أفضل
النَّاس الْمُؤمن الْعَالم الَّذِي إِن احْتِيجَ إِلَيْهِ نفع وَإِن استغني عَنهُ
أَغْنَى نَفسه
“Sebaik-baik
manusia adalah orang mukmin yang alim. Jika [orang] berhajat kepadanya dia akan
memberi manfaat. Jika [orang] tidak berhajat kepadany, dia tidak berhajat
kepada orang lain.”
Hadis ini disebutkan oleh
al-Ghazali dalam Ihya’ Ulum al-Din dan menyebutkannya sebagai sabda Nabi
sallahu ‘alaihi wasallam.
Menurut al-Subki dalam Thabaqat
al-Syafi’eyyah al-Kubra, beliau tidak temui sanad bagi hadis ini.
Walaupun demikian, al-Hafiz al-‘Iraqi
berjaya menemui sumbernya. Kata al-‘Iraqi dalam Takhrij Ahadith al-Ihya’:
أخرجه
البيهقي في شعب الإيمان موقوفاً على أبي الدرداء بإسناد ضعيف ولم أره مرفوعاً.
“Dikeluarkan oleh
al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman secara mauquf (terhenti) kepada Abi al-Darda’
dengan sanad yang daif dan aku tidak melihatnya marfu’ (bersambung sehingga
Nabi).
Lafaz yang diriwayatkan oleh
al-Baihaqi sedikit berbeza daripada apa yang dibawakan oleh al-Ghazali, iaitu:
فَإِنَّ أَعْبَدَ
النَّاسِ رَجُلٌ عَالِمٌ، إِنِ احْتِيجَ إِلَيْهِ نَفَعَ بِعِلْمِهِ، وَإِنِ
اسْتُغْنِيَ عَنْهُ نَفَعَ نَفْسَهُ بِالْعِلْمِ الَّذِي جَعَلَهُ اللهُ عِنْدَهُ
“Manusia yang
paling tinggi rasa penghambaannya adalah orang yang alim. Jika [orang] berhajat
kepadanya, dia akan memberi manfaat dengan ilmunya. Jika [orang] tidak berhajat
kepadanya, dia akan mengambil manfaat dengan ilmu yang Allah berikan kepadanya.”
Hadis ini juga diriwayatkan
secara marfu’ oleh al-Dailami dalam al-Firdaus dan Ibnu ‘Asakir
dalam Tarikh Dimasq dengan daripada ‘Ali:
نِعْمَ
الرَّجُلُ الْفَقِيهُ فِي الدِّينِ ; إِنِ احْتِيجَ إِلَيْهِ نَفَعَ، وَإِنِ
اسْتُغْنِيَ عَنْهُ أَغْنَى نَفْسَهُ
“Sebaik-baik orang
adalah orang yang faqih dalam agama. Jika [orang] berhajat kepadanya maka dia
memberi manfaat. Jika [orang] tidak berhajat kepadanya, dia tidak berhajat
kepada orang lain.”
Dalam sanadnya terdapat ‘Isa bin
Abdullah bin Muhammad bin ‘Umar bin ‘Ali bin Abi Thalib. Dia dinilai sebagai
pendusta dan matruk al-hadis [ditinggalkan hadisnya] oleh al-Daraqutni.
Kata Ibnu Hibban: “Dia meriwayatkan sesuatu yang palsu daripada datuk
moyangnya.” Kata Abu Nu’aim: “Dia meriwayatkan daripada datuk moyangnya
hadis-hadis mungkar. Jangan tulis hadisnya. Dia tidak bernilai sedikit pun [لا شيء].”
Wallahu a’lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan