|
Peta pengembaraan Imam al-Tabari |
Nama,
Nasab dan Kunyah
Nama beliau
ialah Muhammad bin Jarir bin Yazid bin Kathir bin Ghalib. Menurut pendapat yang
lain nama datuk beliau ialah Yazid bin Khalid.
Kunyah beliau ialah Abu Ja’far walaupun
beliau tidak mempunyai anak bernama Ja’far kerana beliau langsung tidak pernah
berkahwin sepanjang hayatnya. Namun peletakan kunyah tersebut kerana mengikuti
sunnah Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam yang memberi kunyah
kepada sahabat-sahabat baginda.
Gelaran
beliau pula ialah al-Tabari, nisbah kepada Tabaristan yang pada hari ini
terletak di Iran. Selain itu beliau juga digelar sebagai al-Aamuli, nisbah
kepada bandar Aamul yang terletak di Tasbaristan yang merupakan tempat
kelahiran beliau.
Kelahiran
dan Pembesaran
Ada dua
pendapat tentang tahun kelahiran beliau. Menurut satu pendapat, akhir tahun 224
Hijrah dan menurut pendapat yang lain, awal tahun 225 Hijrah.
Murid
beliau, al-Qadhi Ibnu Kamil pernah bertanya kepada beliau:
“Bagaimana
kamu boleh syak pada perkara tersebut?”
Beliau
menjawab:
“Penduduk
negeri kami akan mencatat peristiwa sejarah tanpa diletakkan tahun. Ditulis
peristiwa kelahiran saya bersama dengan suatu peristiwa yang berlaku di negeri
tersebut. Apabila saya telah besar maka saya bertanya tentang peristiwa yang
berlaku itu. Maka orang-orang yang menceritakan kepada saya itu berbeza
pendapat. Sebahagian mereka berkata:
Peristiwa tersebut berlaku pada akhir tahun empat (yakni 224 Hijrah) dan yang
lain berkata: Bahkan pada awal tahun 225 Hijrah.”
Bapa beliau
banyak membantu mendorongnya untuk menuntut ilmu semenjak masih kecil lagi.
Ibnu Jarir berkata:
“Aku
telah menghafal al-Quran ketika berusia 7 tahun dan aku solat bersama orang
ramai (yakni menjadi imam solat berjemaah) ketika berusia 8 tahun. Aku belajar
hadis ketika berumur 9 tahun. Bapaku pernah bermimpi melihat aku berada di
depan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Bersamaku ada kantung yang dipenuhi
dengan batu dan aku melontar batu tersebut. Ahli takbir mimpi berkata kepada
bapaku: Jika dia (yakni Ibnu Jarir) besar kelak nescaya akan baik agamanya dan dia
akan mempertahankan syariatnya.”
Pengembaraan
Ilmu
Sebagaimana
kebiasaan ulama-ulama yang lain, beliau mula belajar di negeri kelahirannya
sendiri, Aamul. Setelah beliau besar,
bapanya mengizinkan beliau untuk memulakan pengembaraan menuntut ilmu. Beliau
mula mengembara pada tahun 236 Hijrah ketika berusia 12 tahun dan riwayat yang
lain menyebutkan ketika beliau berusia 20 tahun. Bapanya banyak mengirim wang sebagai
bekal di sepanjang perjalanan keilmuannya itu.
Tempat
pertama yang disinggahinya ialah Ray, Iran. Di sini beliau mempelajari mazhab
Hanafi daripada Abu Muqatil Muhammad bin Muqatil al-Razi.
Setelah
itu, Beliau masuk ke Baghdad dengan hasrat untuk belajar dengan Imam Ahmad bin
Hanbal namun hasrat beliau tidak tercapai kerana Imam Ahmad sudah pun meninggal
dunia pada tahun 241 Hijrah sebelum beliau sampai ke sana.
Namun
begitu beliau tetap tinggal di Baghdad dan belajar dengan ulama-ulama yang
masih ada di situ. Baghdad ketika itu berada di bawah Daulah Abasiyyah dan
merupakan tempat berhimpunnya para ulama. Di sini dapat Imam al-Tabari dapat
belajar dan meriwayatkan hadis daripada ramai ahli hadis di samping mempelajari
fiqh pelbagai mazhab daripada para fuqaha.
Setelah itu
beliau menuju ke Basrah dan menuntut dengan ulama yang masih ada pada ketika
itu seperti Muhammad bin Musa al-Harasyi, ‘Imad bin Musa al-Qazzaz, Muhammad
bin Abdul A’la al-San’ani, Bisyr bin Mu’az, Abu al-Asy’ath, Muhamamd bin Basyar
yang terkenal dengan gelaran Bundar dan lain-lain.
Beliau
meneruskan pengembaraannya ke Wasit lalu ke Kufah. Di Kufah beliau belajar
dengan Abu Kuraib Muhammad bin al-‘Ala’ al-Hamdani , Hannad bin al-Sari,
Isma’il bin Musa dan selain mereka. Dikatakan bahawa beliau sempat meriwayatkan
lebih 100 ribu buah hadis daripada Abu Kuraib dan belajar ilmu qiraat daripada
Sulaiman al-Talhi.
Setelah
menghimpunkan ilmu-ilmu yang terdapat di Basrah, Wasit dan Kufah beliau kembali
semula ke Baghdad untuk mempelajari ulum al-Quran secara umumnya dan ilmu
Qiraat secara khususnya daripada Ahmad bin Yusuf al-Taghlabi. Beliau juga
mempelajari fiqh mazhab al-Syafi’e daripada al-Hasan bin Muhammad bin al-Sabbah
al-Za’farani dan Abu Sa’id al-Hasan bin Ahmad al-Istakhri selain belajar mazhab
al-Zahiri daripada Daud bin Ali al-Zahiri.
Kemudian
beliau bertolak ke arah barat untuk menuju ke Mesir. Di tengah perjalanannya
itu beliau sempat singgah di Beirut dan tinggal beberapa ketika di situ untuk
belajar al-Quran mengikut riwayat al-Syamiyyin daripada al-‘Abbas bin al-Walid al-Bairuti.
Imam
al-Tabari lalu masuk ke Mesir pada tahun 253 Hijrah dan ketika itu adalah
zaman-zaman awal pemerintahan Ibnu Tulun. Beliau menuju ke Fustat untuk belajar
fiqh Maliki daripada murid-murid Abdullah bin Wahb (murid Imam Malik) seperti
Yunus bin Abdul A’la, Ahmad bin Abdul Rahman bin Wahb yang merupakan anak
saudara Abdullah bin Wahb dan keluarga Ibnu Abdul Hakam seperti Muhammad, Abdul
Rahman dan Sa’ad. Beliau juga mempelajari fiqh al-Syafi’e daripada murid-murid
Imam al-Syafi’e seperti al-Rabi’ bin Sulaiman al-Muradi, al-Rabi’ bin Sulaiman
al-Azdi, Isma’il bin Yahya bin Ibrahim al-Muzani dan Muhammad bin Abdullah bin
Abdul Hakam yang menghimpunkan antara mazhab Maliki dan al-Syafi’e.
Setelah
tinggal di Mesir untuk beberapa waktu beliau kembali ke Syam dan kembali semula
ke Mesir untuk kali kedua pada tahun 256 Hijrah. Beliau belajar pula dengan
Yunus bin Abdul A’la al-Sadafi dan mengambil daripadanya qiraat Hamzah
dan Warsh. Beliau juga bertemu dengan Abu Hasan Ali bin Siraj al-Misri yang
merupakan seorang sasterawan dan pakar bahasa Arab. Ibnu Siraj bertanya kepada
Imam al-Tabari tentang syair al-Tirimmah bin Hakim. Ternyata Imam al-Tabari
sudah menghafalnya. Ini menunjukkan kehebatan Imam al-Tabari dalam ilmu
sastera, bahasa Arab dan syair. Di Mesir juga Imam al-Tabari mempelajari ilmu arudh
(ilmu syair Arab) setelah beliau ditanya tentangnya. Beliau menguasai ilmu arudh
sehingga dianggap sebagai pakar ilmu arudh.
Sesudah
menghabiskan waktu yang lama menuntut di Mesir timbul keinginan untuk pulang ke
kampung halamannya di Tabaristan. Di tengah perjalanannya itu beliau sempat
singgah ke Baghdad sebelum menuju ke Tabaristan. Ini adalah kepulangannya yang
pertama ke Tabaristan setelah menghabiskan masanya bertahun-tahun mengembara
mencari ilmu. Namun beliau tidak menetap lama di Tabaristan lalu kembali semula
ke Baghdad dan tinggal di sebuah tempat bernama Qantarah al-Baradan.
Pada tahun
290 Hijrah beliau pulang kali kedua ke Tabaristan dan tinggal di sana sebentar
sebelum pulang semula ke Baghdad dan menetap di situ sehingga akhir hayatnya.
Guru-Guru
Imam
al-Tabari sempat bertemu dan belajar dengan ramai ulama yang sukar untuk
dihimpunkan nama kesemuannya. Bukti ramainya guru beliau dapat dilihat pada
sanad-sanad dalam kitab karangan beliau. Di sini disebutkan sebahagiannya:
1 –
Muhammad bin Humaid al-Razi al-Tamimi (m. 248 H). Beliau merupakan guru pertama
Imam al-Tabari di Ray. Imam al-Tabari belajar daripadanya ilmu hadis dan tafsir
sehingga dikatakan Imam al-Tabari meriwayatkan daripadanya 100 ribu buah hadis.
2 – Abu
Muqatil Muhammad bin Muqatil al-Razi. Beliau merupakan qadhi di Ray dan sahabat
kepada Muhammad bin Hasan al-Syaibani. Beliau juga merupakan murid kepada Waki’
bin Jarrah dan Sufyan bin ‘Uyainah.
3 – ‘Imran
bin Musa al-Laithi al-Basri, terkenal dengan nama al-Qazzaz (m. 240 H). Imam
al-Tabari belajar daripadanya ketika mula-mula masuk ke Baghdad.
4 –
Al-Walid bin Syuja’ al-Sakuni (m. 243 H). Imam al-Tabari belajar daripadanya di
Kufah.
5 – Ahmad
bin Mani’ al-Baghawi (m. 244H). Beliau merupakan sahabat Imam Ahmad bin Hanbal.
Imam al-Tabari meriwayatkan hadis daripadanya sebagai ganti kepada Imam Ahmad.
6 – Abu
Kuraib Muhammad bin al-‘Ala’ al-Hamdani (m. 247 H). Imam al-Tabari bertemu
dengannya di Kufah dan sempat mempelajari 100 ribu buah hadis daripadanya.
Ada kisah
yang menarik yang berlaku antaranya dengan Imam al-Tabari. Abu Kuraib ini
merupakan seorang yang agak kasar dan bengis. Imam al-Tabari menceritakan
bahawa beliau pergi ke rumahnya bersama penuntut ilmu yang lain. Lalu Abu
Kuraib melihat kami di sebalik pintu kecil yang berada di rumahnya. Para penuntut
ilmu ingin masuk ke dalam rumahnya.
Tiba-tiba
Abu Kuraib berkata: Siapa yang menghafal apa yang dia tulis daripadaku? Para
penuntut ilmu tersebut melihat sesama mereka lalu mereka melihat kepada Imam
al-Tabari dan bertanya kepadanya: “Kamu hafal apa yang kamu tulis
daripadanya?” Imam al-Tabari menjawab: “Ya.” Mereka lalu berkata: “Ini
dia, tanyalah padanya.”
Imam
al-Tabari lalu membaca hadis yang beliau telah riwayatkan daripada Abu Kuraib. Abu
Kuraib terus bertanya sehingga beliau merasakan bahawa Imam al-Tabari merupakan
seorang yang hebat. Beliau lalu membenarkan Imam al-Tabari untuk masuk dan
belajar dengannya sehingga Imam al-Tabari dapat menguasai hadis-hadis Abu
Kuraib.
7 – Hannnad
bin al-Sari (m. 243 H). Imam al-Tabari bertemu dengannya di Kufah.
8 -
Sulaiman bin Abdul Rahman bin Hammad al-Talhi al-Kufi (m. 252 H). Imam al-Tabari
belajar ilmu qiraat daripadanya.
9 - Ahmad
bin Yusuf bin Khalid al-Taghlabi al-Baghdadi (m. 273 H). Imam al-Tabari belajar
ilmu qiraat daripadanya.
10 –
Muhammad bin Abdul Malik bin Abi al-Syawarib (m. 244 H). Imam al-Tabari bertemu
dengannya di Basrah.
11 –
Muhammad bin Basyyar al-‘Abdi (m. 252 H) yang terkenal dengan nama Bundar. Imam
al-Tabari bertemu dengannya di Basrah.
12 – Ya’qub
bin Ibrahim al-Dauraqi (m. 252 H).
13 – Bisyr
bin Mu’az al-‘Aqadi (m. 245 H). Imam al-Tabari bertemu dengannya di Basrah.
14 – Muhammad
bin Abdul al-A’la al-San’ani (m. 245 H). Imam al-Tabari bertemu dengannya di
Basrah.
15 –
Al-Hasan bin Muhammad bin al-Sabbah al-Za’farani (m. 260 H). Beliau merupakan
salah seorang perawi mazhab qadim Imam al-Syafi’e di Iraq.
16 – Abu
Sa’id al-Hasan bin Ahmad al-Istakhri (m. 328 H). Beliau merupakan qadhi
di Qom. Imam al-Tabari belajar daripadanya walaupun Imam al-Tabari lebih tua
daripadanya.
17
– Daud bin Ali al-Zahiri (m. 270 H). Beliau merupakan pengasas mazhab
al-Zahiri. Beliau pada asalnya bermazhab al-Syafi’e lalu keluar dan mengasaskan
mazhabnya sendiri. Imam al-Tabari melazimi beliau selama beberapa ketika dan
banyak menyalin kitab-kitab beliau. Setelah itu berlaku banyak perbincangan dan
perdebatan antara mereka berdua sehingga Imam al-Tabari mengarang kitab
mengkritik beliau yang bertajuk al-Radd ‘Ala Zi al-Asfar.
18
- Al-‘Abbas bin al-Walid al-Bairuti (m. 269 H). Imam al-Tabari belajar ilmu
qiraat mengikut riwayat al-Syamiyyin daripadanya di Beirut.
19 - Yunus
bin Abdul A’la al-Sadafi al-Misri (m. 264 H). Beliau merupakan murid kepada
Abdullah bin Wahb. Imam al-Tabari belajar fiqh mazhab Maliki dan ilmu qiraat
mengikut riwayat Hamzah dan Warsh daripadanya di Mesir.
20 - Ahmad
bin Abdul Rahman bin Wahb al-Misri yang digelar Bahsyal (m. 264 H). Beliau
merupakan anak saudara Abdullah bin Wahb. Imam al-Tabari belajar fiqh mazhab
Maliki daripadanya di Mesir.
21 – Muhammad
bin Abdullah bin Abdul Hakam (m. 268 H). Beliau asalnya bermazhab Maliki namun
setelah Imam al-Syafi’e datang ke Mesir beliau berpindah ke mazhab al-Syafi’e.
Namun setelah itu beliau kembali semula ke mazhab Maliki. Imam al-Tabari belajar fiqh mazhab Maliki dan
al-Syaf’ie serta ilmu sejarah daripadanya di Mesir. Imam al-Tabari juga turut
belajar fiqh mazhab Maliki daripada dua saudara beliau, Abdul Rahman dan Sa’ad.
23 - Al-Rabi’
bin Sulaiman al-Muradi (m. 270 H).
24 -
Al-Rabi’ bin Sulaiman al-Azdi (m. 256).
25 - Isma’il
bin Yahya bin Ibrahim al-Muzani (m. 264 H).
Ketiga-tiga
mereka adalah murid Imam al-Syafie. Imam al-Tabari belajar fiqh mazhab
al-Syafi’e daripada mereka di Mesir.
26 - Abu
Hasan Ali bin Siraj al-Misri (m. 307 H). Imam al-Tabari bertemu dan belajar
daripada ilmu-ilmu bahasa dan sastera Arab daripadanya di Mesir. Beliau sangat
mengagumi hafalan, kebijaksanaan dan keluasan pembacaan Imam Ibnu Jarir
sehinggakan Imam Ibnu Jarir telah menghafal syair al-Tirimmah sedangkan tidak ada
orang lain yang menghafalnya di Mesir.
Murid-Murid
Imam
al-Tabari mempunyai murid yang sangat ramai yang mengambil ilmu daripadanya dan
meriwayatkan kitab-kitab karangannya. Di sebutkan di sini sebahagian
murid-muridnya:
1 – Abu
Syu’aib Abdullah bin al-Hasan al-Harani (m. 295 H). Beliau meriwayatkan hadis
daripada Imam al-Tabari meskipun beliau lebih berusia dan mempunyai sanad yang
lebih tinggi (‘aliy) daripada Imam al-Tabari.
2 – Abu
Qasim Sulaiman bin Ahmad al-Tabrani (m. 360 H). Pengarang kepada tiga mu’jam
yang terkenal; al-Kabir, al-Ausat dan al-Saghir. Beliau
belajar tafsir dan hadis daripada Imam al-Tabari.
3 –
Al-Qadhi Abu Bakar Ahmad bin Kamil (m. 350 H). Antara murid kanan Imam
al-Tabari. Beliau merupakan qadhi di Kufah. Beliau ada mengarang kitab khas
berkenaan biografi Imam al-Tabari. Beliau juga mengikut mazhab gurunya dalam
fiqh dan mengarang kitab berkenaan mazhab gurunya.
4 – Abu
Ahmad Abdullah bin ‘Adi (m. 365 H). Pengarang kitab al-Kamil Fi Dhu’afa’
al-Rijal. Beliau mempunyai guru yang sangat ramai, lebih daripada 1000
orang dan antara yang terkenal ialah Imam al-Tabari.
5 – Abu
al-Farj al-Mu’afa bin Zakariyya al-Nahrawani (m. 390 H). Beliau juga digelar
al-Jariri, nisbah kepada Imam Ibnu Jarir kerana beliau mengikut mazhab
gururnya. Beliau antara murid kanan Imam al-Tabari yang bertanggungjawab
memelihara kitab-kitab dan fiqh Imam al-Tabari. Selain itu, beliau juga
mensyarahkan kitab Imam al-Tabari seperti kitab al-Khafif dan Ahkam
Syara’I’ al-Islam.
6 – Muhammad
bin Ali bin Isma’il al-Qaffal al-Kabir (m. 365 H). Beliau belajar daripada Imam
al-Tabari di Iraq.
Kitab
Penulisan
Imam
al-Tabari merupakan seorang yang sangat bijak menjaga dan menyusun waktunya.
Beliau mengkhususkan waktu khas daripada harinya untuk mengarang kitab iaitu pada
waktu antara zohor dan asar dan setelah waktu isyak. Oleh itu beliau dapat
menghasilkan banyak karya sepanjang hidupnya sehinggakan beliau antara ulama
yang dijadikan contoh dari segi banyaknya hasil penulisan.
Ali bin
‘Ubaidullah al-Samsami berkata:
“Al-Tabari
tekun menulis selama 40 tahun dan setiap hari beliau menulis sebanyak 40
lembaran. Dengan menghitungnya jelaslah bahawa kesemua yang beliau tulis lebih
daripada 580 ribu helai lembaran.”
Murid-muridnya
juga pernah menghitung keseluruhan jumlah helaian penulisan beliau lalu
dibahagikan kepada jumlah hari kehidupan beliau, semenjak beliau baligh
sehingga meninggal dunia. Mereka mendapati bahawa pada setiap hari
sekurang-kurangnya beliau menulis sebanyak 14 helaian.
Berikut
adalah senarai hasil tulisan beliau:
(i) Kitab-kitab
yang telah diterbitkan:
1 – Jami’
al-Bayan ‘An Ta’wil Ay al-Quran.
Kitab ini
terkenal dengan nama Tafsir al-Tabari, nisbah kepada pengarangnya. Kitab
ini merupakan kitab tafsir terbesar dan terawal dari abad ke-3 Hijrah yang
sampai ke hari ini. Pada mulanya Imam al-Tabari ingin mengimlakkan kitab ini
sebanyak 30 ribu helaian kertas namun murid-muridnya mengadu tidak sanggup untuk
menyalinnya. Lalu beliau meringkaskannya kepada 3000 helaian sahaja supaya
mudah untuk membaca dan menghafalnya. Beliau mula mengimlakkan kitab ini pada tahun
283 Hijrah dan tamat pada 290 Hijrah.
Dalam kitab
ini Imam Ibnu Jarir menafsirkan al-Quran menggunakan riwayat-riwayat yang ma’thur
sama ada dengan al-Quran sendiri atau hadis Nabi sallahu ‘alaihi wasallam
serta pendapat sahabat dan tabiin yang disertakan sanad-sanadnya.
Pendapat-pendapat sahabat dan tabiin tersebut akan disertakan pendalilannya dari
sudut bahasa dan syair-syair Arab. Jika sahabat dan tabiin berbeza pendapat
dalam menafsirkan suatu ayat beliau akan mengemukan tarjih beliau
sendiri. Beliau juga mengambil berat untuk membentangkan bentuk-bentuk qiraat
bagi ayat yang sedang ditafsirkan sebagaimana beliau juga turut menyenaraikan hukum-hukum
fiqh, mazhab-mazhab sahabat dan tabiin serta ijmak ulama. Bagi ayat-ayat
berkaitan hukum-hakam pula beliau akan menyebutkan istinbat beliau
daripada ayat tersebut.
Kitab ini
telah dipuji oleh ramai ulama seperti Imam al-Nawawi dan al-Hafiz al-Zahabi
yang mengatakan bahawa tidak ada sesiapa pun yang pernah menulis kitab tafsir
seumpama kitab ini.
Ibnu
Khuzaimah pernah meminjam kitab tafsir ini daripada Ibnu Khalawaih lalu
memulangkannya setelah membacanya selama beberapa tahun. Beliau lalu berkata: “Aku
melihat di dalamnya dari awal hingga akhirnya. Tidak aku ketahui bahawa ada di
atas muka bumi ini orang yang lebih alim daripada Ibnu Jarir.”
Suatu masa
dahulu kitab ini pernah dianggap hilang ditelan zaman sehingga orientalis
German, Theodor Nöldeke pernah berkata: “Kalaulah kita
berjaya mendapatkan kitab ini nescaya kita tidak perlu lagi kepada kitab tafsir
yang ditulis kemudian daripadanya.” Namun setelah itu manuskrip tafsir ini
berjaya ditemui lalu diterbitkan. Tafsir al-Tabari ini pertama kali
diterbitkan menggunakan 3 naskhah manuskrip tulisan tangan oleh al-Matba’ah
al-Maimaniyah kepunyaan syarikat Mustafa al-Babi al-Halabi pada tahun 1903.
Setelah itu, ia diterbitkan beberapa kali oleh penerbit yang berbeza.
2 – Tarikh
al-Umam Wa al-Muluk.
Kitab ini terkenal
dengan nama Tarikh al-Tabari, nisbah kepada pengarangnya sebagaimana
kitab tafsir beliau. Nama lain baginya ialah Tarikh al-Rusul Wa al-Muluk
dan Yaqut al-Hamawi menyebutkan namanya sebagai Tarikh al-Rusul Wa
al-Anbiya’ Wa al-Muluk Wa al-Khulafa’. Imam al-Tabari menyelesaikan
penulisan kitab ini pada tahun 303 Hijrah.
Isi
kandungan kitab ini dapat dibahagikan kepada beberapa bahagian:
(i) Khutbah
kitab
Kitab ini
dimulakan dengan pujian kepada Allah dan selawat kepada Rasulullah sallahu
‘alaihi wasallam. Kemudian dibincangkan berkenaan penciptaan manusia, susur
galur penulisan kitab ini dan manhaj beliau di dalamnya.
(ii) Mukadimah
Mukadimah kitab
ini mengandungi perbahasan berkenaan masa dari sudut akidah Islam,
pendapat-pendapat ulama tentang kadar masa sejak awal hingga akhirnya dan
tentang kebaharuan (huduth) masa. Setelah itu dilanjutkan perbincangan tentang
permulaan penciptaan makhluk dan berkaitan makhluk pertama yang dicipta iaitu
Qalam. Perbincangan selanjutnya berkenaan kejadian langit, bumi, siang, malam,
matahari, bulan, penciptaan Iblis dan kisah-kisah tentangnya.
(iii) Bahagian
pertama: Sejarah dunia sebelum Islam
Penceritaan
kisah-kisah para anbiya’ bermula nabi Adam sehingga nabi Muhammad sallhu
‘alaihi wasallam.
(iv)
Bahagian kedua: Sejarah dunia selepas Islam
Dapat
dibahagikan kepada empat zaman:
A – Zaman
Kenabian
Bermula
dari penurunan wahyu sehingga tahun 11 Hijrah, iaitu tahun kewafatan Rasulullah
sallhu ‘alaihi wasallam.
B – Zaman
Khulafa al-Rashidin
Sejarah
khulafa al-Rashidin, pembukaan negara dan peristiwa-peristiwa yang berlaku
sehingga tahun 40 Hijrah.
C – Zaman
Khalifah Umawiyah
Sejarah
kerajaan Umawiyah, khalifah-khalifahnya, pembukaan negara dan
peristiwa-peristiwa yang berlaku sehingga kejatuhan Khalifah Umawiyah pada
tahun 132 Hijrah.
D – Zaman
Khalifah Abbasiyah
Sejarah
khalifah Bani Abbasiyah, peperangan yang berlaku dan pepecahan kumpulan dan
aliran agama Islam yang terzahir di zaman ini sehingga tahun 302 Hijrah.
Kitab ini
pertama kali diterbitkan di Leiden, antara tahun 1878 dan 1879, di bawah seliaan
beberapa orang orientalis. Terbitan ini dianggap tidak sempurna kerana mereka
tidak berjaya mendapatkan manuskrip yang lengkap bagi kitab ini. Di bahagian
akhir kitab ini juga dilampirkan kitab al-Muntakhab Min Zail al-Muzayyal Fi
Tarikh al-Sahabah Wa al-Tabi’in dan Mukhtasar Tarikh al-Tabari
karangan ‘Uraib bin Sa’ad al-Qurtubi.
Setelah itu
kitab ini diterbitkan beberapa kali dan antara cetakan yang terbaik ialah terbitan
Dar al-Ma’arif di Mesir sebanyak 11 jilid, pada tahun 1960 sehingga 1967, di
bawah seliaan Muhammad Abu al-Fadl Ibrahim. Kitab ini diterbitkan dengan merujuk
kepada cetakan-cetakan Tarikh al-Tabari yang telah diterbitkan
sebelumnya berserta manuskrip tulisan tangan yang tidak berjaya ditemui oleh
beberapa orang orientalis tersebut. Di samping itu turut dilampirkan dua buah
kitab ‘Uraib bin Sa’ad yang disebutkan sebelum ini berserta Takmilah Tarikh
al-Tabari karangan Muhammad bin Abdul Malik al-Hamzani. Muhaqqiq
juga telah merujuk kepada kitab-kitab yang mempunyai hubungan dengan Tarikh
al-Tabari seperti Tafsir al-Tabari, Sirah Ibnu Hisyam dan
kitab-kitab sejarah, bahasa, sastera dan diwan-diwan syair.
3 –
Tahzib al-Athar Wa Tafsil al-Thabit ‘An Rasulullah Min al-Akhbar
Dalam kitab
ini Imam al-Tabari menyusun hadis-hadis yang beliau riwayatkan menurut susunan
musnad, dimulakan dengan musnad 10 sahabat yang dijamin syurga. Kemudian
diikuti dengan musnad ahli bait, al-mawali, kemudian musnad bani Hashim dan
hanya berakhir dengan musnad Abdullah bin ‘Abbas kerana beliau meninggal dunia
sebelum menyelesaikan kitab ini.
Hadis-hadis
yang terkandung dalam kitab ini beliau syarahkan dari sudut sanad dan matannya.
Dari sudut sanad, beliau huraikan jalur-jalur sanad dan ‘ilalnya. Dari
sudut matan pula, beliau jelaskan lafaz hadis yang gharib berserta maknanya,
hukum syarak yang dapat diistinbat daripada hadis, khilaf fuqaha
berserta dalil dan hujah mereka dan tarjih dan pandangan peribadi beliau
terhadap permasalah tersebut.
Dalam
musnad Abu Bakar yang merupakan bab pertama dalam kitab ini beliau menyebutkan
sebuah mukadimah yang menjelaskan syarat dan manhaj beliau dalam kitab ini. Dalam
kitab ini beliau mensyaratkan hadis-hadis sahih sahaja, namun beliau juga
menyebutkan hadis-hadis yang tidak sahih kerana bertujuan untuk menjelaskan illah
hadis tersebut dan disebutkan juga hadis-hadis yang dijadikan dalil oleh
sebahagian ulama yang beranggapan ia sahih walaupun di sisi Imam al-Tabari ia
tidak sahih.
Di samping
Imam al-Tabari tidak sempat menyelesaikan kitab ini, kitab ini juga sampai ke
zaman kita secara tidak lengkap. Hanya beberapa bahagian daripada kitab ini
yang masih tersisa dan diterbitkan dengan tahqiq Syeikh Mahmud Syakir
iaitu: Musnad Umar bin al-Khattab, sebahagian musnad Ali bin Abi Talib dan
sebahagian Musnad Abdullah bin Abbas. Pada tahun 1995 penerbit Dar al-Ma’mun menerbitkan
sebahagian musnad Abdul Rahman bin ‘Auf dan musnad al-Zubair bin al-‘Awwam
dengan tahqiq Ali Ridha bin Abdullah.
4 – Ikhtilaf
al-Fuqaha’
Nama asli
bagi kitab ini ialah Ikhtilaf Ulama al-Amsar Fi Ahkam Syara’iq al-Islam.
Kitab ini merupakan kitab karangan beliau yang pertama. Dalam kitab ini beliau
menyebutkan fiqh yang dikhilafkan oleh para fuqaha iaitu: Malik bin Anas,
al-Auza’ie, Sufyan al-Thauri, Abu Hanifah, Abu Yusuf, Muhammad bin al-Hasan
al-Syaibani, al-Syafi’e dan Abu Thaur. Begitu juga beliau menyebutkan pendapat para
fuqaha di kalangan sahabat dan tabiin. Setelah menyiapkan kitab ini beliau
mengajarkannya kepada murid-muridnya. Semasa mengajarkan kitab ini beliau
sentiasa memperbaikinya di samping menambah ulasan, pendapat peribadi dan tarjih
beliau terhadap perbezaan pendapat yang berlaku di kalangan fuqaha.
Kitab ini
telah dikarang setebal 3000 helaian kertas yang menyamai kitab tafsir beliau.
Yaqut al-Hamawi menyebutkan bahawa kitab Tarikh beliau telah ditulis
dalam 1000 helaian kertas. Pada hari ini kitab Tarikh al-Tabari telah
dicetak sebanyak 10 jilid. Oleh itu sekiranya dicetak kitab Ikhtilaf
al-Fuqaqa’ ini secara lengkap nescaya akan mencapai sebanyak 30 jilid. Ini
menunjukkan bahawa kitab ini adalah sebuah ensiklopedia gergasi yang
menghimpunkan ilmu khilaf dan fiqh perbandingan. Kitab ini juga membuktikan
keluasan ilmu Imam al-Tabari yang menghimpunkan khazanah ilmu fiqh semenjak
zaman sahabat, tabiin sehingga zaman imam-imam mazhab.
Malangnya
kitab ini tidak sampai ke zaman kita secara lengkap melainkan hanya sebahagian
kecil sahaja. Penerbitan kitab ini pertama kali diusahakan oleh seorang
orientalis German bernama Friedrich Kern pada tahun 1902
di Mesir. Pada tahun 1933 kitab ini diterbitkan sekali lagi di Leiden berserta
penambahan isi kandungannya di bawah seliaan orientalis German, Joseph Schacht.
5 - Al-Tabsir Fi Ma’alim al-Din
Kitab ini asalnya adalah surat yang dikirimkan
kepada pengikut beliau di Aamul, Tabaristan untuk menjelaskan beberapa isu
akidah yang menjadi perselisihan antara Ahli Sunnah dan pengikut aliran yang
menyeleweng. Beliau akan menyebutkan pendapat-pendapat kumpulan sesat tersebut
lalu mengkritiknya dan menyatakan pendapat yang benar di sisi Ahli Sunnah.
Kitab ini diterbitkan oleh Dar al-Asimah pada
tahun 1997 dengan tahqiq Ali bin Abdul Aziz al-Syibl setebal 272 halaman
berserta indeks dan ulasan pentahqiq. Muhaqqiq menggunakan
manuskrip yang terdapat di El Escorial, Sepanyol dan manuskrip tersebut tidak
sempurna kerana terdapat kerosakan di bahagian 6 helaian terakhirnya.
6 – Sarih al-Sunnah
Dinamakan juga kitab ini sebagai Syarah
al-Sunnah. Kitab ini merupakan sebuah kitab kecil yang ditulis dalam
beberapa helaian kertas. Kitab ini mengandugi beberapa persoalan akidah seperti
al-Quran adalah kalam Allah dan bukan makhluk, melihat Allah di hari akhirat, perbuatan
hamba (af’al a-‘ibad), kedudukan sahabat dalam Islam, iman bertambah dan
berkurang, hukum lafaz al-Quran yang diucapkan oleh manusia, isu nama adalah sama
dengan objek yang dinamakan (al-ism huwa al-musamma) dan peringatan agar
tidak mereka-reka ucapan seseorang sedangkan dia tidak mengucapkannya.
Kitab ini telah diterbitkan beberapa kali
antaranya oleh Dar al-Khulafa’ pada tahun 1985 dengan tahqiq Badr bin
Yusuf al-Ma’tuq.
(ii)
Kitab-kitab yang belum diterbitkan atau telah hilang atau yang belum dapat dipastikan
kewujudannya:
4 – Latif
al-Qaul Fi Ahkam Syara’iq al-Islam
Imam
al-Tabari mengarang kitab ini selepas kitab Ikhtilaf al-Fuqaha’. Kitab
ini merupakan kitab fiqh beliau yang terpenting dan merupakan tonggak bagi pengikut
mazhabnya.
Dalam kitab
ini beliau menyebutkan masalah-masalah fiqh berdasarkan ijtihad beliau sendiri
berserta dalil dan pendalilannya. Kitab ini berjaya disempurnakan oleh beliau
dan mengandungi sebanyak 83 kitab (bab-bab besar). Ketebalannya berjumlah 2500
helaian kertas iaitu hampir menyamai kitab tafsir beliau.
Kitab ini
dimulakan dengan sebuah mukadimah berkenaan manhaj dan kaedah beliau dalam
berijtihad. Mukadimah ini dinamakan sebagai al-Risalah kerana mengikut
jejak langkah Imam al-Syafi’e yang menjadikan kitab al-Risalah sebagai
mukadimah bagi kitab beliau, al-Umm.
5 - Al-Khafif Fi Ahkam Syara’iq al-Islam
Kitab ini
merupakan ringkasan kepada kitab al-Latif bagi meraikan golongan yang
rendah semangatnya bagi membaca kitab tebal-tebal. Ini adalah kebiasaan para
fuqaha yang menghasilkan kitab kepada beberapa tingkatan. Kitab yang nipis
biasanya dikarang untuk pemula dan orang yang tidak berkeahlian agar mudah
difahami. Kitab yang tebal-tebal pula untuk golongan khusus yang ingin
mendalami perbahasan fiqh yang lebih rumit dan kompleks. Menurut Yaqut
al-Hamawi, ketebalan kitab ini adalah sebanyak 400 helaian kertas, iaitu hampir
satu per tiga kitab Tarikh al-Tabari.
Sebab
penulisan kitab ini adalah untuk memenuhi pemintaan seorang menteri bernama Abu
Ahmad al-‘Abbas ibnu al-Hasan al-Azizi yang berhasrat untuk meneliti
hukum-hukum fiqh. Lalu beliau mengirim surat kepada Imam al-Tabari supaya
meringkaskan kitab al-Latif tersebut. Setelah selesai meringkaskannya
Imam al-Tabari lalu mengirimkannnya kepada menteri tersebut lalu dihadiahkan
wang sebanyak 1000 dinar namun enggan diterima oleh Imam al-Tabari.
6 – Basith
al-Qaul Fi Ahkam Syara’iq al-Islam
Kitab ini
diantara kitab terpenting yang dihasilkan oleh Imam al-Tabari di akhir hayat
beliau. Kitab ini dimulakan dengan sejarah fiqh Islam dan perkembangannya di
Madinah lalu beralih ke zaman sahabat dan tabiin yang tersebar luas ke serata
belahan dunia seperti Mekah, Kufah, Basrah dan Syam. Setelah itu barulah Imam al-Tabari mula menyebutkan hukum-hukum
fiqh, furuk-furuknya, pendapat ulama, kesepakatan dan khilaf mereka. Beliau
lalu melakukan tarjih dan memilih pandangan yang dianggap tepat di sisi
beliau. Ketebalan kitab ini dianggarkan
oleh Yaqut al-Hamawi setebal 2000 helaian kertas dan Imam al-Tabari meninggal
dunia sebelum sempat menyempurnakannya.
Sebahagian
ulama berpendapat bahawa kitab beliau bertajuk Maratib al-Ulama dan Adab
al-Qadha adalah sebahagian daripada kitab al-Basith dan ditulis
sebagai mukadimah baginya.
7 – Al-Radd
‘Ala Zawi al-Asfar
Kitab ini
dihasilkan oleh Imam al-Tabari untuk mengkritik pandangan Daud bin Ali al-Zahiri,
pengasas mazhab al-Zahiri. Berlaku beberapa sesi perbincangan dan perdebatan
antara mereka berdua dan Imam al-Tabari berusaha mempertahankan pendapat dan
dalil-dalil beliau. Lalu muncul seorang pengikut Daud al-Zahiri yang mencela
Imam al-Tabari dalam majlis munazarah tersebut. Imam al-Tabari lalu
beredar dari majlis itu dan menulis kitab ini. Daud al-Zahari pula tidak
bercakap dengan pengikutnya itu selama setahun sebagai balasan terhadap apa
yang dia telah lakukan kepada Imam al-Tabari. Kitab in ditulis sedikit demi
sedikit sehingga mencapai 200 helaian kertas. Namun beliau tidak menyambung
penulisannya setelah kematian Daud al-Zahiri.
8 – Al-Radd
‘Ala Ibnu ‘Abdul Hakam ‘Ala Malik
Sewaktu di
Mesir Imam al-Tabari telah mempelajari fiqh Maliki daripada keturunan Ibnu
‘Abdul Hakam iaitu Muhammad, Abdullah dan Sa’ad. Kitab ini dikarang khusus
untuk mengkritik pendapat guru-gurunya itu dan fiqh mazhab Maliki.
9 – Manasik
al-Hajj
Kitab ini
juga dinamakan sebagai Mukhtasar Manasik al-Hajj atau Adab al-Hajj.
Kitab ini menghimpunkan hukum-hakam fiqh dan adab-adab yang perlu diketahui
oleh orang yang melaksanakan haji.
10 – Kitab
al-Faraid atau Mukhtasar al-Faraid
Kitab ini
berkenaan hukum-hakam dan nas-nas syarak berkaitan hukum faraid, cara
membahagikan harta pusaka dan senarai ahli waris pusaka.
11 – Kitab
al-Waqf
Kitab ini
dikarang untuk Khalifah al-Muktafi. Di dalamnya disebutkan tentang ijmak dan
khilaf ulama berkenaan waqaf berserta syarat-syarat dan hukum-hukum waqaf.
12 – Kitab
al-Syurut
Ilmu Syurut
merupakan salah satu cabang ilmu fiqh. Ilmu ini membicarakan tentang cara untuk
menulis dan merekodkan hukum-hukum syarak dengan cara yang betul agar dapat
digunakan apabila perlu. Imam al-Tabari antara yang terawal menulis kitab dalam
bab ini dan kitab ini menjadi rujukan penduduk Baghdad. Ada ulama yang
berpendapat kitab ini merupakan sebahagian daripada kitab al-Basith.
13
– Al-Mujaz Fi al-Usul
14 – Al-Adar
Fi al-Usul
15 – Al-Qiyas
16 – Al-Risalah
Keempat-empat
kitab di atas ini merupakan kitab beliau dalam bidang usul fiqh. Tiga kitab
yang awal tidak sempat disiapkan dan kitab keempat adalah mukadimah bagi kitab al-Latif
sebagaimana yang diterangkan sebelum ini.
17 – Zail
al-Muzayyal
Kitab ini
dikarang sebagai sambungan dan pelengkap bagi kitab Tarikh beliau.
Kandungan kitab ini berkenaan sejarah sahabat, tabiin dan para ulama setelah
itu sehingga zaman Imam al-Tabari. Beliau menyenaraikan tarikh kewafatan
mereka, nasab, guru-guru, murid-murid, pujian dan kritikan (al-jarh wa
al-ta’dil) terhadap mereka, kisah-kisah menarik tentang mereka dan
pembelaan terhadap beberapa tokoh yang dituduh berfahaman menyeleweng sedangkan
tuduhan itu tidak benar.
Kitab ini
telah beliau imlakkan kepada murid-muridnya pada tahun selepas 300 Hijrah dan
ditulis dalam 1000 helaian kertas. Kitab ini telah hilang (mafqud) namun
ringkasan bagi kitab ini yang dilakukan oleh ‘Uraib bin Sa’ad al-Qurtubi masih
ada dan dicetak di bahagian akhir Tarikh al-Tabari sebagimana yang
dijelaskan sebelum ini.
18 – Al-Musnad
al-Mujarrad
Kitab ini
menghimpunkan hadis-hadis yang beliau riwayatkan daripada guru-gurunya lalu
beliau mengajarkannya kepada orang ramai.
19 – Fadhail
Ali bin Abi Talib
Sebab
penulisan kitab ini kerana beliau terdengar seseorang yang meragui hadis Ghadir
Khum, lalu beliau mengarang kitab ini yang menyebutkannya berserta
riwayat-riwayat dan sanad-sanadnya. Setelah itu beliau masukkan sekali
hadis-hadis berkenaan kelebihan Ali bin Abi Talib. Namun beliau meninggal dunia
tanpa sempat menyiapkannya.
20 – Fadhail
Abu Bakar Wa Umar
Kitab ini
mengumpulkan hadis dan athar yang menunjukkan kelebihan Abu Bakar dan
Umar kerana terdapat sebahagian penduduk Tabaristan yang celupar mulutnya
sehingga mencerca mereka berdua. Kitab ini juga bertujuan menolak tuduhan Syiah
yang dilemparkan kepada beliau disebabkan penulisan beliau berkenaan hadis
Ghadir Khum. Kitab ini juga tidak sempat disempurnakan.
21 – Fadhail
al-Abbas
Kitab ini
dikarang atas pemintaan sebahagian pemimpin berketurunan al-Abbas bin Abdul
Muttalib yang ingin supaya dihimpunkan hadis-hadis berkenaan al-Abbas dan kedudukan
beliau dalam Islam. Kitab ini juga tidak sempat disempurnakan.
22 – Musnad
Ibnu Abbas
Menurut Dr
Muhammad al-Zuhaily, kitab ini mungkin sebenarnya sebahagian daripada kitab Tahzib
al-Athar yang sudah dibicarakan sebelum ini.
23 – Kitab
Fi Ibarah al-Ru’ya
Menghimpunkan
hadis-hadis berkenaan mimpi dan takwilannya. Imam al-Tabari meninggal dunia
sebelum menyempurnakannya.
24 – Hadith
al-Tair
Ibnu Kathir
berkata: “Aku melihat baginya kitab yang menghimpunkan di dalamnya
sanad-sanad hadis al-Tair.”
25 – Kitab
al-Qiraat Wa Tanzil al-Quran
Kitab ini
berkenaan ilmu qiraat, nama-nama qurra’ dan mazhab Imam al-Tabari dalam
qiraat. Menurut Abu Ali al-Ahwazi, saiz kitab ini adalah setebal 18 jilid.
Kitab ini
tidak pernah dicetak dan diterbitkan namun selamat sampai sebahagiannya ke
zaman kini. Terdapat sebuah manuskrip tulisan tangan bagi kitab ini di Maktabah
Jami’ al-Azhar.
26 – Adab
al-Nufus al-Jadidah Wa al-Akhlaq al-Nafisah
Kitab ini
juga dinamakan Adab al-Nafs al-Syarifah Wa al-Akhlaq al-Hamidah. Isi kandungannya
berkenaan topik-topik penyucian hati seperti warak, zuhud, ikhlas, riyak,
sombong, tawaduk, sabar dan lain-lain. Beliau menyebutkan hadis dan ucapan
sahabat dan tabiin yang diriwayatkan berkenaan topik-topik tersebut.
Kitab ini
telah diimlakkan kepada muridnya pada tahun 310 Hijrah dan berjaya disalin sehingga
4 juzuk yang mengandungi 500 helaian kertas. Kitab ini tidak sempat
disempurnakan.
Begitu juga
di sana terdapat beberapa lagi kitab-kitab karangan Imam al-Tabari yang tidak
disebutkan di sini kerana bimbang akan memanjangkan tulisan ini.
Pujian
Ulama
Imam al-Tabari diberi
pujian dan sanjungan yang tinggi oleh para ulama terkemuka yang mengetahui
keunggulan, kedudukan, ketakwaan, ilmu, dan karya-karyanya. Sememangnya beliau
layak untuk mendapatkan gelaran dan penghargaan tersebut. Di sini disebutkan
beberapa pujian tersebut:
1 - Al-Khatib
al-Baghdadi (m. 463 H) berkata: "Beliau adalah salah seorang imam di
kalangan ulama, ucapannya dijadikan hakim/pemutus dan pendapatnya dijadikan
rujukan karena pengetahuannya dan keunggulannya. Beliau telah mengumpulkan ilmu
yang tidak ada tandingannya di zamannya."
2 - Yaqut al-Hamawi (m.
626 H) berkata: "Abu Ja'far al-Tabari, seorang ahli hadis, ahli fiqh,
pakar al-Quran, sejarawan yang terkenal dan masyhur."
3 - Jamaluddin
al-Qifti (m. 646 H) berkata: "Beliau adalah seorang alim yang sempurna,
faqih, pakar al-Qur'an, ahli nahu, ahli bahasa Arab, pakar hadis, ahli sejarah,
dan pengumpul pelbagai ilmu pengetahuan. Tidak dilihat orang lain yang
mempunyai ilmu yang sama sepertinya dan dia menulis karya-karya besar."
4 – Ibnu Khallikan (m.
681 H) berkata: “Beliau adalah penulis kitab
tafsir yang besar dan kitab sejarah yang
terkenal. Beliau adalah imam dalam berbagai bidang ilmu. Beliau memiliki
karya-karya yang indah dalam berbagai bidang yang menunjukkan luas
pengetahuannya dan kelebihannya yang melimpah-limpah. Beliau termasuk dalam
golongan imam mujtahid.”
5 – Ahli sejarah Islam, al-Hafiz al-Zahabi (m.
748 H) berkata: "Beliau adalah imam yang agung, seorang mufassir, Abu
Ja'far, pemilik karya-karya yang sangat bagus. Beliau adalah salah satu dari
para imam besar yang dijadikan sandaran dalam Islam."
Beliau berkata lagi:
"Beliau adalah
seorang imam, tokoh mujtahid, seorang alim pada zamannya, Abu Ja'far al-Tabari,
pemilik karya-karya yang indah. Beliau seorang yang banyak mengembara dan
bertemu dengan tokoh-tokoh hebat. Beliau merupakan tokoh ilmu yang unik
sepanjang zaman. Seorang yang bijak dan memiliki banyak karya yang jarang mata
dapat melihat orang seumpamanya."
Kemudian al-Zahabi
berkata lagi: "Beliau adalah seorang yang dapat dipercayai, jujur,
pakar hadis, terkemuka dalam bidang tafsir, imam dalam fiqh, ijma' dan khilaf. Sangat alim dalam sejarah dan
latar belakang manusia, sangat arif tentang qiraat, bahasa, dan banyak
lagi."
6 - Tajuddin al-Subki
(m. 771 H) berkata: "Beliau adalah seorang imam agung, mujtahid mutlaq,
Abu Ja'far al-Tabari, berasal dari Aamul, Tabaristan. Beliau adalah salah satu
imam dunia dalam ilmu dan agama."
7 - Al-Hafiz Ibn
Kathir (m. 774 H) berkata: "Beliau meriwayatkan banyak hadis dari ramai
ulama. Beliau melakukan perjalanan jauh dalam mencari hadis, menulis maklumat
sejarah yang banyak, dan memiliki tafsir yang lengkap yang tak tertandingi oleh
yang lain, serta karya-karya lain yang penuh dengan ilmu berkaitan usul dan
furuk. Salah satu karyanya yang terbaik
adalah Tahzib al-Athar. Jika beliau menyelesaikannya nescaya tidak akan ada
keperluan lagi untuk karya yang lain kerana
ia sudah mencukupi, tetapi beliau
tidak sempat menyelesaikannya."
Ibnu Kathir berkata
lagi: “Beliau adalah seorang yang ahli beribadah, zuhud, warak, teguh dalam
memegang kebenaran dan tidak takut kepada celaan manusia. Beliau memiliki suara
yang indah ketika membaca al-Qur'an, beserta pengetahuan yang lengkap tentang
cara membaca al-Quran dengan kaedah yang terbaik. Beliau adalah salah seorang
daripada tokoh golongan solihin. Beliau juga adalah salah seorang daripada
ulama hadis yang berkumpul di Mesir pada zaman Ibn Tulun. Beliau adalah salah
seorang daripada imam-imam Islam dalam ilmu dan beramal dengan kitab Allah dan
sunnah Rasul-Nya.”
Kebijaksanaan Imam al-Tabari
Salah satu bukti kecerdasan dan kecerdasan
Imam al-Tabari adalah berdasarkan apa yang diceritakan oleh Imam al-Tabari
sendiri tentang dirinya yang mempelajari ilmu 'arudh dalam satu malam.
Beliau berkata: "Ketika saya tiba di
Mesir, tidak ada seorang pun daripada para ulama yang tidak bertemu dengan saya
dan menguji pengetahuan saya dalam ilmu yang mereka kuasai. Pada suatu hari,
seorang lelaki datang dan bertanya kepada saya tentang sesuatu dalam ilmu
'arudh dan saya tidak mempersiapkan dirinya untuknya sebelum itu. Jadi saya
berkata kepadanya: "Saya tidak mahu berbicara tentang ilmu 'arudh pada
hari ini. Tanyalah saya pada esok hari. Saya kemudian meminta seorang rakan
untuk membawa buku ilmu 'arudh karya al-Khalil bin Ahmad lalu dia
membawakannya. Saya membacanya sepanjang malam. Pada malamnya saya tidak tahu
tentang ilmu arudh namun pada pagi harinya saya telah menguasai ilmu 'arudh
tersebut."
Rutin Harian Imam
al-Tabari
Imam al-Tabari bijak
mengatur waktunya antara mengajar, menulis, tidur, dan beribadah. Beliau tidur
sejenak sebelum zohor dan melakukan solat zohor di rumahnya. Kemudian beliau
mulai menulis hingga asar. Setelah itu beliau keluar untuk melakukan solat
asar. Kemudian beliau duduk di depan orang ramai dan mengajarkan mereka al-Quran
dan orang membacakan al-Quran kepadanya sehingga maghrib.
Setelah itu, beliau
duduk untuk mengajar ilmu fiqh. Sesi belajar dan muzakarah dilakukan di
hadapannya hingga waktu akhir solat isyak. Kemudian beliau masuk ke dalam
rumahnya. Setelah memasuki rumahnya, beliau tidak mengizinkan sesiapa pun masuk
kerana beliau sibuk dengan penulisan melainkan kerana hal yang penting .
Beliau tetap menjaga bacaan al-Quran hariannya. Setiap malam, beliau membaca seperempat atau
bahagian yang banyak daripada Al-Quran. Ibnu Kamil berkata: “Beliau telah
membahagi waktu malam dan siangnya untuk kepentingan dirinya, agamanya, dan
masyarakat sebagaimana yang Allah telah memberi petunjuk padanya.”
Mazhab Jariri
Ramai ulama yang pakar
dalam bidang sejarah syariat Islam, sejarawan, dan pengarang kitab biografi
menyatakan bahawa Imam al-Tabari telah mencapai darjat ijtihad mutlak. Beliau
kemudian memisahkan diri dari mazhab al-Syafi'e dan membangunkan mazhab tersendiri
yang dikenali sebagai mazhab Jariri dalam bidang fiqh.
Dalam kitab Tabaqat al-Fuqaha, Abu
Ishaq al-Shirazi menyebutkan Ibn Jarir al-Tabari sebagai salah seorang daripada mujtahid yang bebas dan tidak meletakkannya dalam golongan pengikut Mazhab al-Syafi'e.
Ibn Khallikan berkata:
"Beliau termasuk dalam kalangan imam mujtahid dan tidak bertaklid
kepada sesiapapun."
Namun begitu mazhab
beliau tidak bertahan lama dan akhirnya pupus sekitar abad ke-5 Hijrah.
Ibn Farhun al-Maliki
berkata: "Adapun pengikut-pengikut al-Tabari dan Abu Thaur, mereka
tidak ramai dan tidak berlangsung lama. Pengikut-pengikut Abu Thaur pupus
setelah tiga ratus tahun dan pengikut-pengikut al-Tabari pupus selepas empat
ratus tahun."
Imam al-Tabari
bersama Hanabilah
Setelah beliau pulang
dari mengembara mencari ilmu dan menetap di Baghdad, telah berlaku perbalahan
antara beliau dengan Hanabilah. Perbalahan itu berlaku kerana tiga sebab.
Pertama, beliau dituduh memperkecilkan penguasaan fiqh Imam Ahmad. Kedua,
tuduhan bahawa beliau berfahaman Syiah. Ketiga, permusuhan beliau dengan dengan
beberapa orang tokoh Hanabilah di Baghdad seperti Abu Bakar bin Abu Daud
al-Sijistani yang merupakan anak penulis Sunan Abu Daud. Abu Bakar bin Abu Daud
telah menuduh beliau berfahaman nasibi (membenci 'Ali bin Abi Talib)
lalu mempengaruhi kerajaan untuk menindas Imam al-Tabari. Beliau turut mengecam
Imam al-Tabari kerana beriktikad bahawa bacaan al-Quran adalah makhluk.
Untuk membersihkan
namanya, Imam al-Tabari menulis sebuah buku kecil bertajuk Sarih al-Sunnah
untuk menjelaskan pendirian beliau tentang isu-isu akidah tersebut. Namun buku
berkenaan tidak berjaya menangkis tuduhan-tuduhan palsu yang dilemparkan kepada
beliau. Hanabilah tetap berdegil memulau dan menghalang pergerakan beliau
sehingga beliau meninggal dunia. Pengkebumian jenazah beliau juga turut
dihalang sehingga jenazahnya terpaksa dikebumikan di dalam rumahnya. Imam Ibnu
Khuzaimah pernah membela Imam al-Tabari dengan katanya: “Aku tidak
mengetahui seorangpun di atas muka bumi ini yang lebih alim daripada Ibnu
Jarir. Sesungguhnya Hanabilah telah menzalimi beliau."
Kewafatan
Sesungguhnya Allah
telah memberkati kehidupan Imam al-Tabari. Beliau hidup selama 86 tahun dengan kehidupan
yang dipenuhi dengan ibadat, menulis kitab, berfatwa, mengajarkan ilmu dan
mendidik murid-muridnya. Berkekalanlah kisah hidupnya diingati sepanjang
sejarah. Namanya disebut-sebut di bibir-bibir manusia, bukunya berpindah dari
generasi ke generasi dan ilmunya terus dimanfaatkan oleh manusia hingga hari
kiamat.
Setelah selesai melakukan
perjalanan panjang mencari ilmu pengetahun beliau memilih untuk menetap di
Baghdad, ibu kota khalifah Abbasiyah yang merupakan pusat kebudayaan dan ilmu
pengetahuan terbesar di dunia pada saat itu. Kehidupan beliau dikelilingi
dengan para pelajar dan ulama yang mengambil manfaat dari ilmunya dan mengarang
buku-buku yang sebahagiannya telah ditulis di akhir hayatnya. Rohnya kembali kepada
penciptanya pada tanggal 26 Syawal 310 Hijrah. Peristiwa ini berlaku pada masa
pemerintahan Khalifah Abbasiyah, al-Muqtadir Billah. Beliau telah dikebumikan
di rumahnya yang terletak di Rahbat Ya'qub, Baghdad. Semoga Allah sentiasa
melimpahkan rahmatNya ke atas Imam al-Tabari atas sumbangan dan jasa beliau
terhadap Islam.
|
Kubur Imam al-Tabari |
Baca juga: