Sabtu, 19 Mei 2018

Status Hadis: Barangsiapa membaca zikir ini 3 kali setiap hari selepas subuh...


Ustaz Don menyebutkan hadis yang terjemahnya berbunyi:

“Barangsiapa membaca zikir ini 3 kali setiap hari selepas subuh, maka setiap batu, setiap pokok setiap tembok bangunan akan mendoakan keampunan terhadapnya.”

Menurut beliau hadis tersebut sahih.

Saya katakan:

Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad dalam Musnad (34/207, hadis no. 20602):

عَنْ قَبِيصَةَ بْنِ الْمُخَارِقِ، قَالَ: أَتَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ لِي: " يَا قَبِيصَةُ مَا جَاءَ بِكَ؟ "، قُلْتُ: كَبِرَتْ سِنِّي، وَرَقَّ عَظْمِي، فَأَتَيْتُكَ لِتُعَلِّمَنِي مَا يَنْفَعُنِي اللهُ عَزَّ وَجَلَّ بِهِ، قَالَ: " يَا قَبِيصَةُ، مَا مَرَرْتَ بِحَجَرٍ، وَلَا شَجَرٍ، وَلَا مَدَرٍ، إِلَّا اسْتَغْفَرَ لَكَ، يَا قَبِيصَةُ، إِذَا صَلَّيْتَ الْفَجْرَ، فَقُلْ : سُبْحَانَ اللهِ الْعَظِيمِ وَبِحَمْدِهِ، تُعَافَى مِنَ الْعَمَى، وَالْجُذَامِ، وَالْفَالِجِ، يَا قَبِيصَةُ، قُلْ: اللهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِمَّا عِنْدَكَ، وَأَفِضْ عَلَيَّ مِنْ فَضْلِكَ، وَانْشُرْ عَلَيَّ رَحْمَتَكَ، وَأَنْزِلْ عَلَيَّ، مِنْ بَرَكَاتِكَ

Daripada dari Qabishah bin al-Mukhariq, beliau berkata:

"Aku datang menemui Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, lalu baginda bertanya kepadaku: "Wahai Qobishah, apa yang membuatkan kamu datang kesini?"

Aku menjawab; "Usiaku semakin tua dan tulang-tulangku mulai rapuh. Maka aku datang kepadamu supaya engkau mengajariku sesuatu yang Allah beri manfaat bagiku dengannya."

Baginda lalu bersabda: "Wahai Qabishah, tidaklah kamu melalui batuan,  pohonan dan kota-kota melainkan ia akan memohonkan keampunan bagimu.

Wahai Qabishah, apabila kamu (selesai) mengerjakan solat Subuh, maka bacalah tiga kali:

سُبْحَانَ اللهِ الْعَظِيمِ وَبِحَمْدِهِ

“Maha suci Allah yang Maha Agung dan segala puji bagi-Nya."

Nescaya kamu akan terhindar dari kebutaan, penyakit kusta dan lumpuh.

Wahai Qabishah bacalah:

اللهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِمَّا عِنْدَكَ، وَأَفِضْ عَلَيَّ مِنْ فَضْلِكَ، وَانْشُرْ عَلَيَّ رَحْمَتَكَ، وَأَنْزِلْ عَلَيَّ، مِنْ بَرَكَاتِكَ

"Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu apa yang ada di sisi-Mu, berikanlah kurniaan-Mu kepadaku, curahkanlah rahmat-Mu kepadaku dan turunkanlah keberkatan-Mu kepadaku."

Sanad hadis ini daif disebabkan kesamaran perawi yang meriwayatkan daripada Qabishah bin al-Mukhariq. Hanya disebutkan sebagai 'seorang lelaki daripada ahli Basrah'.

Kata al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Nataij al-Afkar: “Jika tidak kerana perawi mubham (samar) tersebut, nescaya sanadnya akan jadi hasan.”

Walaupun sanadnya daif, tidak ada masalah untuk beramal dengan hadis ini kerana ia berkaitan dengan zikir dan kelebihan amalan. Jumhur ulama membenarkan pengamalan hadis daif dalam bab kelebihan amalan, zikir, motivasi melakukan amalan (al-targhib), ancaman melakukan maksiat (al-tarhib) dan adab.

2 ulasan:

  1. Assalaamualaikum tuan, boleh kah kita cakap "nabi kata" sedangkan hadis tersebut dhaif?..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumsalam.

      Untuk hadis daif maka perlu disebutkan dengan lafaz tamridh (ayat pasif) seperti diriwayatkan dari Nabi, dinukilkan daripada Nabi, dikatakan nabi bersabda dan sebagainya. Kata Imam as-Suyuti dlm Tadrib ar-Rawi:

      أما الصحيح فاذكره بصيغة الجزم ويقبح فيه صيغة التمريض كما يقبح في الضعيف صيغة الجزم
      :
      “Adapun hadis sahih, maka sebutlah ia dgn lafaz jazam (pasti) dan dicela padanya (menggunakan) lafaz tamridh, sepertimana dicela pada hadis daif (menggunakan) lafaz jazam”.

      Padam