مَنْ
أَكْرَمَ عَالِمًا فَقَدْ أَكْرَمَ سَبْعِينَ نَبِيًّا وَمَنْ أَكْرَمَ
مُتَعَلِّمًا فَقَدْ أَكْرَمَ سَبْعِينَ شَهِيدًا وَمَنْ أَحَبَّ الْعِلْمَ
وَالْعُلَمَاءَ لَمْ يُكْتَبْ عَلَيْهِ خَطِيئَةٌ أَيَّامَ حَيَاتِهِ
“Sesiapa yang
memuliakan seorang alim, maka dia telah memuliakan 70 orang nabi. Sesiapa yang
memuliakan 70 orang penuntut ilmu maka dia telah memuliakan 70 orang syahid.
Sesiapa yang mencintai ilmu dan ulama, tidak akan dicatat dosa ke atasnya
selama hidupnya.”
Sumber hadis
Hadis ini diriwayatkan daripada
dua orang sahabat, iaitu Anas bin Malik dan Abu Hurairah;
1. Muhammad bin Abdul Wahid
al-Daqqaq dalam Mu’jam Mashayikh meriwayatkan melalui jalur perawi
al-Husein bin ‘Ulwan daripada hadis Anas bin Malik.
2. Ibnu al-Jauzi dalam
al-‘Ilal al-Mutanahiyyah meriwayatkan daripada hadis Abu Hurairah. Al-Dailami
turut meriwayatkannya dalam Musnad al-Firdaus tanpa bahagian hadis ‘وَمَنْ أَحَبَّ الْعِلْمَ وَالْعُلَمَاءَ لَمْ يُكْتَبْ
عَلَيْهِ خَطِيئَةٌ أَيَّامَ حَيَاتِهِ’.
Penilaian hadis Anas bin Malik
Dalam sanad hadis Anas bin Malik
terdapat al-Hussein bin ‘Ulwan. Dia dituduh sebagai pemalsu hadis oleh Ibnu
Hibban, Soleh Jazarah dan Ibnu ‘Adi. Yahya bin Ma’in dan al-Nasa’ie mengatakan
bahawa dia seorang pendusta. Ali bin al-Madini menilainya sebagai sangat daif. Abu
Hatim dan al-Daraqutni mengatakan dia matruk al-hadis (ditinggalkan
hadisnya).
Penilaian hadis Abu Hurairah
1. Ibnu Jauzi berkata dalam al-‘Ilal
al-Mutanahiyyah berkata:
هَذَا حَدِيثٌ لا يَصِحُّ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَفِيهِ مُحَمَّدُ بْنُ عَمْرٍو قَالَ يَحْيَى بْنُ
مَعِينٍ مَا زَالَ النَّاسُ يَتَّقُونَ حَدِيثَهُ.
“Hadis ini tidak
sahih daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Dalam sanadnya
terdapat Muhammad bin ‘Amr. Yahya bin Ma’in berkata: Manusia [ahli hadis]
terus-menerus menjauhi hadisnya.”
Muhammad bin ‘Amr di sini ialah
Muhammad bin ‘Amru bin ‘Alqamah. Dia dinilai sebagai tiada masalah [لَيْسَ بِهِ بَأْسٌ] oleh al-Nasa’ie dan
Ibnu ‘Adi. Abu Hatim pula mengatakan bahawa hadis-hadisnya baik [صَالِحُ الحَدِيْثِ], ditulis hadisnya [يكتب حديثه] dan dia seorang syeikh. Al-Juzjani
menilai dia tidak kuat. Ibnu Hibban pula mengatakan bahawa dia ada melakukan
kesilapan [يُخطىء]. Tetapi tidak ada
ahli hadis yang mengatakan bahawa dia adalah pemalsu hadis.
2. Al-Hafiz al-Sayuthi menolak
dakwaan Ibnu al-Jauzi yang mengatakan bahawa Muhammad bin ‘Amr adalah pemalsu
hadis ini. Al-Hafiz al-Sayuthi berkata dalam al-Ziyadat ‘Ala al-Maudhu’at:
ما أظن محمد بن عمرو يحتمل مثل هذا الحديث، والظاهر أن البلاء ممن دون
يزيد بن هارون.
“Aku tidak
merasakan bahawa Muhammad bin ‘Amru bertanggungjawab [memalsukan] hadis ini. Zahirnya
pemalsunya adalah orang selain Yazid bin Harun.”
Yazid bin Harun adalah thiqah,
hafiz dan mutqin dan merupakan perawi keenam-enam khutub
al-sittah.
3. Al-Hafiz al-Zahabi dalam Talkhis
al-‘Ilal al-Mutanahiyyah menyatakan bahawa hadis ini adalah hasil pemalsuan
salah seorang perawinya iaitu Abdul
Rahman bin Muhammad al-Balkhi.
Berkemungkinan al-Hafiz al-Zahabi
terkeliru antara Abdul Rahman bin Muhammad bin Hamid al-Balkhi dengan Abdul
Rahman bin Muhammad bin al-Hasan al-Balkhi.
Abdul Rahman bin Muhammad bin
Hamid al-Balkhi dithiqahkan oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh
Baghdad. Kata al-Hakim: “Sangat sedikit aku melihat ahli hadis yang lebih
warak daripadanya. Dia seorang ahli hadis di Balk pada waktunya.”
Abdul Rahman bin Muhammad bin
al-Hasan al-Balkhi pula dituduh sebagai pemalsu hadis oleh Ibnu Hibban dalam al-Majruhin.
Abdul Rahman bin Muhammad yang
berada dalam sanad adalah Abdul Rahman bin Muhammad bin Hamid al-Balkhi.
Jika dilihat pada kenyataan
al-Hafiz al-Sayuthi, beliau meyakini kepalsuan hadis ini. Cuma beliau tidak
pasti siapa pemalsunya. Terdapat dua orang perawi yang tidak diketahui halnya yang
berkemungkinan merupakan pemalsu hadis ini iaitu Ahmad bin Muhammad bin Nu’aim
dan Nasr bin al-Asbagh. Kepalsuannya juga dilihat dari sudut kecacatan matannya
yang menjanjikan kemaksuman bagi orang yang mencintai ilmu dan ulama.
Wallahu a’lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan