Selasa, 5 September 2023

Manhaj Kitab al-Tarikh al-Kabir Karangan Imam al-Bukhari


Biografi Imam al-Bukhari

Saya telah tulis panjang lebar sebelum ini berkenaan biografi Imam al-Bukhari. Boleh baca di sini.

Manhaj Kitab al-Tarikh al-Kabir

1 - Kitab ini adalah sebuah ensiklopedia besar yang menghimpunkan senarai perawi-perawi hadis. Kitab ini dianggap yang pertama berjaya menghimpunkan hampir keseluruhan nama-nama perawi hadis di kalangan sahabat, tabi’in dan zaman seterusnya sehingga ke zaman Imam al-Bukhari (wafat 256 Hijrah).

2 - Imam al-Bukhari mula mengarang kitab ini ketika beliau baru berusia 18 tahun iaitu pada tahun 212 Hijrah. Ketika itu beliau berada hampir dengan makam Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam, pada malam yang diterangi cahaya bulan. Namun begitu penulisan kitab ini berterusan dalam waktu yang lama kerana ada beberapa orang perawi yang beliau sebutkan dalam kitab ini tarikh kematiannya agak lewat, contohnya al-Hasan bin Soleh al-Bazzar yang meninggal dunia pada tahun 249 Hijrah. Al-Bukhari sendiri meninggal dunia pada tahun 256 Hijrah. Ini menunjukkan bahawa beliau mengarang dan menyusun kitab ini hampir di sepanjang umur beliau.

Kitab ini telah beliau karang sebanyak tiga kali. Setelah menyiapkannya buat kali pertama, beliau menyebarkannya untuk bacaan orang ramai. Al-Bukhari lalu membuat penambahan dan pembetulan terhadap kitab ini lalu disebarkan buat kali kedua. Setelah itu, beliau sekali lagi membuat penambahan dan pembaikan lalu disebarkan buat kali ketiga.

3 – Beliau memulakan kitab ini dengan menyebutkan kelebihan Quraisy ke atas sekalian manusia. Lalu beliau menyatakan pula nasab Nabi sallahu ‘alaihi wasallam sehingga Nabi Adam, sifat-sifat baginda, tempoh baginda menjadi rasul, sejarah bermula kalendar hijrah pada zaman Umar bin al-Khattab dan tarikh wafat Rasulullah.

4 - Setelah itu barulah beliau menyebutkan maklumat berkenaan perawi dengan menyusun nama-nama perawi dan nama bapa mereka mengikut huruf abjad (alif, ba’, ta’…). Namun al-Bukhari hanya mengambil kira huruf pertama sahaja pada nama perawi dan nama bapanya

Tetapi beliau mendahulukan terlebih dahulu senarai perawi bernama Muhammad kerana kemuliaan nama tersebut. Kumpulan perawi bernama Muhammad tersebut pula disusun dengan diawalkan perawi bernama Muhammad daripada generasi sahabat, kemudian tabi'in dan generasi seterusnya. Tertib nama perawi Muhammad bagi setiap generasi pula disusun mengikut huruf abjad berpandukan nama bapa mereka.  

Setelah selesai perawi bernama Muhammad barulah baki perawi yang lain disusun mengikut huruf abjad.

Bagi setiap abjad, beliau akan menyebutkan beberapa bab bagi nama yang berulang iaitu nama yang banyak digunakan oleh perawi. Contohnya pada huruf alif, beliau menyebutkan bab Ibrahim, lalu disenaraikan perawi yang bernama Ibrahim. Kemudian bab Isma'il, lalu disenaraikan perawi yang bernama Isma'il dan begitulah seterusnya.

Setelah selesai bab nama yang berulang, beliau menyebutkan pula bab perawi yang hanya diketahui namanya namun tidak diketahui nama bapanya. Contohnya: Bab perawi yang bernama Ibrahim dan tidak diketahui nama bapanya.

Di bahagian akhir setiap huruf, beliau meyebutkan bab al-Wahid, iaitu bab yang menyenaraikan nama-nama unik yang tidak ada perawi yang memiliki nama tersebut melainkan seorang sahaja.


Pada huruf alif, beliau akan mendahulukan nama para nabi terlebih dahulu. Bab pertama dalam huruf alif ialah bab Ibrahim, kemudian Ismail, lalu Ishaq dan Ayub. Mungkin ini adalah satu bentuk penghormatan beliau kepada para Nabi.

Untuk huruf 'ain pula, beliau mengutamakan perawi bernama Abdullah, kemudian Abdul Rahman. Mungkin ini kerana beliau ingin mengikuti Nabi sallahu 'alaihi wasallam yang mengutamakan nama Abdullah dan Abdul Rahman berbanding nama-nama yang lain.

Di bahagian huruf 'ain juga, beliau mendahulukan perawi bernama 'Umar, kemudian 'Uthman lalu 'Ali kerana mengambil kira turutan kelebihan dan zaman kekhalifahan mereka.

Bagi setiap abjad, secara umumnya al-Bukhari mengambil berat untuk mendahulukan senarai perawi generasi sahabat, kemudian tabi’in lalu generasi seterusnya.

Cara al-Bukhari menyusun kitab ini agak ganjil dan memeningkan sehingga al-Bukhari sendiri mengakui bahawa sekiranya guru-gurunya membaca kitab ini nescaya mereka tidak akan dapat mengetahui dan memahami cara beliau menyusun kitab ini. Gurunya, Ishaq bin Rahawaih pernah menunjukkan kitab ini kepada pemimpin Khurasan dan Transoxiana, Abdullah bin Tahir lalu berkata kepadanya: "Mahukah tuanku melihat sihir?" Abdullah bin Tahir lalu melihat kitab ini dan merasa hairan dengannya seraya berkata: "Aku tidak faham cara penulisan kitab ini."

5 – Maklumat yang al-Bukhari sertakan bagi setiap perawi dalam kitab ini ialah namanya, nama bapanya dan datuknya, kunyah dan nisbahnya sama ada kepada kabilah atau tempat. Al-Bukhari sangat jarang untuk menyebut secara panjang lebar berkenaan nasab perawi.

6 - Setelah itu disebutkan pula nama sebahagian guru dan murid bagi perawi tersebut. Jika perawi tersebut tidak mempunyai ramai guru dan murid maka al-Bukhari akan menyebutkan kesemua nama guru dan muridnya.

7 - Kemudian al-Bukhari akan menyebutkan beberapa contoh hadis yang diriwayatkan oleh perawi tersebut. Kadang-kala al-Bukhari menyatakan beberapa riwayat lain yang dapat menjadi mutaba’ah dan syawahid kepada riwayat perawi tersebut.

8 – Kebiasaannya al-Bukhari tidak menyebutkan maklumat panjang lebar bagi setiap perawi. Namun, kadang-kadang beliau ada juga menyebutkan sifat-sifat fizikal, akhlak, pekerjaan, pegangan akidah dan pandangan perawi terhadap peristiwa-peristiwa yang berlaku semasa hayat mereka seperti kekacauan yang berlaku sewaktu zaman Uthman bin ‘Affan dan peperangan Harrah yang dapat membantu menentukan pendirian dan kecenderungan perawi tersebut.

9 – Al-Bukhari juga ada merekodkan tahun lahir dan wafat bagi perawi namun jumlahnya tidak banyak. Untuk tahun lahir perawi tidak lebih 3% sahaja yang dinyatakan manakala untuk tarikh wafat pula sekadar 5% sahaja. Ketika beliau tidak dapat menentukan tahun wafat secara tepat, beliau akan mengaitkannya dengan suatu peristiwa yang berlaku yang hampir dengan tahun kewafatan perawi itu.

10 – Al-Bukhari menggunakan beberapa lafaz jarh dan ta’dil dalam kitab ini. Jumlahnya lebih daripada 100 lafaz. Namun beliau seorang yang sangat warak dalam mengkritik perawi dan tidak menggunakan lafaz memuji dan mengkritik yang berlebihan. Kebanyakan lafaz jarh yang beliau gunakan ialah: “Padanya terdapat kemusykilah (فيه نظر)”, “Tersilap dalam sebahagian hadisnya (يخالف في بعض حديثه)" dan lafaz jarh keras yang beliau selalu gunakan ialah: “Munkar hadisnya (منكر الحديث).” Untuk lafaz pujian pula beliau selalu gunakan lafaz: “Boleh dipercayai (ثقة)” dan “Baik hadisnya (حسن الحديث)”.

Ramai juga dikalangan perawi yang beliau diamkan dan tidak memberi komen tentang statusnya. Sebahagian ulama menganggap diamnya al-Bukhari terhadap status perawi dianggap sebagai tauthiq (penilaian thiqah) terhadap perawi tetapi kaedah tersebut tidak dapat diterima secara mutlak. Bahkan al-Hafiz Ibnu Hajar yang merupakan salah seorang ulama yang mengkaji secara menyeluruh tentang al-Bukhari tidak menganggap diam al-Bukhari tersebut sebagai tauthiq kepada perawi.

Jumlah perawi yang beliau sebutkan jarh dan ta’dil padanya adalah kurang daripada 2000 orang manakala jumlah perawi yang beliau diamkan pula adalah lebih daripada 12 ribu orang.

11 – Pembaca kitab ini perlu memahami istilah-istilah yang biasa digunakan oleh al-Bukhari.

Apabila beliau berkata (فيه نظر) pada seorang perawi maka kebiasaannya perawi tersebut adalah perawi yang ditinggalkan hadisnya (matruk) dan dituduh berdusta dan memalsukan hadis sebagaimana yang telah dikaji oleh al-Zahabi, al-‘Iraqi, al-Sakhawi dan al-Suyuti. Namun kaedah ini tidak terpakai secara mutlak kerana terdapat perawi yang dikomen sedemikian oleh al-Bukhari namun mereka adalah perawi yang thiqah. Kebanyakan komen al-Bukhari tersebut sebenarnya ditujukan kepada hadis tertentu yang diriwayatkan oleh perawi tersebut dan bukan secara khusus terhadap diri perawi itu. Oleh itu perlu berhati-hati apabila menjumpai komen al-Bukhari ini terhadap perawi. Al-Bukhari telah menggunakan istilah (فيه نظر) sebanyak 92 kali dalam kitab ini.

Apabila beliau menggunakan istilah “Ahli hadis berdiam diri daripadanya (سكتوا عنه)” ini bermakna perawi tersebut adalah di kalangan perawi yang ditinggalkan hadisnya (matruk). Maksud istilah ini ialah para ulama hadis telah dapat mengenal pasti tentang perihal perawi  ini dan mereka tahu bahawa perawi tersebut adalah perawi yang daif. Maka mereka mendiamkan diri daripada berkata tentangnya kerana perihal daifnya itu sudah jelas yang tidak perlu lagi mereka huraikan tentangnya.

Al-Bukhari juga mengingatkan bahawa mana-mana perawi yang dikomen oleh beliau dengan lafaz (منكر الحديث) maka tidak boleh meriwayatkan daripada perawi tersebut.

Istilah jarh lain yang digunakan oleh al-Bukhari ialah “Hanyut hadisnya (ذاهب الحديث)”. Apabila dibandingkan jarh al-Bukhari ini terhadap seseorang perawi dengan jarh ahli-ahli hadis yang lain, dapat dipastikan bahawa jarh al-Bukhari ini ditujukan kepada perawi yang termasuk di kalangan perawi yang matruk.

Al-Bukhari sangat jarang untuk mengkritik perawi dengan menuduhnya memalsukan hadis dan berdusta. Seboleh-bolehnya beliau akan menukilkan jarh sedemikian daripada ulama hadis yang lain. Namun, apabila terpaksa barulah beliau sendiri yang akan menyebutkan jarh itu. Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah dalam ulasan beliau ke atas kitab al-Raf’u Wa al-Takmil (hlm. 399) ada menyebutkan contoh beberapa orang perawi yang dituduh berdusta dan memalsukan hadis oleh al-Bukhari.

Perawi yang dikritik dengan lafaz “Tidak kuat (ليس بالقوي)” bermaksud perawi tersebut daif.

Selain jarh dan ta’dil daripada penilaian Al-Bukhari sendiri terhadap perawi, beliau juga ada menukilkan jarh dan ta’dil daripada imam-imam hadis sebelumnya.

12 – Riwayat-riwayat hadis yang beliau sebutkan melalui jalur perawi yang beliau sedang bicangkan biografinya itu ada yang berstatus sahih, hasan dan daif. Jumlah hadis yang dikomen statusnya oleh al-Bukhari berjumlah lebih 4000 buah. Antara contoh komen al-Bukhari terhadap hadis ialah: “Hadis ini lebih sahih (هذا الحديث أصح)”, Inilah yang sahih (هذا هو الصحيح)”, “Tidak sahih (لا يصح)”, Mursal (مرسل)”, “Terputus sanad (منقطع)”, “Tidak ada sokongan pada hadisnya (لا يتابع في حديثه)dan “Tidak sabit hadisnya (لم يثبت حديثه)”.

13 – Jumlah keseluruhan perawi yang terdapat dalam kitab ini ialah seramai 13990 orang perawi mengikut kiraan Abdul Sattar al-Syeikh.

14 – Kitab ini diterbitkan sebanyak lapan jilid oleh Dairah al-Ma’arif al-‘Uthmaniyyah, India pada tahun 1942 dengan tahqiq Syeikh Abdul Rahman bin Yahya al-Mu’allimi.

15 – Kitab ini boleh dimuat turun di sini

Baca juga: 

Manhaj Kitab Tahzib al-Kamal Fi Asma' al-Rijal oleh al-Hafiz al-Mizzi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan