Khamis, 21 Mei 2026

Nabi dan Sahabat Tak Buat, Maka Tak Boleh Buat?

Soalan:

Jika tidak sabit daripada Nabi SAW bahawa baginda melakukan sesuatu perbuatan, atau perbuatan itu tidak dilakukan oleh mana-mana Sahabat baginda, lalu ada seseorang yang ingin melakukannya, adakah perbuatan tersebut dianggap bidaah kerana baginda SAW mahupun para sahabatnya tidak melakukannya?

Jawapan Syeikh Dr Abdul Malik al-Sa’di:

Pendapat sebegini adalah salah dari dua sudut:

Sudut Pertama: Sesungguhnya ketiadaan perbuatan baginda tidak menunjukkan ke atas pensyariatan perbuatan tersebut, dan tidak juga ke atas pensyariatan untuk meninggalkannya. Sebaliknya, perkara itu kekal pada hukum asalnya iaitu harus.

Oleh itu, ketiadaan sesuatu perbuatan itu, sepertimana ia tidak boleh dijadikan dalil ke atas pensyariatannya, ia juga tidak boleh dijadikan dalil untuk melarang daripada melakukannya selagi mana perbuatan tersebut tidak dilarang.

Kemudian selepas itu ia diteliti: jika perbuatan itu bernaung di bawah mana-mana kaedah Syarak atau kita mampu meng-qias-kannya dengan perkara yang mempunyai nas Syarak, maka kami katakan: ia disyariatkan. Namun, jika perbuatan itu ditolak oleh kaedah-kaedah Syarak atau ia bercanggah dengan nas-nas Syarak, maka kami katakan: ia adalah bidaah.

Sudut Kedua: Sesungguhnya ucapan seseorang yang berkata: “Kalaulah ia sesuatu yang baik, nescaya orang yang lebih baik daripada kita akan melakukannya dahulu”: merupakan satu kenyataan yang membekukan Syariat Islam, dan mengehadkan kesyumulannya (kemenyeluruhannya) hanya pada kurun pertama umat ini sahaja.

Padahal realiti sebenar Syariat Islam adalah sebaliknya kerana ia tidak lemah untuk memberikan hukum bagi setiap perbuatan baharu yang berlaku dengan bersandarkan kepada kaedah-kaedah Islam dan prinsip-prinsipnya, tidak kira sama ada dalam urusan muamalat mahupun sebahagian ibadat yang tidak didatangkan penetapan dan pembatasan mengenainya daripada Pembuat Syariat (Allah dan Rasul).

Sumber:

Al-Bid’ah Fi al-Mafhum al-Islami al-Daqiq oleh Syeikh Dr Abdul Malik bin Abdul Rahman al-Sa’di

Tiada ulasan:

Catat Ulasan