Kota Tarim |
Nama, Kelahiran dan Pembesaran
Nama beliau
ialah Abdullah bin Abdul Rahman bin Abu Bakar bin Muhammad al-Hajj bin Abdul
Rahman bin Abdullah bin Yahya bin al-Qadi Ahmad bin Muhammad bin Fadhl bin
Muhammad bin Abdul Karim Balhaj Bafadhal al-Sa’di al-Mazhiji.
Gelaran
al-Sa’di adalah nisbah kepada Sa’ad al-‘Asyirah manakala gelaran al-Mazhiji
pula berasal daripada nama sebuah kabilah di Yaman.
Keluarga
beliau, Balhaj merupakan sebagai sebuah keluarga yang terkenal dengan keilmuan
dan kesolehan di Hadramaut. Ramai dikalangan mereka yang menjadi ulama, auliya’
dan solihin. Mereka digelar keluarga Balhaj nisbah kepada datuk mereka,
Muhammad al-Hajj bin Abdul Rahman bin Abdullah yang masyhur banyak menunaikan
haji.
Beliau
dilahirkan di Tarim, Yaman pada tahun 850 Hijrah.
Beliau
membesar di bawah asuhan bapanya, Syeikh Abdul Rahman yang merupakan seorang
ahli ilmu yang terkenal dengan kesolehannya. Syeikh Abdul Rahman ini belajar
dan dididik oleh bapanya sendiri, Syeikh Abu Bakar. Selain itu beliau juga menuntut
ilmu dengan Imam Umar al-Mahdhar dan saudara-saudaranya dan belajar dengan Imam
Abdullah al-‘Aidrus (m. 865 H).
Di bawah
bimbingan bapanya juga beliau menghafal al-Quran dan beberapa buah matan dalam
ilmu fiqh dan bahasa Arab. Beliau memberikan perhatian untuk mempelajari ilmu
tajwid, fiqh dan hadis. Bapa beliau meninggal dunia pada tahun 866 Hijrah.
Kota Aden |
Guru-Guru
Setelah mempelajari
asas-asas ilmu daripada bapanya dan ulama-ulama Tarim, beliau memulakan rihlah
ilmiahnya ke bandar Aden. Bandar Aden yang pada waktu itu di bawah pemerintahan
Daulah Tahiriyyah dan merupakan bandar ilmu yang menjadi tumpuan para ulama. Di
sini beliau belajar dengan beberapa orang ulama, iaitu:
1 – Al-Syeikh al-Imam al-Faqih al-Mufti Abdullah bin Ahmad Ba Makhramah al-Saibani
(m. 903 H).
2 – Al-Syeikh
al-Imam al-Faqih Muhammad bin Ahmad bin Abdullah Bafadhal (m. 903 H).
Setelah itu
beliau bertolak menuju ke Syibam, Hadramaut untuk bertemu dengan ulama di sana
seperti:
3 – Al-Syeikh al-‘Arifbillah Ibrahim bin Muhammad bin Ahmad Baharmaz al-Syibami (m.
875 H).
4 – Al-Syeikh
al-‘Allamah al-Faqih al-Soleh Muhammad bin Ahmad bin Abdullah Bajarfil al-Dau’ani
al-Hadrami (m. 903 H).
Selepas itu
beliau meneruskan pula perjalanan ke dua Tanah Haram, Mekah dan Madinah untuk
menunaikan haji dan umrah pada tahun 895 Hijrah. Di sana beliau berpeluang
berjumpa dengan beberapa orang ulama:
Di Mekah
al-Mukarramah:
5 – Al-‘Allamah
al-Qadi Burhanuddin Ibrahim bin Ali bin Zahirah al-Qurasyi al-Makki al-Syafi’e
(m. 891 H).
Beliau
menjadi qadi di Mekah selama 30 tahun. Beliau belajar dengan al-Hafiz Ibnu
Hajar, al-Syaraf al-Munawi dan Abu Bakar al-Suyuti (bapa al-Hafiz Jalaluddin
al-Suyuti).
Di
Madinah al-Munawwarah:
6 –
al-‘Allamah al-Muhaddith Nasiruddin Muhammad Abu al-Farj ibnu Abu Bakar bin
al-Husain al-Maraghi al-‘Uthmani al-Syafi’e al-Madani (m. 880 H).
Beliau
merupakan murid kepada Ibnu al-Jazari, Waliyuddin al-‘Iraqi dan al-Hafiz Ibnu
Hajar. Beliau mempunyai syarah ke atas Minhaj al-Talibin dan Alfiah Ibnu Malik.
Murid-Murid
Terdapat
ramai penuntut ilmu yang datang untuk mengaut limpahan ilmu daripada beliau.
Sebahagiannya belajar dengan beliau di Tarim dan sebahagian yang lain di
al-Shihir setelah beliau berpindah ke situ. Di sebutkan di sini sebahagian
murid-murid beliau:
1 –
Al-Sayyid al-Syarif Umar bin Abdul Rahman bin Muhammad bin Ali bin Muhammad bin
Ahmad bin al-Faqih al-Muqaddam yang terkenal dengan gelaran Sahib al-Hamra,
meninggal dunia pada 889 Hijrah.
2 – Al-Imam
al-Sayyid al-‘Allamah Abdul Rahman bin al-Syeikh Ali bin Abu Bakar Ba’alawi,
meninggal dunia pada 923 Hijrah.
3 –
Al-Sayyid al-Syarif al-‘Allamah Muhammad bin Abdul Rahman al-Asqa’ bin al-Faqih
Abdullah Balfaqih Ba’alawi al-Husaini al-Tarimi, meninggal dunia pada 917
Hijrah.
4 – Al-Faqih
al-‘Allamah Abdullah bin Ahmad Basurumi al-Shihri, meninggal dunia pada 943
Hijrah.
5 –
Al-Sayyid al-Syarif al-Muarrikh Umar bin Muhammad bin Ahmad Basyaiban al-‘Alawi
al-Husaini, meninggal dunia pada 944 Hijrah.
6 –
Al-Sayyid al-Syarif al-Faqih Ahmad al-Baidh bin Abdul Rahman bin al-Husain bin
Ali bin Muhammad bin Ahmad bin al-Faqih al-Muqaddam, meninggal dunia pada 945
Hijrah.
7 –
Al-Sayyid al-Syarif al-Qadhi Ahmad Syarif bin Ali bin ‘Alawi Kharad Ba’alawi
al-Husaini al-Tarimi, meninggal dunia pada 957 Hijrah.
8 –
Al-Syeikh al-Imam al-Faqih al-‘Allamah Abdullah bin Muhammad bin Sahl bin Hakam
Baqusyair al-Hadrami, meninggal dunia pada 958 Hijrah.
9 –
Al-Sayyid al-‘Allamah al-Faqih al-Muarrikh Muhammad bin Ali bin ‘Alawi Kharad
Ba’alawi al-Tarimi, meninggal dunia pada 960 Hijrah. Pengarang kitab Ghurar
al-Baha’ al-Dhawi Fi Manaqib Bani ‘Alawi dan al-Wasail al-Syafi’ah Fi
al-Ad’iyyah al-Nafi’ah.
10 –
Al-Syeikh al-Faqih al-Soleh al-Wara’ Ahmad bin Abdul Qawi bin Abdul Wahab bin
Abu Bakar al-Hajj Bafadhal al-Tarimi, meninggal dunia pada 950 Hijrah.
Kota al-Shihr |
Berpindah ke Al-Shihr dan Menjadi Qadhi
Ahli
sejarah tidak menyebutkan sebab perpindahan beliau dari Tarim ke al-Shihir
tetapi mereka menyebutkan bahawa tokoh yang meminta beliau berpindah ke
al-Shihir dan menetap di situ ialah al-‘Allamah al-Faqih Abdullah bin Muhammad
bin Ahmad bin ‘Absin al-Syafi’e (m. 908 H) yang merupakan qadhi al-Shihir.
Mungkin
faktor utama Ibnu ‘Absin memilih beliau untuk tinggal di al-Shihr disebabkan
kemasyhuran keluarga beliau, Bafadhal dengan keilmuan dan kesolehan. Apatah
lagi terdapat seorang ulama daripada keluarga ini yang terlebih dahulu menetap
di al-Shihir iaitu al-Imam al-‘Arif Fadl bin Abdullah Bafadhal yang meninggal
di situ pada tahun 805 Hijrah.
Setelah
bersetuju berpindah ke al-Shihir, beliau lalu membawa keluarga dan anak-anaknya
ke situ. Tidak ada catatan berkenaan tahun perpindahan beliau ke al-Shihir.
Berkemungkinan peristiwa itu berlaku sebelum tahun 890 Hijrah kerana salah
seorang murid beliau, al-Sayyid Umar bin Abdul Rahman (terkenal dengan gelaran
Sahib al-Hamra) yang meninggal dunia pada tahun 889 Hijrah direkodkan telah
membantu membina rumah untuk gurunya di al-Shihir.
Setelah
al-‘Allamah Ibnu ‘Absin meninggal dunia pada tahun 908 Hijrah, tidak ada orang
lain di al-Shihir yang layak untuk menjawat jawatan qadhi melainkan beliau. Oleh
itu Sultan Abdullah bin Ja’far al-Kathiri telah memerintah beliau untuk
menyandang jawatan tersebut lalu beliau menerimanya. Disebutkan juga bahawa
salah seorang murid beliau, al-Faqih Abdullah bin Ahmad Basurumi (m. 943 H) turut
menyokong dan mendorong beliau menerima tugasan itu. Beliau kekal melaksanakan
tanggungjawab sebagai qadhi sehingga tahun 915 Hijrah dan tatkala beliau
berazam untuk menunaikan haji, beliau melepaskan jawatan tersebut.
Sifat
Peribadi
Syeikh
Abdul Qadir bin Abdullah al-‘Idrus dalam kitab al-Nur al-Safir menggambarkan
keperibadian beliau sebagai seorang yang alim, beramal, mulia, banyak beribadat
('abid), warak, zuhud, berjiwa mulia, dermawan dan murah hati.
Beliau juga
elok perjalanan kehidupannya, lemah-lembut, sangat sabar dalam mengajarkan ilmu,
tawaduk, baik akhlaknya. Beliau juga tidak lupa tanggungjawab menyuruh perkara
yang makruf dan melarang dari kemungkaran.
Beliau
banyak berjalan ke sana-sini bagi memenuhi keperluan kaum muslimin yang meminta
bantuan daripadanya.
Selain
orang awam, beliau juga dihormati dan mempunyai kedudukan yang mulia di sini
pembesar dan raja-raja.
Beliau
sangat menjaga waktunya. Belaiu tidak pernah dilihat melakukan sesuatu
yang lain melainkan mengajarkan ilmu, mutalaah kitab atau sedang sibuk dengan
ibadat dan berzikir.
Beliau
pernah mengajar di Masjid al-Shihir selain berfatwa dan mendidik
murid-muridnya. Namanya mengharum sehinggalah beliau beliau menjadi tonggak dan
rujukan utama dalam fatwa dan ilmu fiqh. Berterusan beliau memberi manfaat
kepada manusia sehinggalah beliau meninggal dunia.
Penulisan
Syeikh
Abdullah bin Abdul Rahman Bafadhal telah menulis beberapa buah kitab yang
sangat bermanfaat. Allah telah mentakdirkan kitab-kitab tersebut diterima di
kalangan ulama dan penuntut ilmu, terutamanya kitab-kitab ringkasan beliau berkenaan ilmu
fiqh. Begitu juga beliau mempunyai penulisan dalam bidang-bidang yang lain,
namun kurang masyhur. Antara hasil penulisan beliau:
1 – Al-Muqaddimah
al-Hadramiyyah, atau dikenali juga sebagai al-Mukhtasar al-Kabir dan
Masa’il al-Ta’lim. (Muat Turun)
2 – Al-Mukhtasar al-Latif atau al-Mukhtasar al-Saghir. Kitab ini merupakan ringkasan bagi kitab al-Muqaddimah al-Hadramiyyah. (Muat Turun)
3 – Mansak al-Hajj.
4 – Nuzhah
al-Khatir Fi Azkar al-Musafir.
5 – Lawami’ al-Anwar Wa Hadaya al-Asrar Fi Fadhl al-Qa’im Bi al-Ashar.
6 – Hilyah
al-Bararah Fi Azkar al-Hajj Wa al-‘Umrah.
7 – Al-Hujaj
al-Qawati’ Fi Ma’rifah al-Wasi’ Wa al-Qati’.
8 – Risalah
Fi Aurad al-Masa’ Wa al-Sobah.
Kitab ini
disebutkan oleh Syeikh Muhammad bin ‘Awadh Bafadhal, pengarang kitab Silah
al-Ahl, cuma kemungkinan besar kitab ini adalah kitab Misykat al-Anwar
yang merupakan karangan anak beliau, Ahmad al-Syahid.
9 – Risalah
Fi al-Falak.
10 – Ma’rifah
al-Qiblah.
11 – Majmu’
al-Fatawa.
Kitab ini
disebutkan oleh pengarang kitab al-Silah dan beliau memuji kitab ini
mengandungi faedah yang besar.
12 – Wasiyyah
Nafi’ah.
Pengarang
kitab al-Silah menyebutkan teks wasiat ini dalam biografi Syeikh
Abdullah bin Abdul Rahman Bafadhal.
13 – Mukhtasar
al-Azkar karangan al-Nawawi.
Kitab ini
dinisbahkan kepada beliau oleh pengarang kitab al-Silah. Terdapat salah
seorang ahli keluarga Bafadhal yang meringkaskan kitab al-Azkar iaitu
al-‘Allamah Muhammad bin Ahmad Bafadhal al-‘Adani yang merupakan guru kepada Syeikh
Abdullah bin Abdul Rahman Bafadhal. Tajuk ringkasan tersebut ialah Sirr
al-Asrar Fi Tahrir Azkar al-Azkar.
Anak-Anak
Syeikh
Abdullah bin Abdul Rahman Bafadhal telah dikurniakan oleh Allah Ta’ala seramai
9 orang anak-anak lelaki. Kesemua mereka ada penuntut ilmu, ulama dan
orang-orang soleh. Mereka adalah Ahmad, al-Husain, Zain, Hasan, Ali, Muhammad,
Ibrahim, Fadl dan Yasin.
Meninggal
Dunia
Setelah
menghabiskan usia berbakti kepada agama dengan mengajar, menulis, berfatwa dan
mendidik murid-murid, beliau kembali ke rahmatullah pada 5 Ramadan 918 Hijrah
pada waktu asar. Beliau dikebumikan keesokkan harinya pada waktu dhuha di
perkuburan yang masyhur di al-Shihir. Setelah itu anak cucu serta keturunan
beliau juga turut dikebumikan di perkuburan yang sama di samping beliau.
Habib Umar bin Alawi al-Kaf menyebutkan dalam kitab Khulasah al-Khabar:
Setelah orang ramai selesai mengebumikan jenazah beliau, bangun al-'Allamah Muhammad bin Umar Bahraq lalu memuji Allah dan menyampaikan khutbah.
Beliau lalu menyebutkan hadis: "Sesiapa yang melihatku di dalam mimpi maka dia benar-benar melihatku."
Kemudian beliau berkata: "Semalam aku bermimpi melihat Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam. Baginda bersabda: Sesiapa yang bersolat ke atas jenazah ini esok, maka Allah akan mengampunkan dosanya."
Syeikh al-Arif Billah Abdul Rahman bin Siraj berkata: "Aku merasa takjub dengan perkara tersebut dan menganggapnya terlalu besar. Bagaimana diampunkan dosa orang yang ramai ini sedangkan di antara mereka ada orang yang zalim dan fasik? Lalu pada malam berikutnya aku bermimpi melihat Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam. Baginda bersabda kepadaku: Kamu merasa apa yang disebutkan oleh Muhammad Bahraq itu terlalu besar? Aku berkata: Ya. Baginda bersabda: Dia juga merasakan sedemikian."
Semoga
Allah merahmati beliau atas khidmat jasa beliau terhadap agama Islam.
Kubur beliau |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan