Rabu, 23 Ogos 2023

Status Hadis: Jangan Pukul Anak Kamu Disebabkan Tangisan Mereka

 


لا تضْربُوا أولادَكُم على بكائِهِم، فإنَّ بكاءَ الصبيِّ أربعةَ أشهرٍ: لا إلهَ إلا اللهُ، وأربعةَ أشهرٍ: محمدٌ رسولُ اللهِ، وأربعةَ أشهرٍ دعاءٌ لوالديهِ.

“Janganlah kamu semua memukul anak-anak kamu disebabkan tangisan mereka kerana sesungguhnya tangisan anak itu pada 4 bulan yang pertama adalah La Illaha Illa Allah, 4 bulan kedua adalah Muhammad Rasulullah dan 4 bulan seterusnya adalah doa untuk kedua ibu bapanya.”

Sumber Hadis

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad (13/246) dan Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu’at (no. 317) daripada jalur sanad:

Abu al-Hasan Ali bin Ibrahim bin al-Haitham bin al-Muhallab al-al-Baladi daripada bapanya daripada Adam bin Abi Iyas daripada Laith bin Sa’ad daripada Nafi’ daripada Ibnu ‘Umar.

Pandangan Ahli Hadis

1 - Al-Khatib al-Baghdadi berkata: “Hadis ini sangat munkar. Kesemua perawinya masyhur dengan kethiqahan (dapat dipercayai) melainkan Abu al-Hasan al-Baladi.”

2 – Ibnu al-Jauzi menukilkan pendapat al-Khatib al-Baghdadi dalam kitabnya, al-Maudhu’at.

3 – Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Lisan al-Mizan (5/477) berkata: “Palsu tanpa syak lagi.”

4 – Al-Hafiz al-Suyuti memuatkan hadis ini dalam al-Laali al-Masnu’ah (1/90, terbitan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah) lalu beliau membawakan hukum al-Hafiz Ibnu Hajar tersebut.

Namun beliau cuba menguatkan hadis ini dengan membawakan jalur sanad lain melalui perawi Abu Muqatil al-Samarqandi. Tetapi al-Suyuti sendiri mengatakan bahawa Abu Muqatil al-Samarqandi ini adalah perawi yang sangat daif. Ibnu ‘Arraq dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah (1/171) mengkritik al-Suyuti dengan berkata bahkan perawi tersebut bukan sekadar sangat daif, tetapi turut dituduh menipu dan memalsukan hadis. Jadi dia tidak boleh dijadikan perawi sokongan (tabi’).

Begitu juga al-Suyuti membawakan hadis sokongan (syahid) bagi hadis ini iaitu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Asakir daripada jalur sanad Abu al-Farj al-‘Abbas bin Muhammad bin Hayyan al-Dimasyqi daripada Muhammad bin Khuraim/Khuzaimah daripada Hisyam bin ‘Ammar daripada Ma’ruf al-Khayyat daripada Wasilah bin al-Asyqa’:

بُكَاءُ الصَّبِيِّ إِلَى سَنَتَيْنِ يَقُولُ لَا إِلَهَ إِلا اللَّهُ مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّه،ِ وَمَا كَانَ ذَلِكَ فَاسْتِغْفَارٌ لأَبَوَيْهِ، وَمَا عَمِلَ مِنْ حَسَنَةٍ فَلأَبَوَيْهِ، وَمَا عَمِلَ مِنْ سَيِّئَةٍ لَمْ تُكْتَبْ عَلَيْهِ وَلا عَلَى أَبَوَيْهِ حَتَّى يَجْرِيَ عَلَيْهِ الْقَلَمُ.

“Tangisan bayi sehingga tempoh dua tahun itu dia berkata La Illaha Illa Allah Muhammad Rasulullah dan dua tahun berikutnya adalah permohonan ampun untuk kedua ibu bapanya. Apa sahaja amalan baik yang dilakukannya maka ibu bapanya mendapat pahala. Apa sahaja amalan buruk yang dilakukannya maka tidak dicatat dosa ke atasnya dan kedua ibu bapanya sehinggalah berjalanlah pena catatan amalan ke atasnya (yakni sudah baligh).”

Hadis ini dikomentar oleh Ibnu ‘Asakir bahawa ia hadis yang sangat ganjil (gharib jiddan).

Ibnu ‘Iraq pula berkata bahawa dia tidak dapat menentukan secara pasti nama perawi yang meriwayatkan daripada Hisyam bin ‘Ammar sama ada namanya Muhammad bin Khuzaimah (خزيمة) atau Muhammad bin Khuraim (خريم) kerana kedua-dua perawi tersebut memang ada meriwayatkan hadis daripada Hisyam bin ‘Ammar.

Muhammad bin Khuzaimah ini dituduh oleh al-Hafiz al-Zahabi meriwayatkan hadis palsu daripada Hisyam bin ‘Ammar dan dia tidak dikenali. Ibnu Hajar pula mengkritik al-Zahabi kerana Muhammad bin Khuzaimah ini dapat dikenali kerana biografinya ada disebutkan oleh Ibnu ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq dan beliau berkata: “Hadis-hadisnya menunjukkan akan kedaifannya.”

Adapun Muhammad bin Khuraim, al-Hafiz Ibnu Hajar berkata tentangnya: “Ibnu ‘Asakir menyebutkan biografinya. Dia masyhur meriwayatkan daripada Hisyam bin ‘Ammar dan aku tidak mendapati padanya ada ulama yang mendaifkannya.”

Seterusnya Ibnu ‘Arraq meminta untuk pembaca mencari maklumat tentang perawi yang meriwayatkan daripada Muhammad bin Khuraim/Khuzaimah iaitu Abu al-Farj al-‘Abbas bin Muhammad bin Hayyan al-Dimasyqi.

Biografi Abu al-Farj al-‘Abbas bin Muhammad bin Hayyan al-Dimasyqi ini dapat dilihat dalam Tarikh Dimasyq karangan Ibnu ‘Asakir dan Tarikh al-Islam karangan al-Zahabi. Di bahagian senarai gurunya disebutkan nama Muhammad bin Khuraim. Oleh itu dapat dipastikan bahawa perawi yang meriwayatkan daripada Hisyam bin ‘Ammar tersebut adalah Muhammad bin Khuraim.

Muhaqqiq kitab Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah, Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari berpendapat bahawa tidak kira sama ada perawi tersebut adalah Muhammad bin Khuraim atau Muhammad bin Khuzaimah, hadis Wasilah bin al-Asyqa’ ini tetap adalah hadis yang munkar dan palsu.

5 – Hadis ini dimuatkan oleh al-Hafiz al-Sakhawi dalam al-Qaul al-Badi’ (ms. 131) dengan lafaz yang berbeza dan kata beliau: “Hadis ini diriwayatkan oleh al-Dailami dengan sanad yang daif.” Namun muhaqqiq kitab ini, Syeikh Muhammad ‘Awwamah menambah perkataaan jiddan (sangat) di bahagian nota kaki, yakni hadis ini sangat daif.

Kesimpulan

Hadis ini adalah hadis yang palsu atau paling kurang, hadis yang sangat daif. Tidak harus menyebarkannya dan menyandarkannya kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam. Kalau ada yang ingin beramal dan menyebarkannya dengan alasan ia hadis yang sangat daif dan tidak palsu, saya katakan bahawa syarat untuk beramal dengan hadis daif adalah kedaifan hadis itu mestilah tidak terlalu berat sebagaimana yang disebutkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan