.

3 - Sekiranya kita mempunyai riwayat daripada seorang Sahabat dengan sanad yang sahih, nescaya itulah yang akan dijadikan pegangan utama. Namun, memandangkan kita tidak mempunyainya, maka kita perlu meneliti riwayat-riwayat yang ada berserta petunjuk sejarah.

4 - Kita mempunyai pelbagai riwayat yang menyatakan bahawa beliau adalah lebih tua daripada Nabi SAW pada hari perkahwinan Baginda dengannya. Oleh itu, jika kita mengambil kira kesemua petunjuk yang telah disebutkan di atas, kemungkinan besar usianya adalah 28 tahun. Dan Allah jua yang lebih mengetahui.

Ditulis oleh Salahuddin al-Idlibi, pada 2/2/1440, bersamaan 11/10/2018. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.

Khamis, 12 Mac 2026

Minum Air Kencing Sendiri Demi Belajar Hadis

Al-Hafiz az-Zahabi di dalam al-'Ibar fi Khabar man Ghabar, dan di dalam Mizan al-I'tidal berkata:

"Pada tahun 283 Hijrah, telah wafat seorang al-Hafiz (pakar hadis), al-Bari' (yang mahir) lagi al-Naqid (pengkritik hadis), Abu Muhammad Abdul Rahman bin Yusuf bin Khirash al-Marwazi kemudian al-Baghdadi.

Beliau merupakan al-Hafiz pada zamannya, dan beliau mempunyai pengembaraan yang sangat jauh merentasi antara Mesir hingga ke Khurasan.

Bakr bin Hamdan al-Marwazi berkata: “Aku mendengar Ibnu Khirash berkata: “Aku telah meminum air kencingku sendiri dalam menuntut ilmu ini - yakni menuntut ilmu hadis - sebanyak lima kali."

Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah berkata: “Hal ini demikian kerana beliau berjalan kaki merentasi padang pasir dan kawasan yang tandus demi menuntut ilmu hadis dan mengambilnya daripada ahlinya, lantas beliau ditimpa rasa dahaga yang amat sangat di pertengahan jalannya!” 

Sumber:

Safahat Min Sabr al-‘Ulama oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah.

Hampir Mati Kehausan Ketika Mengembara

Al-Hafiz al-Khatib al-Baghdadi telah meriwayatkan di dalam Tarikh Baghdad, dan al-Hafiz al-Zahabi di dalam Tazkirah al-Huffaz, pada biografi Imam Muhammad bin Nasr al-Marwazi, kedua-dua mereka meriwayatkan dengan sanad mereka kepada Abu 'Amr Uthman bin Ja'far bin al-Labban, beliau berkata:

"Muhammad bin Nasr al-Marwazi telah menceritakan kepadaku, beliau berkata: “Aku telah keluar dari Mesir bersama seorang hamba perempuanku. Aku belayar di lautan dengan tujuan menuju ke Makkah, lalu kapal kami karam dan aku telah kehilangan dua ribu juzuk (kitab)!

Aku dan hamba perempuanku terdampar di sebuah pulau, dan kami tidak melihat sesiapa pun di situ.

Aku berasa sangat dahaga, namun aku tidak mendapat air sehingga aku menjadi terlalu lemah. Lalu aku meletakkan kepalaku di atas pangkuan hamba perempuanku dalam keadaan pasrah menanti kematian.

Tiba-tiba seorang lelaki datang kepadaku membawa sebuah kendi, seraya berkata kepadaku: “Minumlah.”

Maka aku mengambilnya lalu meminumnya dan aku memberi hamba perempuanku minum. Kemudian lelaki itu berlalu pergi, dan aku tidak tahu dari mana dia datang dan ke mana dia pergi."

Sumber:

Safahat Min Sabr al-‘Ulama oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah.

Imam al-Tabari Jual Lengan Baju Demi Menuntu Ilmu

Al-Hafiz az-Zahabi di dalam Tazkirah al-Huffaz, dan Taj al-Subki di dalam Tabaqat al-Syafi'iyyah al-Kubra, telah menyatakan pada biografi Imam Muhammad bin Jarir at-Tabari yang dilahirkan pada tahun 224 Hijrah, dan meninggal dunia pada tahun 310 Hijrah:

Abu Muhammad al-Farghani, iaitu Abdullah bin Ahmad bin Ja'far, anak murid kepada Imam Ibnu Jarir berkata:

"Muhammad bin Jarir telah keluar bermusafir meninggalkan Amul (Iran) apabila beliau menginjak remaja pada tahun 236 Hijrah ketika berusia dua 12 tahun. Bapanya telah mengizinkannya untuk bermusafir, dan sepanjang hayat bapanya, beliau sentiasa mengirimkan perbelanjaan sedikit demi sedikit kepadanya ke negeri-negeri (yang disinggahinya). Aku telah mendengar Ibnu Jarir berkata: “Wang perbelanjaan daripada bapaku telah terlewat sampai kepadaku, lantas aku terpaksa menanggalkan kedua-dua lengan bajuku lalu aku menjualnya.”

Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah mengulas tentang kisah tersebut:

“Mungkin kelihatan pelik pada hari ini tentang perbuatan menjual kedua-dua lengan baju tersebut. Hal ini kerana kedua-duanya pada zaman kita ini tidak lebih daripada sekadar kepingan kain yang kecil, tidak mempunyai apa-apa nilai, dan tidak menarik minat orang ramai.

Jawapannya: Sesuatu yang sedikit dan kecil yang dianggap tidak bernilai ini, sebenarnya adalah sesuatu yang berharga jika dilihat kepada keadaan orang yang sangat miskin dan terdesak, serta orang musafir yang berada dalam kesempitan pada zaman dahulu.

Selain itu, lengan baju pada zaman mereka adalah berbeza dengan lengan baju pada zaman kita sekarang, di mana ia pada zaman dahulu adalah sangat lebar.” 

Sumber:

Safahat Min Sabr al-‘Ulama oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah.

Imam al-Bukhari Terpaksa Makan Rumput Ketika Belajar

Imam Tajuddin al-Subki telah menceritakan di dalam Tabaqat as-Syafi'iyyah al-Kubra pada biografi Imam al-Bukhari, begitu juga diceritakan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar di dalam mukadimah Fath al-Bari yang berjudul Huda as-Sari:

“Juru tulis kepada al-Bukhari, iaitu Muhammad bin Abu Hatim berkata: 

Aku mendengar al-Bukhari berkata:

Aku telah keluar bermusafir untuk menemui Adam bin Abu Iyas di 'Asqalan (Palestin). Wang perbelanjaanku telah terlewat tiba sehinggakan aku terpaksa memakan rumput di tanah, dan aku tidak memberitahu perkara itu kepada sesiapa pun. Apabila tiba hari yang ketiga, seorang lelaki yang tidak aku kenali telah datang kepadaku, lalu dia memberikan satu uncang yang berisi wang dinar seraya berkata: “Belanjakanlah untuk dirimu." 

Sumber:

Safahat Min Sabr al-‘Ulama oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah.