Isnin, 7 Mei 2018

Tafarrud Perawi Kazzab dan Waddha’


Tafarrud (bersendirian) seorang perawi kazzab (pendusta) dan waddha’ (pemalsu hadis) dalam meriwayatkan sesuatu hadis secara zahirnya menunjukkan akan kepalsuan hadis tersebut. Akan tetapi perkara tersebut tidaklah secara pasti kerana boleh jadi seorang pendusta bersikap benar, kecuali jika disertai dengan kerapuhan (رَكَاكَة) lafaz hadis dan kefasidan maknanya, maka ketika itu diyakini akan kepalsuannya.

Disebabkan itu didapati ahli hadis akan berkata pada hadis yang diriwayatkan oleh yang dituduh berdusta atau memalsukan hadis akan tetapi tidak terdapat tanda-tanda yang disebutkan tadi: ‘Hadis ini mungkar’ atau ‘daif jiddan’ atau ‘amat lemah (واه)’, bimbang-bimbang hadis tersebut benar pada realitinya. Adapun jika terdapat tanda-tanda yang lain yang menunjukkan kepalsuannya, maka mereka akan secara pasti menyatakan kepalsuannya.

Ada di kalangan pendusta dan pemalsu hadis yang mencipta hadis bagi sanad yang perawi-perawinya merupakan perawi kitab al-Sahih (Sahih al-Bukhari atau Muslim) dan ada di kalangan mereka yang merupakan penulis kitab. Disebabkan itu ada hadis yang palsu tetapi sanadnya sahih (pada zahirnya). Bahkan ada perawi pendusta dan pemalsu hadis yang berada di tengah sanad, tetapi dihilangkan oleh perawi mudallis seperti Baqiyyah bin al-Walid, maka kelihatan sanadnya sahih tetapi matannya palsu.

[Dar al-Ghamam al-Raqiq Bi Rasail al-Sayyid Ahmad bin al-Siddiq, hlm. 65]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan