Selasa, 19 November 2019

Al-Hafiz al-Munziri : Seluruh Waktunya Untuk Ilmu

Al-Hafiz al-Munziri Menulis dengan Tangannya 90 Jilid dan 700 Juzuk Kitab Selain Daripada Karangan-karangannya Sendiri

Imam al-Nawawi telah menceritakan, semoga Allah Ta'ala merahmatinya, di akhir kitabnya Bustan al-‘Arifin, tentang sebahagian jasa sekumpulan ulama besar yang cemerlang lagi tiada tandingan, di bawah tajuk ‘Bab mengenai kisah-kisah menarik’, lalu beliau menyebutkan satu kisah yang didengarnya daripada gurunya tentang kelebihan gurunya (guru kepada guru Imam al-Nawawi) iaitu Imam al-Hafiz ‘Abd al-‘Azim al-Munziri, yang dilahirkan di Kaherah pada tahun 581H, dan meninggal dunia di sana pada tahun 656H, semoga Allah Ta'ala merahmatinya, katanya:

“Aku mendengar guru kami dan tuan kami, imam yang agung, dan tuan yang mulia, pakar hadis yang juga pengkaji yang mendalam, pencari ilmu yang halus dan sangat teliti pemerhatiannya, pemilik ingatan yang kukuh serta kepakaran yang sempurna, dan seorang yang penyayang dan sentiasa berbuat kebajikan, yang warak lagi zahid, dan mujtahid yang tekun beribadah, baki para huffaz, mufti, guru para imam dan ahli hadis: Diya’uddin Abu Ishaq Ibrahim bin ‘Isa al-Muradi, beliau berkata – pada hari Rabu, enam haribulan Syawal tahun 658H, di Madrasah al-Badra’iyyah di Damsyik, semoga Allah melindunginya dan memeliharanya –:

Aku mendengar Syeikh ‘Abd al-‘Azim, semoga Allah Ta’ala merahmatinya, berkata:

Aku telah menulis dengan tanganku 90 jilid, dan aku telah menulis tujuh ratus juzuk kitab.

Semua itu adalah tentang ilmu-ilmu hadis yang merupakan karangan orang lain. Beliau telah menulis daripada karangan-karangannya sendiri dan selainnya banyak lagi perkara.”

Al-Hafiz al-Munziri Sibuk dengan Ilmu Ketika Makan

Imam al-Nawawi menyambung:

“Guru kami berkata: Aku tidak pernah melihat dan tidak pernah mendengar sesiapa yang lebih bersungguh-sungguh daripadanya dalam menyibukkan diri (dengan ilmu), beliau sentiasa sibuk pada waktu malam dan siang.

Beliau juga berkata: Aku berjiran dengannya di madrasah, iaitu di Kaherah, semoga Allah Ta'ala melindunginya, rumahku di atas rumahnya selama 12 tahun.

Aku tidak pernah terjaga pada mana-mana malam, pada bila-bila masa di waktu malam, melainkan aku mendapati cahaya pelita di rumahnya dan beliau sedang sibuk dengan ilmu, dan bahkan ketika beliau sedang makan, kitab dan kitab-kitab ada di sisinya, beliau sentiasa sibuk dengannya.”

Al-Hafiz al-Munziri Tidak Keluar dari Madrasah, Baik untuk Mengucapkan Takziah Mahupun untuk Tahniah

Guru Imam al-Nawawi juga menyebutkan tentang ketelitiannya, kesungguhan kajiannya, dan kepelbagaian ilmunya, sesuatu yang tidak mampu untuk diungkapkannya.

Beliau berkata:

“Beliau tidak keluar dari madrasah, baik untuk takziah, mahupun untuk tahniah, tidak juga untuk bersiar-siar, mahupun untuk urusan lain, melainkan untuk solat Jumaat, bahkan beliau menggunakan seluruh waktunya untuk ilmu, semoga Allah Ta'ala meredainya dan kedua ibu bapa kami serta kaum Muslimin.”

Anaknya yang Tercinta Meninggal Dunia, Lalu Beliau Menghantarnya Hingga ke Pintu Madrasah Sahaja

Imam Tajuddin al-Subki dalam berkata dalam Tabaqat al-Syafi'iyyah al-Kubra, pada biografi al-Hafiz al-Munziri:

“Beliau telah mengajar pada akhir hayatnya di Dar al-Hadith al-Kamiliyyah, dan beliau tidak keluar daripadanya melainkan untuk solat Jumaat, sehinggakan beliau mempunyai seorang anak yang cemerlang, seorang muhaddith yang terbilang - iaitu Rasyiduddin Abu Bakar Muhammad, meninggal dunia pada tahun 643H, dan beliau adalah salah seorang yang cerdik, terkemuka dan pakar hadis - yang diwafatkan oleh Allah Ta'ala ketika al-Munziri masih hidup, untuk melipatgandakan baginya kebaikan-kebaikannya.

Lalu Syeikh menyembahyangkan jenazahnya di dalam madrasah, dan mengiringinya hingga ke pintu, kemudian berlinanganlah air matanya dan beliau berkata: Aku serahkan engkau, wahai anakku, kepada Allah Ta'ala', lalu beliau berpisah dengannya.” Beliau tidak keluar dari madrasah.

Sumber:

Qimah al-Zaman ‘Inda al-‘Ulama’ oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah

______________________

Al-Hafiz al-Munziri atau nama sebenar beliau Abdul ‘Azhim bin Abdul Qawi bin Abdullah al-Munziri al-Misri.

Beliau dilahirkan pada tahun 581 Hijrah di Fustat, Mesir.

Beliau membesar sebagai seorang anak yatim kerana bapanya meninggal dunia ketika beliau berusia 11 tahun.

Beliau pada asalnya bermazhab Hanbali kerana mengikut bapanya yang bermazhab Hanbali lalu beliau bertukar ke mazhab al-Syafi’e.

Antara guru beliau yang terkenal ialah Imam Abdul Ghani al-Maqdisi (m. 600 H), Imam Ibnu Qudamah al-Hanbali (m. 620 H) dan Imam Yaqut al-Hamawi (m. 626 H). 

Antara murid beliau yang terkenal pula ialah Imam Ibnu Daqiq al-‘Eid (m. 702 H), Imam Ibnu Khalikan (m. 681 H) dan Imam al-Yunini (m. 701 H).

Antara kitab karangan beliau ialah al-Targhib Wa al-Tarhib, Mukhtasar Sahih Muslim, Mukhtasar Sunan Abu Daud, al-Arba’un Fi al-Ahkam, Syarah al-Tanbih (11 Jilid) dan lain-lain.

Menurut Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah terdapat lebih 30 orang alim yang menggelarkan beliau sebagai al-Hafiz (pakar hadis).

Beliau meninggal dunia pada tahun 656 Hijrah di Kaherah, Mesir. Rahimahullah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan