Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, beliau berkata:
“Seorang lelaki masuk ke dalam masjid pada hari Jumaat
ketika Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam sedang berdiri menyampaikan khutbah.
Lelaki itu berkata: Wahai Rasulullah! Harta benda telah binasa dan perjalanan telah terputus laluan-laluan perjalanan (kerana
binasanya unta yang digunakan untuk pengangkutan dan kerana ketiadaan makanan
yang boleh dimakan di sepanjang jalan), maka berdoalah kepada Allah agar
menurunkan hujan kepada kami.
Lalu Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam mengangkat
kedua-dua tangannya, kemudian berdoa:
اللَّهُمَّ أغِثْنَا، اللَّهُمَّ أغِثْنَا، اللَّهُمَّ أغِثْنَا
Ya Allah, turunkanlah hujan kepada kami! Ya Allah, turunkanlah hujan kepada kami! Ya Allah, turunkanlah hujan kepada kami!"
Anas berkata: “Demi Allah, kami tidak melihat di langit
sebarang awan atau sekumpulan awan kecil, dan antara kami dan (Gunung) Sila‘
(iaitu sebuah bukit yang terkenal berhampiran Madinah) tidak ada rumah atau
bangunan (yang menghalang pandangan). Maka tiba-tiba muncul awan dari arah
belakang bukit seperti perisai. Apabila awan itu sampai di tengah-tengah
langit, ia mula tersebar dan kemudian menurunkan hujan.
Demi Allah, kami tidak melihat matahari selama satu
minggu. Kemudian, seorang lelaki masuk dari pintu yang sama pada hari Jumaat
berikutnya, dan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam sedang berdiri menyampaikan
khutbah. Lelaki itu berkata: Wahai Rasulullah! Harta benda telah musnah dan telah
terputus laluan-laluan perjalanan (kerana padang ragut telah rosak dan tidak
dapat digunakan kerana ditenggelami air, lalu binasalah ternakan kerana
kekurangan rumput untuk dimakan). Berdoalah kepada Allah agar menghentikan
hujan ini daripada kami.
Lalu Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam mengangkat
kedua-dua tangannya, kemudian berdoa:
اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلَا عَلَيْنَا، اللَّهُمَّ عَلَى الْآكَامِ وَالظِّرَابِ، وَبُطُونِ الْأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ
Ya Allah, turunkanlah (hujan) di sekeliling kami, bukan ke atas kami. Ya Allah, turunkanlah di atas bukit-bukau, kawasan tinggi, lembah-lembah, dan tempat tumbuhnya pokok-pokok."
Maka hujan pun berhenti, dan kami keluar berjalan di
bawah cahaya matahari."
[Riwayat al-Bukhari, no. 1013 dan Muslim, no 897]
Pengajaran Hadis:
1 - Pensyariatan solat istisqa' ketika berlaku kemarau dan
hujan lambat turun.
2 - Sunat berdoa ketika bimbang akan mudarat hujan.
3 - Sunat mengangkat tangan ketika berdoa meminta hujan
(istisqa').
4 – Sunat untuk mengulang-ulang doa beberapa kali.
5 - Hadis ini mengandungi pemberitahuan tentang mukjizat
Nabi dengan turunnya hujan selama seminggu penuh melalui doanya tanpa didahului
oleh awan atau tanda-tanda hujan yang jelas.
6 - Hadis ini menunjukkan adab Nabi dalam berdoa, di mana
baginda tidak meminta supaya hujan dihentikan sepenuhnya, tetapi hanya memohon
agar diangkat kemudaratannya, dijauhkan dari rumah-rumah, kemudahan awam, serta
jalan-jalan, supaya tiada penduduk tetap atau musafir yang terjejas olehnya dan
baginda memohon agar hujan terus turun di tempat-tempat yang memerlukannya.
7 - Harus bercakap dengan khatib pada hari Jumaat jika ada
keperluan.
8 - Nabi tidak mempunyai kuasa dalam urusan alam, sebaliknya
baginda berdoa dan memohon kepada Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan