Jumaat, 1 November 2019

Manhaj Kitab al-Mu’jam al-Kabir Karangan al-Imam al-Tabarani

Pengenalan Ringkas Imam al-Tabarani

Nama beliau ialah Sulaiman bin Ahmad bin Ayyub bin Muthair al-Lakhmi al-Syami al-Tabarani. Kunyah beliau ialah Abu al-Qasim.

Beliau dilahirkan pada tahun 260 Hijrah. Namun ulama berbeza pendapat tentang tempat beliau dilahirkan sama ada di Akka, Palestin atau di Tabariyyah, Palestin. 

Gelaran al-Lakhmi berasal dari nama kabilah Lakhm yang berasal dari Yaman namun tinggal di Syam.

Beliau mula mengembara menuntut ilmu hadis ketika berusia 16 tahun.

Guru-guru beliau lebih daripada 1000 orang. Antara guru beliau yang terkenal ialah Imam Abu Zur’ah al-Dimasyqi, Imam al-Nasa’i dan Imam Abdullah bin Ahmad bin Hanbal.

Manakala murid beliau yang terkenal ialah Imam Ibnu Mardawaih, Imam Abu al-Syeikh al-Asbahani, Imam Ibnu ‘Uqdah al-Kufi, Imam Ibnu Mandah al-Asbahani dan Imam Abu Nu’aim al-Asbahani.

Karya beliau yang terkenal ialah al-Mu’jam al-Kabir, al-Mu’jam al-Ausath, al-Mu’jam al-Saghir, Musnad al-Shamiyin, Kitab al-Du’a, Makarim al-Akhlaq dan lain-lain.

Beliau meninggal dunia di Asbahan, Iran pada tahun 360 Hijrah ketika berusia 100 tahun. Semoga Allah merahmati beliau.

Maksud Mu’jam

Mu'jam adalah kitab yang menyebut sekumpulan hadis yang telah diriwayatkan lalu ia disusun mengikut susunan para sahabat Nabi atau guru-guru pengarang kitab atau negeri-negeri atau selain itu.

Kebiasaannya susunan para sahabat Nabi atau guru-guru pengarang kitab atau negeri-negeri atau yang lain-lain itu disusun pula mengikut urutan huruf abjad.

Manhaj Imam al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir

Metodologi al-Tabarani dalam al-Mu'jam al-Kabir adalah berdasarkan beberapa asas yang sebahagiannya telah beliau nyatakan dalam mukadimah ringkas kitab tersebut dan boleh dijelaskan seperti berikut:

1 - Beliau memulakan kitab ini dengan menyebut kumpulan hadis yang diriwayatkan oleh sepuluh orang yang dijanjikan syurga kerana kemuliaan mereka dan susunannya bermula dengan empat Khulafa' al-Rasyidin  kemudian diikuti dengan menyebut baki enam sahabat yang lain.

2 - Beliau menyusun nama-nama sahabat mengikut huruf abjad (alif, ba, ta, tha) dan menjadikannya sebagai susunan umum bagi keseluruhan kitab.

3 - Dalam biografi sahabat, beliau memulakan dengan menyebut nasab, sifat, umur, kematian dan hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.

Ini jika terdapat riwayat dan maklumat tentang biografi sahabat tersebut.

Jika beliau tidak menemui sesuatu maklumat pun, beliau meninggalkannya tanpa terikat dengan susunan ini seperti yang beliau lakukan dalam biografi Ubay bin Malik al-Qusyairi dan Ubay bin Umarah di mana beliau hanya menyebut nama mereka dan sebahagian hadis yang diriwayatkan oleh mereka sahaja.

4 - Apabila terkumpul beberapa hadis dalam satu topik tertentu, beliau meletakkan tajuk yang sesuai dengan berkata "Bab sekian", contohnya apa yang terdapat dalam kumpulan hadis yang diriwayatkan oleh Usamah bin Zaid di mana beliau berkata: 

"Bab tentang wanita yang buruk dan bahawa dia adalah fitnah dan membahayakan suaminya

"Bab tentang pertukaran mata wang (al-sarf)."

5 - Jika hadis-hadis tersebut dalam pelbagai topik, beliau meninggalkannya tanpa pembahagian bab seperti yang beliau lakukan dalam kumpulan hadis yang diriwayatkan oleh sepuluh sahabat yang dijanjikan syurga (melainkan kumpulan hadis Abu Ubaidah al-Jarrah yang beliau telah bahagiakn kepada beberapa bab) dan kumpulan hadis Ubay bin Ka'ab sebagai contoh.

6 - Jika sahabat tersebut banyak meriwayatkan hadis, beliau menyebut sebahagian hadisnya, dan jika sedikit meriwayatkan hadis, beliau menyebut semua hadisnya.

7 - Bagi sahabat yang tidak mempunyai riwayat daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam atau yang meninggal lebih awal, beliau menyebut maklumat mereka dari kitab-kitab maghazi (peperangan Nabi) dan sejarah ulama. Tujuannya untuk menyebutkan individu yang pernah bersahabat dengan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Contohnya seperti Muhammad bin Maslamah al-Ansari.

8 - Kadangkala beliau hanya menyebut nama sahabat sahaja tanpa menyebut apa-apa tentang maklumat dan riwayat mereka daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam seperti yang beliau lakukan dalam biografi Labid Abu Abdullah.

9 - Apabila beberapa orang tabi’in meriwayatkan daripada seorang sahabat, al-Tabarani mendatangkan hadis-hadis setiap seorang daripada mereka daripada sahabat tersebut secara berasingan di bawah tajuk yang menyebut nama tabiin tersebut yang meriwayatkan daripada sahabat berkenaan, seperti yang beliau lakukan pada riwayat Asim al-Adawi daripada Ka'ab bin Ujrah, riwayat Abdullah bin Ma'qal daripada Ka'ab, riwayat Amir al-Sya'bi daripada Ka'ab, dan seterusnya.


10 - Apabila sekumpulan sahabat berkongsi nama yang sama, al-Tabarani mengasingkan bab khas untuk mereka yang menyebut individu-individu dengan nama tersebut dan meletakkan tajuk dengan ungkapan "Bab orang yang bernama sekian", contohnya seperti katanya: 

"Bab orang yang bernama Usamah."


 "
Bab orang yang bernama Usaid."


11 - Kadangkala al-Tabarani membiarkan sesuatu bab itu secara umum tanpa mengikatnya dengan menyebut tajuk tertentu lalu berkata: "Bab."

Ini yang diistilahkan oleh sesetengah ulama sebagai ‘al-Tarajim al-Mursalah’ (tajuk bebas/tidak dinyatakan), iaitu yang dibiarkan tanpa disebut tajuk secara spesifik dan memadai dengan perkataan tajuk ‘Bab’, yang menunjukkan wujudnya hubungan tertentu antara hadis-hadis selepasnya dengan hadis-hadis sebelumnya.

Contohnya apa yang terdapat dalam kumpulan hadis Ummu Atiyyah dengan tajuk ‘riwayat Muhammad bin Sirin daripada Ummu Atiyyah’, kemudian beliau mengikutinya dengan tajuk ‘Bab’ secara bebas dan menyebut selepas itu hadis-hadis yang berkongsi dengan hadis-hadis sebelumnya dari segi ia diriwayatkan oleh Muhammad bin Sirin daripada Ummu Atiyyah dan dari seri ia berkaitan dengan beberapa topik berkaitan wanita, tetapi berbeza dari segi jenis topik yang dibincangkan.

12 - Apabila beberapa hadis yang diriwayatkan oleh seorang sahabat berkisar tentang satu topik dan beliau mendapati bahawa ada bermanfaat dan perlu untuk melengkapkan faedah dengan memasukkan di antaranya hadis-hadis dalam topik yang sama dari riwayat sahabat-sahabat lain, maka beliau akan memasukkannya.

Contohnya: Kumpulan hadis yang diriwayatkan oleh Usamah bin Zaid, di mana terdapat hadis-hadis tentang ‘al-sarf’ (pertukaran mata wang), kemudian beliau mengikutinya dengan riwayat-riwayat daripada Ibn Abbas dalam topik yang sama. Kemudian beliau kembali dan berkata: "Sambungan hadis Usamah bin Zaid."

13 - Bukanlah menjadi tujuan utama al-Tabarani dalam karya-karyanya untuk hanya mengumpulkan hadis-hadis sahih daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam tetapi beliau mengumpulkan hadis sahih, hasan, daif dan lain-lain.

Al-Tabarani bukanlah orang pertama yang melakukan ini tetapi ia juga adalah kebiasaan yang diamalkan oleh para pengarang sebelumnya kerana tujuan mereka adalah untuk memelihara sunnah daripada hilang dengan mencatat semua hadis yang sampai kepada mereka yang dinisbahkan kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Kemudian mereka menyerahkan urusan membezakan antara hadis sahih dan daif kepada generasi selepas mereka. Jika mereka sibuk sejak awal dengan urusan membezakan antara hadis sahih dan selainnya mereka akan membuang banyak usaha dan masa untuk itu dan akibatnya banyak sunnah Nabi sallahu ‘alaihi wasallam akan hilang.

Dari sudut lain para ulama telah menyebut beberapa faedah dan sebab untuk meriwayatkan hadis yang tidak sahih, antara yang terpenting ialah:

a - Ibnu Hajar berkata dalam Lisan al-Mizan pada biografi al-Tabarani:

“Ismail bin Muhammad bin al-Fadl telah mengkritik beliau kerana mengumpulkan hadis-hadis yang gharib yang mengandungi kejelekan yang teruk dan hadis-hadis palsu dan sebahagian hadis itu mencela ramai tokoh terdahulu dari kalangan sahabat dan selain mereka.

Ini bukanlah perkara yang khusus bagi al-Tabarani sahaja. Maka tidak ada makna untuk mengkhususkan kritikan kepadanya pada masa kini. Bahkan kebanyakan ahli hadis pada zaman-zaman lampau sejak tahun 200 Hijrah dan seterusnya, apabila mereka meriwayatkan hadis dengan sanadnya, mereka yakin bahawa mereka telah bebas daripada tanggungjawabnya.”

b - Untuk mengetahui hadis sahih li-ghairihi dan hasan li-ghairihi kerana apabila hadis-hadis seperti ini dikuatkan dengan periwayatannya melalui jalar sanad lain yang serupa atau lebih kuat daripadanya. Maka hadis tersebut akan naik ke tahap sahih li-ghairihi jika asalnya hasan, atau ke tahap hasan li-ghairihi jika asalnya daif.

c - Mengetahui hadis-hadis daif untuk memberi peringatan tentang kedaifannya agar tidak bercampur dengan hadis sahih dan hasan. Para imam hadis telah menulis hadis-hadis perawi yang daif dan menzahirkannya kepada orang ramai agar mereka tidak terjerumus dalam kesilapan kerananya.

d - Mengetahui perawi-perawi yang diperselisihkan oleh para ulama dari segi jarh (kritikan) dan ta'dil (pengiktirafan) dan hadis-hadis yang diperselisihkan dari segi kesahihan dan kedaifannya.

e - Mengetahui dalil-dalil mazhab dan aspek-aspek perbezaan mereka dalam pendalilan, di mana sebahagian imam boleh menggugurkan dalil imam lain dengan menjelaskan kedaifannya, iaitu kerana kelemahan riwayat yang dijadikan sandarannya.

*Saya telah kemas kini semula tulisan ini pada 3/5/2025.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan