Sabtu, 8 Jun 2024

Hukum Jenazah Bayi Yang Gugur

Cara untuk menguruskan jenazah bayi yang gugur berbeza mengikut keadaannya.

1- Bayi yang terlihat tanda bahawa dia masih hidup setelah dilahirkan seperti bernafas, menangis dan bergerak. Kemudian dia meninggal dunia setelah itu.

Hukumnya: Jenazahnya perlu diuruskan sebagaimana orang dewasa iaitu perlu dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan.

Sabda Nabi SAW:

الطِّفْلُ لا يُصَلَّى عليه، ولا يَرِثُ ولا يُورَثُ، حتَّى يَسْتَهِلَّ

"Bayi tidak disolatkan (jenazahnya), tidak mewarisi, dan tidak diwarisi (hartanya), melainkan dia menangis (mengeluarkan suara ketika dilahirkan)."

Riwayat al-Tirmizi.

2 - Bayi yang tidak terlihat tanda dia masih hidup setelah dilahirkan, yakni dia sudah meninggal dunia sewaktu dilahirkan. Terdapat perincian untuk jenazah bayi seperti ini:

(a) Sekiranya bayi itu telah sempurna rupa dan anggota badannya seperti manusia.

Hukumnya: Wajib untuk dimandikan, dikafankan dan dikebumikan namun tidak boleh (haram) untuk disolatkan jenazahnya. Ini kerana ia dianggap seperti jamadat (benda tidak bernyawa). Ini adalah pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami.

Imam al-Ramli pula berpendapat sekiranya bayi itu dilahirkan setelah enam bulan, maka wajib menguruskannya seperti jenazah orang dewasa walaupun tidak sempurna rupa dan anggota badannya dan tidak terlihat tanda dia masih hidup setelah dilahirkan. Oleh itu jenazahnya perlu dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan. 

Sekiranya bayi itu kurang enam bulan, maka jenazahnya dimandikan, dikafankan, dikebumikan dan tidak boleh disolatkan.

Enam bulan dianggap tempoh mengandung yang paling minimum menurut Imam al-Ramli. 

Boleh memilih sama ada untuk mengikut pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami atau Imam al-Ramli.

(b) Bayi itu belum membentuk rupa dan anggota badan manusia.

Hukumnya: Tidak perlu melakukan apa-apa untuk jenazah bayi seperti ini, namun sunat untuk membungkusnya dengan kain lalu dikebumikan. Begitu juga boleh (harus) untuk memandikan jenazahnya.

Kesimpulan Ringkas

Cara Pengurusan (Berdasarkan Keadaan Bayi):

1 - Ada tanda hidup selepas lahir (menangis/bernafas/bergerak) lalu meninggal dunia:

Hukum: Wajib diuruskan seperti orang dewasa (dimandikan, dikafankan, disolatkan & dikebumikan).

2 - Tiada tanda hidup (meninggal sewaktu dilahirkan) & bentuk fizikalnya sempurna:

(i) Pendapat Ibnu Hajar: Wajib dimandikan, dikafankan & dikebumikan. Haram disolatkan.

(ii) Pendapat Al-Ramli:

A - Jika kandungan cukup 6 bulan: Diuruskan seperti orang dewasa (termasuk disolatkan) walaupun fizikal tidak sempurna.

B - Jika kandungan kurang 6 bulan: Dimandikan, dikafankan & dikebumikan. Tidak boleh disolatkan.

(Boleh memilih salah satu daripada pendapat di atas).

3 - Tiada tanda hidup & bentuk fizikal belum membentuk manusia:

Hukum: Tidak wajib diuruskan. Namun, sunat dibungkus dengan kain dan dikebumikan. Harus (boleh) jika ingin dimandikan.

Rujukan:

Ghayah al-Muna Syarah Safinah al-Naja karangan Syeikh Muhammad Ali Ba'athiyyah.

Zubdah al-Fiqh al-Syafi’i karangan Syeikh Majid al-Hamawi.

Al-Taqrirat al-Sadidah Fi al-Masail al-Mufidah karangan Habib Hasan al-Kaf.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan