Sabtu, 22 Jun 2024

Setiap Hadis Perlu Dikembalikan Kepada Sumber Aslinya

Antara perkara yang kurang difahami oleh orang yang tidak mempelajari ilmu hadis khususnya ilmu takhrij ialah setiap hadis perlu dicari kembali kewujudannya dalam sumber aslinya. Disebabkan itu apabila ditanya tentang sumber sesuatu hadis, mereka akan menyebutkan kitab sekian sekian sedangkan kitab itu bukan sumber aslinya.

Kita akan dapati ahli hadis seperti al-Hafiz al-'Iraqi, al-Hafiz Ibnu al-Mulaqqin dan al-Hafiz al-Zaila'ie tidak berpada dengan kewujudan hadis dalam kitab Ihya' Ulum al-Din karangan Imam al-Ghazali, al-Syarah al-Kabir karangan Imam al-Rafi'i dan al-Hidayah dalam Fiqh Hanafi karangan Imam al-Marghinani, bahkan mereka berusaha mentakhrij dan mencari semula hadis-hadis tersebut dalam sumber asli. 

Maksud sumber asli ialah kitab yang pengarangnya meriwayatkan hadis dengan sanadnya sehingga Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam. 

Sumber asli ini tidak terhad kepada kitab khas yang mengumpulkan hadis sahaja seperti Kutub Sittah tetapi termasuk juga kitab dalam bidang lain seperti akidah, tafsir, fiqh, dan tarikh, asalkan pengarangnya meriwayatkan hadis melalui sanadnya sendiri sehingga Nabi sallahu 'alaihi wasallam . 

Contoh untuk kitab akidah seperti Khalq Af'al al-'Ibad karangan Imam al-Bukhari, tafsir seperti Tafsir al-Tabari, fiqh seperti kitab al-Umm karangan Imam al-Syafi'i dan tarikh seperti Tarikh Baghdad. 

Terdapat juga kitab yang dipanggil sumber menyerupai asli dan sumber bukan asli. 

Kitab sumber menyerupai asli adalah kitab yang menukilkan sanad secara lengkap daripada sumber asli. 

Contohnya seperti Tafsir Ibnu Kathir, Tuhfah al-Asyraf karangan al-Hafiz al-Mizzi, Nasb al-Rayah karangan al-Hafiz al-Zaila'i dan al-Laali al-Masnu'ah karangan al-Hafiz al-Suyuti.

Kitab sumber bukan asli pula kitab yang menukilkan hadis daripada sumber asli tanpa disertakan sanadnya secara lengkap. 

Contohnya seperti kitab Riyadhus Salihin karangan Imam al-Nawawi, Bulugh al-Maram karangan al-Hafiz Ibnu Hajar, al-Jami' al-Saghir karangan al-Hafiz al-Suyuti.

Tidak boleh disandarkan hadis kepada sumber menyerupai asli dan sumber bukan asli melainkan sumber asli bagi hadis tersebut telah hilang atau masih dalam bentuk manuskrip dan kita hanya dapat mengetahui kewujudan hadis itu melalui perantaraan sumber menyerupai asli dan sumber bukan asli itu sahaja.

Namun, bentuk lafaz takhrij melalui perantaraan sumber menyerupai asli dan sumber bukan asli tidak sama seperti takhrij melalui sumber asli. 

Hadis-hadis dalam rujukan asli sahaja yang boleh gunakan istilah 'diriwayatkan (رواه)' atau 'dikeluarkan (أخرجه)' seperti 'diriwayatkan oleh al-Tirmizi dalam Jami'nya' atau 'dikeluarkan oleh Ahmad dalam Musnadnya'.

Bagi hadis-hadis dalam sumber menyerupai asli dan sumber bukan asli pula perlu gunakan ayat seperti 'diriwayatkan oleh Ibnu Mardawaih sebagaimana dalam Tafsir Ibnu Kathir' atau 'Disebutkan oleh al-Hafiz al-Suyuti dalam kitab al-Jami' al-Saghir dan beliau menyandarkannya kepada Ibnu al-Najjar'.

Sabtu, 8 Jun 2024

Masbuk Solat Jenazah

Jika makmum masbuk mendapati imam telah solat jenazah, maka hendaklah dia segera bertakbir lalu membaca al-Fatihah  meskipun ketika itu imam sedang membaca selawat ke atas Nabi atau membaca doa untuk mayat. 

Sekiranya imam bertakbir untuk takbir yang seterusnya sebelum makmum sempat menyelesaikan bacaan al-Fatihahnya, maka makmum hendaklah bertakbir mengikut imam dan kewajipan membaca al-Fatihah telah gugur. Ini sekiranya dia tidak membaca ta'awwuz (أعوذ بالله من الشيطان الرجيم) sebelum al-Fatihah. Namun jika dia membaca ta'awwuz sebelum al-Fatihah, maka dia perlu meneruskan bacaan al-Fatihah sekadar panjang ta'awwuz sebelum bertakbir mengikut imam.

Apabila imam selesai memberi salam, maka makmum menyelesaikan takbir yang berbaki. 

Sekiranya makmum bertakbir untuk masuk solat jenazah bersama imam, lalu imam memberi salam sebelum makmum sempat menyelesaikan bacaan al-Fatihah, maka kewajipan membaca al-Fatihah tidak gugur dan dia perlu menyempurnakan bacaan al-Fatihahnya.

Dalam solat jenazah, satu takbir itu ibarat satu rakaat solat fardu. Jika makmum terlambat daripada imamnya dengan satu takbir iaitu apabila imam mula takbir ketiga ketika makmum masih di takbir pertama atau imam mula takbir keempat manakala makmum masih di takbir kedua, maka batal solat makmum sekiranya dia tidak mempunyai keuzuran. 

Adapun jika makmum mempunyai keuzuran (seperti terlupa, lambat bacaannya secara semula jadi/tidak dibuat-buat atau tidak mendengar takbir imam), maka dia boleh terlambat daripada imamnya dengan dua takbir iaitu sebelum imam mula takbir yang keempat.

Disunatkan untuk tidak mengangkat jenazah sehinggalah makmum masbuk selesai dari solatnya.

Rujukan:

Al-Mu’tamad Fi al-Fiqh al-Syafi’i (jil. 1, hlm. 624-625) karangan Dr Muhammad al-Zuhaili.

Ghayah al-Muna Syarah Safinah al-Naja (hlm. 506) karangan Syeikh Muhammad Ali Ba'athiyyah.

Zubdah al-Fiqh al-Syafi’i (jil.1, hlm. 187) karangan Syeikh Majid al-Hamawi.

Fath al-'Alam Bi Syarh Mursyid al-Anam (jil. 3, hlm. 163) karangan Syeikh Muhammad bin Abdullah al-Jurdani

Hukum Jenazah Bayi Yang Gugur

 


Maksud bayi yang gugur ialah bayi yang dilahirkan sebelum cukup enam bulan. Enam bulan dianggap tempoh mengandung yang paling minimum.

Cara untuk menguruskan jenazah bayi yang gugur berbeza mengikut keadaannya.

1- Bayi yang terlihat tanda bahawa dia masih hidup setelah dilahirkan seperti bernafas, menangis dan bergerak. Kemudian dia meninggal dunia setelah itu.

Hukumnya: Jenazahnya perlu diuruskan sebagaimana orang dewasa iaitu perlu dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan.

2 - Bayi yang tidak terlihat tanda dia masih hidup setelah dilahirkan yakni dia sudah meninggal dunia sewaktu dilahirkan. Terdapat perincian untuk jenazah bayi seperti ini:

(a) Sekiranya bayi itu telah sempurna rupa dan anggota badannya seperti manusia.

Hukumnya: Wajib untuk dimandikan, dikafankan dan dikebumikan namun tidak boleh (haram) untuk disolatkan jenazahnya. Ini adalah pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami.

Imam al-Ramli pula berpendapat sekiranya bayi itu dilahirkan setelah enam bulan, maka wajib menguruskannya seperti jenazah orang dewasa walaupun tidak sempurna rupa dan anggota badannya dan tidak terlihat tanda dia masih hidup setelah dilahirkan.  Oleh itu jenazahnya perlu dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan. Sekiranya bayi itu kurang enam bulan, maka jenazahnya dimandikan, dikafankan, dikebumikan dan tidak boleh disolatkan.

Boleh memilih sama ada untuk mengikut pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami atau Imam al-Ramli.

(b) Bayi itu belum membentuk rupa dan anggota badan manusia.

Hukumnya: Tidak perlu melakukan apa-apa untuk jenazah bayi seperti ini namun sunat untuk membungkusnya dengan kain lalu dikebumikan. Begitu juga boleh (harus) untuk memandikan jenazahnya.

Rujukan:

Ghayah al-Muna Syarah Safinah al-Naja karangan Syeikh Muhammad Ali Ba'athiyyah.

Zubdah al-Fiqh al-Syafi’i karangan Syeikh Majid al-Hamawi.

Al-Taqrirat al-Sadidah Fi al-Masail al-Mufidah karangan Habib Hasan al-Kaf.

Hadis Tidak Ada Asal: Doa Selepas Solat Hari Jumaat Untuk Kaya

Doa Selepas Solat Hari Jumaat 3.

(Dan daripada Saiyidina Anas) رضى الله عنه,

“Barang siapa membaca pada Hari Jumaat (sebanyak) 70 kali akan Doa ini:


اللهم اغننى بفضلك عمن سواك وبحلالك عن حرامك

[Allahumma aghnini bifadlika ‘amman siwak wa bihalalika ‘an haramika]

(Nescaya) tiada lalu (menempuhi) atasnya 2 (kali) Jumaat hingga dikayakan dia (orang yang beramal dengan Doa ini oleh) Allah Taala”.

Ulasan:

Saya temui hadis ini di halaman Facebook Pengajian Kitab Kuning.

Hadis ini telah disebutkan oleh Abu Syuja’ al-Dailami dalam al-Firdaus (no. 5557). Menurut muhaqqiq kitab berkenaan, hadis ini tidak disebutkan sanadnya oleh anak Abu Syuja’ al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus.

Kitab al-Firdaus telah dikarang oleh Abu Syuja’ al-Dailami untuk menghimpunkan hadis-hadis tanpa disebutkan sanadnya. Lalu datang anaknya bernama Abu Mansur al-Dailami yang mengarang Musnad al-Firdaus untuk menyebutkan kembali sanad bagi hadis-hadis yang telah dikumpulkan oleh ayahnya.

Zakariya Ghulam al-Bakistani dalam al-Ikhbar Bi Ma La Yasih Min Ahadith al-Azkar (ms. 135) telah menghukumkan hadis ini sebagai tidak mempunyai sumber asal (لا أصل له) kerana tidak disebutkan sanad baginya.

Oleh itu tidak boleh disebarkan hadis ini dan disandarkan kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.