Isnin, 26 Oktober 2015
Sedekah pahala kepada si mati
Ahad, 25 Oktober 2015
Hadis Palsu: Menuntut Ilmu Dari Buaian Hingga Ke Liang Lahat
Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah dalam kitab Qimah
al-Zaman ‘Inda al-‘Ulama (ms. 30) menyebutkan:
Kata-kata ini:
طَلَبُ الْعِلْمِ مِنَ الْمَهْدِ إِلَى اللَّحْدِ
"Menuntut ilmu dari buaian hingga ke liang lahad."
Dan juga diriwayatkan dengan lafaz:
اُطْلُبُوا الْعِلْمَ مِنَ الْمَهْدِ إِلَى اللَّحْدِ
"Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang
lahad"
…bukanlah hadis Nabi, tetapi ia adalah kata-kata orang
ramai.
Tidak dibenarkan menyandarkannya kepada Rasulullah sallahu
‘alaihi wasallam seperti yang disebarkan oleh sesetengah orang, kerana
tidak boleh dinisbahkan kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam melainkan
apa yang Baginda katakan, lakukan atau persetujui (taqrir).
Walaupun kata-kata ini benar maknanya dan tepat pesanannya,
ini tidak membenarkan penisbahan kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.
Al-Hafiz Abu al-Hajjaj al-Halabi al-Mizzi berkata: "Tidak
dibenarkan sesiapa menisbahkan satu huruf pun daripada perkataan yang dianggap
baik kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam walaupun perkataan itu sendiri
benar, kerana semua yang dikatakan oleh Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam adalah
benar, tetapi tidak semua yang benar itu dikatakan oleh Rasulullah sallahu ‘alaihi
wasallam." (Dipetik dari kitab Zail al-Maudhu'at oleh al-Hafiz
as-Suyuti, halaman 202)
Hadis palsu ini: "Tuntutlah ilmu dari buaian hingga
ke liang lahad" sangat masyhur di kalangan orang ramai, dan yang
menghairankan ialah kitab-kitab yang ditulis tentang hadis-hadis al-muntasyirah
(hadis yang masyhur) tidak menyebutkannya.
Sabtu, 24 Oktober 2015
Amalan Baca Tiga Qul Selepas Solat Jumaat
Menjadi
kebiasaan di sesetengah masjid di Malaysia selepas solat Jumaat imam akan
membaca surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah al-Nas sebanyak tujuh kali.
Amalan ini adalah berdasarkan hadis Nabi
sallahu’alaihiwasallam:
عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ قَرَأَ بَعْدَ
صَلَاةِ الْجُمُعَةِ قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ، وَقُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ،
وَقُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ سَبْعَ مَرَّاتٍ؛ أَجَارَهُ اللَّهُ بِهَامِنَ
السُّوءِ إِلَى الْجُمُعَةِ الْأُخْرَى.
“Sesiapa yang membaca selepas solat Jumaat Qul Huwallahu Ahad, Qul A’uzu
Bi Rabbil Falaq dan Qul A’uzu Bi Rabbin Nas sebanyak tujuh kali, Allah akan
melindunginya daripada segala keburukan sehingga Jumaat yang seterusnya.”
Hadis
riwayat Ibnu Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (no. 375).
Dalam
riwayat yang lain disebutkan bahawa dibaca surah-surah
tersebut sebelum berkata-kata (yakni sejurus selepas salam) dan dalam riwayat yang lain menyebutkan bahawa dia membacanya dalam keadaan membengkokkan kakinya (yakni dalam keadaan duduk tasyahud akhir).
Sanad hadis ini daif kerana dalam
sanadnya terdapat perawi yang daif bernama al-Khalil bin Murrah. Ibnu Hajar
al-Asqalani turut mendaifkan sanad hadis ini namun
menurut beliau hadis ini mempunyai syahid (penguat) daripada hadis mursal Makhul yang
dikeluarkan oleh Sa’id bin Mansur dalam Sunannya.
Oleh itu berkemungkinan hadis ini dapat
meningkat menjadi hasan lighairih atau jika kekal daif sekaipun ia masih
boleh diamalkan dalam bab fadhail a’mal (kelebihan amalan).
Hadis mursal Makhul tersebut
terdapat sedikit penambahan di bahagian awal dan akhir lafaz hadisnya. Di awal
lafaz hadisnya terdapat penambahan surah al-Fatihah di samping tiga Qul
tersebut. Di bahagian akhir pula disebutkan bahawa sesiapa membaca empat surah
berkenaan sebanyak tujuh kali maka diampunkan dosa-dosanya di antara dua
Jumaat.
Berdasarkan
hadis-hadis ini, al-Imam al-Ghazali dalam Bidayah al-Hidayah berpendapat
bahawa sunat dibacakan surah-surah tersebut selepas solat Jumaat sebagaimana
kata beliau:
“Jika kamu telah selesai dan telah memberi salam (daripada solat Jumaat), maka bacalah surah al-Fatihah sebelum kamu bercakap-cakap sebanyak tujuh kali, surah al-Ikhlas sebanyak tujuh kali dan al-Mu’awwizatain tujuh kali. Perkara tersebut akan menghapuskan dosa kamu daripada Jumaat itu sehingga Jumaat seterusnya dan akan menjadi pelindung bagi kamu daripada syaitan.”
Sabtu, 10 Oktober 2015
Syeikh Ahmad al-Marzuqi - Pengarang Aqidah al-Awam
Nama dan Nasab
Nama penuh beliau ialah Ahmad bin Ramadhan Mansur bin
Muhammad bin Syamsuddin bin Rais bin Zainuddin bin Nasibuddin bin Muhammad bin
Qasim bin Muhammad bin Rais Ibrahim bin Muhammad bin Marzuq al-Kafafi bin Musa
bin Abdullah al-Mahdh al-Kamil bin al-Hasan al-Muthanna bin al-Hasan al-Sibt
bin Amir al-Mu'minin Imam Ali bin Abi Talib.
Demikianlah nasabnya yang disampaikan oleh al-Allamah Ahmad
Abu al-Khair Mirdad dalam Fath al-Malik al-‘Allam yang merupakan syarah ke
atas Aqidah al-‘Awam.
Umar Ridha Kahalah pula menamakannya dalam Mu'jam
al-Mu'allifin sebagai Ahmad bin Muhammad bin Ramadhan. Maka hendaklah
diperbetulkan nama beliau dan nasabnya itu
sebagaimana yang disebutkan oleh al-‘Allamah Mirdad tersebut.
Sebahagian orang memberinya gelaran al-Husaini, sedangkan
beliau berketurunan Hasan. Sebenarnya beliau berketurunan al-Husaini dari pihak
ibunya sebagaimana yang dinyatakan oleh al-‘Allamah Mirdad.
Kelahiran, Pendidikan dan Pencarian ilmunya
Beliau dilahirkan di bandar Sunbat dari wilayah Mesir pada
tahun 1205 Hijrah. Beliau diberi gelaran kunyah ‘Abu al-Fauz’ oleh Sayyid Abu
al-Iqbal Ahmad Wafa'.
Al-Marzuqi adalah nisbah kepada datuknya Sayyid Marzuq yang
dimakamkan di Kafafah di tepi Laut Merah. Datuknya adalah seorang syeikh yang
mulia yang mempunyai ramai pengikut, dengan zawiyahnya mencapai sebanyak 140
zawiyah yang tersebar di seluruh negeri Mesir.
Beliau telah menerima pendidikan yang baik dan beliau tekun
menimba ilmu-ilmu agama di al-Azhar al-Syarif dan mengambil ilmu daripada ramai
para syeikh dan ulama yang terkemuka.
Guru-gurunya
Beliau mengambil ilmu daripada sekumpulan ulama besar al-Azhar
al-Syarif dan sumber-sumber tidak menyebutkan kepada kita kecuali sebilangan
kecil daripada mereka. Antara gurunya yang merupakan ulama yang terkemuka ialah:
1 - Syeikh al-Azhar Abdullah Hijazi al-Syarqawi, meninggal
dunia pada 1224 Hijrah).
2 - Syeikh Muhammad al-Amir al-Kabir, penulis thabat
yang masyhur yang meninggal dunia pada 1242 Hijrah.
3 - Syeikh Muhammad bin Ali al-Syinwani, juga penulis thabat
yang masyhur yang meninggal dunia pada 1233 Hijrah dan lain-lain.
Menetap di Mekah
Beliau datang bersama abangnya, Sayyid Muhammad al-Marzuqi
ke Mekah al-Mukarramah, lalu mereka lalu mereka berdua bermukim di sana dan lalu
memilih untuk terus menetap di sana dan mendirikan kediaman mereka di kawasan
sekitar Masjidil Haram. Mereka berdua mempunyai kemasyhuran dalam bidang ilmu,
pengajaran dan penyebaran manfaat dan mereka berdua tidak meninggalkan Mekah
sehinggalah kematian mereka.
Sayyid Muhammad al-Marzuqi menjadi mufti mazhab Maliki di
Mekah dan tidak meninggalkan jawatan ini sehingga beliau meninggal dunia pada
27 Zulkaedah tahun 1261 Hijrah. Maka jawatan itu diambil alih selepasnya oleh
saudaranya Sayyid Ahmad al-Marzuqi dan beliau terus memegang jawatan itu
sehingga kematian menjemputnya juga.
Sayyid Ahmad Al-Marzuqi mempunyai kelas pengajian di
Masjidil Haram berhampiran dengan Maqam Maliki, di mana beliau mengajar
pelbagai jenis ilmu. Pada akhir hayatnya setelah penglihatannya kabur, beliau
memberi tumpuan kepada tafsir al-Baidhawi dan mengajarnya berulang kali kepada
para pelajarnya.
Karya-karyanya
1 - Manzumah Aqidah al-‘Awam dalam ilmu akidah yang
bait-baitnya yang berjumlah 57 buah bait.
2 - Nail al-Maram li Bayan Aqidah al-‘Awam. Syarah beliau
sendiri kepada Manzumah Aqidah al-Awam.
3 - Bayan al-Asl fi Bayan Lafz Bafdhal.
4 - Tashil al-Azhan 'ala Matn al-Lisan dalam ilmu
nahu. Matan tersebut adalah karya al-‘Allamah al-Khawarizmi al-Baqali.
5 - Al-Fawa'id al-Marzuqiyyah fi Syarh al-Ajrumiyyah.
6 - Manzumah tentang kaedah-kaedah saraf dan nahu.
7 - Nazam tentang ilmu astronomi (falak) dan disyarahkan
oleh abangnya, Sayyid Muhammad al-Marzuqi dengan syarah yang ringkas.
8 - Bulugh al-Maram li Bayan Alfaz Maulid Sayyid al-Anam,
iaitu syarah kepada maulid yang terkenal dengan nama Maulid al-Hariri,
karangan Syeikh Ahmad bin Qasim al-Maliki yang terkenal sebagai al-Hariri. Kitab
ini dicetak di percetakan Bulaq pada tahun 1286 Hijrah dan 1291 Hijrah. Syarah
ini terdiri daripada 200 halaman.
9 - Manzumah 'Ismah al-Anbiya'. Beliau selesai menazamkannya pada tahun 1258 Hijrah.
Murid-Muridnya
Sukar untuk menghimpunkan semua murid yang mengambil ilmu
daripada Sayyid Ahmad al-Marzuqi dan
pengajian beliau yang diadakan di Masjidil Haram sudah tentu dihadiri oleh
beratus-ratus orang. Cukuplah disebut sebahagian tokoh-tokoh terkenal yang
diketahui mengambil ilmu daripadanya dan mereka yang meriwayatkan serta
mengambil sanad daripadanya, antaranya:
1 - Sayyid Ahmad Zaini Dahlan al-Makki al-Syafi'i.
2 - Syeikh Salih Rawah al-Jawi al-Makki.
3 - Syeikh Abdul Ghani al-Bimawi al-Makki.
4 - Syeikh Ahmad bin As'ad al-Dahhan al-Hanafi al-Makki.
5 - Syeikh Ahmad al-Halwani al-Muqri' al-Syami al-Syafi'i.
6 - Syeikh Muhammad al-Mansuri al-Misri al-Makki al-Syafi'i.
7 – Syeikh Ahmad bin Muhammad al-Tahir al-Azdi al-Marakisyi
al-Maghribi al-Maliki.
8 - Syeikh Muhammad bin Hani bin Ma'ruf al-Maghribi
al-Maliki.
9 – Syeikh Muhammad al-Madani Ibn Azzuz al-Tunisi al-Maliki.
10 - Sayyid Muhammad bin Nasir al-Hazimi al-Hasani al-Tihami
dan ramai lagi.
Sesetengah orang tersilap menganggap Sayyid Ahmad bin Hasan
al-‘Attas sebagai salah seorang murid yang mengambil ilmu daripadanya. Ini
mustahil kerana beliau dilahirkan di Hadhramaut pada tahun 1257 Hijrah dan
tidak datang ke Mekah kecuali selepas tahun 1280 Hijrah.
Keluarganya
Sayyid Ahmad al-Marzuqi dikurniakan Allah seorang anak
perempuan tunggal. Anak perempuannya ini dijodohkan dengan Sayyid Muhammad
Saleh bin Muhammad bin Husain al-Kutbi al-Hasani al-Makki, yang meninggal dunia
di Makkah pada tahun 1295 Hijrah.
Kematiannya
Sayyid Ahmad al-Marzuqi meninggal dunia di Makkah
al-Mukarramah pada tahun 1262 Hijrah semasa beliau memegang jawatan Mufti bagi mazhab
Maliki.
Pengarang Mu'jam al-Matbu'at, Yusuf Sarkis, telah
terkeliru lalu menyebut dalam kitabnya bahawa Sayyid Ahmad al-Marzuqi masih
hidup pada tahun 1281 Hijrah. Ini adalah satu kekeliruan, tiada syak lagi. Maka
hendaklah diberi perhatian terhadap perkara ini.
Mazumah
Aqidah al-‘Awam
Manzumah ini merupakan sebuah manzumah yang ringkas yang mengandungi 57 bait syair berkenaan ilmu akidah. 57 bait syair tersebut terbahagi kepada beberapa skop yang dibincangkan dalam ilmu akidah iaitu:
1 - Ilahiyyat (ketuhanan). Merangkumi sifat-sifat wajib, mustahil dan harus bagi Allah.
2 - Nubuwat (kenabian). Merangkumi sifat-sifat wajib, mustahil dan harus bagi para nabi, kemaksuman mereka dan kelebihan mereka melebihi para malaikat.
3 - Nama-nama para nabi dan rasul bermula dari Adam ‘alaihissalam sehingga Muhammad sallahu’alaihi wasallam.
4 - Malaikat. Merangkumi sifat-sifat para malaikat iaitu tidak beribu dan berbapa, tidak makan dan minum serta tidur. Turut diterangkat 10 malaikat yang terutama di antara seluruh malaikat.
5 - Suhuf dan kitab-kitab yang diturunkan kepada para rasul.
6 - Hari akhirat. Hanya terdapat satu bait sahaja berkenaan hari akhirat.
7 - Berkenaan Nabi Muhammad sallahu’alaihi wasallam. Bermula bait yang ke 29 sehingga bait yang ke 50 diterangkan berkenaan ibu, bapa, datuk, kelahiran, anak-anak, isteri-isteri, bapa saudara dan ibu saudara baginda sallahu’alaihi wasallam.
8 - Isra’ dan Mi’raj. Terdapat 5 bait syair yang menerangkan berkenaan Isra’ dan Mi’raj.
Kisah Syeikh Ahmad al-Marzuqi Bermimpi Bertemu Nabi
Syeikh Muhammad Nawawi al-Bantani al-Jawi dalam Nur al-Zalam Syarah Aqidah al-‘Awam berkata:
(Ketahuilah) bahawa sesungguhnya sebab (asal mula) kitab nazham ini adalah pengarang (Syeikh Ahmad al-Marzuqi) bermimpi bertemu Nabi sallahu’alaihi wallam di penghujung malam Jumaat, pada Jumaat pertama di bulan Rejab, hari keenam tahun 1258H, sedangkan para sahabat radiallahu ‘anhum berdiri di sekelilingnya.
Nabi sallahu’alaihi wallam bersabda kepada Syeikh Ahmad al-Marzuqi: "Bacalah nazam-nazhom tauhid, yang barangsiapa menghafalnya, maka dia akan masuk syurga dan dapat menggapai tujuan dari setiap kebaikan yang sesuai dengan Al-Quran dan As-Sunnah"
Lalu Syeikh Ahmad al-Marzuqi bertanya kepada Nabi sallahu’alaihi wallam: "Apa nazam-nazam itu, wahai Rasulullah?"
Para sahabat radiallahu ‘anhum berkata kepadanya: "Dengarkan dari Rasulullah apa yang beliau sabdakan."
Lala Rasulullah sallahu’alaihi wallam bersabda: "Ucapkan olehmu *Aku memulainya dengan menyebut nama Allah dan Yang Maha Pengasih*"
Maka pengarang (Syeikh Ahmad al-Marzuqi) berkata : "Aku memulainya dengan menyebut nama Allah dan Yang Maha Pengasih, sampai akhir nazamm, yaitu ucapannya (syairnya):
Mushaf Nabi Ibrahim dan Nabi Musa itu* di dalamnya terdapat Kalam Allah Yang Maha Menghukumi dan Maha Tahu.
Dan Rasulullah sallahu’alaihi wallam mendengarkannya.
Tatkala Syeikh Ahmad al-Marzuqi terjaga dari tidurnya, beliau membaca apa yang dilihat dalam mimpinya, maka beliau mendapati nazam-nazam itu telah beliau hafal dalam dirinya dari awal sampai akhir.
Kemudian ketika datang malam Juma'at yaitu malam ke-28, hitungan dari Bulan Zulkaedah, pengarang (Syeikh Ahmad al-Marzuqi) melihat Nabi sallahu’alaihi wallam untuk kali kedua di waktu sahur di dalam mimpi.
Lalu Nabi sallahu’alaihi wallam bersabda kepadanya: "Bacalah apa yang telah engkau himpun [hafal]", yakni di dalam hatimu.
Lalu Syeikh Ahmad al-Marzuqi membacanya dari awal sampai akhir, [saat itu] beliau berada di hadapan Nabi sallahu’alaihi wallam, sementara para sahabat radiallahu ‘anhum berada di sekeliling Nabi sallahu’alaihi wallam sambil mengucapkan: "Amin" setelah setiap bait dari nazam itu.
Tatkala beliau telah selesai membacanya, Nabi sallahu’alaihi wallam bersabda kepada beliau:
"Semoga Allah Ta'ala memberi taufik padamu untuk melakukan sesuatu yang Dia redhai dan menerima amalmu itu, memberikan berkat keatasmu dan memberikan manfaat [kitab ini] kepada semua hamba-Nya.”
Setelah itu beliau ditanya oleh orang ramai selepas mereka mengetahui tentang manzumah tersebut, lalu beliau menjawab soalan mereka menambah manzumah daripada kata-katanya sendiri:
“Dan setiap apa yang dibawa oleh Rasul, maka haknya ialah penyerahan diri dan penerimaan.”
Inilah apa yang diberitahu oleh pengarang tentang dirinya sendiri dan kita menukilkannya sebagaimana teks asalnya. Tanggungjawab tentang kesahihan kisah tersebut terletak di atas beliau sendiri.
Syarah Kitab Aqidah al-‘Awam
1 - Kitab ini telah disyarahkan oleh beberapa orang ulama dan yang paling awal yang mensyarahkannya ialah Sayyid Ahmad al-Marzuqi sendiri iaitu kitab yang dinamakan Tahsil Nail al-Maram Li Bayan Manzumah Aqidah al-Awwam.
2 - Hashiyyah al-Allamah Yusuf al-Sunbulawini al-Misri al-Makki (meninggal dunia 1285 Hijrah) ke atas syarah Sayyid Ahmad al-Marzuqi.
3 - Hashiyyah al-Allamah Ahmad Abu al-Khair Mirdad al-Hanafi al-Makki (meninggal dunia 1342 Hijrah) bernama Faidh al-Malik al-'Allam.
4 - Syeikh Muhammad Nawawi al-Jawi al-Bantani (meninggal 1315 Hijrah) telah mensyarahkannya dalam sebuah kitab yang dinamakan Nur al-Zalam ‘Ala Manzumah Aqidah al-Awam.
5 - Tashil al-Maram Li Daris Aqidah al-Awam oleh al-Syeikh Ahmad al-Qoth’ani al-‘Isawi.
6 - Syeikh Muhammad ‘Alawi al-Maliki mensyarahkan dalam pengajaran beliau dan dhimpunkan oleh al-Ustaz Muhammad Ihya’ Ulum al-Din dalam sebuah kitab yang dinamakan Jala’ al-Afham Syarah Manzumah Aqidah al-Awam.
7 - Nail al-Maram Syarah Aqidah al-Awam oleh al-Allamah Syeikh Asad Hamzah Abdul Qadir al-Awsi al-Zabidi (meninggal dunia 1425 Hijrah).
8 - Mujaz al-Kalam Syarah 'Aqidah al-'Awam oleh Syeikh Muhammad bin Ali bin Muhammad Ba’athiyyah.
9 - Fath al-‘Allam Syarah Manzumah Aqidah al-‘Awam oleh Dr Hisyam al-Kamil Hamid Musa.
10 - Sa'adah al-Anam bi Syarah Aqidah al-‘Awam oleh Dr. Murad bin Abdullah bin Bara' bin Mahdi al-Janabi.
*Tulisan ini saya telah kemas kini semula pada 4/5/2025.
Rabu, 7 Oktober 2015
Empat jenis manusia
Isnin, 5 Oktober 2015
Kelebihan Selawat Tafrijiah
Sheikh Yusuf al-Nabhani (meninggal 1932M) menyebutkan dalam kitab Afdal al-Salawat ‘Ala Sayyid al-Sadat:
1 - Selawat Tafrijiah ini disebutkan oleh Sheikh al-Arif
Billah Muhammad Haqqi Effendi al-Nazilli dalam Khazinatul Asrar. Beliau
memetik dari Imam al-Qurtubi bahawa sesiapa yang mengamalkannya setiap hari
sebanyak 141 kali atau lebih, Allah akan:
- Melepaskan kesedihan dan kesusahannya.
- Menghilangkan kesulitan dan kemudaratannya.
- Memudahkan urusannya.
- Menerangi hatinya.
- Meninggikan darjatnya.
- Memperbaiki keadaannya.
- Meluaskan rezekinya.
- Membuka pintu-pintu kebaikan dan kebajikan dengan bertambah-tambah.
- Kata-katanya akan diterima jika dia seorang pemimpin.
- Melindunginya dari zaman musibah dan kejahatan kelaparan
dan kemiskinan.
- Mencampakkan kecintaan kepadanya dalam hati-hati manusia.
Apa sahaja yang diminta dari Allah Ta'ala akan dikurniakan,
tetapi faedah-faedah ini hanya akan tercapai dengan syarat mengamalkannya
secara berterusan. Selawat ini adalah satu perbendaharaan dari perbendaharaan
Allah dan mengamalkannya adalah kunci kepada khazanah Allah. Allah akan membuka
(khazanah itu) kepada sesiapa yang mengamalkannya di kalangan hamba-hamba-Nya
dan menyampaikannya kepada apa yang dikehendaki-Nya.
2 - Sheikh al-Arif Billah Muhammad Haqqi Effendi al-Nazilli berkata
di tempat lain dalam kitabnya yang disebutkan itu: Antara selawat yang telah
terbukti mujarab ialah Selawat Tafrijiah al-Qurtubiyyah, yang dikenali di
kalangan orang Maghribi sebagai Selawat Nariyyah, kerana apabila mereka ingin
mencapai sesuatu hajat atau menolak sesuatu yang ditakuti, mereka berkumpul
dalam satu majlis dan membacanya sebanyak 4,444 kali, lalu mereka akan mencapai
hajat mereka dengan cepat.
3 - Di kalangan Ahl al-Asrar (orang yang mengetahui rahsia-rahsia
Ilahi), ia dikenali sebagai 'Kunci Perbendaharaan Yang Meliputi Untuk Mencapai
Hajat Para Hamba'.
4 – Sheikh Muhammad al-Sanusi berkata: “Sesiapa yang mengamalkannya setiap
hari sebanyak 11 kali, seolah-olah rezeki turun dari langit dan tumbuh dari
bumi.”
5 - Imam al-Dinawari berkata: “Sesiapa yang membaca selawat
ini selepas setiap solat sebanyak 11 kali dan menjadikannya sebagai wirid,
rezekinya tidak akan terputus dan akan mencapai pangkat yang tinggi dan
kekayaan yang banyak.
Sesiapa yang mengamalkannya selepas solat Subuh setiap hari
sebanyak 41 kali juga akan mencapai hajatnya.
Sesiapa yang mengamalkannya setiap hari sebanyak 100 kali
akan memperolehi apa yang dihajati dan mencapai tujuannya melebihi apa yang
diinginkan.
Sesiapa yang mengamalkan bacaannya setiap hari sebanyak
bilangan para rasul iaitu 313 kali, untuk penyingkapan rahsia, maka dia akan
melihat setiap apa yang diinginkannya.
Sesiapa yang mengamalkannya setiap hari sebanyak 1,000 kali,
dia akan memperolehi sesuatu yang tidak dapat disifatkan oleh para penyifat,
yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan
tidak pernah terlintas di hati manusia.
6 - Imam al-Qurtubi berkata: “Sesiapa yang ingin mencapai
sesuatu perkara yang penting dan besar atau menolak bala yang sedang menimpa,
maka hendaklah dia membaca Selawat Tafrijiah ini dan bertawassul melaluinya
kepada Nabi yang memiliki akhlak yang agung sebanyak 4,444 kali, maka
sesungguhnya Allah Ta'ala akan memudahkan apa yang dihajati dan dimaksudkannya selaras
dengan niatnya.
Begitu juga Ibn Hajar al-Asqalani menyebutkan keistimewaan bilangan ini, kerana ia adalah umpama eliksir dari segi keberkesanannya.