Sabtu, 8 Jun 2024

Masbuk Solat Jenazah

Jika makmum masbuk mendapati imam telah solat jenazah, maka hendaklah dia segera bertakbir lalu membaca al-Fatihah  meskipun ketika itu imam sedang membaca selawat ke atas Nabi atau membaca doa untuk mayat. 

Sekiranya imam bertakbir untuk takbir yang seterusnya sebelum makmum sempat menyelesaikan bacaan al-Fatihahnya, maka makmum hendaklah bertakbir mengikut imam dan kewajipan membaca al-Fatihah telah gugur. Ini sekiranya dia tidak membaca ta'awwuz (أعوذ بالله من الشيطان الرجيم) sebelum al-Fatihah. Namun jika dia membaca ta'awwuz sebelum al-Fatihah, maka dia perlu meneruskan bacaan al-Fatihah sekadar panjang ta'awwuz sebelum bertakbir mengikut imam.

Apabila imam selesai memberi salam, maka makmum menyelesaikan takbir yang berbaki. 

Sekiranya makmum bertakbir untuk masuk solat jenazah bersama imam, lalu imam memberi salam sebelum makmum sempat menyelesaikan bacaan al-Fatihah, maka kewajipan membaca al-Fatihah tidak gugur dan dia perlu menyempurnakan bacaan al-Fatihahnya.

Dalam solat jenazah, satu takbir itu ibarat satu rakaat solat fardu. Jika makmum terlambat daripada imamnya dengan satu takbir iaitu apabila imam mula takbir ketiga ketika makmum masih di takbir pertama atau imam mula takbir keempat manakala makmum masih di takbir kedua, maka batal solat makmum sekiranya dia tidak mempunyai keuzuran. 

Adapun jika makmum mempunyai keuzuran (seperti terlupa, lambat bacaannya secara semula jadi/tidak dibuat-buat atau tidak mendengar takbir imam), maka dia boleh terlambat daripada imamnya dengan dua takbir iaitu sebelum imam mula takbir yang keempat.

Disunatkan untuk tidak mengangkat jenazah sehinggalah makmum masbuk selesai dari solatnya.

Rujukan:

Al-Mu’tamad Fi al-Fiqh al-Syafi’i (jil. 1, hlm. 624-625) karangan Dr Muhammad al-Zuhaili.

Ghayah al-Muna Syarah Safinah al-Naja (hlm. 506) karangan Syeikh Muhammad Ali Ba'athiyyah.

Zubdah al-Fiqh al-Syafi’i (jil.1, hlm. 187) karangan Syeikh Majid al-Hamawi.

Fath al-'Alam Bi Syarh Mursyid al-Anam (jil. 3, hlm. 163) karangan Syeikh Muhammad bin Abdullah al-Jurdani

Tiada ulasan:

Catat Ulasan